Friday, November 20, 2020

Pelancaran 'aplikasi gaya hidup Muslim komprehensif' -Neelofa

 

Neelofa berharap aplikasi TheNoor dapat memberi manfaat kepada pengguna muslim sebaik dilancarkan pada 2021. Foto IG Neelofa

Neelofa lancar aplikasi gaya hidup Muslim 2021

KUALA LUMPUR: Membuka tirai 2021, Neelofa, 31, akan melancarkan aplikasi gaya hidup Muslim komprehensif, TheNoor, Januari ini.

Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor memberitahu, TheNoor akan menjadi aplikasi yang mudah digunakan bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

"TheNoor adalah aplikasi gaya hidup Muslim komprehensif merangkumi semua aspek kerohanian dan kehidupan harian.

Aplikasi TheNoor dibangunkan Neelofa akan dilancarkan, Januari ini. Foto Ihsan IG Neelofa

"Fungsi asas aplikasi ini adalah waktu solat, arah kiblat, pemain media al-Quran serta terjemahan yang dialih suara dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan Indonesia. Pada masa depan, bahasa lain pula menyusul, Insya-Allah.

"Istimewanya naskhah yang digunakan adalah al-Quran Mujammak Madinah.

"Jadi sempena nama aplikasi ini, Noor adalah cahaya yang menerangi dan membawa rahmat kepada seluruh umat manusia.

"Saya berharap aplikasi ini boleh memberi manfaat besar kepada pengguna" katanya kepada BH Online.

Bertanya mengenai inspirasi membangunkan TheNoor, Neelofa berkata, selain ilham sendiri, rakan-rakan niaga berkongsi masalah ketika menggunakan aplikasi Muslim sedia ada.

"Sebagai contoh, ada masalah seperti kesahihan, ketepatan hadis atau maklumat berkaitan hukum yang dikongsi dalam aplikasi Muslim yang diragui dan dipersoalkan.

"Selain itu, iklan dipaparkan di aplikasi terbabit tidak sesuai dengan norma orang Muslim.

"Secara amnya, kebanyakan aplikasi Muslim di pasaran adalah aplikasi berbayar. Untuk menggunakannya, pengguna wajib menonton iklan secara paksa. Selain itu, beberapa fungsi aplikasi hanya dibuka kepada pelanggan berbayar.

"Sebaliknya, TheNoor menghasilkan aplikasi bersifat premium yang boleh dimuat turun secara percuma seumur hidup," katanya.

Ditanya sama ada kemunculan TheNoor mengambil ruang pasaran seumpamanya ketika aplikasi Muslim Pro diragui ramai, Neelofa menjelaskan, TheNoor dibangunkan sejak Julai lalu.

Tambahnya, TheNoor tidak ada kena-mengena dengan isu aplikasi Muslim yang hangat diperkatakan itu.

"Isu aplikasi Muslim menjual data adalah isu yang membabitkan penjagaan hak data pengguna.

"Pengguna pasti kesal kesal apabila mendapat tahu berita di mana dakwaan data penggunaan dan lokasi, dijual sewenang-wenangnya.

"Mengenai kesahihan laporan membabitkan Muslim Pro, bagi saya, adalah lebih baik diserahkan kepada pihak berwajib," katanya.

Baru-baru ini, aplikasi terkenal antarabangsa dengan jumlah hampir 100 juta pengguna, Muslim Pro, dilaporkan menjual data lokasinya kepada pihak lain di Amerika Syarikat (AS).

Neelofa berharap aplikasi TheNoor dapat memberi manfaat kepada orang ramai, selaras usahanya ke jalan dakwah.

"Harapan saya adalah untuk mendapat keredaan Allah dalam membantu dan menyemarakkan usaha dakwah, bukan saja bagi pengguna Muslim di Malaysia, malah seluruh dunia.

"Saya berdoa agar segala pengisian dalam aplikasi TheNoor dibimbing dan dilindungi dengan rahmat Allah, sekali gus menjadi aplikasi pilihan Muslim yang utama," katanya.

Neelofa berkongsi impian berkecimpung lebih serius dalam dunia teknologi bagi memberi faedah kepada pengguna. Lebih penting baginya, menghasilkan produk teknologi buatan Malaysia untuk dunia.

"Saya ingin aplikasi ini menjadi entiti dalam dalam sektor teknologi kewangan kerana TheNoor ada fungsi lain seperti pembayaran zakat, platform e-dagang dan pengurusan wasiat.

"Pada masa depan, saya mahu menjadikan TheNoor sebagai e-Wallet bagi memudahkan pengguna," katanya. (BH)

Hibur Hibur Sikit: Album 1 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails