Saturday, January 11, 2020

Lagi PH! Pelajar Gadai Nyawa Meniti Paip Ini..



Gadai nyawa menyeberangi sungai menggunakan saluran paip menghubungkan dua kampung di Kampung Muhang. - Ihsan pembaca

KOTA MARUDU: Lebih 30 murid sekolah rendah dan tadika bergadai nyawa setiap hari ke sekolah apabila terpaksa menyeberangi sungai berarus deras menggunakan saluran paip menghubungkan dua kampung di Kampung Muhang, di sini.
Meskipun laluan itu tidak selamat digunakan, penduduk tiada pilihan lain selain menunggu hujan berhenti dan arus sungai reda bagi membolehkan mereka menggunakan jambatan aras rendah (low level crossing) yang juga semakin uzur.
Penduduk Kampung Muhang, Zolin Majimun, 29, berkata, hujan berterusan menyebabkan jambatan aras rendah itu kerap ditenggelami air dan tidak boleh digunakan.
Katanya, jambatan yang dibina sejak berpuluh tahun itu juga rosak dan hanya kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang boleh melaluinya manakala kenderaan rendah terpaksa diletakkan berhampiran sungai sebelum penduduk berjalan kaki sejauh dua kilometer ke kampung.
“Setiap kali jambatan itu ditenggelami air, penduduk terpaksa menggunakan saluran paip air graviti yang menghubungkan ke Kampung Jambutan Laya-laya.”
“Murid yang ditemani ibu bapa masing-masing akan memastikan mereka melalui saluran paip itu dengan selamat walaupun licin dan berdepan risiko bahaya,” katanya.


Menurutnya, yang bekerja sebagai peniaga di Kota Kinabalu, perkara itu sudah dialami sejak tahun 2005 sehingga kini.
“Setiap minggu saya akan pulang ke kampung sebanyak dua kali untuk mengambil bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran dan sehingga kini, tiada pihak yang mengambil tindakan walaupun aduan dikemukakan kepada pihak berkaitan beberapa kali sebelum ini.”
“Dulu, pembetung di bawah jambatan aras rendah itu runtuh dan hanya kenderaan berat yang boleh melaluinya. Tetapi, setiap kali hujan berterusan, jambatan itu akan ditenggelami air dan penduduk tiada pilihan lain selain melalui saluran paip itu,” katanya.
Kampung Muhang terletak kira-kira 30 kilometer dari Pekan Kota Marudu itu mempunyai lebih 500 penduduk yang terdiri daripada petani, pekebun dan penoreh getah.
Murid sekolah di kampung itu perlu berjalan kaki sejauh dua kilometer dan menyeberangi sungai sebelum menyambung perjalanan sejauh lima kilometer ke Sekolah Kebangsaan (SK) Temuno, Teringai Darat Kota Marudu.
Difahamkan, kebanyakan pelajar sekolah menengah tinggal di asrama dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan, Kota Marudu manakala sebahagian penduduk ada yang bekerja di luar kampung. 

Memang PH lembab, tak mampu tadbir negara. Rakyat, tukarlah segera!(IH)

Ini, 62 Poin Untuk Puak Yang Anti Syiah..


Siapa yang bertaqiyyah agaknya…

TULISAN kali ini ada 62 poin yang saya gabungkan insyaAllah menjadi justifikasi terhadap apa yang berlaku kepada Presiden PAS terutama dalam isu Syiah kerana ramai yang menyerang beliau tanpa tahu sebabnya.

1-     Dengan kenyataan Donald Trump, Presiden Amerika beberapa hari lepas, rasanya tidak jadi perang yang hampir tercetus di Teluk Arab ini. Tetapi kesannya agak berpanjangan, terutama hubungan tegang antara kedua negara yang bersengketa. Ekonomi dunia, macam biasa, akan tergugat dengan permainan gila AS ini. Tidak ada perubahan sikap oleh AS. Sama sahaja terjadi kepada semua Presiden-presiden mereka.

2-     Saya lebih minat untuk membicarakan mengenai pandangan Presiden PAS terhadap rancangan ini. Ianya mungkin tidak tepat seratus peratus, tetapi banyak yang dikatakan beliau itu, benar. Ia bukti jelas menunjukkan bahawa beliau mendapat maklumat dari peringkat dunia. Bukan informasi dari kampung yang kemudiannya memperlecehkan orang lain, bangga dengan maklumat yang kononnya tepat itu.

3-     Terus sahaja melenting, sesetengah pihak apabila Presiden PAS mengajak menyokong Iran. Lalu, sebagaimana biasa dimainkan isu Sunni-Syiah bagi menjuzukkan pemikiran umat Islam agar tidak terpengaruh dengan pendapat atau maklumat Presiden PAS itu.

4-     Seorang Panglima Kerajaan Umayyah, Hajjaj bin Yusof as-Tsaqafi adalah antara manusia yang dikategorikan sebagai pelampau. Hajjaj pernah memusnahkan Kaabah ketika dia menyerang tentera Ibnu Zubair iaitu Abdullah bin Zubair, anak kepada Zubair al-Awwam, sepupu kepada Rasulullah, dan pasangannya Asma’ binti Abu Bakar, kakak ipar Rasulullah.

5-     Hajjaj membunuh Ibnu Zubair. Digantung mayatnya di sekitar Makkah, sehinggalah datang Asma’ menuntut mayat anaknya dengan beraninya daripada Hajjaj.

6-     Pernah Hajjaj berkata dalam satu khutbah, dia melihat telah banyak kepala-kepala yang sudah masak bagi dia memetiknya (memancung).

7-     Dia juga dalang pembunuhan Ibnu Umar, iaitu Abdullah bin Umar, anak kepada Saidina Umar, walaupun Ibnu Umar tidak berperang dengannya. Hajjaj juga menuduh Ibnu Mas’ud sebagai munafik


8-     Dilihat kepada senarai kejahatan Hajjaj ini, dia dibenci oleh kedua Sunni dan Syiah. Tetapi tetap ada juga ulamak yang bersangka baik iaitu Hajjaj tidak kafir, tetapi derhaka sebagai pendosa. Malah ada juga yang mengenang jasa Hajjaj iaitu antaranya dialah yang membahagikan juzuk-juzuk dalam al-Quran sebanyak 30 juzuk. Tiada kedengaran marahnya orang yang membenci Syiah atas pandangan tidak mengkafirkan Hajjaj.

9-     Kes yang sama berlaku kepada Syiah, Kerajaan Fathimiyyah telah mencuri Hajarul Aswad, hingga rosak sebahagian Kaabah, menghina Sahabat, tetapi tidak membunuh kerana Sahabat sudah tiada. Memang jahat, tidak dinafikan.

10-     Tetapi ada pihak yang secara total mengkafirkan Syiah tanpa mengira puak-puak yang ada persamaan dengan Sunni. Dua bentuk label yang berlainan atas kes yang hampir sama.

11-     Kerajaan Umayyah, sehingga kepada Khalifah Sulaiman, sentiasa dalam khutbah mereka, menyediakan slot penghinaan kepada Saidina Ali dan keluarganya. Sehingga naik Khalifah Umar bin Abdul Aziz, beliau membatalkannya dan menggantikannya dengan ayat ke 90 surah an-Nahl.

12-     Tetapi semua khalifah-khalifah itu tidak dikira sebagai kafir, malah sejarah menunjukkan kekhalifahan mereka termasuk dalam empayar Islam, walaupun jelas berdosa perbuatan mereka mengutuk Sahabat, sama dengan perlakuan Syiah.

13-     Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga tidak pernah direkodkan memerangi Syiah di zamannya kerana kekafiran mereka itu. Malah Khalifah Umar dipuji kerana berjaya melakukan taqrib mazhab. Sunni dan Syiah berdamai ketika di zaman beliau. Memberi isyarat kepada kita bahawa, usaha taqrib mazhab sebagaimana percubaan Presiden PAS, telah ada dan berjaya dilaksanakan suatu ketika dahulu. Jadi apa salahnya diulang perkara baik ini?

14-     Munafik tidak dibunuh oleh Rasulullah, walau Baginda mengenali mereka satu persatu sebagaimana yang Baginda informasikan kepada Abu Huzaifah. Mereka bukan sahaja menghina Rasulullah, tetapi juga berusaha membunuh Baginda sebagaimana yang tercatat dalam sirah ketika mereka kembali dari Perang Tabuk. Dan munafik itu duduknya di neraka terbawah.

15-     Jika Syiah dianggap lebih teruk dari Yahudi, bermakna mereka cuba memperkecilkan para Rasul kerana para Rasul akan bertembung dengan musuh yang paling jahat, apatah lagi Rasul Ulul Azmi.

16-     Dalam senarai musuh Rasulullah, al-Quran menyatakan Yahudi ialah kumpulan yang mesti dilawan. Jadi Presiden PAS memilih untuk melawan Yahudi berbanding Syiah.

17-     Tiada pernah Rasulullah memerangi mereka secara terbuka atau menghalau mereka dari Madinah. Hatta selepas Perang Khandak, yang diserang dan dihalau Baginda ialah Khaibar, penempatan Yahudi. Walaupun kedua-duanya berkhianat, Rasulullah tetap tinggal bersama munafik.

18-      Hafiz al-Asad bapa kepada Basyar al-Asad, keduanya pernah melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Syria. Dan Syria ketika itu, walaupun masih di bawah kekuasaan Syiah Alawi, menjadi tempat tinggalnya ulamak Sunni, termasuklah Syeikh Ramadhan al-Bhuti dan ramai lagi.

19-     Tidak sedikit Sunni Malaysia yang ke sana. Sehinggalah api mazhab yang ditiupkan, maka terjadilah perang sebagaimana sekarang. Adakah Buthi tidak faham fiqh apabila meminta tidak melanjutkan peperangan dengan Basyar? Tidak lain kerana beliau berfikiran seperti Presiden PAS.

20-  Saya pernah menulis dulu yang Ali Rafsanjani Presiden Iran, pada sekitar tahun 90-an pernah dijemput menjadi tetamu negara Arab Saudi. Diberikan keistimewaan menziarahi makam Rasulullah. Dan kesempatan itu digunakan sejahatnya oleh beliau dengan mencaci Abu Bakar dan Umar di sebelah makam Baginda. Bagaimana Saudi boleh menjemput seorang kafir Syiah masuk ke dalam makam Rasulullah? Madinah tanah haram, bukan Islam tak boleh masuk, apa lagi dijemput ke makam Rasulullah.

21-     Ketika Syiah yang dikatakan kafir itu berpusu-pusu memasuki Makkah sama ada mengerjakan haji atau umrah, penganut Ahmadiyyah yang hampir sama amalannya dengan Islam di bawah ketua mereka Mirza Ghulam Ahmad Qadiayani pula diisytiharkan kafir, tidak dibenarkan menunaikannya. Dakwa sesetengahnya, mungkin ada yang Sunni di kalangan orang Iran dan kita tidak tahu. Maka tidak boleh disekat.

22-     Kalau benar begitu, bagaimana mereka mengenali pengikut Ahmadiyyah? Dan kenapa Ahmedenijad dan Rafsanjani, pembesar-pembesar Iran yang jelas Syiah itu terlepas masuk? Tak kenalkah mereka dengan Presiden Iran dan pembesar-pembesarnya? Kalau begitu, memang hebatlah orang Iran menyamar.

23-     Jelas Presiden PAS sedar akan apa yang berlaku dan siapa di belakang tabir wayang politik ini. Maka diserunya beliau agar bersatu atas nama Islam. Ketepikan mazhab. Tapi segera suara sumbang membangkang seruan kebaikan itu. Pelik, atas nama Yahudi, atas nama Kristian, semuanya boleh diampunkan oleh Allah jika bertaubat, itu kata mereka ketika berkuliah. Tetapi atas nama Syiah, jangan kamu dengar kata-kata taubatnya, itu hanya bertaqiyyah, seru mereka. Ajaibkan? Kenapa dibezakan antara keduanya?

24-     Presiden PAS sangat konsisten dalam dakwahnya. Saddam Hussin seorang Sunni Sosialis, ditemui beliau kerana Islam. Syiah juga beliau berdepan, atas nama Islam. Semuanya masih ada harapan keampunan Allah.

25-     DAP, PKR dulu pernah duduk sebumbung dengan PAS dan sekarang, Umno pula menggantikan tempat mereka sebagai teman. Jika ada sinar harapan bagi Islam, maka beliau segera mengambil peluang itu.

26-     Erbakan adalah rakan politik PAS di Turki. Presiden PAS mengenepikan Erdogan kerana beberapa perkara yang dilihat Erbakan mengenai Erdogan, merugikan Islam, diterima beliau. Nasihat Erbakan benar pada waktu itu.

27-     Masa berubah, Erdogan dilihat sebagai membawa kebaikan kepada Islam, maka Presiden PAS tidak memilih bermusuhan dengannya, menyokong beberapa perkara penting bagi Islam, sambil mengekalkan jalinan dengan kumpulan Erbakan. Jelaskan?

28-     Pernah di hadapan saya, Ayah Chik bercerita mengenai bagaimana beliau suatu ketika sampai di Makkah bagi mengerjakan umrah, tiba-tiba disambut oleh wakil Kerajaan Saudi. Seluruh rombongan beliau gembira kerana mendapat layanan VIP. Rupanya Saudi mahukan beliau bersetuju dengan satu isu yang kemudian beliau menolaknya. Begitu ketegasan beliau tunjukkan. Maka tidak hairan apabila beliau berkata, beliau tidak mengikut ‘Khadam dua Tanah Haram’ kerana beliau beriman kepada Allah.

29-     Jelas kerana Saudi walaupun kononnya membenci Iran, mereka sangat rapat dengan Yahudi dan Nasrani yang terang menjadi musuh Allah, disebut dalam al-Quran. Agak memeritkan kalau digali lagi mengenai sejarah kejatuhan empayar Othmaniah adalah kerana pengkhianatan Sharif Hussein yang kemudiannya beliau dikhianati pula oleh British melalui Bani Saud. Tidak pula menjadi isu mereka menjatuhkan khalifah ketika itu dan selepas menang, hukum melawan pemerintah diperberatkan. Biarlah Raja nak jadi apa pun, jangan lawan.

30-     Syiah yang sesat, seperti Rafidhah sangat jahat, kita bersetuju. Sehinggakan PAS pernah dituduh Syiah oleh agamawan yang mencari popular. Tuduh mereka lagi, wala’ yang membabi buta pengikut PAS juga ciri-ciri Syiah.

31-     Ironinya, baru-baru ini, Menteri Pendidikan, kawan baik mereka meletakkan jawatan atas dasar ketaatan kepada PM. Kemudian tersebar video yang anggap dirinya seperti Hang Tuah, iaitu di pihak benar. Kenapa beliau tetap wala’ kepada Tun kalau beliau benar? Syiahkah beliau kerana wala’ membabi buta, walaupun salah?

32-     Tun pernah bermusuh dengan Presiden PAS. Tun juga pernah menghina janggut Rasulullah. Tetapi tanpa segan silu, sesetengah agamawan pembenci Syiah boleh sahaja mengangkat Tun sebagai negarawan. Makan gaji dari Kerajaan Tun yang pernah menghina Rasulullah dalam waktu yang sama bermusuh dengan PAS yang melawan Tun ketika itu.

33-     Sehingga kini, belum didengari Tun bertaubat atas hal itu. Tapi Tun tidak dikafirkan seperti Syiah walau turut menghina Rasulullah, malah hukum Allah juga. Kenapa? Sebaliknya Presiden PAS, melayan Tun sama seperti Iran iaitu apabila Tun dilihat memberikan kebaikan terhadap Islam, maka beliau arahkan menyokong Tun, macam Iran sekarang.

34-     Pada Julai 2005, di Amman, Jordan, sebagaimana yang ramai ketahui, telah ditandatangani deklarasi yang dipersetujui oleh lebih 500 orang ulamak dunia yang mengiktiraf Syiah Zaidiyyah dan Jaafariyyah juga adalah beragama Islam.

35-     Yang ditolak ialah Syiah Rafidhah yang sesat itu, tetapi ada orang secara tidak bertanggungjawab memasukkan Syiah semuanya di dalam satu bakul. Dan demi mencapai tujuannya, apatah lagi untuk mencederakan imej Presiden PAS, maka ditempelkan identiti Syiah kepada beliau.

36-     Lihatlah istiqamahnya Presiden PAS, tanpa rasa kerdil dihina, dicaci oleh golongan yang mengaku ulamak tetapi tidak mahu menerima pandangan orang lain. Presiden PAS tetap dengan pendirian bahawa isu ini ialah isu politik dan perlu dihapuskan ialah dalangnya iaitu Yahudi dan Nasrani yang jahat itu. Jelas sekali, dunia mengakui ketokohan beliau. Bukan senang dipuji kumpulan orang alim, kerana orang alim memuji mesti ada alasan syarak, bukan suka-suka.

37-     Oleh itu juga, beliau langsung tidak tergugat dengan ugutan untuk beliau diturunkan dari jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia setelah menghadiri persidangan di Tehran bagi maksud taqrib mazhab.

38-     Bukan beliau yang minta jawatan, tetapi orang yang mahukan beliau berada di situ. Namun setelah tidak memegang jawatan pun, tetap beliau dicari, sampai ke Rusila Ketua KUIS datang ziarah, berbincang. Makin pening ‘haters’ Presiden PAS.

39-     Apabila Zakir Naik ditekan orang kafir, beliau bertemu dengan Presiden PAS. Kerana apa? Salah satunya ialah kerana pengaruh politik Presiden PAS. Zakir Naik juga dituduh Wahhabi oleh orang yang membencinya dari kalangan Muslim, tetapi tidak dihiraukan sorakan Wahhabi itu kerana Presiden PAS tahu, yang penting ialah jaminan keselamatan Zakir dan jauh lebih utama ialah dakwah Zakir Naik yang sangat menguntungkan Islam.

40-     Walaupun Hanipa Maidin, Mujahid, Khalid Samad bukan Syiah atau Wahhabi, setakat yang diketahui, Presiden PAS sehingga waktu ini, tidak membuat sebarang kerjasama dengan mereka kerana mereka tidak menguntungkan Islam, sebaliknya hanya memberi kelebihan kepada DAP.

41-     Namun dahulu, ketika mana mereka sanggup bersama untuk menaikkan Islam, Mat Sabu yang dikatakan Syiah itu pun Presiden PAS boleh berkerja bersama sehingga menjadi Timbalannya. Kata beliau, rumah PAS ada undang-undangnya. Siapa yang duduk dalam rumah PAS, mesti ikut Undang-undang PAS.

42-    Morsi yang diketahui sebagai Muslim yang baik itu, disokong oleh Presiden PAS. Manakala sekumpulan orang memilih as-Sisi, anak keturunan Yahudi dari sebelah ibunya, bahkan menyalurkan pula berbilion USD bagi kemenangan as-Sisi di Mesir, sekali gus memanjangkan lagi hayat Israel di sana. Manakala Syiah pula dituduh sebagai ejen Yahudi. Tidakkah anda terasa apa-apa yang pelik dengan kejadian ini?

43-     Pulau Tiran dan Sanafir di hujung Selatan Mesir, yang menjadi pintu masuk ke pelabuhan Israel melalui Jordan, Saudi dan Mesir, diserahkan kepada Saudi yang sekali gus memberikan laluan mudah kepada Israel keluar masuk ke pelabuhannya itu. Diam membisu penyokong Saudi seluruh dunia.

44-     Mungkin itu sebagai langkah dakwah Saudi terhadap Yahudi bagi mengajak mereka masuk Islam, kita cuba bersangka baik. Tak boleh persoalkan. Ianya hanya jangan diberikan kepada Syiah sahaja kerana Syiah adalah kafir proksi Yahudi, bertaqiyyah dengan Amerika. Lucukan?

45-     Dalam semua kumpulan, akan sentiasa ada sekelompok yang ekstrem. Sama ada Syiah, Sunni, parti politik, bahkan peminat kelab bola sepak juga sanggup bertumbuk. Maka jika yang dilihat itu kepada golongan ekstrem dan diambilnya sebagai lambang kepada jemaah itu, ia adalah panduan yang terseleweng, kerana akan menyamaratakan orang lain yang tidak bersalah sama ada tertipu atau yang bodoh.

46-     Presiden PAS, jelas memisahkan semua itu. Sudah berkali-kali katanya, ada golongan tertipu dalam Syiah, sama dengan ajaran sesat dalam Sunni. Bila Presiden PAS cuba bantu mengembalikan mereka yang sesat itu, mereka marah. Sudah mereka tak mahu dan tak mampu, dihalangnya pula orang lain.

47-     Ibnu Abbas pernah diperintahkan Saidina Ali bagi berdebat dengan puak Khawarij, ketika diketahui yang mereka mahu menyerang Ali. Lalu daripada ribuan askar Khawarij itu, lebih separuh berjaya dipujuk oleh Ibnu Abbas dengan dalil yang sangat jelas.

48-     Rupanya ada ruang bagi mereka yang kufur bertaubat. Mereka tidak tahu dalil itu kerana sama ada dibodohkan atau memang bodoh. Terselamatlah nyawa manusia. Bayangkan kalau pembenci Presiden PAS ada ketika itu, mungkin habis berperanglah manusia.

49-      Presiden PAS juga tidak menyebelahi golongan pembenci Syiah yang sentiasa mahu berbalah, tanpa membuka pintu rundingan sebagaimana layanan Rasulullah yang mahukan semua umat Baginda masuk syurga. Buktinya, Rasulullah masih mahu mendoakan Abdullah bin Ubay, sehinggalah ditegah Allah.

50-     Fahamkah anda bahawa, Presiden PAS tidak sesekali menyokong penghinaan Syiah terhadap Rasulullah, Sahabat atau mana-mana individu yang baik. Namun, beliau juga tidak memusuhi hanya berdasarkan kebencian kepada Syiah semata-mata. Pertimbangan beliau ialah atas nama kepentingan Islam.

51-    Taqiyyah itu bukan salah, ianya ada dalam Islam, jelas dan terang dalilnya, tanpa penolakan. Ia pernah dilakukan oleh Sahabat Rasulullah Ammar bin Yasir, apabila beliau tidak berdaya menahan kesakitan menderita diseksa. Rasulullah juga tidak mampu membantunya. Beliau mengaku di mulutnya di hadapan Musyrikin Makkah bahawa beliau tidak meninggalkan ajaran nenek moyang mereka. Taqiyyah Ammar tidak sampai ke hati, ia lakonan sahaja. Apabila diketahui Rasulullah, Rasulullah membenarkan Ammar.

52-     Akan tetapi taqiyyah telah ditempelkan kepada Syiah. Menjadikannya sangat jijik oleh orang yang membenci Syiah, sedangkan hukum asalnya diharuskan. Kita kemudiannya menjadi fobia dengan perkataan taqiyyah. Oleh itu taqiyyah perlu dilihat kepada keperluan mereka. Syiah yang jahat, menggunakan taqiyyah bagi membohongi manusia untuk mengembangkan kefahaman mencaci Sahabat, ia wajar ditolak.

53-     Berita dari Iran dilarang membaca kerana ia propaganda Syiah. Jadi taqiyyah Syiah tidak diterima sebab mereka musuh, ok kita faham. Tetapi banyak berita dari CNN, AFP, Reuters kepunyaan Yahudi yang kita tahu jelas kerjanya menghina, melagakan, membohongi, berat sebelah kepada Islam, dipercayai pula bulat-bulat. Apa lagi bila hal berkenaan Syiah.

54-     Maka stesen-stesen berita ini juga ber taqiyyah, berpura-pura baik. Dikutuk Saddam sewaktu mahu menyerang Iraq, kita percaya. Dihinanya Gaddafi ketika mahu menjatuhkan Libya, kita telan dan ramai lagi. Akhirnya negara itu hancur, ajaibnya, kita masih menggunakan mereka sebagai sumber.

55-     Dan bagaimana pula satu kumpulan orang Islam yang membenci Syiah, tetapi secara terang-terangan menjadi sekutu Amerika dan Yahudi. Jadi, timbul persoalan, siapa yang bertaqiyyah agaknya?

56-     Fikirkanlah, anda mungkin termasuk dalam satu persimpangan yang anda sendiri keliru. Kemudian anda membiarkan orang yang ada kepentingan memandu anda ke arah yang mereka mahukan. Ia mungkin ke jalan yang baik, tetapi tidak terlepas kemungkinan menuju ke jalan yang menghancurkan.

57-     Saya mempunyai ramai kenalan yang belajar di negara-negara Arab dari latar belakang Salaf atau Khalaf. Majoriti mereka bersikap pertengahan, alhamdulillah saya banyak belajar dari mereka. Sikap pertengahan dalam agama, insyaAllah akan menyelamatkan. Buka minda, apatah lagi di zaman yang tidak dapat disisih antara fitnah dan kebenaran ini.

58-     Bagi saya, panduan Presiden PAS jelas, ajak semua manusia ke syurga, sokong semua pihak yang boleh menaikkan Islam tanpa prejudis. Lawan kita jelas, Yahudi dan Nasrani. Maka kepada orang Islam, beliau memilih bertembung secara damai.

59-     Buktinya, beliau tidak melayan pun cercaan dari agamawan yang mengaku kononnya pandai Hadis. Beliau tahu, ianya hanya merosakkan nama ulamak atas tajuk furu’. Ketika beliau mahu berbincang, beliau panggil orang yang sesuai untuk berjumpa seperti pernah dipanggil bekas Mufti Perlis, Dr Asri dan Mufti Wilayah, Dr Zulkifli juga selalu bertandang ke rumahnya berbincang. Mereka bukan ulamak yang berbalah di FB.

60-     Yang beliau lawan dahulu hingga sekarang ialah kepala negara. Mereka ini penting kerana jika mereka menerima dakwah, seluruh negara boleh diubah menurut kehendak Islam. Dia tidak perlu melayan ulamak yang menyalak-nyalak ajak beliau berdebat atau selalu mengkritik beliau di FB kerana ulamak jenis itu low class. Nak hapuskan judi pun tak mampu. Dah tak ada kuasa kan?

61-     Jutaan manusia menyaksikan ajaran dan tindakannya itu selari dan berguna untuk ummah. Ribuan malah mungkin jutaan alasan untuk menerima perlakuannya tidak menyalahi sunnah. Jika terkhilaf sekalipun, ia tidak membawa manusia tergelincir akidahnya. Namun manusia memerlukan satu sahaja untuk menolak semua itu, kebencian.

62-     Ketika respons agamawan lain terhadap Syiah diibaratkan bagai mengugut anak mereka, menakut-nakutkannya dengan hantu supaya jangan pergi dekat. Presiden PAS pula mengajar anak-anak untuk pergi dan lihat sendiri dan jangan takut pada hantu, kita ruqyahkan dan kuasai hantu itu.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 11/1/2020


Lihat Sebelum Ini...

Di 'M'sia' Pun Ada ‘Masjidil Haram’. Ini, Bersebelahan Pej PAS G/Musang.


'Masjidil Haram’ Gua Musang ada 9 menara
GUA MUSANG:Masjidil Haram’ juga boleh ditemui di negara ini apabila masjid yang dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter terdapat di Gua Musang.
Masjid terbabit bakal digunakan tidak lama lagi. Turut dilengkapi tujuh kubah. Masjid tersebut seluas 75,000 kaki persegi mampu menampung 3,500 jemaah.
Seni rekanya seumpama Masjidil Haram di Makkah. Masjid itu diusahakan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi menggantikan masjid lama.
Penyelia Dun Galas Ustaz Suhaimi Mat Deris berkata, masjid tersebut dikenali Masjid Razaleigh memandangkan ia hasil usaha anggota parlimen Gua Musang.
“Penduduk tempatan menyebut nama Masjid Razaleigh. Pembinaannya hampir siap sepenuhnya,” katanya.
Di kawasan berdekatan terdapat Masjid Mukim Razaleigh yang terletak di tepi Sungai Galas Bandar Gua Musang. Kedudukannya berhampiran sungai menyebabkan sering ditenggelami banjir.
Penyelia parlimen Gua Musang Ustaz Abdullah Husain berkata, masjid baharu dibina dengan kos lebih RM28 juta. Katanya juga bekalan air sudah disalur Air Kelantan Sdn Bhd ke masjid terbabit.
Masjid tersebut dibangun di kawasan seluas 3.7 ekar. Mula dibina pada 2016 terletak bersebelahan Pejabat PAS Gua Musang. Selain itu terdapat projek perumahan Taman Cindai II juga sedang dibangunkan berhampiran masjid terbabit.
Kemunculan masjid tersebut dijangka merancakkan lagi Tahun Melawat Kelantan yang bermula 1 Januari lepas. – HARAKAHDAILY 9/1/2020

Tangkap 200 Kanak Palestin. Tiada Kait Syiah Pun!


BAITULMAQDIS, 14 Jamadilawal 1441H, Jumaat – Sekurang-kurangnya 200 kanak-kanak Palestin di Baitulmaqdis ditahan tentera pengganas Israel sejak beberapa bulan lalu.
Menurut data daripada Pertubuhan Hak-Hak Sivil Israel (ACRI), lebih 600 penduduk ditangkap sejak rejim berkenaan melancarkan serbuan di kawasan kejiranan Issawiya, di mana satu pertiga daripada mereka adalah kanak-kanak bawah umur.
Laporan itu mendakwa, serbuan berkenaan dikategorikan sebagai ‘pelanggaran hak’ kanak-kanak, termasuk menggunakan kekerasan, penangkapan pada waktu malam dan mengheret mereka dalam kereta ronda dengan ugutan serta diikat tangan.
ACRI berkata, polis Israel secara sistematik melanggar hak kanak-kanak di Issawiya, selain melaksanakan undang-undang yang membenarkan polis tidak mematuhi peraturan dalam kes-kes melampau.
Laporan itu turut merujuk beberapa contoh, termasuk penangkapan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tiga minggu lalu.
“Pegawai polis mengheretnya ke dalam kereta ronda, dan membawanya ke balai polis. Klip video penangkapan itu tersebar di media sosial, yang memaparkan mangsa dalam keadaan ketakutan dan cemas,” kata laporan itu.
Apabila bapa kanak-kanak itu tiba di balai polis, dia dimaklumkan bahawa anaknya ditangkap kerana telah melemparkan batu.
“Polis tunjukkan video mengatakan itu anak saya, dan saya memberitahunya ia bukan dia (anaknya). Tidak lama kemudian barulah mereka menyedari dan membebaskan anak saya,” kata Samar, bapa kepada kanak-kanak berkenaan.
Difahamkan, tindakan pasukan polis Israel di Issawiya sejak beberapa bulan lalu telah mencetuskan ketegangan dengan ratusan insiden rusuhan di terhadap orang awam dan pasukan keselamatan.- Agensi
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Dalam memperluaskan penjajahan negara haram Yahudi Israel di bumi Arab, Israel-AS terus menangkap 200 kanak-kanak Palestin lagi. Tidak kira samada Sunni atau Syiah lagi, selagi mereka mengucap kalimah syahadah.  

Al-hamdulillah! LTTE, Kini Firdaus Wong Dedah Gerakan Kristian Pula..


Kami diugut, difitnah, tapi LTTE yang terbukti

SELAMA beberapa tahun kami mendedahkan pergerakan LTTE di Malaysia, ramai yang mengatakan kami memfitnah dan sengaja menimbulkan polemik. Tidak kurang ramai yang mengatakan kami gila publisiti. Bertahun-tahun kami bersabar kerana yakin akan kebenaran yang kami dedahkan demi keselamatan negara.

Tahun ini pihak Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police) membuat tangkapan berkaitan LTTE. Alhamdulilah.

Sejak suku ketiga 2018, kami membuat pendedahan pengkristianisasi menerusi program keamanan dan kepimpinan di institusi pengajian dan kemudian kami mendedahkan nama pertubuhan di sebaliknya iaitu Unification Church (UC). Sekali lagi kami ditohmah dan dituduh memfitnah.

Alhamdulilah. Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan. NGO yang memiliki hubungan dengan UC dihalang melakukan sebarang program lagi di universiti.

Kini, kami mula mendedahkan satu lagi pergerakan Kristian yang bersembunyi di sebalik program keamanan dan sekali lagi, dilakukan di institusi pengajian. Sekali lagi kami dituduh kononnya kami memfitnah, tidak menjaga nama baik dan sebagainya. Boleh lihat pendedahan di sini; https://www.facebook.com/Ahmad.Iqram609/videos/1075394162800399/

InsyaAllah masa akan sekali lagi membuktikan pendedahan kami bersandarkan kepada bukti yang nyata. Jikalau kumpulan pengganas LTTE kami dedahkan walaupun pelbagai ancaman terhadap harta, keluarga dan juga nyawa kami, tak akan gerakan Kristian seperti ini kami tidak mahu dedahkan?

Doakan…

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 10/1/2020


Hasil carian imej untuk gerakan Kristian Malaysia
Gerakan Kristianisasi: Muslim Malaysia diasak bertubi-tubi

Lagi PH, Nelayan Ditindas’ Kerana Penguatkuasa.


PENGUATKUASAAN yang tempang disifatkan para nelayan berpunca dari penyelewengan tanggungjawab oleh pihak berkuasa berkaitan hingga memberi kesan kepada kegiatan mereka dan sumber laut negara.

Akibatnya, sebagaimana hempasan gelombang laut dan angin yang membadai, seperti itulah sekalian nelayan menempuh hidup dalam mencari rezeki mereka di samudera luas. Malangnya, mereka terpaksa berdepan pihak nelayan lain yang juga berkepentingan dan rakus mengaut hasil laut.
 Yusof Md Zin
Kamaruddin Saad
 Malangnya itu pula bertimpa-timpa seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, apabila pihak berwajib yang sepatutnya membela kebajikan dan memelihara kelestarian laut dan hasilnya pula bertindak sebaliknya. Mereka mengekang kuasa terhadap nelayan-nelayan ikan bilis, tetapi membiarkan tindakan melanggar perundangan berlaku.
Akhirnya tidak terbendung lagi syak dalam kalangan nelayan, betapa pihak berkuasa bersikap secara tidak adil dan tidak bertanggungjawab sedemikian kerana telah dipengaruhi oleh sogokan seperti rasuah atau seumpamanya. Luahan tersebut dinyatakan sendiri mereka yang menuntut perhatian dan tindakan agar ia ditangani.
 Azhar Aziz
Menurut Kamaruddin Saad, 62 dari Seberang Kota, Kuala Kedah, tindakan bot besar menangkap hasil laut di Zon A perikanan merupakan satu bentuk ‘pencerobohan’. Akibatnya ujar beliau, sumber laut menjadi teramat kurang berikutan pembenihan ikan turut dikaut ketika kegiatan penangkapan ikan dilakukan.
“Akta Perikanan ada, bukan tak ada (mengenai had-had kawasan tangkapan mengikut kategori lesen bot). Tapi isunya pelaksanaan oleh (pihak) (Agensi) Penguatkuasaan Maritim (Malaysia) dan (Jabatan) Perikanan.
“Tapi saya rasa depa (mereka) ni makan rasuah. Hat (Pihak) nelayan besaq (besar) tu pulak depa pakai (khidmat) tonto. Bot depa ada lampu 80,000 kilowatt cahaya, memang bunuh benih ikan,” luahnya yang telah menjadi nelayan sejak berusia 17 tahun.
Bagi Azhar Aziz, 52 yang telah 35 tahun menjadi nelayan, mahu pihak berkuasa mengkaji pengambilan nelayan asing sebagai krew pekerja di atas bot yang dilesenkan di negara ini. Menurutnya, pengambilan nelayan asing bekerja di perairan negara sebenarnya turut membawa masalah di daratan.
Beliau yang menetap di Seberang Kampung Baru, Kuala Kedah menyifatkan penggunaan awak-awak dan para tekong asing telah melanggar zon-zon perikanan ditetapkan. Namun kesalinya, mereka tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa Maritim mahupun Perikanan, sebaliknya nelayan kecil tempatan Melayu-Bumiputera seperti beliau sering berdepan tindakan.
Sehubungan itu, beliau juga menggesa agar urusan lesen dipermudahkan oleh pihak Jabatan Perikanan untuk nelayan pantai. Kerana maklumnya, nelayan kecil sepertinya sering ditahan oleh pihak Maritim menyebabkan usaha pencarian rezeki mereka di laut terbantut, sedangkan mereka memohon lesen.
“Kami sebelum ni ada hantar permohonan lesen, tapi ada juga yang sampai hari ni tak lulus lagi. Jadi saya nak tanya la, apa status permohonan tu? Dulu ada juga timbang rasa, tapi hairan sejak-sejak ni macam tolak semua (permohonan).
“Jadi saya tak faham la, konsep apa yang digunakan (untuk meluluskan permohonan)? Itu belum lagi isu sara hidup nelayan, subsidi minyak ikut enjin digunakan dan lain-lain lagi,” ujarnya penuh kecewa dan kesal.
Menurutnya, tindakan pihak berkuasa berkaitan bukannya ke arah mempermudah dan menggalakkan kegiatan perikanan dilakukan mereka, tetapi telah menjadi satu ‘gangguan’ yang menekan hidup. Jelasnya, langkah pihak tersebut memberi kesan kepada pendapatan dan sara hidup para nelayan serta keluarga mereka.
Azhar turut mempersoalkan mengenai kegiatan bot besar yang menangkap ikan di zon tidak sepatutnya sebagaimana lesen mereka seperti di Pulau Bunting dan Pulau Bidan tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Turut diluahkannya ialah mengenai jumlah bantuan yang dikurangkan sebanyak RM100 oleh Kerajaan PH berbanding BN dahulu.
Beliau juga meminta pihak kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya memperbanyakkan jeti pendaratan ikan kerana ketika ini hanya terdapat tempat untuk menambat bot-bot nelayan sahaja. Selain itu beliau juga berharap LKIM memainkan peranan lebih aktif agar kegiatan orang tengah yang mengaut untung dapat dikurangkan.
Selain itu cadangnya, Zon Konservasi juga mesti diaktifkan, selain menyokong cadangan untuk menghapuskan pukat tunda di Zon B serta meluaskan lagi kawasan lesen Zon A hingga 8 batu nautika menjadi kenyataan kelak.
Manakala nelayan dari Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah, Yusof Md Zin, 57 yang telah 20 tahun menjadi nelayan berharap agar pihak berkuasa membantu nelayan agar mudah mencari rezeki di laut.
Menurutnya, terdapat 90 peratus nelayan Melayu-Bumiputera dalam lesen A yang sangat perlu dipermudahkan mereka dalam kegiatan perikanan. Hal itu jelasnya berbeza dengan kemampuan nelayan lesen B yang dapat pergi melepasi 5 batu nautika sementara nelayan lesen C melebihi 18 batu nautika.
Kerana katanya, perkara sedang terjadi kini hakikatnya adalah sebuah penindasan terhadap nelayan pantai berpunca dari penguatkuasaan yang lemah dan bermasalah. Malah, beliau tidak sangsi untuk menyatakan pihak berkuasa berkaitan tidak amanah, sebaliknya berlaku keras merampas dan menenggelamkan bot nelayan sepertinya.
“Saya percaya wujud tangan ghaib yang tak amanah di jabatan (agensi penguatkuasa). Ikan-ikan ni membiak di kawasan api-api bakau. Tapi waktu malam, bot-bot besar ceroboh di situlah. Jadi ikan makin pupus.
“Apa salah Jabatan (Perikanan) ambil inisiatif bantu nelayan, sedangkan negara terpaksa import lagi ikan. Padahal, nelayan kita makin terhimpit kerana pemimpin tak tanggungjawab, ada mainan politik.
“Dulu (masalah) pukat jerut, sekarang banyak pukat tunda yang memberi risiko kepada sumber ikan. Saya juga syor Jabatan kena banyakkan tukun di perairan ni. Kalau tak, nelayan macam kami memang terjejas,” ceritanya. – HARAKAHDAILY 10/1/2020

Friday, January 10, 2020

Pecahkan Sunni-Syiah..

Arab dan sektarian mazhab

LATAR belakang
(1)     Di zaman kegelapan, agama ketika itu tidak menjadi penyelesaian masalah bahkan menimbulkan masalah menyebabkan agama saban hari ditolak oleh golongan pemikir ketika itu.

Agama yang dimaksudkan di zaman kegelapan Eropah itu adalah agama Kristian diseleweng pada 322 M. Akhirnya agama Kristian telah berubah menjadi agama yang penuh dengan Dogmatism.

(2)     Secara simple-nya Dogmatism bermaksud taklid. Ia menjadi asas yang kuat bagi Kristian menyebabkan agama ini tersimpang daripada ajaran Nabi Isa A.S.

Disebabkan terlalu lama berada di dalam ketebalan Dogmatism, akhirnya masyarakat Barat bangkit apatah lagi tamadun-tamadun yang diimport daripada Baghdad.

(3)     Apabila tamadun itu diimport masuk ke Barat, ia menyebabkan Barat menuju ke era yang semakin maju iaitu Revolusi Industri pada kurun ke-18.

Manakala pemerintahan Islam ketika itu di bawah Khilafah Uthmaniah mula kagum dengan kemodenan Barat lantas mengimport idealogi-idealogi daripada Barat atas alasan modenisasi.

(4)     Akhirnya dengan idealogi yang dijemput masuk ke dalam Uthmaniah ini menyebabkan kejatuhannya pada 1924. Manakala Barat terus mengorak langkah mengemudi kemodenan mereka.

Sehinggalah Barat menguasai sebahagian besar dunia dari pelbagai sudut antaranya sudut persenjataan dan perancangan strategi ketenteraan.

Sebelum dan selepas World War 2 (WW2)
(1)      Sejak Perang Dunia 2, Amerika berjaya menguasai pengaruh dunia sebagai sebuah kuasa besar. Namun diancam oleh Soviet yang membawa idealogi Sosialis Komunis dan sistem pemerintahan autokratik.

Sejak 1945 lagi Amerika telah menyusun pelbagai strategi untuk menguasai pengaruh dunia dan dilihat berjaya dalam banyak agenda  yang telah saya ceritakan dalam banyak artikel sebelum ini.

Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya Amerika menyerang Soviet dari segenap. Dari sudut perfileman, sosio-politik, sukan dan banyak lagi.

(2)     Walaupun hari ini Amerika dilihat mengalami kepancitan, namun kerakusannya masih panjang untuk menghirup minyak minyak di negara-negara Arab.

Negara Arab mempunyai hasil minyak yang cukup banyak, sepatutnya berpotensi menjadi negara yang kaya raya. Akan tetapi hasil tipu helah Amerika, akhirnya kekayaan-kekayaan Arab dikaut oleh Amerika.

(3)     Loji-loji minyak di negara-negara Arab banyak dikuasai oleh Amerika. Arab Saudi yang dikenali sebagai pengeluar minyak juga menjadi kepentingan Barat sejak penubuhan Aramco awal 19.

Di era awal 19 lagi, umat-umat Islam sudah dihidangkan dengan idealogi-idealogi mengarut. Tetapi digambarkan oleh Barat sebagai satu kemodenan.

Kesan jangka masa panjang serangan idealogi ini menyebabkan umat Islam masih lagi hanyut dan tenggelam dalam jerat jerat yang dipasang oleh Barat.

Iran VS Iraq
(1)     Revolusi Iran tercetus pada 1979 yang dikepalai oleh Khomeini. Fenomena ini secara tiba-tiba mengangkat Iran menjadi satu kuasa yang berpotensi bersaing dengan Amerika.

Lalu Amerika telah memperalatkan Iraq untuk memerangi Iran sehingga menyebabkan ratusan ribu kematian. Perang Iran-Iraq berlaku antara 1980 hingga 1988.

(2)     Kita sedar Amerika menjadi dalang di belakang tabir pertempuran antara Iran dan Iraq. Iraq dipimpin oleh Saddam Hussein yang dipergunakan oleh Amerika ketika itu.

Antara yang digambarkan oleh media, Saddam Hussein bimbang beliau akan dijatuhkan oleh kumpulan Syiah di Iraq, susulan Revolusi Iran.

(3)     Lalu beliau bertindak memerangi Iran yang baru muncul sebagai kuasa yang kuat, serta membunuh Syiah-syiah yang berada di dalam Iraq itu sendiri.

Amerika di belakang tabir, bertepuk tangan dengan kejayaan permainan ini. Disebabkan permainan sektarian mazhab ini, akhirnya menyebabkan kematian ratusan ribu umat Islam.

Walau bagaimanapun, setelah sekian lama Saddam Hussein memerangi Iran, akhirnya beliau telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri hasil permainan dan propaganda Amerika juga.

Tetapi yang digambarkan oleh media adalah Saddam Hussein seorang Sunni, dibunuh oleh orang-orang Syiah yang ditindas oleh Saddam sebelum ini.

Peristiwa ini perlu dipelajari dan ditekuni oleh umat Islam pada hari ini agar tidak terjerat dengan permainan musuh yang membakar sentimen sektarian mazhab.

Long War
(1)     Media-media Barat dengan bangganya melaporkan pergolakan di negara-negara Arab sejak sekian lama sebagai Civil War atau perang saudara.

Di Sudan Algeria Yaman dan lain-lain negara-negara yang memiliki kekayaan minyak ini digambarkan berkonflik pertembungan sesama sendiri (Civil War).

Walaupun hakikatnya ia adalah propaganda dan permainan Barat namun umat Islam sejak sekian lama seringkali tertipu dengan strategi dan permainan sentimen.

(3)     RAND Corporation adalah sebuah badan yang dibayar oleh Amerika untuk menjadi sebuah pasukan penyelidik dan perancang. Isu-isu sektarian antara sasaran perbincangan mereka.

Antaranya di dalam kajian RAND Corporation yang bertajuk Unfolding the Future of the Long War yang disediakan oleh 5 orang panel setebal 230 halaman pada 2008.

a-     Dalam kajian ini sarat dengan strategi Amerika untuk mempertembungkan sesama Umat Islam atas tiket sektarian mazhab. Pelbagai istilah-istilah mazhab dimanfaatkan oleh mereka.

Ia adalah bagi memastikan umat Islam itu berperang selama-lamanya. Kajian ini menerangkan konsep perang yang panjang dan mengenal pasti potensi-peluang terhadap plan perancangan Amerika.

b-     Mereka meletakkan 3 faktor utama yang menyumbang kepada Long War iaitu, Kerajaan, Idealogi dan Keganasan. Maka, ketiga-tiga ini perlu dikacaukan untuk mewujudkan Long War.

Arab dan Asia Barat
(1)      Pada November 2018 CTC ada menyiarkan satu tulisan yang bertajuk ‘Selling the Long War: Islamic State Propaganda after the Caliphate’ tulisan Michael Munoz.

Tulisan ini secara terus terangnya dilihat membina naratif-naratif keganasan di kawasan Asia Barat selaras dengan projek New Middle East.

(2)     ‘Mentala’ keganasan itu kepada ISIS yang sememangnya ditaja oleh mereka sendiri. Tetapi teknik ‘talaan’ ini berobjektifkan kepada Islamophobia. Islam jadi mangsa.

Beberapa istilah dalam Islam dipersembahkan sebagai bentuk ketahyulan dan Dogmatism. Antaranya syurga, taqwa, bidadari, Tuhan bersama dalam perang dan sebagainya.

Seolah-olah mempotretkan ketahyulan Islam. Ini antara suara yang dibawa oleh ISIS sendiri dan seruan seruan sektarian. kita boleh lihat sendiri apa yang terjadi di negara-negara Arab.

(3)     Negara Arab musnah terbakar dengan sentimen mazhab. Akan tetapi pendakwah-pendakwahnya ‘masih ada masa’ untuk datang ke Malaysia sampaikan dakwah

Baguslah dakwah itu, tetapi bukankah negara sendiri lebih wajar untuk didakwahkan? Masyarakat Arab bercakaran sesama sendiri. Tetapi di Malaysia suruh bersatu.

Bukankah orang orang Arab itu lebih utama untuk disatukan? Kalau berniat nak bina tapak, janganlah pula pasarkan sektarian mazhab Arab ke dalam Malaysia. – MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL  – HARAKAHDAILY 8/1/2020

Lihat Sebelum Ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails