Tuesday, October 06, 2020

Guru wanita rugi RM1.1 juta. Untuk panduan Baca ini!

 

Guru wanita rugi RM1.1 juta

Kajang: Guru wanita terpaksa menanggung kerugian lebih RM1.1 juta selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 49 tahun itu semalam.

Menurutnya, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai polis memberitahu kononnya kereta mangsa terbabit kemalangan maut dan kegiatan wang haram.

"Mangsa diarahkan membuka dua akaun bank miliknya dan memasukkan nombor telefon diberi suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun.

"Selepas akaun simpanan dibuka, mangsa memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

"Dalam pada itu, mangsa juga diarahkan menyediakan wang jaminan menyebabkan mangsa membuat pinjaman peribadi di beberapa bank dan memasukkan wang itu ke dalam akaun diberikan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaid berkata, selepas kejadian itu mangsa menyedari ditipu lalu membuat laporan polis.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan sindiket terbabit dan tidak terpedaya dengan tipu helah mereka yang menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kastam dan sebagainya.

"Nombor telefon digunakan memang dari agensi berkaitan tetapi sindiket menggunakan teknik 'spoofing' untuk memperdaya mangsa," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk hadir ke balai polis berdekatan untuk sebarang pertanyaan atau keraguan berhubung perkara itu. (MyMettro)


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Untuk panduan baca ini kalau tak mahu ditipu! 


Macau Scam' dikatakan didalangi sindiket Taiwan serta China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong juga tempatan. Sindiket beroperasi dengan cara menawarkan cabuan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan serta pegawai bank negara atau bank komersial.


'Spoofing' ialah teknik di mana pemanggil akan berkomunikasi menggunakan paltform Voice Over Internet Protocol (VoIP) bagi membolehkan pemanggil meletakkan sebarang nombor telefon untuk memperdaya pemenerima bahawa pemanggil adalah dari nombo yang tertera di skrin.


Modus Operandi (Cara beroperasi)


i) Cabutan bertuah (Lucky Draw) 


Pengadu menerima panggilan telefon yang mendakwa mangsa telah memenangi pertandingan cabutan bertuah (lucky draw) bernilai jutaan dollar dari syarikat Hong Kong dan Macau.


Pemanggil kemudiannya memberikan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pengadu mahu menuntut hadiah berkenaan. Setelah bersetuju, pengadu dikehendaki membayar cukai dan insuran dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun tertentu bagi menuntut hadiah tersebut. Setelah transaksi selesai, pemanggil gagal dihubungi dan wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima.


ii) 'Spoofing' pegawai polis / agensi kerajaan


Pengadu menerima pangilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah dan polis serta mendakwa bahawa pengadu terlibat di dalam kegiatan haram (seperti ah long, kongsi gelap dan pengedaran dadah) dan mangsa kemudiannya diminta untuk memindahkan wang dari akaunnya ke dalam akaun tertentu, kononnya bagi mengelakan akaun mangsa dibekukan oleh pihak berkuasa.


iii) 'Spoofing' pegawai bank negara atau bank komersil (kad kredit)


Mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank, dengan dakwaan bahawa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit. pengadu kemudiannya diarah untuk menghubungi seseorang, kononnya pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau akaun bank dibekukan. mangsa akhirnya diperdaya untuk membuat pemindahan wang ke nombor akaun tertentu melalui e-banking atau melalui mesin deposit tunai (CDM).


(iv). Tipu culik dan minta wang tebusan


Mangsa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mendakwa anak atau saudaranya diculik. Mangsa diperdaya untuk memindahkan wang tebusan ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan oleh pemanggil. 

(Terkesan juga pelbagai helah dan taktik lain yang digunakan oleh ahli-ahli sindiket untuk memperdayakan mangsa. Termasuk dakwaan langgar lari dan gagal membayar hutang pinjaman bank / institusi kewangan).


Apa yang perlu dilakukan jika anda berdepan situasi seperti di atas:


i). Sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat atau tipu helah pihak-pihak tertentu; 
ii) Jangan sesekali panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil, tanpa terlebih dahulu menghubungi pihak polis atau institusi kewangan terbabit; 
iii) Jangan hubungi semula nombor telefon yang anda terima. sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut; 
ivJangan dedahkan nombor akaun bank, nombor kad ATM atau kad kredit anda kepada orang yang tidak dikenali, dan;
v) Layari portal rasmi BNM untuk mendapatkan maklumat dan nasihat terkini berhubung penipuan kewangan (financial fraud) seumpamanya.
Mangsa penipuan sebegini perlu membuat laporan polis agar tindakan lanjut dapat diambil segera. Sekian.

1 comment:

Anonymous said...

KERJA MEREKA HANYALAH MENIPU, 24 JAM SEHARI, 7 HARI SEMINGGU.

Siapakah disebalik Macau SCAM? Adakah mereka cina Macau, cina tempatan, cina Australia, cina Thailand, cina Taiwan, cina China, orang India, orang Melayu atau orang berkulit puteh atau hitam?

Harap pihak polis dapat mendedahkan identiti mereka2 ini!!!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails