Sunday, September 20, 2020

Kemarahan Di Kashmir, Tuntut Siasatan Bebas...

 

Tentera India akui tersilap bunuh 3 penduduk Kashmir

SRINAGAR: Tentera India mengakui pasukannya bertindak keterlaluan ketika operasi sehingga mengakibatkan tiga orang awam terbunuh di Kashmir.

Ketiga-tiga mangsa yang bersaudara itu ditembak selepas disyaki pengganas Pakistan ketika operasi membanteras pemberontakan pada 18 Julai lalu di lembah Kashmir selatan dan selamat dikebumikan di kawasan sempadan terpencil.

Terdahulu, mangsa dikenal pasti selepas keluarga terlihat gambar mereka di media sosial dan menjelaskan bahawa ketiga-tiganya adalah buruh tempatan.

Ketika ini, pihak keluarga mangsa sedang menunggu ujian DNA sebagai sebahagian daripada siasatan untuk membuktikan bahawa mereka adalah lelaki tempatan.

Tragedi itu menimbulkan kemarahan di Kashmir dengan kumpulan politik, aktivis hak asasi dan penduduk setempat menuntut siasatan bebas terhadap kematian itu.

Semalam, jurucakap tentera Rajesh Kalia, berkata tentera dalam operasi itu bertindak keterlaluan dan melanggar garis panduan ketenteraan di Kashmir.

"Prosiding tatatertib akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Pada masa sama, polis belum dapat membuktikan pembabitan ketiga-tiga lelaki itu dengan keganasan atau kegiatan yang berkaitan. - AFP

No comments:

Post a Comment