Saturday, September 19, 2020

Sabah Negeri Paling Miskin Di M'sia, 19.57% Berbanding 5.6% Kemiskinan Nasional.

 

 Mustapa (tengah) bersama-sama ahli panel pada Seminar Pendapatan Garisan Kemiskinan 2019 di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Tongod, Pitas, Kota Marudu termiskin di Malaysia

KOTA KINABALU: Tongod, Pitas dan Kota Marudu yang terletak di tengah dan utara Sabah dikenal pasti sebagai tiga daerah termiskin negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kedudukan itu berdasarkan hasil kajian kemiskinan tahun lalu yang mendapati ketiga-tiga daerah itu mencatat kadar kemiskinan tertinggi.

Beliau berkata, walaupun ada kelompok lain di Semenanjung seperti Orang Asli dengan kadar kemiskinan yang tinggi dengan purata 40 peratus, namun perangkaan bagi ketiga-tiga daerah itu lebih tinggi.

"Kadar kemiskinan di Tongod, Pitas dan Kota Marudu ialah kira-kira 50 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 di sini, hari ini.

Katanya, Sabah menduduki tempat teratas sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus, berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.

 Kelantan negeri kedua termiskin. Keluarga miskin dengan tiga anaknya di bangsal lebih di Gua Musang. - Foto NSTP/RAMLI IBRAHIM

"Selepas Sabah, negeri kedua tertinggi kadar kemiskinan ialah Kelantan dan diikuti Sarawak.

"Kadar itu akan digunakan bermula tahun depan sebagai panduan dalam melaksanakan program pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya.

 Rumah usang dan bocor keluarga miskin di Kota Bharu, Kelantan. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ketika ditanya sebab Sabah miskin sedangkan kaya dengan hasil minyak, Mustapa berkata, perkara itu dapat diselesaikan menerusi rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, penyelesaian juga perlu dibuat dengan PETRONAS bagi memastikan hasil yang diperolehi dapat diagihkan untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Sabah.

"Sabah bersama Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah sememangnya diberikan perhatian dalam usaha merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan menerusi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.

Mengenai sama ada kadar kemiskinan itu mungkin lebih tinggi berikutan COVID-19 tahun ini, beliau berkata, kerajaan sudah mengambil langkah beberapa inisiatif bagi mengurangkan kesan wabak kepada rakyat.

Katanya, pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan PN kepada rakyat termasuk untuk golongan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mengurangkan kesan buruk COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Pengarah I, Bahagian Pembangunan Ekuiti, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Herman Abdul Hamid, berkata selain Tongod, Pitas dan Kota Marudu, dua lagi daerah yang mencatat kadar kemiskinan tinggi di Sabah ialah Beluran dan Telupid.

Ketika membentangkan Dapatan Kajian PGK 2019, Herman berkata, Tongod mencatat 56.6 peratus kemiskinan, diikuti Pitas (53.6), Kota Marudu (46.2), Beluran (45) dan Telupid 40.7 peratus. (BH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails