Kuala Lumpur: Kelibat anak muda membawa puluhan balang mangga asam boi di persimpangan lampu isyarat di Lembah Klang bukan pemandangan luar biasa.
Walaupun terpaksa berpanas selain menggadai nyawa berdepan risiko dilanggar kenderaan namun cabaran itu tidak sedikit pun mematahkan semangat golongan ini yang terdiri daripada anak muda dan lepasan sekolah demi mencari sesuap nasi.
Antara alasan popular memilih pekerjaan ini kerana mereka tidak mahu terikat dengan majikan selain menjaja di jalanan lebih mudah meraih pendapatan tanpa memerlukan sebarang sijil akademik dan kemahiran.
Ikuti asam garam golongan ini dalam mengharungi cabaran demi meneruskan kelangsungan hidup di ibu kota.
KISAH 1:
Tidak memerlukan sijil akademik dan mudah dapat wang.
Itu alasan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Osama al Zaqawe Ibrahim, 18, yang memilih pekerjaan menjaja mangga asam boi di jalanan sejak lebih setahun lalu.
Menurut Osama, dia memulakan pekerjaan itu di Terengganu sejak tahun lalu sebelum mengambil keputusan merantau ke ibu negara untuk mencari peluang lebih luas dalam bidang ini.
"Selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya datang ke Kuala Lumpur dan tinggal dengan abang sebelum menyewa bilik bersama rakan di Gombak.
"Saya tidak malu kerana kerja ini paling mudah dan cepat dapat duit, tidak perlu temu duga serta sijil," katanya.
Katanya, setiap hari dia mula menjaja di persimpangan lampu isyarat di sekitar Greenwood, Gombak jam 11 pagi hingga 7 malam.
"Saya menerima upah RM3 untuk setiap balang yang dijual dan pendapatan tidak menentu dengan paling minimum saya mampu jual lebih 40 balang sehari, tetapi mencukupi untuk tampung kos makan minum serta keperluan sendiri selain beri mak ayah di kampung.
"Tidak dinafikan, cabaran itu tetap ada antaranya cuaca yang memainkan peranan, tetapi keadaan panas terik dan hujan itu sudah biasa bagi saya.
"Cuma jika hujan terlalu lebat atau kilat saya terpaksa berteduh di mana-mana tempat sesuai tambahan lagi sia-sia menunggu di jalan kerana kebanyakan pemandu kenderaan tidak akan membuka tingkap untuk membeli pada waktu itu," katanya.
Selain itu, anak kelapan daripada 10 beradik itu berkata, keselamatan di atas jalan raya juga sangat dititikberatkan bagi mengelak sebarang kemalangan.
"Biasanya saya akan tunggu pelanggan di atas pembahagi jalan dan hanya akan ke kenderaan jika ada pelanggan berminat membeli.
"Namun, saya akan tengok sekeliling dulu sebelum melintas jalan untuk pastikan tiada motosikal atau kenderaan lalu," katanya.
"Kerja lain kena ada sijil dan kemahiran, tetapi kerja ini mudah kalau hendak pendapatan banyak kuncinya cuma kena cekal serta usaha lebih," kata Badli Sham Ramli, 19.
Badli Sham berkata, dia selesa bekerja sebagai penjaja jalanan untuk menampung kehidupannya selain mahu menimba pengalaman terutama dalam dunia perniagaan.
"Mula-mula dulu memang saya malu dengan kerja ini, tetapi lama kelamaan suka kerana dapat berjumpa ramai orang dan menimba pengalaman baharu.
"Bukan tidak teringin cari kerja lain, tetapi saya masih muda dan mahu mencari pengalaman dulu mana tahu suatu hari nanti boleh berniaga sendiri," katanya.
Katanya, dalam sehari dia mampu menjual antara 60 ke 200 balang mangga asam boi, produk milik usahawan Bumiputera.
"Sehari saya pernah dapat jual paling sedikit 60 balang dan pernah juga sampai 206 balang bergantung kepada cuaca dan cara kita mendekati pelanggan.
"Memang ada pasang surutnya, tetapi setiap kali ada orang beli, tak dapat digambarkan perasaan gembira, sekali gus membakar semangat saya untuk terus berusaha kejar sasaran jualan. (MyMetro)
Hibur Hibur Sikit: H2S Pilihan: 12 -Nasheed Paletine/Hamas.
No comments:
Post a Comment