Monday, November 09, 2020

Rumah generasi baharu: ‘Rindu bayangan’ anak FELDA

 


ALMARHUM Tun Abdul Razak telah berkata, “Best land for the best people.”. Tapi maaf. Kata orang, kebenaran itu pahit! “One bad apple spoils the lot.”. “Kerana seorang berperangai buruk habis satu rumah mendapat nama buruk.”.

Itulah hakikat yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak generasi pewaris Kampung FELDA Lurah Bilut apabila sudah terlalu lama menunggu dan berharap sehingga dihantui ‘rindu bayangan’ kemunculan rumah generasi baharu FELDA.

Tak tahu nak cakap apa dah. Dah jemu menunggu dan menagih. Projek dijanji setiap kali menjelang pilihan raya, cuma sekadar ‘gula-gula’ pemanis bibir.

“FELDA tolong jaga kami dua perkara. Satu perut, dua tempat tinggal. Jika dua perkara itu setel, kami rasa bersyukur sangat,” luah Noraizawati Mhd Saad, 37, generasi ketiga FELDA seorang graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang kini duduk menyewa sebuah rumah kayu lama berhampiran kediaman ibu bapanya

Dia dan suaminya berniaga secara kecil-kecilan menyara kehidupan bersama tiga orang anak mereka. Suaminya, Firdaus Rajan Abdullah generasi kedua FELDA berkerja mengambil upah menjaga ladang dan bercucuk tanam.

Alias Bidin, 68, berasal daripada utara tanah air datang bersama ibu bapanya berlima beradik meneroka tanah rancangan ini sekitar tahun 60-an. Beliau yang lebih mesra dipanggil ‘Pak Lias’ adalah Imam 3 Masjid Al Falahi, Lurah Bilut.

“Dulu, FELDA pernah buka permohonan tanah rancangan tambahan. Saya cuba mohon. Tapi ‘politik’ kuat sangat. Sekarang saya duduk di tanah lot FELDA kepunyaan ayah saya. Dulu ramai orang tak mau tanah ni sebab kawasan berpaya.

“Jadi ayah saya mohon buat kolam ikan. Tu pun ada juga orang ‘bising’, alasannya saya buat pondok berteduh ini atas ‘rizab’ FELDA, sedangkan ini memang tanah lot FELDA,” jelas Pak Lias mantan tukang masak tentera, berterus-terang dan memberitahu rumah pusaka ibu bapanya kini dihuni oleh abangnya.

Walaupun kehidupan Pak Lias di tanah rancangan Bilut ini diuji dengan pelbagai rintangan dan halangan, berkat kebergantungannya pada Allah dan usaha tidak kenal putus asa menyara anak-anak seramai enam orang yang kini hampir semuanya telah berkeluarga dengan hanya bercucuk tanam dan menternak ikan air tawar, Pak Lias dan isteri telah dijemput Allah sebagai tetamu-Nya, tiga tahun lepas.

Warga peneroka khususnya generasi baharu tidak menafikan besarnya jasa dan sumbangan FELDA bagi membaiki taraf hidup dan memajukan ekonomi anak bangsa. Cuma kadang-kadang mereka juga bosan dan jelak dengan politik orang Melayu seperti ‘Si Kitol dan Raja Mendeliar’.

Ini mungkin antara masalah terbesar FELDA. Terlalu sarat dengan ‘politiking’ menjadi salah satu titik punca mengapa projek rumah generasi baru FELDA dan projek-projek lain sering ‘tercekik’ dan terbantut. ‘Kesakitan’ yang ditanggung oleh anak-anak peneroka FELDA ini telah berlarutan terlalu lama, kebajikan mereka seolah bukan menjadi suatu keutamaan lagi

Penulis ingin merujuk satu berita yang telah diterbitkan di sebuah laman sesawang. Berita tersebut melaporkan bahawa FELDA pernah membuat permintaan kepada kerajaan negeri berhubung pembinaan rumah generasi kedua FELDA Lurah Bilut sebagai FELDA pertama dan tertua di Malaysia ketika Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) sekitar tahun 2013.

Permintaan yang disusuli dengan persetujuan ini dicapai pada pertemuan kedua-dua pihak, pada sesi taklimat yang FELDA berikan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada bulan Februari tahun itu.

Mantan Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, FELDA Lurah Bilut adalah FELDA tertua di negeri Pahang dan juga Malaysia, yang dimulakan pada tahun 1956; maka, keutamaan untuk menyediakan perumahan untuk generasi kedua mesti diberi kepada FELDA Lurah Bilut.

Itu ‘cerita janji’ tujuh tahun lalu. Dua tahun lepas, bertambah satu lagi koleksi cerita janji. Pada 4 Februari 2018, mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah memilih FELDA Lurah Bilut sebagai lokasi pertama pelancaran projek baru Transformasi FELDA 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

FELDA Lurah Bilut telah dipilih sebagai tanah rancangan FELDA pertama menjalankan projek rintis bagi mewujudkan komuniti yang pintar dan berdaya saing, termasuk melestarikan alam sekitar.

Menurut Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika itu, FELDA dan kerajaan serius membantu anak FELDA termasuklah menyediakan perumahan untuk generasi kedua dan ketiga tanah rancangan itu.

“Kita juga akan membina projek Perumahan 1FELDA di FELDA Lurah Bilut sebagai inisiatif memperbanyakkan lagi rumah untuk generasi itu dan buat permulaan sebanyak 50 unit rumah yang sedang dibina secara pasang siap berharga antara RM70,000 hingga RM90,000 setiap satu,” janji beliau

Manusia hanya mampu merancang dan merekayasa pelbagai cerita janji, adapun Allah jua Maha Menunaikan janji. Beberapa bulan selepas FELDA ‘perang besar’ di Lembah Digital Bilut ini, Kerajaan Barisan Nasional telah tumbang di dalam PRU14.

Deretan bangunan rumah teres yang telah siap dibina dua pintu tetapi tidak sempat ‘disentuh’ dan dirasmikan oleh Dato’ Sri Najib dua tahun lalu itu, kini tinggal ibarat ‘gajah putih’ bisu memekik dan melolong menagih pembelaan.

Pada tahun 2013 FELDA telah mewujudkan Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF). Ia merupakan projek sosial untuk generasi baharu FELDA di tanah rancangan untuk membantu golongan generasi baharu FELDA memiliki rumah mampu milik yang selesa di samping mengoptimum penggunaan tanah kosong di tanah rancangan.

Menurut Laporan Kertas Putih Felda 2019, antara faktor yang menyebabkan masalah projek perumahan FELDA terbengkalai kerana tiada perancangan dan kajian pasaran yang komprehensif serta usaha wajar (due diligence) yang tidak dilaksanakan. Tumpuan FELDA pada masa ini adalah untuk menyiapkan projek PGBF yang berada pada tahap kemajuan kerja 70 peratus ke atas.

FELDA perlu menanggung subsidi sejumlah RM897 juta untuk melaksanakan program PGBF. Kos pembinaan rumah PGBF sebanyak RM198,000 seunit adalah jauh lebih tinggi berbanding harga jualan yang bermula dari RM90,000 seunit.

FELDA telah meletakkan syarat untuk pemilikan rumah PGBF iaitu pemohon hendaklah terdiri daripada generasi baharu yang mempunyai pendapatan di bawah RM3,500 sebulan, bermastautin di tanah rancangan atau tinggal berdekatan dan hanya satu permohonan sahaja bagi setiap keluarga peneroka.

Walau bagaimanapun, golongan yang disasarkan tidak dapat memenuhi syarat pinjaman institusi kewangan kerana kebanyakan dari mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mempunyai penyata pendapatan.

Ketua Kampung FELDA Lurah Bilut, Zulkifle Md Yunos menzahirkan keresahan jika projek rumah generasi kedua FELDA Lurah Bilut dibangunkan kelak, beliau sudah dapat menghidu masalah yang bakal dihadapi anak-anak peneroka.

Menurutnya, tanah yang diwarisi daripada ibu bapa dan nenek moyang mereka hinggalah ke generasi kelima ini dikhuatiri akan menjadi asbab perbalahan dan perebutan antara adik-beradik.

