Keadaan rumah contoh di kawasan perumahan Felcra Sungai Sepuluh di Pekan Paloh, Kluang hanya tinggal rangka selepas terbiar tanpa dijaga sejak hampir tiga tahun. - Foto Adnan Ibrahim
Rumah contoh kini tinggal rangka
KLUANG: Kira-kira 1,300 pemohon pernah ditemuduga untuk rumah di kawasan perumahan Felcra Sungai Sepuluh berhampiran Pekan Paloh, dekat sini, masih mengharapkan rancangan itu diteruskan.
Pembangunan dirancang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) itu terhenti selepas kerajaan bertukar tampuk pemerintahan dan tidak lagi diteruskan hingga kini.
Keadaan itu menyebabkan pemohon tertanya-tanya mengenai status temu duga dan permohonan mereka sama ada masih dalam perancangan atau dilupuskan terus.
Rahmat Osman, 45, berkata dia terkejut apabila rumah contoh didirikan ketika pelancarannya pada awal 2018 kini hanya tinggal rangka serta dipenuhi semak samun.
Katanya, rumah contoh itu sudah rosak berkemungkinan angkara pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil barang penting kerana tidak ada yang menjaganya.
"Jadi, kami amat mengharapkan supaya kerajaan sedia ada sekarang ini membuka semula pembangunan perumahan di kawasan ini agar hasrat kami untuk memiliki rumah sendiri dengan harga lebih murah tercapai.
"Perancangan dilakukan sejak sekian lama ini harus dimuktamadkan kepada satu pembinaan secara tidak langsung memberi keselesaan kepada penduduk di Pekan Paloh ini," katanya.
Suraya Esa, 55, berkata pertukaran kerajaan sebelum ini seharusnya tidak menjadi penghalang kepada pembangunan perumahan di kawasan itu kerana ia sudah lama dinantikan penduduk berhampiran Felcra Sungai Sepuluh.
"Kami berharap kelayakan pemohon sudah ditemuduga untuk membeli rumah di sini tidak ditukar sekiranya ada perancangan untuk membangunkan semula kawasan ini.
"Apapun, kami amat mengharapkan keprihatinan kerajaan sekarang kerana mereka yang membuat permohonan untuk memiliki kediaman di sini semuanya tergolong dalam golongan B40," katanya. (BH)
Hibur Hibur Sikit: H2S Pilihan: 39 -Nyanyian Alam.. India, Switzerlan...
No comments:
Post a Comment