Wednesday, November 25, 2020

Berbalas tembak antara anggota PGA &penyeludup, 1 terbunuh.

Insiden tembakan kali ketiga berlaku bulan ini - Ketua Polis Negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang media khas di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Kejadian tembakan di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) awal pagi tadi adalah insiden kali ketiga bulan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kejadian pertama dilaporkan berlaku pada 12 November dan kejadian kali kedua berlaku 15 November lalu.

"Bagaimanapun dua kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan pada anggota PGA dan tembakan itu dipercayai dilepaskan secara rambang.

"Tembakan dipercayai bertujuan untuk menakut-nakutkan anggota PGA yang menjalankan tugas kawalan di pos sempadan berkenaan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, insiden berbalas tembakan antara anggota PGA dan kumpulan penyeludup, awal pagi tadi adalah kali pertama berlaku sehingga seorang anggota PGA maut dan seorang lagi parah.

"Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman ada mengadakan mesyuarat bagi mengumpul maklumat mengenai lorong tikus di kawasan sempadan dan satu daripadanya yang dikenal pasti adalah di lokasi kejadian.

"Kita ada menerima maklumat memaklumkan akan ada aktiviti penyeludupan dilakukan di lokasi berkenaan antara dua atau tiga hari sebelum kejadian, justeru dua anggota PGA terbabit melakukan tinjauan dan mengumpul maklumat di lokasi terbabit," katanya.

Beliau berkata kegiatan penyeludupan di lokasi itu membabitkan kemasukan penyeludup dari Thailand yang menceroboh sempadan negara di lokasi berkenaan untuk mengambil barang seludup termasuk daun ketum dan ubat batuk.

Mengulas lanjut mengenai insiden pagi tadi, Abdul Hamid berkata, dua anggota PGA berkenaan sedang menjalankan tugas pemantauan dan risikan di lokasi terbabit sejak jam 9 malam.

"Kedua-dua mereka menaiki sebuah motosikal sebelum sampai ke lokasi dengan berjalan kali melalui laluan denai di situ dan terserempak dengan sekumpulan penyeludup sedang memindahkan bungkusan daun ketum dan ubat batuk.

"Kita percaya kedua-dua pihak terkejut dan berlaku insiden tembak menembak di antara kedua-dua pihak," katanya.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, anggota Batalion 3 (Senoi Praaq) PGA Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala rakan setugasnya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah terkena tiga das tembakan pada kanan perut dan rusuk belakang.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan mangsa yang cedera sedang dirawat dan dilaporkan kritikal.

Terdahulu, BH melaporkan enam daripada 13 individu yang disyaki mendalangi serangan bersenjata api terhadap dua anggota PGA berkenaan sudah ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, dilaporkan berkata, dua daripada suspek ditahan oleh pasukan keselamatan Malaysia dan empat lagi ditahan pihak berkuasa Thailand.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang ditahan oleh anggota pasukan VAT69 di sempadan pagi tadi, manakala usaha memburu baki tujuh lagi anggota kumpulan penyerang itu sedang dijalankan pihak berkuasa kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment