MELAMPAU ialah kelakuan yang keterlaluan dan melewati batas fitrah kemanusiaan yang berbeza dengan haiwan yang tidak berakal. Ini kerana haiwan juga mempunyai perasaan secara tabii seperti sayang kepada anak dan ibunya.
Semua pihak harus mempertimbangkan sikap Presiden Perancis yang menegaskan konsep kebebasan dalam penyebaran kartun menghina Rasulullah SAW. Sehingga telah mencetuskan tindakan yang dikatakannya melampau apabila seorang pemuda Muslim berbangsa Chechnya membunuh seorang guru yang melakarkan kartun menghina Rasulullah SAW. Bandingkanlah dengan ajaran Islam yang sebenar daripada al-Quran al-Karim.
Firman Allah SWT:
﴿وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٠٨﴾
“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” [Surah al-An’am: 108]
Beginilah adab yang diwaijbkan oleh Allah SWT kepada penganut Islam mengenai hubungan dengan penganut agama lain. Termasuklah adab terhadap penyembah berhala yang melakukan syirik paling sesat daripada ajaran Islam. Islam mewajibkan berdakwah kepada bukan Islam dengan konsep tiada paksaan dalam agama, namun jangan sesekali menghina agama lain sebaliknya berhujah dengan mereka.
Penganut Islam yang beriman menyayangi junjungan besar, Nabi Muhammad SAW lebih daripada sayangkan ayah dan ibu mereka sendiri, kerana jasa Baginda SAW yang membawa kebaikan di dunia sehingga alam akhirat. Walaupun begitu, Islam juga mewajibkan umatnya berlaku baik kepada ibu dan bapa sekalipun mereka tidak menganut Islam.
Rasulullah SAW melarang para sahabat menghina sahabat yang lain apabila ada kalangan ayah mereka yang bukan Islam dibunuh dalam Perang Badar kerana menyerang umat Islam. Ini semata-mata bagi menghormati perasaan dan fitrah yang ada dalam hati seseorang manusia yang normal fikirannya.
Seandainya Presiden Perancis itu berfikiran normal, maka apakah perasaannya jika dilukis dan dilakarkan kartun yang menghina ayah, ibunya mahupun dirinya sendiri?
Sudah pasti dia sendiri pun mempunyai perasaan marah jika perkara itu dilakukan di hadapannya. Sekiranya dia tidak rasa marah apabila dilakukan sedemikian, itu menandakan dia seorang yang berada di luar tabii manusia biasa.
Namun pada dasarnya, dia mestilah kembali kepada hak asasi manusia yang berbeza dengan hak makhluk yang lain. Termasuklah hak binatang sehingga ia menjadi agenda perjuangan kumpulan pencinta alam di negara Barat.
Memberi hak kebebasan tidak bermakna diizinkan kebebasan mencuri, merompak sehingga membunuh secara bebas sepertimana binatang buas, juga tidak bermakna dibolehkan bertelanjang di tengah khalayak ramai kerana amalan itu ditolak oleh semua agama dan manusia yang mempunyai sifat kemanusiaan yang sebenar.
Al-Quran mewajibkan penganut Islam beriman dengan nabi-nabi dan rasul-rasul tanpa membezakan seorang pun dalam kalangan mereka. Jika seorang Muslim tidak beriman dengan salah seorang daripada rasul itu, maka Islam dan imannya tidak sah. Firman Allah SWT:
﴿آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ٢٨٥﴾
“Rasul telah beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan para Rasul-Nya. (Mereka mengatakan): ‘Kami tidak membeza-bezakan seorang pun (dengan yang lain) daripada kalangan para Rasul-Nya, dan mereka mengatakan: ‘Kami dengar dan kami taat.’ (Mereka berdoa): ‘Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali.” [Surah al-Baqarah: 285]
Maka menghina sesiapa sahaja dalam kalangan para Nabi dan Rasul bukan sahaja haram hukumnya, bahkan boleh membatalkan Islam seseorang Muslim. Bahkan ia termasuk dalam kesalahan jenayah berat yang dinamakan murtad. Perbuatan menghina juga diharamkan terhadap Rasulullah SAW yang sangat mulia dalam kalangan penganut Islam.
Umat Islam diwajibkan bersabar dalam menghadapi musuh, serta dilarang bertindak melampaui batas dengan hanya menumpukan kepada seorang individu yang bertindak melampau sahaja. Ini kerana tidak semua penganut Kristian, rakyat Eropah dan rakyat Perancis bersikap sebegitu.
Kenyataan Presiden Perancis menunjukkan sikap permusuhan terhadap Islam dan umatnya. Ini merupakan suatu kesalahan yang sangat besar, tiada apa-apa alasan yang boleh menafikannya lagi. Sekalipun dilakukan semata-mata untuk mendapat undi pilihan raya.
Kita tidak seharusnya menyalahkan pemuda itu sahaja yang bertindak melampau apabila bertindak membunuh guru yang melakarkan kartun menghina Rasulullah SAW, kerana Presiden Perancis dan pelukis kartun yang menghina Baginda SAW lebih melampau sehingga mencetuskan provokasi yang keterlaluan.
Keadaan terkini tidak dapat menahan api kemarahan umat Islam dan juga kalangan bukan Islam yang berakal serta menyedari akibatnya, melainkan Kerajaan Perancis dan rakyatnya sendiri menghukum mereka berdua, demi menyelamatkan mereka daripada mendapat akibat dan padah yang lebih buruk yang akan menimpa mereka.
Allah SWT berfirman kepada orang yang beriman dan budiman:
﴿فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ١٩٤﴾
“Barangsiapa yang menceroboh ke atas kamu, maka balaslah pencerobohan itu dengan perkara yang seimbang dengannya terhadap kamu. Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.” [Surah al-Baqarah: 194]
Justeru itu, kami menyeru sekalian umat Islam dan warga Malaysia yang prihatin untuk memboikot barangan buatan Perancis sebagai tanda solidariti menentang provokasi terhadap kesucian Agama Islam dan kemajmukan beragama dalam masyarakat.
DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 27 Oktober 2020 / 10 Rabi’ul Awwal 1442 – HARAKAHDAILY 27/10/2020
Hibur Hibur Sikit: H2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.
No comments:
Post a Comment