SEKALI lagi Ahad lalu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang naik di pentas Muktamar PAS untuk menyampaikan Ucapan Dasarnya selaku Presiden PAS, jawatan yang disandangnya sejak 2002. Kali ini temanya “Islam Memperkukuh Perpaduan”.
Sesungguhnya sejak 2002 hingga kini iaitu lebih 18 tahun, Tuan Guru telah memandu dan menakhoda PAS dengan penuh tekun dan sabar melalui pelbagai ujian dan cabaran dan kini berjaya menempatkan parti Islam ini sebagai salah sebuah parti yang diberi perhatian dan tumpuan kawan dan lawan bukan sahaja dalam negara, malah peringkat antarabangsa.
Seorang kenalan rapat saya yang merupakan penganalisis politik kanan bukan-Melayu di sebuah akhbar arus perdana menyifatkan Tuan Guru sebagai Presiden PAS yang paling berjaya dalam sejarah.
Menurutnya jika Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor berjaya membawa PAS dikenali ramai dengan pencapaian hebat pada tahun 1999 memenangi 27 kerusi Parlimen dan dua buah negeri Kelantan dan Terengganu, Tuan Guru pula hari ini meletakkan PAS dipentas yang lebih tinggi, menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah selain turut bersama dalam kerajaan negeri-negeri lain dan paling hebat menempatkan kehadiran PAS dalam Kerajaan Persekutuan dengan tiga Menteri dan lima Timbalan Menteri.
Selain itu beliau sendiri diangkat sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri.
Dan tambah kenalan saya tadi, tidak mustahil PAS boleh melonjak lebih jauh lagi di bawah kepimpinan Tuan Guru di masa akan datang.
Ternyata Muktamar Ke-66 kali ini menjadi bukti pencapaian seluruh tenaga dan kekuatan PAS di bawah Tuan Guru dalam melebarkan Islam sebagai kunci penyelesaian permasalahan ummah. Perpaduan dan permuafakatan Islam diangkat sebagai formula yang menjanjikan kesejahteraan dan keamanan buat agama, bangsa dan negara tidak sebagaimana manifesto sesetengah pihak yang kosong dan palsu.
Kalau ada pihak yang mengambil pendekatan bermesra dan berkerjasama dengan parti-parti bukan-Melayu sebagai kononnya formula ampuh kemenangan, PAS menganggap ianya silap dan tersasar.
Benar perpaduan negara hanya dapat dicapai apabila kuasa politik bukan-Melayu dilibatkan bersekali, namun yang lebih penting dan utama adalah merintis jalan memperkukuh dan menyatukan kuasa politik Melayu-Islam yang berpecah-belah itu terlebih dahulu barulah kita melangkah ke peringkat seterusnya.
Konsep perpaduan ummah yang berpandukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya sebagaimana ditegaskan Tuan Guru dalam ucapan dasarnya perlu dibentuk terlebih dahulu dari kalangan kuasa-kuasa politik Melayu-Islam dan dari kekuatan itulah baru mampu dijana keupayaan untuk memimpin masyarakat majmuk demi menghayati keadilan untuk semua.
Matlamat tidak boleh menghalalkan cara, mencari jalan singkat, menjauhi dan memandang lekeh perpaduan ummah dan sebaliknya menjaja sokongan bukan Islam untuk memerintah sesungguhnya telah dibuktikan tidak akan berjaya sebagaimana apa yang berlaku terhadap Kerajaan PH yang akhirnya berkecai dalam usia cuma 22 bulan.
Kuasa memang dapat tetapi ia digerhanai oleh dominasi puak lain yang cukup merbahaya buat masa depan ummah, kerana itu ia tidak kekal.
Kini melalui inisiatif politik berani dan berpandangan jauh Tuan Guru dan pimpinan politik Melayu-Islam yang lain khasnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Presiden Umno, gagasan politik baru telah dibentuk. Politik masa depan berteraskan penyatuan dan perpaduan ummah yang lebih meyakinkan dan menambat hati rakyat, mengenepikan segala sengketa dan perbezaan serta mengutamakan permuafakatan dan perpaduan, beriltizam membina kepimpinan yang bertaqwa demi memimpin negara ke arah masa depan yang lebih baik dan sempurna buat semua.
Kini gagasan ini bukan hanya didukung PAS dan Umno malah turut disertai BERSATU di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selain sekutu-sekutu politik bukan-Islam yang meraikan perpaduan umat Melayu sebagai teras kekuatan politik masing-masing.
Maka lahirlah keluarga besar Muafakat Nasional bersama Kerajaan Perikatan Nasional.
Inilah yang ditegas dan ditekankan oleh Tuan Guru di dalam ucapan dasarnya. Menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil seluruh angkatan kekuatan PAS, kerana kini PAS bersama dalam Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kita dapat melangkah lebih jauh lagi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita.
Kata Tuan Guru: “Semua ahli PAS yang berada di tempat masing-masing hendaklah menjalankan tugas masing-masing dengan berperanan membawa risalah Islam yang kita tegakkan. Sekurang-kurangnya menjadi teladan yang baik dari segi syaksiah (integriti) dan kemampuan dalam melaksanakan tugas dengan jayanya.”
PAS tegas Tuan Guru tidak pernah rugi dalam semua kerjasama politknya sejak dari tahun 1959 ketika bersama Parti Negara sehinggalah ke hari ini, yang pentingnya keluarga PAS perlu beristiqamah dengan Islam dan sabar dalam mendapani cabaran yang mendatang.
Kini negara berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri Sabah, walaupun PAS tidak bertanding ia tidak bermakna PAS tidak berperanan, dan sebagai keluarga Perikatan Nasional dan berkerjasama pula dengan BN di sana, PAS akan bekerja bagi memastikan Parti WARISAN yang bersekutu dengan DAP, PKR dan PAN akan dapat ditewaskan dan kerajaan negeri baru terbentuk di sana.
Demikian juga dengan desas-desus Pilihan Raya Umum Parlimen yang dijangka diadakan terlebih awal, Muktamar Ke-66 sebulat suara menyatakan ketegasan seluruh anggota parti berdiri bersama Tuan Guru Presiden dalam memastikan PAS terus memperkukuhkan perpaduan politik baru yang telah dibina dan melalui istiqamah dan kerja kuat disamping kesabaran semua pihak mengibarkan panji-panji Islam sehingga ke mercu kejayaan.
Ini bukan masanya berbalah dan bersengketa, ini bukan masanya berebut jawatan dan pengaruh sebagaimana pandemik yang sedang melanda parti lawan, sebaliknya ini masa untuk memberi ketaatan, wala’ dan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti.
Ini masanya mengangkat politik baru perpaduan ummah sebagai kunci penyelesaian yang bakal memancarkan kegemilangan yang berkekalan buat semua in sya Allah.
Islam memperkukuh perpaduan, tahniah Tuan Guru dan semoga Allah memberi kekuatan bagi terus memimpin kami dalam membuktikan ‘Langkah Islam’ dan bukannya langkah-langkah lain adalah langkah yang bakal menyelamatkan kita semua.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 16/9/2020
No comments:
Post a Comment