Thursday, October 29, 2020

Kenyataan, Dibalik Mimpi Bertemu Tuan Guru Ayah Chik..

‘Kena baca buku itu!’ – Tuan Guru Ayah Chik

OLEH kerana esok saya mahu berpindah, semua kitab-kitab sudah siap dipack. Bila nak usrah semalam, mulalah mengigau cari kitab untuk rujukan. Rasa sesak nafas pun ada. Macam tak cukup oksigen bila tak dapat baca buku.

Mimpi

Sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Tapi mimpi ini rasa menarik untuk dikongsi. Terubat juga kekecewaan tak dapat belek kitab.

Sebelum Subuh tadi, dikurniakan rezeki bermimpi jumpa murabbi, Tuan Guru Ayah Chik. Nak dijadikan cerita, dalam mimpi tersebut saya masuk dalam kereta Ayah Chik. Waktu itu Ayah Chik tiada. Terus ke kerusi barisan ketiga. Di situ ada kotak mengandungi kitab-kitab. Saya selongkar kotak itu, belek satu persatu kitab yang ada.

Tiba-tiba Ayah Chik masuk duduk di barisan kedua. Tapi saya tak mengendahkannya, terus menyelongkar kotak itu. Kereta pun terus meluncur laju.

“Susah leni (sekarang). Nak buat usrah pun tak boleh kan.” Ayah Chik membuka bicara.

Sekarang memang semua aktiviti PAS ditangguhkan. COVID-19 semakin membimbangkan.

“Tapi boleh saja buat online Ayah Chik.” Saya membalas. Semalam memang kami adakan secara online sahaja. 

“Tak sama online dengan jumpa depan-depan. Ayah Chik kalau usrah akan baca buku …” Balas Ayah Chik sambil membilang nama-nama tokoh ilmuwan Islam. 

Saya tak dapat kongsikan nama tersebut bimbang menimbulkan kontroversi.

Sambil membilang nama, Ayah Chik keluarkan satu kutaib dari kotak yang sama. Saya cuma ingat tajuk depannya al-Hawiyyah (الهوية  ).

Tak lama selepas itu, terus saya terjaga. Isteri lebih awal terjaga seperti sediakala. Dalam keterujaan, saya bercerita pada beliau. Kebetulan sebelum itu, mimpi arwah Ummi juga. Sempat pula berborak sebelum bersiap menanti Azan Subuh.

Memori mimpi itu terus terbawa-bawa sehingga ke Surau. Walaupun cuma mimpi, banyak persoalan bermain. Kenapa tiba-tiba mimpi Ayah Chik? Apa kitab yang dia tunjukkan? Kenapa setiap kali mimpi dengan Ayah Chik, sering berada dalam kenderaan?

T.E. Lawrence dan Brezizinski

Bercakap mengenai Ayah Chik dan kitab, memang banyak kami bercakap mengenai kitab. Yang saya paling ingat adalah tiga (sebenarnya empat) buah kitab.

Pertama, sewaktu awal pulang dari Syria dulu. Waktu itu Arab Spring sedang panas. Umat Islam teruja dengan kebangkitan rakyat menumbangkan satu persatu diktator.

Tapi Ayah Chik berbeza. Beliau memerhati dengan kebimbangan. Sewaktu bercakap mengenai perkara ini, Ayah Chik keluarkan buku biografi Lawrence of Arabia karya Jeremy Wilson dalam Bahasa arab. Beliau menceritakan peranan T.E Lawrence sebagai ejen British bagi menghasut pak-pak Arab melancarkan Great Arab Revolt, menentang Turki Uthmaniah.

Buku itu membentuk minat saya untuk mengkaji peranan Barat dan musuh dalam mencatur Dunia Islam. Beliau juga ada mencadangkan buku Zbigniew Brzezinski, The Grand Chessboard. Buku itulah yang mendedahkan nafsu US untuk memecahkan Dunia Islam dan menjadi latarbelakang kepada rancangan pemetaan semula Dunia Islam.

Sebagai selingan, malam tadi Nentanyahu mengisytiharkan mereka memang rancang untuk merubah peta Timur Tengah. Bukan lagi teori konspirasi. Dasar Yahudi Zionis!

Memahami makar musuh adalah keperluan utama. Pesan Saidina Umar:

إنما تنقض عرى الإسلام عروة عروة إذا نشأ فى الإسلام من لا يعرف الجاهلية

“Simpulan Islam akan terurai satu demi satu, apabila berkembang di dalam Islam orang-orang yang tidak mengerti mengenai (tipu daya) jahiliah.”

Ensiklopedia Akhir Zaman

Kedua, sewaktu berkongsi mengenai perbalahan sektarian yang semakin teruk di kalangan umat Islam, beliau menyebutkan sebuah Hadis tanda akhir zaman mengenainya. Sudut pandang Ayah Chik terhadap geolopolitik sentiasa didasari dengan nas, terutama yang berkait dengan eskatologi.

Tak cukup dengan berbual kosong, beliau bangun ke rak dan mencapai kitab Ensiklopedia Hadis-hadis Fitnah dan Tanda Kiamat yang dihadiahkan kepada Ayah Chik oleh pengarangnya sendiri, Dr Hammam Said ketika mereka bertemu di Turki. Beliau terus membuka di tempat yang telah ditanda dan didhobitnya. Panjang pula dia huraikan mengenai status hadis tersebut dan situasi politik zaman perawi yang mempengaruhi status tersebut.

Sejak itulah saya mula mengkaji mengenai eskatologi. Bahkan itulah inspirasi sehingga dapat menerbitkan tiga buah buku bernuansa eskatologi dan geopolitik.

Ustaz Fadhli Ghani

Ketiga, sewaktu bercakap mengenai politik Malaysia. Oleh kerana masa itu kami di Kuala Lumpur, beliau tak ada buku untuk ditunjuk. 

Tapi beliau tanya: “Dah baca ke buku Ustaz Fadli Ghani (UFG)?”

“Buku mana satu ini?” Soal saya dalam hati. Mula gugup nak menjawab bila lihat keseriusan mukanya.

“Buku sejarah itu ke?” Saya cuba meneka. Kalau sebut UFG, memang terkenallah sebagai arkib PAS bergerak.

“Buku sejarah PAS. Kena baca buku itu!” Tegas Ayah Chik. Kalau tak silap, Ayah Chik lah yang minta dia tuliskan itu.

Sejak hari itulah, saya mula menyimpan cita-cita bukan untuk baca buku yang disebutkan, tapi untuk berjumpa terus dengan UFG. 

Alhamdulillah Allah mudahkan. Kini boleh kata kamceng jugalah dengan tokoh sejarah yang pernah mengemudi Institut Pemikiran Tok Guru Nik Aziz suatu ketika dahulu.

UFG pernah sebut, Ayah Chik selalu tanya bila nak buat sambungan buku sejarah merdeka itu. Saya pun ternanti-nanti walaupun banyak lagi buku beliau yang belum habis dibaca. (UFG jangan marah naa…)

Mimpi

Panjang pula cerita bab kitab. Asalnya nak kongsi mimpi saja.

Cuma nak ingatkan, mimpi ini kebanyakannya mainan tidur. Kalau mimpi yang benar sekalipun, ia bukan hujah di dalam Islam. Ayah Chik sendiri biasa berkongsi mimpi-mimpinya yang jauh lagi hebat. Tapi dalam merencana gerak kerja jamaah, beliau mengamalkan musyawarah, bukan ikut membabi buta petunjuk mimpi.

Kendatipun begitu, saya nak tinggalkan sebuah Hadis Eskatologi buat renungan semua:

إذا اقترب الزمان لم تكد رؤيا المؤمن تكذب، ورؤيا المؤمن جزء من ستة وأربعين جزءًا من النبوة

“Apabila dekatnya kiamat, mimpi orang beriman hampir-hampir tiada pembohongan. Mimpi orang beriman itu adalah sebahagian dari 46 bahagian kenabian.”

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

ALANG IBN SHUKRIMUN
10 Rabiul Awwal 1442
27 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 27/10/2020

No comments:

Post a Comment