Sunday, November 08, 2020

K'jaan galakkan anak muda ceburi bidang ternakan arnab daging.

 

Penternakan arnab pedaging kian berkembang

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, berkata industri arnab pedaging kini kian pesat berkembang di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan amat menggalakkan masyarakat menceburi bidang penternakan arnab pedaging khususnya anak muda kerana ia adalah suatu bidang yang agak ringan dan mampu dilaksanakan oleh semua golongan masyarakat serta tidak memerlukan modal dan tanah yang besar.

“Pulangannya sangat cepat kerana arnab berumur 80 hingga 90 hari telah boleh disembelih dan dijual. Seekor arnab pedaging boleh dijual sekitar RM40 sehingga RM50 seekor selepas diproses.

“Penternakan arnab pedaging ini juga akan mempelbagaikan sumber daging kepada rakyat Malaysia dalam memastikan jaminan makanan negara,” ucapnya dalam program Perasmian Pusat Jualan Input Pertanian dan Penternakan FJ Trading, Pekan Langkap.

Beliau juga berkata, sehingga tahun ini terdapat seramai 95 orang penternak arnab pedaging di negeri Perak dengan memiliki sebanyak 15,000 ekor arnab pedaging yang diternak berbanding tahun sebelum ini.

 Selain itu, Che Abdullah turut menyatakan terdapat pelbagai insentif yang telah disediakan oleh MAFI bagi menggalakkan masyarakat khususnya anak muda untuk menceburi  bidang pertanian, penternakan, perikanan dan industri makanan amnya.

Sementara itu tambahnya, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) terdapat sebanyak RM350 juta disalurkan di bawah Skim Agromakanan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan agro dan industri makanan yang menyediakan kemudahan seperti AgroKredit, MyFutureAgro dan Kebuniti.

Bagaimanapun, Che Abdullah berharap agar sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri makanan perlu berjalan tidak kira dalam apa jua keadaan untuk kelangsungan jaminan makanan negara.

Katanya, perkara itu turut menjadi faktor untuk kerajaan memberi perhatian dan kesungguhan dalam sektor berkenaan.

“Para petani, penternak dan nelayan yang bergelumang dalam sektor ini harus berasa bangga kerana kalianlah wira tani yang bersama-sama MAFI untuk terus menjadikan bekalan makanan negara tidak terputus terutama dalam tempoh negara sedang menghadapi penularan wabak Covid-19 sekarang ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga bangga dengan pencapaian anak muda Muhammad Fauzi Jipri atas kejayaan melaksanakan projek penternakan arnab pedaging dan membuka Pusat Jualan Input Pertanian dan Penternakan Bumiputera baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 7/11/2020

Hibur Hibur Sikit:
Album 1

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails