Penguin dari spesies King antara yang menghuni sebuah kepulauan terpencil Atlantik Selatan yang diancam pelanggaran bongkah ais terbesar dunia. - Foto AFP
PARIS: Bongkah ais terbesar dunia bakal melanggar sebuah kepulauan terpencil Atlantik Selatan, yang juga habitat ribuan penguin dan anjing laut, sekali gus mengganggu rantaian pemakanan kesemua haiwan terbabit, kata saintis pada Rabu.
Bongkah ais lazimnya terpisah dari Antartika dan hanyut ke laut, namun perubahan suhu mempercepatkan proses berkenaan dan dalam kes ini, berpotensi mengancam hidupan liar di Jajahan British Overseas Georgia Selatan.
Berbentuk tangan tertutup dengan tundingan jari, bongkah ais dikenali sebagai A68a itu terpisah pada 2017 dari Para Ais Larsen di Semenanjung Barat Antartika, yang panas lebih cepat berbanding bahagian lain di benua paling selatan dunia.
Dengan kelajuan semasa, bongkah ais gergasi itu yang berkali ganda lebih besar dari London memerlukan 20 hingga 30 hari untuk tiba di bahagian cetek kepulauan.
A68a berukuran 160 kilometer panjang dan lebar 48 kilometer namun memiliki kedalaman kurang daripada 200 meter, sekali gus berada tersangat hampir dengan kepulauan itu.
"Kami meramalkan risiko perlanggaran sebanyak 50/50," kata Andrew Fleming dari Kajian British Antartik.
Ribuan penguin dari spesies King yang memiliki warna kuning terang pada bahagian kepala menghuni pulau terbabit, bersama penguin spesies Macaroni, Chinstrap dan Gentoo.
Georgia Selatan turut menjadi kediaman anjing laut selain burung albatros, iaitu spesies burung terbesar yang boleh terbang.
Jika bongkah ais itu terdampar bersebelahan Georgia Selatan, ia boleh menghalang laluan pemburuan haiwan, sekali gus menjejaskan keupayaan penguin mencari makan dan mengancam kehidupan semua haiwan lain. - AFP
No comments:
Post a Comment