Demokrasi benarkan banyak pendekatan
Firman Allah SWT:
﴿وَقَالَ يَٰبَنِيَّ لَا تَدۡخُلُواْ مِنۢ بَابٖ وَٰحِدٖ وَٱدۡخُلُواْ مِنۡ أَبۡوَٰبٖ مُّتَفَرِّقَةٖۖ وَمَآ أُغۡنِي عَنكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَيۡءٍۖ إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۖ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُۖ وَعَلَيۡهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُتَوَكِّلُونَ٦٧﴾
“Dan dia (Nabi Ya’kub AS) berkata lagi:
“Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke Bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.
Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.
Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah.
KepadaNya sahajalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.”
(Surah Yusuf: 67)
“Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke Bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.
Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.
Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah.
KepadaNya sahajalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.”
(Surah Yusuf: 67)
Al-Quran menceritakan peristiwa Nabi Yusuf AS, seorang Rasul yang maksum )terpelihara daripada dosa) dengan cara yang istimewa, lalu mendapat kuasa memerintah negara Mesir dengan perlindungan dan kurniaan Allah SWT, setelah dibuktikan akhlak baginda yang mulia bersama kemampuan dalam mengurus ekonomi negara tanpa melobi dan menipu, sehingga menjadi teladan kepada manusia. Seterusnya Allah SWT menemukan Nabi Yusuf AS dengan saudara-saudara kandungnya yang pernah menzaliminya sehingga dibuang ke dalam telaga dan dijual.
Nabi Ya’kub AS meminta anak-anaknya yang berangkat ke Mesir sebelum mengenali Nabi Yusuf AS setelah dipaksa pulang membawa datang adiknya Bunyamin AS.
Nabi Ya’kub AS menasihati anak-anaknya supaya masuk ke dalam kota, melalui pintu yang tidak sama, jangan melalui satu pintu sahaja, kerana belum diketahui keadaan yang selamat.
Al-Quran adalah petunjuk bagi umat Islam melalui tafsir para ulama’ muktabar, bukan akal manusia sahaja seperti Machiavelli atau orientalis seperti John Adair dan sebagainya yang sesat atau tidak ikhlas terhadap Islam. Petunjuk Al-Quran itu berpanjangan sehingga Hari Kiamat, walaupun diwahyukan sejak lima belas abad yang lalu.
Demokrasi Barat adalah sistem politik yang mendapat kuasa melalui rakyat dengan beberapa pendekatan yang bijaksana dan sinonim dengan Islam. Alangkah baiknya kalau berkonsepkan iman dan budiman.
Konsep demokrasi memberi hak kepada rakyat menentukan kuasa kerajaan melalui beberapa pendekatan, seperti pilihan raya umum dan kecil atau desakan rakyat melalui wakil-wakil mereka atau himpunan aman. Maka PAS beristiqamah memilih pendekatan demokrasi bersama konsep Islam dengan penekanan sifat ‘adalah (keadilan) dan bai’ah dalam fiqah politik Islam.
PAS berpengalaman memilih pintu-pintu demokrasi yang banyak bagi memasuki Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, walaupun jalannya sukar dan memakan masa yang panjang.
PAS tetap menyertai pilihan raya walaupun masih banyak kelemahannya sehingga ada yang hilang wang pertaruhan yang diwajibkan. PAS berpengalaman mengadakan hubungan dengan semua pihak, sama ada Islam atau bukan Islam dengan panduan syariat. Di antaranya pendekatan perpaduan ummah, tahaluf (persefahaman politik) dan ta’awun (bertolong menolong).
PAS berpengalaman memerintah kerajaan dan menyertai Kerajaan Pusat serta pernah menjadi pembangkang dengan mempunyai kerusi dan hilang kerusi yang dimenangi, namun terus beristiqamah bersama politik Islam.
PAS juga berpengalaman dengan pendekatan demonstrasi aman. Namun PAS tidak terjejas dalam semua keadaan sama ada pengikut atau pencabarnya. Ada yang mahu menjadikan PAS laksana hotel persinggahan sementara atau alat yang ditunggang bagi mengejar niat yang tidak ikhlas bersama PAS selain daripada matlamat dan perjuangan PAS.
Ada yang masuk parti lain akhirnya tenggelam laksana semut ke dalam gula. Ada yang menubuhkan parti lain yang berakhir menjadi laksana kereta terpakai. Ada yang terus hilang tidak disebut dalam sejarah atau termasuk dalam sejarah yang hitam.
Ada yang masuk parti lain akhirnya tenggelam laksana semut ke dalam gula. Ada yang menubuhkan parti lain yang berakhir menjadi laksana kereta terpakai. Ada yang terus hilang tidak disebut dalam sejarah atau termasuk dalam sejarah yang hitam.
PAS mampu mengerahkan rakyat berdemonstrasi secara aman. Tetapi apabila mahu dipergunakan sahaja supaya bertempur dengan pasukan polis yang tidak bersalah, maka PAS mengundurkan diri.
Rakyat menyaksikan betapa PAS sebenarnya ada pengaruh mengerahkan rakyat. Berbeza dengan pihak lain yang sebenarnya tidak mampu mengerahkan rakyat seperti PAS. Bahkan jentera pilihan raya dan duit PAS digunakan untuk kepentingan mereka.
PAS bersedia menjadi laksana lilin, membakar dirinya demi agama, rakyat dan negara yang diutamakan, bukan seperti mereka yang slogannya sahaja bersih tetapi niatnya tidak.
PAS terkeluar daripada Pakatan Rakyat apabila tetap mempertahankan prinsip Islam dan matlamatnya supaya Islam memimpin, bukan pengekor. Mereka terungkai tanpa PAS dan menubuhkan Pakatan Harapan sekadar untuk menjatuhkan kerajaan dengan apa cara sekalipun, sehingga matlamat menghalalkan cara.
Sehingga Tun Mahathir ditonjolkan ke hadapan bagi menarik rakyat dan mencapai kemenangan apabila Tun Mahathir menjadi simbol dilantik menjadi Perdana Menteri.
Sehingga Tun Mahathir ditonjolkan ke hadapan bagi menarik rakyat dan mencapai kemenangan apabila Tun Mahathir menjadi simbol dilantik menjadi Perdana Menteri.
Akhirnya mereka berjaya, tetapi bukan Islam mendominasi Kerajaan Pakatan Harapan, walaupun diusahakan penambahan daripada kalangan Islam, tetapi menemui keadaan yang bercelaru kerana celaru Islamnya. Ada yang liberal, ada yang berijtihad sendiri dalam perkara Islam tanpa kelayakan dan keahlian, sehingga menimbulkan keadaan sangat berbahaya kepada agama, bangsa dan negara, lebih bahaya daripada segala penyelewengan yang lain.
Rakyat memilih Pakatan Harapan kerana semangat yang tersasul dan terpukau dengan janji menarik yang tidak dapat dilaksanakan. Akhirnya berlaku pertelagahan sesama mereka dalam satu parti dan di kalangan parti-parti yang berbeza, menyebabkan ada yang memecahkan dinding rumahnya sendiri. Isu Perdana Menteri dijadikan sasaran, maka Tun Mahathir menjadi mangsanya.
PAS melihat Tun Mahathir berusaha menyelamatkan Islam dan bangsa Melayu supaya tetap memimpin masyarakat majmuk dengan pendekatannya menyusun Jemaah Menteri yang dikuasai oleh Melayu Islam, tetapi tidak mendapat kerjasama yang padu. Ada yang mahu menggulingkannya kerana mahu cepat menjadi Perdana Menteri dan tujuan-tujuan yang lain.
Maka PAS bersama UMNO telah mengadakan Gabungan Muafakat Nasional sebagai usaha menyelamatkan keadaan yang bercelaru sehingga boleh menyertai Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Tun Mahathir dan para ilmuwan bagi menyelamatkan agama dan bangsa, tetapi dilabelnya sebagai barua.
PAS mengambil langkah proaktif lebih ke hadapan dengan mencadangkan usul kepercayaan kepada Tun Mahathir supaya terus menjadi Perdana Menteri. Malangnya banyak yang tidak memahami hasrat usul tersebut, sehingga mendedahkan ramai pengulas dan penganalisis politik serta profesor laksana pemilik lesen terbang yang tidak tahu memandu tetapi dianggap berilmu.
Apa yang penting mendedahkan mereka yang ikhlas dan tidak ikhlas bersama Tun Mahathir.
Akhirnya kami membuat keputusan untuk mengumpulkan Ahli Parlimen daripada Muafakat Nasional dan PH yang sememangnya telah dipilih oleh rakyat untuk menyokong Tun Mahathir bagi membentuk suatu kerajaan baru mengikut Perlembagaan atau pilihan raya baru yang akan menyusahkan rakyat. Hakikatnya dinding kerajaan yang ada sudah dipecahkan oleh mereka sendiri, namun kami tetap memilih pintu demokrasi bukan pintu belakang atau dinding yang pecah itu.
Apabila kalangan yang sebenarnya mahu menggulingkan Tun Mahathir mendapati mereka tidak mencukupi jumlah bagi membentuk kerajaan, tiba-tiba mereka membuat pusingan U menyokong Tun Mahathir sebulat suara, bagi meneruskan agenda mereka supaya dapat melangsungkan Kerajaan PH yang sudah lemah dan rosak dengan lakonan, laksana saudara-saudara Nabi Yusuf AS yang berpura-pura menangis di hadapan ayahnya Nabi Ya’kub AS.
Akhirnya terbentuk Perikatan Nasional yang menggabungkan Muafakat Nasional dan rakan-rakan yang terpaksa keluar atau dipecat daripada PH serta pihak lain yang tidak bergabung dengan Perikatan Nasional sehingga mencukupkan jumlah membentuk kerajaan yang lebih banyak kaum dan jumlah parti yang menyertainya bersama calon yang baharu, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Akhirnya kami dapati ternyata bahawa sokongan pusingan beberapa kali oleh mereka yang kononnya menyokong Tun Mahathir sebenarnya untuk membawa rebah dalam pusingan kedua, bukan mengangkatnya.
Bersyukur kepada Allah SWT kerana agama, rakyat dan negara dapat diselamatkan dengan cara aman melalui salah satu pintu-pintu demokrasi bukan melalui dinding yang dipecahkan.
“Islam Memimpin Perpaduan”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 12 Rajab 1441 / 7 Mac 2020