KUALA LUMPUR: Isu menghina Rasulullah SAW dengan lukisan kartun di atas nama kebebasan yang diucapkan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron adalah satu pandangan yang bercanggahan dengan naluri, tabii dan fitrah manusia biasa.
Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata kebebasan itu mestilah berkonsepkan fitrah makhluk masing-masing.
Ulas Ahli Parlimen Marang itu, manusia mempunyai fitrah naluri semulajadi sendiri sebagaimana binatang, tumbuh-tumbuhan yang mempunyai naluri masing-masing.
“Setiap makhluk tidak boleh keluar dari ruang lingkup sempadan naluri sifat semulajadi,” ujar Tuan Guru Abdul Hadi.
Oleh yang demikian, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri itu menyeru orang ramai sewajarnya menyatakan bantahan terhadap kelakuan menghina Nabi Muhammad SAW.
“Kita mesti protes sekeras-kerasnya dan pada masa yang sama tidak boleh melampau kerana umat Islam diharam melampaui batas.
“Allah berfirman; kamu jangan melampau kerana Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas,” ujarnya.
Kata Tuan Guru Abdul Hadi untuk menyatakan bantahan tidak perlu menentang seluruh rakyat Perancis kerana bukan semua rakyatnya begitu.
Ujarnya, mereka hanya mengikut presiden mereka sahaja dan bukan semua orang Islam begitu dan ianya hanya sebahagian sahaja.
“Jadi kita tidak boleh melampau, kita orang Islam mesti menjaga hubungan kemanusiaan dengan sebaik-baiknya,” kata Tuan Guru Abdul Hadi.
Di samping itu, Tuan Guru Abdul Hadi berharap langkah memulaukan produk Perancis itu langkah yang sangat wajar dan munasabah sebagai protes terhadap penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
“Mudah-mudahan menjadi renungan kepada semua,” katanya pada satu program bantahan terhadap penghinaan kepada Rasulullah SAW yang bersiaran langsung atas talian di Facebook pada Ahad baru-baru ini.
Program ceramah itu dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang disiarkan di Facebook rasmi YADIM dan UMMAH.
Program berkenaan menampilkan tokoh-tokoh pendakwah terkenal, wakil-wakil ketua pemuda dari parti politik, NGO-NGO Islam, NGI dan turut mengundang penampilan istimewa artis Altimet dan persembahan khas dari UNIC. – HARAKAHDAILY 3/11/2020
No comments:
Post a Comment