Tuesday, September 29, 2020

Murah rezeki selepas kahwin. Benarkah?

 

HALAMAN HIBURAN

JODOH, pertemuan, rezeki dan ajal adalah ketentuan Allah. Sebagai hamba-Nya, kita hanya mampu bersyukur dengan apa yang dikurniakan.

Bagi pengantin baharu, pelakon dan pengacara popular Mira Filzah boleh dikata rezekinya makin murah selepas mendirikan rumah tangga.

Apatah lagi, baru-baru ini Mira dipilih sebagai duta oleh sebuah pusat tuisyen dikenali PTTI yang turut menjadikannya sebagai ikon.

Bahkan, Mira muncul berkongsi nasihat kepada pelajar terutama calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara dalam talian.

Perkongsian untuk menyuntik semangat itu berlangsung selama 20 minit dalam seminar Last Ultra 100% yang pengisian mesejnya padat.

Bahkan, Mira begitu terbuka berkongsi pelbagai kaedah atau teknik belajar yang berkesan boleh diguna pakai oleh calon SPM berkenaan.

Selesa membahasakan diri kak Mira, katanya dia sedar betapa kebanyakan pelajar kini lemah semangat akibat penularan pandemik Covid 19.

"Saya tahu situasi semasa ketika ini sedikit sebanyak pastinya melemahkan semangat adik-adik berikutan tarikh peperiksaan SPM pun ditunda.

"Mengikut apa yang saya difahamkan, sesi peperiksaan SPM sebenar dijangka berlangsung pada 6 Januari, tahun depan.

"Kemunculan wabak ini memang tidak diduga. Namun, tetap kena teruskan fokus untuk peperiksaan percubaan pada Oktober ini," katanya

Mira turut memaklumkan sekiranya berhadapan tekanan ketika belajar, jangan paksa diri. Berehat seketika kerana hendak belajar dan buat ulang kaji perlu tenang.

"Kalau fikiran serabut dan kurang rehat tak ada guna juga. Nak serap ilmu, keadaan diri memang kena ada dalam 'mood' selesa.

"Cuba buat perkara yang boleh hilangkan tekanan atau saat otak tepu seimbangkan ia dengan perkara lain yang menggembirakan," katanya.

Mira juga mengingatkan calon peperiksaan berkenaan belajar untuk jarakkan diri dengan dunia digital dengan tidak memegang telefon bimbit.

"Gunakan masa untuk menikmati udara di luar dengan bersenam dan berjoging. Pada masa sama, jaga penjarakan fizikal sebagai langkah keselamatan.

"Selain itu, bagi calon SPM yang beragama Islam, jangan tinggal solat. Begitu juga dengan bangsa lain untuk berdoa kepada Tuhan masing-masing.

"Jangan lupa, minta restu ibu bapa dan doa mereka. Malah, jangan segan peluk mereka dengan kasih sayang untuk beberapa saat," katanya.

Pemilik nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman ini pernah bergelar pelajar cemerlang ketika SPM pada 2010 lalu.

Mira yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan Wan Emir Astar pada 3 September lalu, turut percaya kejayaan dalam pendidikan boleh dicapai lebih baik apabila sentiasa positif. (MyMetro)


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Murah rezeki selepas kahwin. Benarkah?


Ya, Benar!

 Perkahwinan merupakan satu sunnah Rasulullah yang sangat digalakkan untuk menjadi ikutan ummah. Banyak hikmah yang diperolehi oleh individu yang berkahwin selain meramaikan ummah nabi Muhammad SAW. Orang yang bernikah kerana Allah, Allah tidak akan sia-siakan pernikahan tersebut.

Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil. Apabila tanggungjawab para pemuda bertambah dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih banyak.

Allah akan mencukupkan rezeki mereka yang akan berkahwin.

Tidakkah kita lihat kenyataannya dalam masyarakat, ramai antara mereka yang mulanya miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya? Allah swt. telah berfirman di dalam surah An Nur ayat ke 32 yang bermaksud;

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.

(Surah An Nur : Ayat 32)

Daripada ayat di atas, Allah menyarankan agar kita segera berkahwin jika berkemampuan. Manakala, jika mereka miskin tetapi mahu berkahwin, Allah akan cukupkan dengan memberi rezeki. Ia adalah satu jaminan daripada Allah. Yang penting, kita mesti ada usaha. Insya-Allah, Allah akan membantu dan menolong hamba-Nya yang berada dalam kesusahan. Selain itu, ada hadis juga daripada Rasulullah yang bermaksud;

“Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”.

(HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)

Jangan ragu-ragu.

Persoalan utama seseorang yang akan menikah adalah penyakit ragu-ragu. Jika penyakit tersebut hinggap ke dalam fikiran dan hati seseorang, maka saat itu juga merupakan waktu yang paling tepat untuk muhasabah dan koreksi diri terhadap keyakinannya pada Allah. Itulah kunci utama dalam melangkah ke hadapan dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup.

Jika memang Allah swt. Sudah berjanji demikian, kenapa harus kita meraguinya? Jika memang janji dari Zat yang Maha Benar itu sudah jelas tertulis di dalam al-Quranul karim, mengapa mesti ada ketakutan untuk segera menikah? Padahal, calon pasangan sudah ada. Padahal, umur sudah sampai waktunya dan memang wajib untuk segera menikah. Maka, langkah yang seterusnya adalah kita berikhtiar. Jika berikhtiar sudah dilakukan, maka jangan pernah berhenti untuk berdoa. Percayalah, Allah swt. telah menentukan saat-saat yang tepat dan terbaik bagi hamba-Nya yang tak pernah putus asa dari Rahmat-Nya.

Kewajiban kita ialah untuk mempercayai dan yakin dengan janji Allah. Jangan sampai bisikan-bisikan syaitan menyusup ke dalam hati. Ianya akan dapat mengugat keimanan kita terhadap kebenaran janji Allah swt, termasuk ketika Allah swt. berjanji akan mencukupkan hamba-Nya yang miskin apabila menikah. Tiada yang sulit bagi Allah swt jika ingin memberikan kurnia kepada hamba-Nya. Sungguh, Allah swt. Maha Pemurah dan pemberi rezeki. Kemudian, terserah kepada kita meyakini atau tidak. Dengan keyakinan itu, hidup kita akan lebih optimis dan selalu memikirkan yang positif.

Akhirnya..

Sebagai kesimpulan, berkahwinlah jika mampu. Mampu bukan sahaja dinilai dari sudut material bahkan termasuk fizikal dan spiritual. Jika anda mahu berkahwin tetapi takut jatuh miskin dengan perkahwinan, maka itu hanyalah bisikan-bisikan jahat yang tidak ingin anda dan pasangan anda untuk membina keluarga yang bahagia dan perhubungan yang halal. Sekian.


Hibur Hibur Sikit

No comments:

Post a Comment