Friday, October 02, 2020

Pelajar lelaki 17, perempuan 13, rakam klip x senonoh...

 

 gambar hiasan..

Ipoh: Polis menyiasat rakaman klip video memaparkan perlakuan tidak senonoh dua pelajar sekolah menengah di rumah ketika berpakaian seragam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, satu laporan polis diterima berhubung perkara itu pada jam 7 malam semalam.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 22 September jam kira-kira 6.30 pagi di mana pelajar perempuan berusia 13 tahun berkenaan mengajak teman lelakinya berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah masuk ke rumah dan membuat satu rakaman klip video berdurasi 1 minit 9 saat memaparkan mereka melakukan perbuatan tidak senonoh ketika berpakaian seragam.

"Rakaman terbabit dipercayai dibuat oleh kedua-dua pelajar berkenaan tanpa membabitkan orang ketiga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasron Nazri berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pelajar perempuan itu berkongsi rakaman klip video dengan beberapa rakan sekelas melalui aplikasi Whatsapp.

"Akibat daripada itu, klip video berkenaan menjadi tular di media sosial dan dalam kalangan pelajar sekolah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 serta Seksyen 377B Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, susulan itu satu tangkapan di lakukan ke atas seorang remaja pada jam 11.30 malam untuk siasatan lanjut berkaitan kes ini.

"Ekoran daripada klip video yang tular, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memiliki, menyebar atau berkongsi klip video berkenaan.

"Ini kerana tindakan ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 8 AKKSTKK 2017 yang mana sekiranya terdapat dan terbukti berlakunya penyebaran mereka boleh disiasat dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima belas tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada tiga sebatan," katanya.


Komen Weblog Ibnu Hasyim: Cegah maksiat adakah kewajipan utama kerajaan?


1. Isu pencegahan ke atas maksiat peribadi termasuklah khalwat tersembunyi bukan urusan kerajaan adalah jelas tidak memahami konsep amar makruf dan nahi munkar. 

Sedangkan pencegahan yang berstatuskan penguatkuasaan adalah tertakluk pada kuasa yang dimiliki dan sudah pasti pihak kerajaan yang memiliki kuasa tersebut.

2. Hal ini dapat difahami menerusi maksud mencegah kemungkaran dengan tangan ialah merujuk kepada kuasa sebagaimana hadith yang dibahaskan oleh para ulamak seperti berikut:

«مَن رَأى مِنكُم مُنكَرَاً فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَستَطعْ فَبِقَلبِه وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَانِ»

Maksdunya: “Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia cegah dengan tangannya (kuasa), jika dia tidak berkemampuan maka cegahlah dengan lisan, jika tidak juga berkemampuan maka cegahlah dengan hatinya, dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim]

3. Pihak yang berautoriti dan memiliki kuasa bertanggungjawab mencegah maksiat yang wujud serta khalwat yang dilaporkan. Ia samada kuasa bersifat khusus seperti seorang bapa ke atas anaknya atau juga kuasa bersifat umum seperti kerajaan ke atas rakyat. Kemungkaran wajib dicegah apabila ianya:

i. Benar-benar berlaku,
ii. Sedang dilakukan,
iii. Disepakati kemungkarannya,
iv. Pencegahan bukan bersifat tajassus(mengintai mencari kesalahan).

4. Dalam konteks penguatkuasaan pencegahan, sememangnya yang diamalkan adalah berasaskan laporan yang diterima aduan dan disahkan penelitiannya. Bermakna ia bukanlah bermaksud redahan semberono tanpa sebarang aduan dan hujah. Ini kerana asas dalam aduan ialah wujudnya bukti.

Sabdaan Baginda SAW dalam sebuah hadith daripada riwayat Ibnu Abbas R.A:

«لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدعوَاهُمْ لادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَال قَومٍ وَدِمَاءهُمْ، وَلَكِنِ البَينَةُ عَلَى المُدَّعِي، وَاليَمينُ عَلَى مَن أَنكَر»

Maksudnya: “Sekiranya diberikan (kebenaran) atas manusia semata-mata dakwaan mereka, nescaya akan mendakwa seseorang akan (tuntutan) harta dan darah sesuatu kaum, akan tetapi bukti dikenakan ke atas pendakwa manakala sumpah atas mereka yang menafikan (dakwaan atasnya).” [Riwayat al-Baihaqi]

5. Lantaran itu, ia bukanlah menceroboh hak peribadi manusia tetapi penguatkuasaan pencegahan tersebut termasuk mencegah kemungkaran yang telah dimaklumi berasaskan aduan yang diterima dan disahkan penelitian sekalipun kes maksiat tersebut berlaku dalam kediaman peribadi dan pada waktu tengah malam. 

Jadi, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengambil langkah pencegahan sepantas mungkin bagi menyekat jalan maksiat yang lebih besar atau Saddu al-Zari’ah.

6. Pihak Menteri Agama berkenaan sepatutnya membezakan antara maksiat yang dirahsiakan tanpa diketahui dengan maksiat yang dimaklumi. Sekiranya yang dimaklumi seperti kes khalwat di lokasi tertutup dan premis peribadi sekalipun, maka ianya wajib dicegah jika aduan dibuat, jika tidak, dibimbangi termasuk dalam golongan yang dilaknat oleh Allah kerana membiarkan kemungkaran yang diketahui berleluasa. Firman Allah SWT:

{لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ}

Maksudnya: “Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lisan Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka tidak melarang daripada perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.” [al-Maidah: 78-79]

7. Menteri Agama sepatutnya memberikan fokus dalam kerja-kerja penambahbaikan teknikal untuk lebih efisyen dalam menghalang sebarang kemungkaran dan bukannya terus menerus memberikan pandangan yang menimbulkan polemik negatif kepada tuntutan Islam dan institusi agama Islam. Kepada yang terlanjur, ingatlah:

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

“Kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Sekian.

No comments:

Post a Comment