Saturday, February 29, 2020

Bosan, Muak! 300 Lagi Ahli PH Sertai PAS Di Beting Maro


Setelah bosan dan muak melihat kejelikan polemik politik di peringkat nasional, seramai 300 ahli dan penyokong Pakatan Harapan (PH) bertindak keluar dari Parti mereka yang terdiri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
Mereka telah menyatakan hasrat tersebut dihadapan Ketua Penerangan PAS Sarawak, Sdr Zharudin Narudin yang telah menerima kemasukan mereka dengan mengisi dan menghantar borang kepada beliau.
Mereka yang bertindak keluar dari PH ini adalah dari Kampung Semarang yang mempunyai 652 pengundi.
300 ahli tersebut telah bosan kerana janji palsu PH yang tidak ditunaikan oleh mereka terhadap Sarawak.
Dalam majlis ini juga kesemua ahli tersebut telah berjaya menubuhkan 4 cawangan yang turut dirasmikan sekaligus sebentar tadi.
Mereka juga turut menyambut baik keputusan PAS yang menyokong calon Perdana Menteri ke-8 iaitu Tan Sri Muhyidin Yasin.
Sokongan padu kepada PAS ini adalah kerana inilah parti yang berterusan menjaga kebajikan di Dun Beting Maro berbanding Adun yang sedia ada.
Ikrar sokongan padu ini telah dinyatakan dalam majlis ringkas di salah satu pusat kegiatan aktiviti mereka yang juga akan dijadikan sebagai markaz dan bilik gerakan PAS Cawangan Kampung Semarang.
Zharudin Narudin
Ketua Penerangan PAS Sarawak.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sesiapa yang sudah bosan dan muak dengan janji palsu PH, sila keluar beramai-ramai segera..

Sekilas Mengenai Muhyiddin, PM Baru..


Tan Sri Muhyidin Yassin ketika sidang media di kediamannya selepas diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan. - NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui jatuh bangun dalam kerjaya politiknya khususnya selepas digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), tiga tahun lalu.
Muhyiddin, 73, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dipilih sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebentar tadi selepas memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Kerjaya politik Muhyiddin mula diuji apabila Ahli Parlimen Pagoh itu digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum kedudukannya diganti oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 2015.
Tindakan Najib itu dibuat selepas Muhyiddin menegur Ahli Parlimen Pekan itu berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selepas pendirian Muhyiddin dalam parti yang dilihat sering 'bercanggah' berikutan tindakannya menentang pemimpin UMNO berhubung isu berkenaan, beliau kemudiannya dipecat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Jun 2016.
Tiga bulan tanpa parti, Muhyiddin bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kemudiannya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan menjadi Presiden dan mula bergerak sebagai pembangkang di negara ini selama dua tahun.
BERSATU kemudian membentuk gabungan dengan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dinamakan Pakatan Harapan (PH) dan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Muhyiddin kembali menyinar dalam dunia politik selepas memenangi Parlimen Pagoh pada PRU-14 pada Mei 2018 atas tiket BERSATU.
Beliau yang menyertai politik pada usia seawal 20-an itu kemudiannya dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah pimpinan Dr Mahathir dalam PH.

Muhyiddin Yassin Dilantik PM Ke-8 Angkat Sumpah 1 Mac 2020

Muhyiddin Yassin dilantik PM ke-8
Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti poltik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Agong. - Gambar fail

KL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
 
Dalam satu kenyataan media, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata baginda berpandangan Muhyiddin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti poltik dan Ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Agong.

"Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 (Ahad) jam 10.30 pagi di Istana Negara," memetik kenyataan itu.

Kenyataan Istana Negara
Istana Negara
Kenyataan Istana Negara

PH 'jilat balik ludah dan kahak mereka'.. -Dr Kamarul Zaman.


Rancangan ‘desperado’ DAP kembali berkuasa gagal

ORANG pertama yang merancang pengembalian DAP ke tampuk kuasa setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di tempat teratas pencalonan sebagai Perdana Menteri adalah pemikir utamanya, Dr Wong Chin Huat, yang dengan secepat kilat mengemukakan cadangan, yang turut disiarkan di dalam portal berita The Malaysian Insight petang semalam, mengenai pembentukan kerajaan baru membabitkan Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir Mohamad di mana:

(1) Tun Dr Mahathir Mohamad akan dilantik sebagai Perdana Menteri,
(2) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri,
(3) Peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibuat dua minggu selepas Sidang APEC.
(4) Lantikan Ahli Parlimen BERSATU sebagai Timbalan Perdana Menteri bila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri dua minggu selepas Sidang APEC.

Pagi ini rupa-rupanya pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Harapan menjilat balik ludah dan kahak mereka serta menelan kembali segala kecaman dan hamburan mereka terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sejak beberapa hari kebelakangan ini, termasuk ‘diktator’, ‘hauskan kuasa’ serta ‘bodoh dan berfikiran singkat’, untuk merayu Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi Perdana Menteri setelah mereka sebelumnya terang-terang mengkhianati beliau dengan mencalonkan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Politik jenis apakah yang diamalkan oleh PKR, DAP dan PAN? Boleh kalah Niccolo Machiavelli oleh mainan politik berbelit PH ini. Ingatlah bahawa di sebalik semua ini DAP adalah dalang utamanya.
Berdoalah semoga perancangan desperado DAP menemui kegagalan.
DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/2/2020

Kemelut Senyum: Anwar Berundur Setapak.. Kalah Lagi?


Berundur setapak untuk Tun M - Anwar

PEMIMPIN PKR memutuskan untuk mengambil langkah berundur dan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ke-8 bagi menamatkan kegawatan politik negara.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau gembira dengan keputusan dibuat oleh pimpinan parti itu memandangkan ia langkah yang perlu diambil.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PKR dan ahli parlimen yang bersetuju dengan usul saya untuk meredakan ketegangan dalam kepimpinan negara.
“Maka, kita harus berundur setapak dan mengusulkan nama Tun (Dr Mahathir) sebagai calon Perdana Menteri bagi mengelak negara ini terjerumus dalam kemelut politik.
“Keduanya, kita sudah menolak sistem terdahulu. Semoga Allah merestui usaha kita menyelamatkan negara dan tumpukan perhatian untuk memulihkan ekonomi serta kehidupan rakyat katanya ketika ditemui di sebuah hotel, di Petaling Jaya, hari ini.
Anwar berkata, beliau akan ke Istana Negara untuk menyampaikan surat pernyataan perubahan pendirian Pakatan Harapan.
“Jadi, saya akan ke istana untuk sampaikan surat menyatakan perubahan pendirian Pakatan Harapan daripada saya selaku calon perdana menteri (kepada Tun Dr Mahathir),” katanya.
Kira-kira kurang setengah jam kemudian, Anwar kembali semula dan disambut oleh penyokong parti yang melaungkan “Reformasi” di lobi hotel berkenaan.
Bagaimanapun, beliau enggan memberikan komen kepada media selepas lawatannya ke Istana Negara.

Lihat Sebelum Ini..
Buku IH-121: Kemelut  Dalam Senyum, Anwar/Mahathir
Hasil carian imej untuk catur politik

".. kami tak boleh berjinak-jinak dengan Tun kerana.." -Ust Mokhtar Senik


PAS tidak menari gendang dipalu pihak lain

JAUH beza Tun dengan PAS sejauh langit dan bumi. PAS berpisah dengan Umno sejak tahun 1951. Sejak itu PAS bertarung dengan Umno selama 68 tahun. Manakala Tun yang pernah menjadi Presiden Umno yang paling lama berpisah dengan Umno pada Februari 2016. Usia permusuhan Tun dengan Umno hanya 4 atau 5 tahun. Jauh lebih singkat masanya berbanding tahun-tahun Tun mengecapi nikmat dari Umno.  

Namun Tun sanggup menerima DAP berbanding Umno demi dendam beliau kepada Umno. Manakala PAS sanggup menolak DAP dan menerima Umno demi agama, bangsa dan negara. Ketika Tun mendapati Anwar musuh di luar yang mengancam beliau dan Umno. Tun mengambil sikap menarik Anwar ke dalam Umno, kemudian Tun jinakkan Anwar, kemudian Tun kuasai Anwar dan kemudian Tun terajang Anwar. 

Itu antara pendekatan politik Tun. Jinakkan musuh dalam gelanggang sendiri dan bila musuh dah lemah lalu ditendang keluar gelanggang. Begitu juga ketika Tun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) 7 beberapa hari lepas. Tujuan Tun hanya satu iaitu untuk menjadikan musuh-musuh politik beliau dalam PH melutut dan sujud kepada beliau. Yang akhirnya Tun akan membentuk Kerajaan Mahathir yang berkuasa penuh.

Tun cuba jinakkan PAS dengan kaedah tarik PAS masuk ke dalam Kerajaan Unity Government (UG) ciptaan Tun. Jika PAS setuju PAS terpaksa meninggalkan Umno sendirian di luar kerana Tun tidak menerima Umno dalam UG-nya. Ketika itu Umno akan lemah. Manakala PAS pula sememangnya tidak diterima oleh orang-orang DAP, BERSATU, PKR, dan PAN dalam UG itu. 

Maka PAS juga akan lemah. Akhirnya Tun juga yang semakin kuat cengkamannya. Muafakat Nasional (MN) berjaya dihancurkan. Maka tiada lagi ancaman luar kepada Tun dan tiada lagi ancaman dalam PH terhadap Tun. Namun PAS sebuah parti Islam. Sekali PAS memeteraikan janjinya dengan Umno dalam MN maka selama-lamanya janji itu PAS pegang dan hormati. PAS tak kisah tak jadi kerajaan bersama UG Tun itu. PAS tetap akan perkukuhkan MN bersama Umno. 

Dengan itu MN tetap menjadi ancaman luar yang menghantui Tun. Kalaupun YDPA tak bubar Parlimen sehari dua ini, namun Parlimen tetap akan bubar apabila sampai penggalnya. Waktu itu tiada lagi ruang untuk Tun lari kalau beliau masih panjang umur. 

Sementara itu tidak banyak usaha-usaha pemulihan PH dapat dilakukan dalam keadaan kudis permusuhan antara mereka terus bernanah sekalipun Kem Azmin dan BERSATU ditarik masuk semula dalam PH. MN terus dengan program pengukuhannya. Kalau bubar Parlimen waktu terdekat atau cukup penggal. MN sentiasa di hadapan dan bersedia untuk itu. 