“Dilema generasi baru ialah mereka tidak dapat membuat pinjaman bank termasuk untuk membeli rumah kerana tiada slip gaji dan geran tanah hanya boleh ditukar kepada pentadbir bukan pemilik selepas kematian generasi pertama,” ujarnya

Jelas Zulkifle lagi, walaupun pewaris adalah pentadbir dan pemegang geran, tanah itu tidak boleh dianggap milik mutlak mereka yang boleh diwariskan secara langsung kepada generasi seterusnya.

Peneroka FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah rancangan diusahakan sejak lebih 60 tahun lalu kerana wujud sekatan perundangan yang menghalang sebarang pindah milik harta terbabit kepada generasi kedua.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Majid berkata, kajian pihaknya mendapati sekatan itu menyebabkan urusan pindah milik tanah FELDA kepada waris mereka semakin sukar, walaupun peneroka mempunyai geran hak milik selepas premium tanah dijelaskan sepenuhnya.

Dua tahun sebelum Projek Transformasi FELDA 2.0 bakal dilaksanakan di Lurah Bilut, pihak FELDA Rubber Industries Sendirian Berhad (FRISB) telah menutup operasi beberapa kilang getah di seluruh negara termasuklah kilang getah Felda Lurah Bilut.

Hosman Mat Ali, 61 bertugas sebagai Ketua Kerani FRISB juga merupakan generasi kedua FELDA merangkap Ketua PAS Cawangan Bilut berkata, perobohon rumah kakitangan kilang getah (FRISB) itu berkait rapat dengan pelancaran Projek Transformasi FELDA 2.0 yang bakal dilaksana.

“Mereka roboh semua rumah kakitangan kilang getah, alasannya tapak ini akan digunakan untuk dibangunkan projek rumah generasi kedua FELDA.

“Mana rumah itu sekarang? Tahukah anda betapa susah dan terkial-kialnya mereka anak generasi kedua FELDA Bilut ini mencari rumah untuk berteduh setelah diberhentikan kerja,” luah Hosman kecewa.

Presiden Anak Generasi Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Mad Esa ketika dihubungi berkata, pada 28 Oktober 2015, pertubuhan ini bersama rombongan seramai 30 orang pekerja-pekerja kilang getah (FRISB) FELDA Lurah Bilut telah menghantar satu memorandum ke Parlimen berhubung isu perobohan rumah berkenaan.

“Sudah lebih berpuluh tahun anak-anak legasi peneroka rintis ini menunggu. Kita di pihak NGO GENERASI memberi keyakinan penuh kepada pihak pengurusan baru FELDA dibawah teraju Dato’ Seri Idris Jusoh untuk menyelesaikan secepat mungkin kemelut rumah generasi baru FELDA tertua di Malaysia dan di dunia ini,” katanya.

Menurut sumber, tempoh status pajakan tanah FELDA hanya berbaki kira-kira 30 tahun lagi. Tanah Rancangan FELDA Lurah Bilut sudah berusia lebih 60 tahun. Andai tiada pindaan dibuat untuk menyelesaikan isu tanah pusaka FELDA ini, apa jaminan kepada generasi peneroka apabila tempoh pajakan itu tamat?

Adakah pihak atasan sekadar mampu melihat tanpa boleh berbuat apa-apa?

Rumah itu syurga. Pernah anda bayangkan perasaan mereka yang tidak berumah? Kita tidak akan dapat membayangkan perasaan mereka, walaupun kita cuba menulisnya

FELDA, tolonglah bantu!

KHAULAH AL-AZWAR – HARAKAHDAILY 9/11/2020

Hibur Hibur Sikit:
Album 2

4 comments:

Unknown said...

Sesiapa yg dipertanggung jawab selesaikanlah dok pasal2 menjwb di PM

Anonymous said...

Yg pgg felda skrg org Dap..mna dia skrg?

Anonymous said...

Dahulu orang2 Felda ditatang Najib bagai minyak yang penuh, dibuat rumah generasi kedua pelbagai, TAPI dikatakan ramai yang tidak tahu nak berterimakasih?

Disarankan esok lusa tak usahlah lagi nak bantu mereka2 ni!

Anonymous said...

Aku anak felda. Rumah generasi ke2 tu kena bayar la mangkuk! Bkn dpt free. Itu pun x suma anak felda yg dpt. Nak kena kamcing dgn pegawai dn pengurus felda.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails