Friday, October 09, 2020

Di bawah PN pun 3 YouTuber ini masih diugut Ah Long?

 

Simbah cat, lempar ‘molokov cocktail’ ugut YouTuber

JOHOR BAHRU: Tiga YouTuber tempatan yang mendakwa mereka telah diugut oleh Ah Long, menerusi satu rakaman video yang dimuat naik ke media sosial dan menjadi tular beberapa hari lepas, telahpun dipanggil polis.

Mengesahkan perkara itu Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketiga-tiga mereka yang mendakwa menjadi mangsa telahpun dipanggil.

“Laporan polis juga telah dibuat (mangsa). Kita pun dah panggil pengadu yang terlibat dalam video berkenaan.

“Kita juga sudah terangkan (kepada mangsa mengenai) tindakan-tindakan kita yang telah diambil,” kata beliau kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai video yang dimuat naik tiga YouTuber berkenaan, yang turut menyebut nama Ayob Khan sebagai usaha mereka untuk meminta bantuan. 
 
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil siasatan awal turut mendapati nombor telefon yang digunakan individu yang didakwa mengancam YouTuber terlibat, didaftarkan di Singapura.

“Sementara itu, salah satu plet kenderaan (yang disiasat berhubung kejadian ugutan) didapati merupakan plet palsu,” kata beliau sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 436 Khianat dengan Api di mana Ayob Khan turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan Ah Long.

Beberapa hari lepas, tiga YouTuber dilaporkan membuat laporan polis setelah menerima beberapa mesej berbentuk ancaman serta perbuatan melampau seperti kediaman mereka disimbah cat dan dilempar ‘molokov cocktail’.

Ketiga-tiga mangsa yang mengguna nama samaran Jeff, Inthira dan Tomato, membuat laporan di balai polis berasingan pada Isnin (28 September) dan Sabtu lalu (3 Oktober), kerana merasakan keselamatan mereka terancam.

Tiga YouTuber berkenaan turut memuat naik sebuah video berdurasi hampir 12 minit dalam Bahasa Melayu dan Mandarin, berkenaan ancaman berkenaan serta membuat rayuan kepada Ayob Khan untuk membantu mereka. – BERNAMA

1 comment:

Anonymous said...

Siapakah yang melindungi ahlong lintah darat ini sehinggakan mereka berani bermaharajalela ???

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails