Amanah dalam mentadbir, memakmurkan alam
Kehidupan manusia di dunia banyak bergantung dengan alam persekitaran. Allah SWT menciptakan manusia di samping melengkapkan keperluan asas bagi membantu kita bertindak sebagai hamba ditugaskan untuk memakmurkan alam ini.
Allah SWT berfirman: "Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Baginda berkata: "Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah. Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu daripada bumi (tanah) serta menghendaki kamu memakmurkannya." (Hud: 61)
Ayat ini menunjukkan konsep hidup yang dinamakan amanah. Selain tujuan beribadah kepada Allah SWT, manusia dihidupkan untuk memakmurkan bumi ini dengan segala bentuk kebaikan. Konsep ini sudah diperkatakan sejak zaman awal peradaban manusia.
Tanggungjawab memakmurkan bumi bukan terhad kepada pembangunan materialistik, sebaliknya membabitkan amanah memelihara alam didiami hampir keseluruhan makhluk bernyawa ciptaan Allah SWT.
Antara komposisi alam yang amat rapat dengan manusia ialah sungai yang diibaratkan nadi kelestarian alam ciptaan Tuhan.
Menurut Global Environment Centre, sungai didefinisikan sebagai saluran air tabii besar. Air sungai biasanya terbatas dalam satu saluran merangkumi dasar antara dua tebing di kiri dan kanan. Kebanyakan curahan hujan di darat akan melalui sungai dalam perjalanannya ke laut.
Dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan air hujan diturunkan ke permukaan bumi berdasarkan kadar tertentu dan bersesuaian dengan satu-satu tempat serta ia banyak memberikan manfaat kepada seluruh makhluk.
Firman Allah SWT: "Dia (yakni Allah) menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah lembah (dengan airnya) menurut kadar ditetapkan Tuhan untuk faedah makhluk-Nya." (Al-Ra'd: 17)
Sungai banyak memberikan manfaat cukup besar bukan sahaja kepada manusia, bahkan seluruh hidupan lain. Ia menjadi sumber bekalan air utama kepada manusia dan haiwan. Kebergantungan kepada sungai dapat dilihat dari sudut keperluan asas, iaitu makan dan minum, penjagaan kebersihan dan sumber pendapatan.
Lebih menarik, dalam perbahasan fiqh, sungai begitu sinonim dengan elemen pembersihan hingga dijadikan antara jenis air dikategorikan sebagai air mutlak, iaitu suatu kuantiti air suci dan bersifat menyucikan.
Nabi SAW pernah memberikan perumpamaan sungai sebagai suatu agen pembersihan. Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Bagaimana pendapat kalian, sekiranya ada sungai berada dekat pintu salah seorang antara kalian, digunakan untuk mandi lima kali dalam sehari, mungkinkah kotorannya masih tersisa?" Sahabat RA menjawab: "Kotorannya tidak akan tersisa." Baginda bersabda: "Itulah perumpamaan solat lima waktu, yang dengannya Allah akan menghapus kesalahan." (Hadis riwayat Muslim)
Rasulullah SAW secara tidak langsung, memberikan gambaran sungai antara sumber air dimaklumi sebagai agen pembersihan. Lebih jauh daripada itu, sungai perlu dipelihara kesuciannya seperti bumi menerima air hujan yang tidak terkandung padanya kotoran.
Malangnya, banyak sungai di negara ini sedang tenat menghadapi pencemaran hasil tangan manusia tidak bertanggungjawab. Kita masih ingat Mac tahun lalu, berlaku insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang mengakibatkan lebih 3,000 orang kebanyakannya murid sekolah terpaksa diberi rawatan.
Awal September tahun ini, berlaku pula pencemaran sungai disyaki berpunca tindakan melepaskan bahan pelarut ke Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.
Jenayah terhadap sungai dianggap zalim bukan sahaja terhadap manusia, bahkan kesannya merangkumi hidupan bernyawa lain. Penularan pelbagai penyakit dan kemusnahan ekosistem hidupan sungai antara kesan besar hasil daripada kebiadapan manusia berinteraksi dengan sungai.
Mungkin kita menganggap perbuatan individu membuang sisa kecil umpama puntung rokok ke longkang hanya kesilapan mikro. Namun, tabiat ini jika terbiasa dan dianggap enteng oleh masyarakat, hasilnya menyumbang kepada lambakan lebih memudaratkan kepada sungai.
Zalim diistilahkan ulama sebagai perbuatan meletakkan sesuatu yang salah pada tempatnya. Tindakan membuang sampah di tempat tidak sepatutnya hingga membawa kepada pencemaran sungai, maka ia juga tergolong sebagai perbuatan zalim.
Ingatlah betapa Islam memelihara penganutnya daripada kezaliman seperti sabda Nabi SAW: Hindarilah kezaliman kerana kezaliman itu mendatangkan kegelapan pada hari kiamat kelak. (HR Muslim)
Kesimpulannya, kita perlu menjadi orang 'cerdik' dalam mentadbir dan memakmurkan alam ciptaan Tuhan ini, bahkan Allah SWT menggambarkan mereka ini sebagai Ulul Albab, iaitu orang yang sentiasa berfikir, sesuai dengan firman Allah SWT: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang terdapat tanda bagi orang berakal." (Ali Imran: 190)
Penulis adalah Pengarah dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Hibur Hibur Sikit: H2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.
1 comment:
Umno nak tubuh kerajaan dengan pkr, ada ker warasnya. Bersatu adalah serpihan umno, dan umno kena game dengan bersatu. Pkr pun serpihan umno, adakah umno tak akan kena game dengan pkr. Elok umno beristiqamah sebagai part yg dominan. Cuma pemimpin yg korup dalam umno elok diganti baru.
Post a Comment