Datuk Saarani Mohamad hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Saarani angkat sumpah jawatan MB Perak ke-14
KUALA KANGSAR: Datuk Saarani Mohamad hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Saarani, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, menerima watikah pelantikan daripada Sultan Nazrin yang kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda di Istana Iskandariah, di sini.
Beliau kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Hisham Hashim.
Sultan Nazrin berkenan melantik Saarani sebagai Menteri Besar selepas beliau mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN dan dibuat berpandukan Perkara XVI Fasal 2 (a) Undang undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Sabtu lalu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-13 bersama-sama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Ahmad Faizal, yang gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat lalu, menyembahkan warkah peletakan jawatan itu kepada Sultan Nazrin ketika menghadap baginda di Istana Kinta di Ipoh, pada jam 3 petang, Sabtu lalu.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu terpaksa meletak jawatan, sekali gus mengembalikan episod pertelingkahan pemilihan jawatan utama kerajaan negeri, dengan hampir seminggu siri perbincangan dibuat membabitkan pelbagai parti.
UMNO biarpun memiliki 25 ADUN yang menyokong Saarani ke jawatan itu, masih kurang lima ADUN bagi melengkapkan sokongan majoriti mudah, memaksa sokongan diraih daripada parti lain, dengan 'tawaran' juga dibuka kepada parti dalam Pakatan Harapan (PH).
DAP dan PKR, ketika hari pertama kemelut tercetus sudah menyatakan kesediaannya untuk memberi sokongan kepada ADUN UMNO sebagai Menteri Besar, susulan keputusan PAS yang memiliki tiga ADUN, berpendirian untuk tidak menyertai pembentukan kerajaan baharu.
Namun, segala kemelut pemilihan jawatan itu akhirnya terungkai selepas BERSATU, PAS dan UMNO bersetuju mencadangkan Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak sebagai Menteri Besar Perak baharu, sekali gus mengekalkan gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Persetujuan dicapai dalam pertemuan di Parlimen semalam, dihadiri Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Serentak itu, semua ADUN PAS serta BERSATU semalam mengadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, bagi mempersembahkan akuan bersumpah (SD) sokongannya terhadap Saarani, termasuk oleh dua ADUN lain iaitu ADUN Buntong dari GERAKAN, S Subramaniam serta ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, yang juga wakil rakyat Bebas.
Saarani, 59 adalah anak kelahiran Lenggong, Perak dilahirkan pada 13 Mac 1961, memperoleh Diploma Sains serta Pendidikan (Fizik dan Matematik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kemudian melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan sumber manusia di Open University Malaysia (OUM).
Ahli politik berpengalaman ini juga pernah menjadi Ketua Pembangkang di DUN Perak sewaktu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negeri itu pada Mei 2018.
No comments:
Post a Comment