InsyaAllah Tun akan tersungkur dengan game ciptaannya sendiri. Maaf Tun kami tak boleh berjinak-jinak dengan Tun kerana kami telah berikrar akan menjinakkan diri kami dengan Allah.


USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja

PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/2/2020

Tun M 'Sedia Jadi Calon PM' Dan 'Sokong Muhyiddin Calon PM 8'?

Dr Mahathir dakwa punyai majoriti, tidak mahu komplot pentadbiran kleptokrasi
Dr Mahathir dakwa punyai majoriti, tidak mahu komplot pentadbiran kleptokrasi

KL: Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad akui beliau mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan majoriti di Dewan Rakyat.

Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau tidak pernah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong mana-mana individu lain.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, dalam saya tidak bersedia untuk bekerja bersama individu korup dari UMNO, saya boleh menerima mereka secara individu asalkan mereka bersih.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih terbuka dalam pendekatan tersebut.

“Pagi ini saya bermesyuarat bersama pemimpin Pakatan Harapan. Saya yakin bahawa saya mendapat sokongan yang diperlukan dalam membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

“Justeru, saya bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri. Keputusan ini akan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya dalam satu kenyataan pagi ini.



Beliau pada masa sama turut merujuk kepada kenyataan yang menyatakan beliau menyokong Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Tegasnya, beliau menentang segala bentuk kerjasama dengan individu yang terpalit dengan rasuah termasuk dalam pentadbiran kleptokrasi.

“Seperti yang telah berulang kali saya nyatakan, saya menentang segala bentuk kerjasama dengan individu yang diketahui terlibat dalam rasuah dan sebahagian pentadbiran kleptokrasi yang Kerajaan Pakatan Harapan telah bekerja keras untuk menyingkirnya.

“Atas dasar prinsip, saya telah nyatakannya dalam mesyuarat bersama Ahli-ahli Parlimen Bersatu semalam.

“Malah saya meninggalkan mesyuarat itu lebih awal bagi memberi ruang kepada kalangan ahli Parlimen Bersatu untuk berdebat secara terbuka memilih siapa yang mereka rasa layak menjadi Perdana Menteri,” katanya. (AA)



Lihat Sebelum Ini..
Buku IH-121: Kemelut  Dalam Senyum, Anwar/Mahathir
E Buku IH-121: Kemelut Dalam Senyum, Anwar/Mahathir
Hasil carian imej untuk catur politik

Masalah Warganegara Dan Autonomi Cetus Rusuhan, N/Delhi Gagal Kawal.

40 terkorban dalam keganasan Hindu-Muslim di India
Penyokong undang-undang kewarganegaraan memukul seorang lelaki beragama Islam ketika rusuhan tercetus di New Delhi, India pada 24 Februari 2020. REUTERS/Fail
40 terkorban dalam keganasan Hindu-Muslim di India

MINGGU lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 40 nyawa terkorban akibat keganasan tercetus antara masyarakat Hindu dan Islam di India, khususnya di New Delhi.

Pihak polis pada Jumaat memaklumkan bahawa ratusan telah ditahan dan tahap keselamatan ditingkatkan di daerah tersebut.

Kata jurucakap polis Delhi M.S. Randhawa, polis masih dalam proses mengumpul maklumat serta menyemak rakaman video rusuhan dan kini telah menahan lebih 600 orang.

“Tahanan perlu dibuat untuk memastikan situasi terkawal,” kata Randhawa kepada media tempatan.

Keganasan tercetus akibat undang-undang kewarganegaraan yang dilaksanakan oleh kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi.

Menurut pengkritik, undang-undang tersebut memihak kepada masyarakat minoriti di negara jiran, kecuali umat Islam.


Selain itu, India turut menyaksikan ketegangan meningkat susulan kuasa autonomi kepada masyarakat majoriti Islam seramai 200 juta orang di Jammu dan Kashmir ditarik.

Namun, keganasan memuncak pada Ahad apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membuat lawatan rasmi ke India.

Masyarakat sedunia mengkritik pihak polis di New Delhi kerana gagal mengawal rusuhan itu sehingga ratusan penduduk mengalami kecederaan.

(Agensi)

Penglaman Hadapi ‘Sekatan’ Solat Jumaat. "..dan rakan non-Muslim amat saya hargai."


‘Sekatan’ Solat Jumaat: Pengalaman bekas pekerja Sony

"HANYA mati sahaja yang akan menidakkan saya tidak boleh lagi Solat Jumaat!” demikian tegas Nor Zamri Latiff berkongsi imbasan pengalamannya menghadapi ‘sekatan’ untuk pergi mengerjakan Solat Jumaat kira-kira 20 tahun dahulu.


Ketika itu beliau bekerja di sektor perkilangan, antara syarikat terkemuka dunia iaitu Sony EMCS di Perai, Pulau Pinang dan telah berkhidmat selama 18 tahun, sebelum berhenti 12 tahun lepas.

Cerita beliau, jadual kerja ketika itu disusun ‘Bos Melayu’, tetapi dipantau ‘Bos bukan-Melayu’ yang dibidasnya membuat undang-undang bodoh dan kerana keingkarannya untuk tetap solat, beliau dipanggil pihak atasan.

Akibat dari hal tersebut katanya, berlaku peristiwa beliau menumbuk rakan sejawatan bukan-Muslim hingga membuka mata mereka yang lain dan mendesak peraturan membenarkan Solat Jumaat.

“Saya tetap keluar (pergi Solat Jumaat). Tahun 1995 direzekikan oleh Allah S.W.T (saya dapat) kenaikan pangkat untuk bersama membina department baru iaitu Sony ODD. Alhamdulillah. Jasa Bos dan rakan non-Muslim amat saya hargai.

“Semua (pekerja Sony ODD) keluar (pergi) Solat Jumaat hingga ‘mencemburukan’ (pekerja) department lain. Director ODD, Mr TK Ong begitu rapat dengan saya. Sentiasa support dan cover berkaitan solat dan kebajikan.

“Tahun 2000 alhamdulillah semua pekerja keluar Solat Jumaat dan dimestikan menaiki bas kilang sahaja. Selepas itu bertambah baik dengan 2 jam stop operasi. Pekerja wanita Muslim (pula) boleh mendengar Kuliah Muslimat di surau dengan jemputan Ustazah.

Allahuakbar! Apabila kita meletakkan Islam dalam pekerjaan, insya-Allah, Allah permudahkan. (Malah) Sony ODD terlalu banyak (dapat) award Juara sejak penubuhannya 1995,” ujarnya merujuk anugerah produktiviti, kualiti, IPS Kaizen dan 5S setiap tahun.

Katanya, walaupun sudah bersara, beliau masih mendapat jemputan dari sahabat Sony dalam masyarakat kerja itu seperti Jejak Ramadhan, Kembali Ke Sekolah, Akikah dan Korban Perdana, serta aktiviti sukan.

Semua itu jelasnya, kerana erat hubungan persaudaraan yang terjalin atas semangat Islam, bahkan mengharmonikan hubungan dengan rakan-rakan bukan-Islam, termasuk hal ehwal kebajikan sesama mereka.

Kini Zamri selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Nibong tebal menjelaskan bahawa beliau mengimplementasi segala usaha seperti tersebut dari roh perjuangan PAS yang membawa dakwah, tarbiyah dan siyasah.

Bahkan beliau berbangga, terdapat empat pekerja dari Sony Perai pernah menjadi Calon PAS dalam PRU dan mereka terus berjuang meletakkan Islam di hadapan, setidak-tidaknya solat pada waktu.

Tetapi kesali beliau, di zaman PH memerintah ini sebagaimana dapat dilihat pada perbahasan Parlimen beberapa minggu lalu, Menteri gagal memberi jawapan mengenai garis panduan berkenaan Solat Jumaat untuk pekerja.

Bidasnya, sikap tanpa pendirian jelas tersebut seolah-olah meminggirkan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. – HARAKAHDAILY 20/12/2019

M/Nasional + Beberapa, Sokong Muhyiddin PM. Kedah, Perak, Melaka Ikut Johor?


MN-BERSATU capai majoriti? DAP cemas saat ini

LEWAT petang Jumaat, penghulu segala hari, yang penuh barakah, satu keputusan awal dicapai Muafakat Nasional (MN) dan BERSATU selain beberapa parti lain yang dijangka menyusul memberi sokongan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat selaku calon Perdana Menteri bagi diusulkan ke Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam masa terdekat.
Ia sesuai dengan titah Baginda YDPA berikutan Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu yang memberi kata putus bahawa tiada siapa dapat majoriti sokongan selepas temu bual berdepan yang dibuat YDPA awal minggu ini bagi 221 Ahli Parlimen.
Sesuai juga dengan saranan dalam titah tersebut bahawa Baginda akan memanggil wakil-wakil parti mengadap Baginda secepat mungkin.
Maka, ia satu isyarat jelas Baginda YDPA mahukan kesepakatan dicapai bagi membentuk kerajaan baharu atas gabungan bakal dibina mana-mana pihak yang mendapat majoriti.
Dalam perkembangan berkaitan, Muafakat Nasional-BERSATU masih menanti pula pendirian  GPS yang akan bermesyuarat Ahad ini, namun menurut sumber, GPS juga dikatakan akan mengikuti arus yang sedang dibina iaitu dikatakan akan memihak kepada Muhyiddin.
Sumber lain pula memaklumkan, Kedah, Perak dan Melaka bakal mengikuti ‘jejak teladan’ dari Johor untuk turut berubah teraju gabungan apabila melihat keputusan BERSATU di peringkat Nasional telah mengubah haluan tidak bersama PH.
Sementara sumber lain di Negeri Sembilan pula menyatakan empat wakil rakyat PAN bakal menyertai kem yang akan menukar peneraju di negeri itu dalam masa terdekat. Ia rentetan krisis dalaman PAN di Negeri Sembilan yang juga masuk ke fasa saman menyaman antara seorang Speaker dengan Wakil Rakyat yang sama parti (PAN).
Apatah lagi, desas desus di Johor pula beberapa wakil rakyat PKR dan PAN dikatakan bakal melakar kejutan untuk turut serta bersama kerajaan baharu yang telah berjaya dibentuk bersama Umno, PAS dan BERSATU.
Dijangka Isnin paling lewat sebuah kerajaan baharu bakal dibentuk di peringkat Persekutuan dan akan diikuti di beberapa negeri yang disebutkan tadi. Sedang sumber PH pula menyatakan kini Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga sedang berusaha mencari sokongan selepas melihat arus tidak menyebelahi mereka.
Paling cemas dengan situasi ini adalah DAP di mana mereka amat bimbang agenda mereka yang telah berjalan dan telah berjaya menggunakan beberapa pemimpin Melayu dalam PH sebagai tunggangan bakal tersekat. Ini sekiranya gabungan baharu berjaya menyerahkan bilangan majoriti menyokong pelantikan PM iaitu Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.
Sama-sama kita nantikan.
WAN NORDIN WAN YAACOB – HARAKAHDAILY 28/2/2020

Friday, February 28, 2020

Berita Gembira! Peguam Negara Letak Jawatan.



Dia dilaporkan menyerahkan surat itu pada Jumaat.

TAN Sri Tommy Thomas telah meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara.

Thomas dilaporkan menyerahkan surat kepada Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat, lapor The Edge.

Pelantikannya sebagai Peguam Negara sepatutnya berakhir pada Jun ini. - The Star. 


TOMMY THOMAS: PEGUAM NEGARA PALING TERUK DALAM SEJARAH MALAYSIA


TINDAKAN campur tangan Peguam Negara, Tommy Thomas terhadap prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah satu tindakan yang amat memalukan sistem keadilan negara sekali gus memburukkan imej Jabatan Peguam Negara dan kerajaan Malaysia.
2. Prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib merupakan usaha sistem keadilan negara mencari punca kematian bekas anggota JPBM itu. Setelah lebih beberapa bulan rakyat di seluruh negara menaruh harapan mencari kebenaran, Tommy Thomas tiba-tiba hadir campur tangan, mencemarkan prosiding inkues yang kini berada di fasa terakhir.
3. Beliau memberi alasan kononnya wujud elemen “konflik kepentingan” dan menjadikan peguam Syazlin Mansor sebagai mangsa. Namun beliau tidak jelaskan tentang kecenderungan Jabatan Peguam Negara yang seolah-olah telah lebih awal memutuskan “kematian Allahyarham Muhammad Adib bukan sebab dipukul”.
4. Sekiranya penglibatan Syazlin adalah salah, mengapa Tommy Thomas membutakan mata sejak hari pertama prosiding kes pada 11 Februari lalu? Kenapa beliau hanya “celik” tentang Syazlin selepas 3 bulan ketika mana prosiding inkues berada di saat akhir? Adakah ianya semata-mata kerana “Syazlin” atau testimoni yang menegaskan “Allahyarham Muhammad Adib maut kerana dipukul”?
5. Selain itu, ekoran penglibatan Syazlin dilihat salah di mata Tommy Thomas, apakah prosiding inkues yang telah berlangsung selama lebih 3 bulan itu tidak sah dari sudut perundangan negara? Sesungguhnya tindakan tidak profesional beliau memberikan implikasi mengelirukan orang ramai terhadap proses mencari keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib.
6. Tommy Thomas perlu berhenti menjadikan Jabatan Peguam Negara sebagai “firma guaman” hak miliknya sendiri kerana badan perundangan itu merupakan sebuah badan bebas milik kerajaan yang berperanan mendokong sistem keadilan negara dan bukan untuk bertindak memuaskan hati atau kehendak pihak tertentu.
7. Selain daripada isu “aksi bergelek sakan” yang memalukan badan perundangan negara sebelum ini, Tommy Thomas sejak dilantik sebagai Peguam Negara dilaporkan telah membuat banyak keputusan pelik dengan menarik balik dan tidak meneruskan pendakwaan kes-kes tertentu di mahkamah sehingga mencetus banyak persoalan kepada masyarakat.
8. Justeru itu, Tommy Thomas nampaknya tidak layak memegang jawatan Peguam Negara dan perlu segera meletak jawatan secara terhormat. Perdana Menteri juga selaku pemimpin tertinggi negara seharusnya mempertimbang untuk mencadangkan Yang DiPertuan Agong supaya menamatkan khidmatnya sebagai Peguam Negara demi menjamin ketelusan badan perundangan negara.
11 SEBAB KENAPA TOMMY THOMAS HARUS LETAK JAWATAN PEGUAM NEGARA
KAMI mendesak agar Tommy Thomas segera meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berasaskan 11 SEBAB yang digariskan seperti berikut:
(1) Pendedahan Puan Syazlin Mansur bekas peguam kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenai campur tangan Peguam Negara di dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Adib selain wujudnya Afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara mendeposkan Allahyarham Adib tidak dipukul sedangkan prosiding inkues belum pun selesa, jelas menunjukkan betapa lemah dan kurang arifnya Tommy Thomas mengenai perjalanan inkues dan diragui kredibiliti beliau untuk menjalankan tanggungjawab secara bebas.
(2) Wujudnya pendakwaan terpilih dan pengguguran pendakwaan misalnya pengguguran sepenuhnya kes rasuah YB Lim Guan Eng walaupun prosiding mahkamah telahpun berjalan dan saksi-saksi telah mula memberi keterangan di mahkamah, jelas membelakangi prinsip ‘Rule of Law’ dan integriti sebagai Peguam Negara.
(3) Selaku Peguam Negara Tommy Thomas gagal memberikan nasihat undang-undang secara adil dan tuntas kepada KDYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mengenai kesan dan impak Statut Rom dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan dan Raja-Raja Melayu.
(4) Selaku Peguam Negara, Tommy Thomas jelas tidak menghormati keputusan Majlis Raja-Raja Melayu dan Kerajaan Malaysia berkenaan Statut Rom dengan melibatkan diri dalam wacana awam yang secara terbuka mengkritik keputusan kabinet dan memperlekehkan Raja-Raja Melayu.
(5) Kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menasihati Perdana Menteri dan Yang DiPertuan Agong berhubung keperluan menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga amat memalukan kerana akhirnya terbukti bersifat sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif malah berlakunya pembaziran masa serta sumber negara.
(6) Selaku Peguam Negara, Tommy Thomas telah melantik peguam luar, Sitpah Selvaratnam bagi mengendalikan kes kapal mewah Equanimity dengan bayaran upah yuran guaman yang amat tinggi iaitu sebanyak RM2 juta sedangkan penghakiman di dalam kes tersebut hanyalah penghakiman ingkar (default judgement) dan tidak melibatkan sebarang proses perbicaraan. Dalam isu ini juga, Tommy Thomas didapati menipu kerana bertentangan dengan kenyataan awal beliau bahawa peguam luar dilantik tanpa sebarang bayaran atau Pro-bono.
(7) Tindakan Tommy Thomas selaku Peguam Negara menggugurkan sepenuhnya beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan hubungan diplomatik negara tanpa alasan munasabah seperti kes penderaan yang menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia Adelina Jerima Sau dan juga kes yang melibatkan dua suspek warga Vietnam dan Indonesia dalam kes pembunuhan warga Korea Utara yang dipercayai sebagai Kim Jong Nam, abang kepada Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un. Tindakan ini sekali lagi membelakangi prinsip 'Rule of Law' dan kedaulatan undang-undang negara.
(8) Tindakan Tommy Thomas selaku Peguam Negara membatalkan arahan untuk mendakwa peguam Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) sekali lagi mencetuskan persepsi buruk terhadap kebebasan dan integriti Institusi Peguam Negara lantaran tularnya video tarian ‘twist’ Tommy Thomas dengan Siti Kassim tidak berapa lama sebelum kes itu digugurkan.
(9) Tularnya satu audio rakaman perbualan Peguam Siti Kassim yang mendakwa beliau telah bercakap dengan Tommy Thomas berkenaan kes saman Kerajaan Pusat terhadap Kerajaan Kelantan berkaitan isu Orang Asli di Gua Musang yang difailkan setelah pengumuman tarikh Pilihanraya Kecil Cameron Highland menyerlahkan lagi akan wujudnya konspirasi dan hilangnya kredibiliti, integriti dan kebebasan Peguam Negara.
(10) Pengumuman keputusan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia oleh Pengerusinya, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) disifatkan ramai pihak sebagai mencabar status quo kedaulatan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan itu dibuat ‘secara unilateral’ tanpa menunggu perbincangan kementerian pendidikan dan merujuk kepada kabinet menimbulkan bantahan dan kritikan rakyat terhadap sikap dan pendirian Peguam Negara.
(11) Campur tangan Peguam Negara dalam Kes Rogol Pembantu Rumah Warga Indonesia yang melibatkan Exco DAP Perak yang terlepas daripada hukuman ternyata menimbulkan persoalan dan tanda tanya!
Justeru jika benar Kerajaan Malaysia Baharu ini masih berpegang kepada prinsip ‘Rule of Law’ dan memelihara kedaulatan undang-undang, maka berdasarkan 11 SEBAB di atas, KAMI menegaskan bahawa Tommy Thomas tidak lagi layak untuk terus memegang jawatan selaku Peguam Negara. 

Hidup Muafakat Nasional, Sokong Muhyiddin PM 8, Tolak DAP!


Calon PM ke-8: PAS-Umno setuju cadang Muhyiddin

KL: PAS dan Umno telah bersetuju mencadangkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8, demikian kenyataan media bersama dikeluarkan sebentar tadi.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, Umno dengan keanggotaan masing-masing 39 dan 18 Ahli Parlimen bersetuju untuk mencalonkan Ahli Parlimen Pagoh itu.

Kenyataan atas selaku gabungan Muafakat Nasional itu menegaskan ia bermakna seramai 57 Ahli Parlimen Umno dan PAS memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin.

Lampiran kenyataan tersebut telah dimuat naik di laman Facebook rasmi Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebentar tadi menyusuli titah Yang di-Pertuan Agung sebelumnya.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dalam kenyataan sebelum itu akan menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat untuk mengemukakan pencalonan. – HARAKAHDAILY 28/2/2020

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Hidup Muafakat Nasional, sokong Muhyiddin sebagai PM ke 8. Yang penting tolak DAP!

Rejab: Rindu Umat Islam Pada Ramadhan.

Hasil carian imej untuk pemandangan malam
Ramadhan dan sejarah kegelojohan umat Islam

TIDAK memahami keutamaan (الأولاويات)

(1) 1 Rejab 1441 bermula beberapa hari lagi, iaitu Isnin, 24 Februari 2020. Tarikh yang sepatutnya menimbulkan rindu umat Islam terhadap Ramadhan.

Boleh jadi ia adalah Ramadhan yang terakhir sebelum Umat Islam berhadapan dengan situasi yang lebih getir dengan kemunculan Dajal. WaLlahuaklam.

(2) Namun, hari ini sudah berlonggok-longgok promosi baju-baju raya. Seolah-olah Umat Islam hari ini sedang diheret ke arah mengabaikan Sunnah Nabi S.A.W.


Seolah-olah syaitan itu sedang membuat persiapan untuk berhadapan dengan penjara Ramadhan yang tersedia buat mereka sepertimana Sabda Nabi S.A.W;
إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار، وصفدت الشياطين
“Apabila datang bulan ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu para syaitan.”
(Shahih Bukhari)

(3) Kalau syaitan itu membuat persediaan, bagaimanakah Umat Islam boleh leka dan melupakan Ramadhan? Terhegeh-hegeh mempersiapkan Syawal.
Menggambarkan kejahilan Umat Islam akhir zaman yang semakin butakan keutamaan (الأولاويات). Umat Islam sepatutnya merasa sesuatu apabila hampirnya Ramadhan.
Mengejar pengampunan Allah S.W.T
(1) Nabi S.A.W bersabda;
مَنْ صامَ رمضانَ إيمانًا واحتسابًا، غُفِر له ما تقدَّمَ من ذنبه، ومَنْ قامَ ليلةَ القَدْر إيمانًا واحتسابًا، غُفِرَ له ما تقدَّم من ذنبه

“Barangsiapa yang berpuasa (di Bulan) Ramadhan (dalam kondisi) keimanan dan mengharapkan (pahala), maka dia akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu”.

Apabila ditanya mengapa para Salafussoleh terdahulu rindukan Ramadhan, kerana Ramadhan adalah bulan pengampunan dosa. Maka mereka menantikan saat dosa diampunkan.
(2) Ibn al Jauzi menyatakan;
تالله لو قيل لأهل القبور تمنوا لتمنوا يوماً من رمضان
“Demi Allah, sekiranya ditanya kepada ahli kubur, sudah pasti mereka pasti akan mengharapkan satu hari daripada bulan Ramadhan.”

Menggambarkan orang yang sudah mati sangat mengharapkan Ramadhan kerana ia adalah bulan pengampunan. Benar-benar menagih keampunan Allah S.W.T.
Namun hakikatnya mereka itu tidak mungkin dapat merasai lagi Ramadhan setelah mana pergi meninggalkan dunia ini. Orang yang masih hidup, pasti tidak mengertikan hal ini.
(3) Ahli gerakan Islam lebih patut untuk mengejar pengampunan Allah S.W.T. Itulah yang diharapkan sepatutnya. Kadang kala berpolitik kosong itu melekakan.
Maka, isikan ia dengan pengampunan Allah S.W.T di bulan Ramadhan. Menjadikan Ramadhan sebagai bulan jihad, bukannya menjadikannya masa untuk meninggalkan jihad.
Ramadhan bulan jihad
(1) Antara sirah Nabi Muhammad S.A.W yang terjadi dalam bulan Ramadhan ialah;
  • (a) Perang pertama dalam sejarah Islam ialah Perang Badar, berlaku pada bulan Ramadhan tahun 2 Hijrah.
  • (b) Persediaan Perang Uhud yang menyaksikan susunan strategi perang berlaku pada Ramadhan 3 Hijrah.
  • (c) Penggalian parit sebagai persiapan Perang Khandaq (Ahzab) dibuat pada bulan Ramadhan tahun 5 Hijrah.
  • (d) Pembukaan kota Makkah yang merupakan hari kemenangan Islam berlaku pada Ramadhan tahun 8 Hijrah.

(2) Hari ini, apabila masuknya bulan Ramadhan, biasanya Amerika Israel akan menyerang Umat Islam khususnya di Palestin dan di tempat-tempat lain juga.
Seolah-olah mencabar Umat Islam seluruh dunia untuk bangkit. Namun, kita sendiri sedar bahawa negara-negara Umat Islam yang berhampiran, sudah pun berbaik dengan Amerika Israel.
(3) Umat Islam hari ini tidak memikirkan hal negara jirannya dalam bab penindasan ini. Tidak menghiraukan bagaimana Ramadhan mereka yang ditindas itu.
Mereka tidak mampu untuk bersahur apatah lagi berbuka. Situasi yang terabai ini menjadi gambaran hilangnya nilai kesatuan Islam. Nilai kesatuan sudah berkubur di sempadan.
Antara kesabaran dan kegopohan
(1) Apabila berbicara mengenai Ramadhan, ia sangat berkaitan dengan sabar. Iaitu menahan diri daripada melakukan sesuatu yang dibenci oleh Allah S.W.T.
Banyak sikap-sikap yang mengundang kebencian Allah S.W.T, antaranya adalah kegelojohan. Nabi S.A.W bersabda;
التأنِّي من الله والعجلةُ من الشيطان
“Cermat itu daripada Allah S.W.T, manakala kegelojohan itu daripada syaitan.”

(2) Sikap kegelojohan atau kegopohan ini berlawanan dengan cermat. Syaitan biasanya mendorong manusia untuk bertindak melulu tanpa berfikir panjang.
Sebab itulah kita lihat, ada dalam sejarah Umat Islam yang bertindak seperti ini. Antaranya dalam fasa kejatuhan Uthmaniah yang perlu diambil iktibar.
(3) Umum mengetahui Uthmaniah pada asalnya tiada kena mengena dengan Perang Dunia Pertama yang bermula Jun 1914. Asalnya pertembungan antara Kuasa Pusat dan Tentera Bersekutu.
Kuasa Pusat yang dianggotai oleh Jerman, Hungary dan Itali manakala Tentera Bersekutu yang dianggotai oleh British, Perancis dan Rusia.
(4) Geng Pasha dalam Uthmaniah pula sememangnya sejak awal lagi sudah cenderung ke arah Jerman. Itali menarik diri dari kancah tersebut pada 1 Ogos 1914.
Keesokan harinya tanpa berfikir panjang, geng Pasha telah membuat perjanjian ‘belakang tabir’ untuk menyertai Kuasa Pusat berhadapan Tentera Bersekutu menggambarkan tindakan tidak cermat yang mengundang bahaya.
Kegelojohan yang merugikan
(1) Tindakan semberono ini bermula daripada kecenderungan geng-geng Pasha itu tidak memikirkan maslahah Umat Islam seluruh dunia. Tidak cermat dalam membuat keputusan.
Tindakan gelojoh seakan-akan beriya-iya nak menggantikan tempat Itali dalam Kuasa Pusat, tanpa memikirkan nasib Umat Islam seluruh dunia yang tidak ada kepentingan pun dalam perang itu.
(2) Jerman yang mengintai peluang itu, mula menawarkan dedak kepada Uthmaniah sebagai tanda rasmi penglibatan Uthmaniah dalam Kuasa Pusat pada Oktober 1914.
Sekali lagi tindakan semberono dan tak cermat dilakukan oleh Uthmaniah. Selang beberapa hari, tanpa diduga, geng Pasha yang sudah menikmati dedak, mula mengeluarkan arahan ‘mencari pasal’ terhadap Tentera Bersekutu.
Iaitu dengan menyerang Kapal Perang Rusia yang merupakan geng Tentera Bersekutu tanpa berfikir panjang. Sejurus serangan itu, Rusia isytihar perang kepada Uthmaniah.
(3) Perang meletus. Khalifah tiada pilihan, terpaksa menyeru Ummat Islam seluruh dunia bangkit menentang Tentera Bersekutu di seluruh dunia.
Kebangkitan demi kebangkitan, akhirnya mengorbankan 250 000 Tentera Uthmaniah. Rekod pemerintahan Khilafah Islamiah tercalar dalam isu ini.
Bayangkan disebabkan kegelojohan segelintir pimpinan Umat Islam, merugikan Umat Islam di seluruh dunia. Ambillah iktibar ini sempena kehadiran Ramadhan tak lama lagi.
Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/2/2020


Hasni Dari BN, Sah MB Johor Ke-18


Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad angkat sumpah jawatan Menteri Besar ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor. - Foto ihsan Sultan Johor Royal Press Office

JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad sah menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar jam 5.09 petang tadi.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Hasni, 61, adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Johor.
Beliau menggantikan Datuk Dr Sahruddin Jamal dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-17 pada 14 April, 2019.
Rabu lalu, Sultan Johor bertemu dengan 54 ADUN Johor bagi mengetahui siapa pilihan mereka ekoran keluarnya BERSATU daripada Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu, sekali gus menjadikan Johor, kerajaan tergantung.
Ini adalah pelantikan Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei 2018. (BH)

Penyanyi Duffy, Akhirnya Buka Mulut Penyesalan.

HALAMAN HIBURAN

AIMEE Anne Duffy adalah penyanyi, penulis lagu dan aktris Welsh. Dilahirkan di Bangor. Selepas sekian lama menyepikan diri, penyanyi dari Wales, Duffy membuat pengakuan berani yang dirinya pernah diberikan dadah, dirogol dan dikurung untuk beberapa hari.
Mirror Online melaporkan penyanyi berusia 35 tahun yang terkenal dengan lagu Mercy itu membuat pendedahan itu menerusi laman Instagram miliknya, kelmarin.
Pendedahan itu mendapat banyak maklum balas daripada peminatnya yang turut bersedih dan memberi kata semangat untuk penyanyi berkenaan meneruskan hidup.
Menurut Duffy, apa yang berlaku menyebabkannya trauma hingga mengambil masa beberapa tahun untuk melupakan peristiwa hitam itu.


“Bayangkan berapa banyak kali saya berfikir sebelum menulis mengenai perkara ini. Bagaimana untuk meluahkan dan apa perasaan saya?
“Saya sendiri tidak pasti adakah ini masa yang tepat untuk ceritakan apa yang berlaku, ke mana dan mengapa saya menghilang.
“Wartawan ada menghubungi saya dan saya sudah ceritakan mereka apa yang berlaku serta berasa lega kerana akhirnya dapat bersuara,” tulisnya.
Tambah Duffy, muzik yang membantunya bangkit daripada terus mengenangkan nasib buruk yang menimpa dirinya.
“Proses penyembuhan ini tidak mudah kerana mengambil masa dan pasti ramai yang tertanya mengapa saya tidak menceritakan perkara ini dari awal lagi.
“Saya tidak mahu menunjukkan kesedihan di mata saya untuk tatapan dunia. Malah, saya bertanya dalam diri, bagaimana mahu menyanyi semula sedangkan hati saya retak dan menunggu masa untuk hancur,” katanya. (IH)

Video: Powerfull | Kembalilah Kepada Allah - Muhammad Hoblos


Lihat lagi..
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E-Buku IH-87: Cara Fikir Salah Artis
E Buku IH-120: Cara Fikir Salah Artis (2)

E Buku IH-120: Cara Fikir Salah Artis (2)