KEMATIAN Datuk Liew Vui Keong, mantan Menteri Undang-undang dari WARISAN, hari ini sekali lagi akan menyebabkan satu lagi PRK dilangsungkan di P.185 Batu Sapi, Sabah.
P.185 Batu Sapi adalah kerusi yang baru diwujudkan di dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003 dan dari PRU 2004 ke PRU 2018 merupakan kubu kuat BN.
Dalam PRU 2004, Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah yang mewakili PBS dengan menggunakan tiket BN telah menang tanpa bertanding di kerusi P.185 Batu Sapi.
Dalam PRU 2008, Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah mengekalkan kerusi P.185 Batu Sapi setelah beliau, yang memperolehi 9,479 undi, menang dengan majoriti 3,708 undi ke atas calon BEBAS, Chung Kwong Wing, yang memperolehi 5,771 undi.
Kematian akibat kemalangan jalan raya Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah pada 9 Oktober 2010 menyebabkan satu PRK dilangsungkan di P.185 Batu Sapi pada 4 November 2010.
Dalam PRK 2010 ini, balu Datuk Ir Edmund Chong Ket Wah @ Chong Ket Fah, iaitu Datuk Linda Tsen Thau Lin, yang mewakili PBS mengekalkan kerusi itu setelah beliau, yang memperolehi 9,773 undi, menang dengan majoriti 6,359 undi ke atas calon PKR, Haji Ansari Bin Abdullah, yang memperolehi 3,414 undi, dan calon SAPP, Datuk Yong Teck Lee, yang memperolehi 2,031 undi.
Dalam PRU 2013, Datuk Linda Tsen Thau Lin mengekalkan kerusi P.185 Batu Sapi setelah beliau, yang memperolehi 13,085 undi, menang dengan majoriti 3,798 undi ke atas calon PAS, Hamza Bin A. Abdullah @ Hamzah, yang memperolehi 9,287 undi dan calon STAR, Saiful Bahari Rashada Bin Ahmad, yang memperolehi 410 undi.
Malangnya, dalam PRU 2018, Datuk Linda Tsen Thau Lin, yang memperolehi 8,357 undi, tewas dengan majoriti 4,619 undi di tangan calon WARISAN, Datuk Liew Vui Keong, manakala calon PAN, Hamza Bin A. Abdullah @ Hamzah, memperolehi 980 undi sementara calon PAS, Norsah Bongsu, pula memperolehi 948 undi.
Saya yakin bahawa, dengan majoriti kecil 4,619 undi calon WARISAN dalam PRU 2018 dan dengan kejatuhan Kerajaan WARISAN dalam PRN 2020 baru-baru ini, jalan terbentang luas untuk PN-BN memenangi kerusi P.185 Batu Sapi dengan syarat tidak berlaku perebutan kerusi.
Pada hemat saya, terdapat sekurang-kurangnya lima faktor utama yang perlu diambil kira dalam soal penentuan calon bagi mewakili PN-BN dalam PRK P.185 Batu Sapi ini, iaitu:
(1) P185 Batu Sapi adalah kerusi yang secara tradisinya adalah ditandingi oleh calon BN sejak ia diwujudkan pada PRU 2004 sehingga PRU 2018.
(2) Calon BN yang bertanding di kerusi P.185 Batu Sapi di dalam PRU 2004, PRU 2008, PRK 2010, PRU 2013 dan PRU 2018 adalah calon PBS.
(3) Calon PBS yang bertanding di kerusi P.185 Batu Sapi di dalam PRU 2004, PRU 2008, PRK 2010, PRU 2013 dan PRU 2018 adalah dari satu keluarga.
(4) PBS telah keluar daripada BN selepas PRU 2018 dan, walaupun berikat dengan PN, meletakkan calon di beberapa kerusi BN dalam PRN 2020.
(5) Pengundi dominan di P.185 Batu Sapi adalah Bumiputera Islam (65.1 peratus), diikuti oleh Cina (30.0 peratus), Bumiputera Bukan Islam (4.1 peratus) dan Lain-lain (0.8 peratus).
Saya memahami dan berkongsi harapan banyak pihak agar agihan kerusi dan penentuan calon pilihan raya antara parti-parti komponen mana-mana pakatan akan mengambil kira komposisi pengundi di kerusi tersebut dengan calon hendaklah diambil dari pengundi dominan.
Pada masa yang sama, pandai-pandailah semua pihak berbincang mengenainya nanti jika mereka tidak mahu calon mereka kalah.
Dalam pada itu, marilah kita tunjukkan rasa simpati kita dulu kepada keluarga Datuk Liew Vui Keong atas pemergian beliau ini.
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 2/10/2020
3 comments:
Dr paling bangang
Satu kajian yg menarik dan sangat positive kepada pembinaan jati diri bumiputera.
Tak susah sangat nak cari calon YB,letak saja penyamun duit rakyat alias bossku pasti menang punya.Bossku banyak peminat terutama dari orang PAS dan UMNO.
Post a Comment