Saturday, April 18, 2020

COVID-19: Akhirnya Barat terpaksa akur sistem Islam


SELAMAT dengan Islam
(1) Nabi S.A.W bersabda;
اسلم تسلم
“Islamlah, kamu akan selamat.”
  • (a) Hadis ini asalnya adalah dialog yang panjang antara Nabi S.A.W dan seorang paderi besar yang bernama ‘Adiy bin Hatim at-To’iy, yang berakhir dengan keislaman beliau.
  • (b) Hadis ini juga termasuk dalam petikan surat Nabi S.A.W yang dikirimkan kepada pembesar-pembesar seperti Raja Parsi, Raja Rom dan lain-lain.

(2) Petikan yang ringkas ini dihuraikan secara meluas oleh para Sarjana. Antaranya mengenai sistem Islam, yang perlu diperakukan. Apatah lagi pada hari ini kita berhadapan dengan situasi COVID-19.
Jika kita perhatikan, kita akan dapati bahawa negara-negara yang mengamalkan sistem Islam khususnya dalam bab perubatan, telah menyusut bilangan kesnya.
(3) Manakala negara-negara yang bising mengenai ‘Human Rights’ mengalami peningkatan kematian yang tinggi. Ia wajar diperincikan bagi kita memahami beberapa realiti.
Yang saya maksudkan mengenai pelaksanaan sistem Islam itu, bukanlah dari segi bilangan orang Islamnya, akan tetapi dari segi kaedah bagi mengekang penularan.
Iaitu kaedah yang diajarkan oleh Islam. Mereka yang akur dengan sistem Islam ini insyaAllah akan selamat. Mereka yang ‘degil’ untuk mengikut sistem Islam ini ‘tak selamat’.
Liberalism VS Stay At Home
(1) Negara-negara Barat seperti Amerika dan Itali yang memegang ranking pertama dan kedua masing-masing ‘terikat’ dengan fahaman Liberalism, dan sudah sebati dengan begitu.
Perkara inilah yang menyebabkan penularan wabak ini sukar dikekang kerana mereka menganggap bahawa mereka perlu diberi kebebasan, sama ada nak ikut arahan PKP atau tidak.
(2) Boleh rujuk semula beberapa artikel saya sebelum ini yang berkaitan mengenai ini [1]. Ia menggambarkan bahawa budaya itu bertentangan dengan sistem Islam khususnya ketika penularan wabak ini.
Berbeza dengan negara-negara yang mengamalkan sistem pengekangan virus merebak cara Islam, seperti kuarantin, duduk di rumah dan sebagainya, dilihat lebih efisien dalam menangani masalah ini.
(3) Beberapa Hadis Nabi S.A.W yang menggambarkan sistem pengekangan virus, antaranya Baginda S.A.W bersabda;
أنَّه كان عَذابًا يَبعَثُه اللهُ على مَن يَشاءُ، فجعَلَه رَحمةً للمُؤمِنينَ، فليس مِن رَجُلٍ يَقَعَ الطاعونُ فيَمكُثُ في بَيتِه صابرًا مُحتَسِبًا يَعلَمُ أنَّه لا يُصيبُه إلّا ما كَتَبَ اللهُ له إلّا كان له مِثلُ أجْرِ الشَّهيدِ.
“Sesungguhnya wabak Ta’un adalah azab yang diutuskan Allah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan menjadi rahmat bagi orang-orang beriman, tidaklah seorang lelaki yang ditimpa (waba’) Ta’un lalu dia tetap di rumahnya dalam keadaan bersabar dan mengharapkan pahala (dari Allah), lalu dia mengetahui Ta’un itu tidak akan menimpanya melainkan apa yang Allah telah tetapkan baginya melainkan baginya seumpama ganjaran (pahala) orang yang mati syahid.”

(Shahih Bukhari)
(4) Mereka yang akur dengan sistem Islam yang digambarkan dalam Hadis ini, insyaAllah selamat. Begitulah yang dilanggar oleh orang-orang Barat menyebabkan negara mereka sukar membendung penularan.
Kuarantin dan pengasingan
(1) Antara yang lain, Islam mengajar sistem kuarantin ketika berhadapan dengan situasi COVID-19. Antaranya Nabi S.A.W bersabda;
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُوْنِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوْهَا، وَإِذَا وَقَعَ بأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوْا مِنْهَا. (متفق عليه)

“Apabila kamu mendengar berlakunya wabak Taun di suatu negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya maka jangan kamu keluar.”
(Muttafaqun ‘Alaih)
(2) Apa yang digariskan oleh Baginda S.A.W ini ialah selamatkan diri kamu daripada penyakit. Sekiranya kamu ditimpa penyakit, maka janganlah membawanya menjangkiti orang lain.
Ia selaras dengan kaedah Islam;
لا ضرر ولا ضرار

“Jangan memudaratkan diri sendiri dan jangan memudaratkan orang lain.”
(Riwayat Ibn Majah)
(3) Jika dilihat kepada tragedi Ta’un Amwas yang berlaku pada zaman Saidina Umar R.A, beliau menggunakan Hadis di atas tadi untuk melaksanakan kuarantin. Tragedi ini meragut nyawa pimpinan Islam ketika itu, Abu Ubaidah R.A.
Kemudian digantikan oleh Amru al-Ash, dan beliau melaksanakan kuarantin dengan mengarahkan supaya berpindah dari bandar dan kampung pergi ke bukit-bukit dan lembah yang tiada penduduk.
(4) Tindakan pemindahan tersebut walaupun tidak disebut nas secara khusus, namun ia adalah maqasid yang sama dengan penjagaan nyawa. Kedua-dua konsep ini merupakan sistem Islam.
Kuarantin dan pemindahan ke tempat tempat terpencil, secara berpecah, jauh dari orang ramai, sebagai satu langkah yang disediakan oleh Islam untuk mengekang penularan wabak.
Barat dan imunisasi
Saranan-saranan Islam yang bersumberkan al-Quran dan Hadis ini perlu diikuti oleh manusia, selaras dengan Islam sebagai sebuah sistem. Iaitu sistem mengekang penularan virus.
Sistem yang disediakan oleh Islam itu banyak. Bukan sekadar kuarantin dan pemindahan ke tempat terpencil. Dalam isu penularan wabak ini Islam menyuruh supaya meningkatkan imunisasi.
(2) Imunisasi dibincangkan secara mendalam oleh Sarjana Islam, kerana ia selari dengan maksud daripada al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W yang menekankan aspek penjagaan الوقاية
Imam Al Munawi menghuraikan maksud الوقاية sebagai;
حفظ الشّيء عمّا يؤذيه ويضرّه، والتوقّي: جعل الشّيء وقاية ممّا يخاف.

“Iaitu menjaga sesuatu daripada apa-apa yang mencelakakan dan memudaratkannya. Manakala perkataan التوقي pula menjadikan sesuatu sebagai benteng daripada apa yang ditakuti.”
(3) Apa yang terjadi di Barat menampakkan bahawa mereka berkeras untuk tidak akur dengan sistem ini. Mereka lebih mengutamakan kebebasan (Liberal), berbanding nyawa.
Jelas bertentangan dengan maqasid syariah, dan jika dirujuk kepada ‘mafhum mukhalafah’ bagi Hadis اسلم تسلم mendapati bahawa jika kamu tak nak ikut cara Islam, kamu tak selamat.
Sebab itulah hari ini peningkatan kematian di negara-negara Barat meningkat secara mendadak. Ini kerana mereka lebih cenderung kepada keinginan untuk bergerak bebas sekalipun disuruh duduk di rumah.
Allah S.W.T berfirman;
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

“Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?”
(al-Furqan: 43)
Barat ada yang akur
Dunia Islam dan Barat sejak dahulu turut mengkaji mengenai ‘benteng diri’ yang dikenali hari ini sebagai vaksin. Masing-masing bertujuan untuk meningkatkan imunisasi.
Tujuannya ialah untuk berhadapan dengan penyakit yang datang bila-bila masa sahaja. Situasi ini menggambarkan bahawa mereka juga mempunyai naluri untuk mengikut sistem Islam.
(2) Bahkan mereka sendiri tidak tahu bahawa konsep imunisasi atau vaksin itu adalah salah satu sistem Islam. Sebab itu mereka terkenal dengan vaksin-vaksin mereka.
Namun, situasi hari ini mereka enggan mengikut saranan doktor supaya berkurung di rumah selaras dengan kaedah Islam. Ini kerana mereka lebih mengutamakan keinginan.
(3) Mereka mengutamakan keinginan untuk hidup bebas. Tidak terikat. Fenomena ini terjadi kerana mereka begitu lama tenggelam dalam ideologi Sekularism, yang mana akhirnya menjerut mereka sendiri.
Ini kerana sistem kuarantin yang disediakan oleh Islam menyekat kebebasan mereka. Perlu faham, bahawa Islam memberi kebebasan kepada manusia, namun kebebasan itu ada batasnya.
(4) Sebab itulah Barat apabila disuruh ambil vaksin, mereka tiada masalah. Tetapi apabila suruh berkurung untuk elak penyakit berjangkit, mereka rasa tak senang dengan saranan itu.
Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 18/4/2020

'...diputarbelit MalaysiaKini' -Iskandar A/Samad


Teguran kepada PN diputarbelit MalaysiaKini

Komen saya kepada berita “Menteri PN akan menjadi bahan ketawa kalau…”.

Saya merujuk kepada berita bertajuk seperti di atas yang telah tersiar di dalam portal berita Malaysiakini bertarikh 17 April 2020.

Berita tersebut adalah berdasarkan kenyataan akhbar saya bertajuk, “Peringatan untuk kerajaan Perikatan Nasional: Jangan pijak periuk api” yang dikeluarkan semalam.
Di sini saya ingin membuat beberapa pembetulan kepada berita tersebut yang saya anggap tidak begitu tepat.
Ianya adalah,
1) Saya tidak pernah berkata Menteri PN akan menjadi bahan lawak.
Saya hanya menyatakan jika “Menteri-Menteri menjadi bahan lawak ketawa” (seperti di zaman PH) maka “rakyat tidak akan berdiam diri”.
2) Berita itu juga memberi gambaran seolah-olah kenyataan saya memberi tumpuan utama kepada isu pelantikan-pelantikan di dalam agensi kerajaan dan GLC.
Walau bagaimanapun isu tersebut adalah hanya sebahagian dari kenyataan saya.
Saya hanya menyebut jika “pelantikan jawatan-jawatan di dalam kerajaan dan agensi kerajaan di atas pertimbangan politik semata-mata” maka “sudah tentu rakyat tidak akan berdiam diri”.
Kenyataan saya adalah merupakan teguran umum untuk Kerajaan Perikatan Nasional yang menyentuh juga perkara-perkara lain.
Membaca berita itu saya teringat cerita tentang orang buta dan gajah. Salah seorang buta telah memegang ekor gajah dan membuat kesimpulan gajah itu seperti seekor ular. Begitulah Malaysiakini yang hanya memetik sebahagian dari kenyataan akhbar saya.
Walau bagaimanapun saya tidak bimbang dengan kekeliruan yang timbul akibat berita yang disiarkan kerana orang ramai telah sedia maklum akan kecenderungan Malaysiakini.
Saya telah mendapat maklumbalas dari orang ramai tentang kenyataan saya justeru itu mengucapkan terima kasih kepada Malaysiakini kerana telah memberikan publisiti kepadanya. Kontroversi kecil yang dicetuskan telah berjaya menarik minat umum.
Dato’ Iskandar Abdul Samad
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan / Resource Centre For The Advancement Of The Community And Housing ( REACH )
18 April 2020 – HARAKAHDAILY 18/4/2020

PM Thai rayu 20 terkaya bantu ekonomi.. M'sia Bagaimana??

Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata semua mesti bekerjasama memanfaatkan setiap bakat yang ada untuk memulihkan ekonomi pasca Covid-19. — Foto Reuters
Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata semua mesti bekerjasama memanfaatkan setiap bakat yang ada untuk memulihkan ekonomi pasca Covid-19. — Foto Reuters


BANGKOK, 18 April — Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha, berkata beliau akan menemui 20 orang terkaya di negara ini, untuk mendapatkan bantuan bagi menangani kemerosotan ekonomi akibat wabak Covid-19.
Dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen, beliau menyeru semua pihak bersatu padu bagi mengharungi perjuangan melawan Covid-19 kerana kesan virus itu sangat besar dan rumit.
Katanya, semua mesti bekerjasama dan memanfaatkan setiap bakat yang ada untuk membantu memulihkan ekonomi pasca Covid-19.
“Golongan kaya ini sangat berpengaruh dalam ekonomi negara dan ada di antara mereka terkaya di dunia. Saya akan menulis kepada mereka minta mereka memainkan peranan penting dalam kerjasama dengan kami untuk membantu negara.
“Saya harap semua orang akan menyumbang lebih banyak untuk membantu dalam krisis ekonomi Covid-19,” katanya.
Namun, beliau tidak mendedahkan nama individu terkaya itu.
Setakat ini, Thailand melaporkan 2,700 kes Covid-19 dengan 47 kematian.
Chearavanont bersaudara dari Charoen Pokphand Group (CP Group), yang berjaya membida operasi Tesco Thailand dan Malaysia bernilai US$10.6 bilion (R46.31 billion), menduduki tangga teratas 50 senarai Orang Paling Kaya Forbes Thailand, dengan nilai kekayaan US$27.3 bilion.
Pemilik bersama Red Bull, Chalerm Yoovidhya di tangga kedua dengan kekayaan bernilai US$20.2 bilion diikuti Charoen Sirivadhanabhakdi dari Thai Beverage dengan US$10.5 bilion.
Bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang digulingkan pada 2006 dan kini hidup dalam buangan, juga termasuk dalam senarai itu.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan ramalan ekonomi Thailand pada 2020 kepada penguncupan 6.7 peratus, menjadikannya prestasi terburuk di antara negara Asean.
Thailand sedang menyaksikan kemelesetan terburuknya sejak tahun 1998 kerana pandemik dan lockdown akibat Covid-19 yang menjejaskan industri pelancongan, pembuatan dan eksport, kata RHB Research Institute Sdn Bhd. — Bernama
Komen Weblog Ibnu Hasyim: PM Thailand, akan menemui 20 orang terkaya di negaranya untuk mendapatkan bantuan bagi menangani kemerosotan ekonomi akibat wabak Covid-19. 
Di Malaysia perlukah pemimpinnya berbuat begitu? Kalau pemimpin atau usahawan Islam, perlukah diselidiki adakah mereka membayar zakat harta dan di mana mereka membayarnya? 
Kerana menurut Islam dalam harta orang kaya ada hak orang miskin! Tidak sempurna iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedang jiran tetangganya dalam kelaparan. Adakah di Malaysia tidak ada yang lapar? 

Di zaman Khalifah Islam Abu Bakar, kerajaan mengisytiharkan perang terhadap kelompok rakyatnya yang enggan batar zakat.. Apa pandangan Menteri Agama (JPM) baru, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam hal ini?

Tembikai T'ganu, 1,000 Hektar Hasilkan 750,000 Metrik Tan Setahun.


Terengganu antara pengeluar tembikai di Malaysia.
SETIU: Terengganu menjadi antara negeri pengeluar utama tembikai di Malaysia apabila memiliki kebun dan ladang penanaman seluas 1,000 hektar dan penghasilan buah sekitar 750,000 metrik tan setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman sepanjang tahun itu dilaksanakan secara berperingkat serta berjadual bagi memastikan bekalan berterusan.
“Dengan 1,000 hektar kawasan yang ditanam tembikai di seluruh negeri ini, boleh saya nyatakan bahawa Terengganu adalah salah satu negeri pengeluar utama tembikai di Malaysia.
“Ia melibatkan seramai 3,000 petani yang menanam bukan secara serentak dan berjadual yang disusun oleh Jabatan Pertanian Negeri, selain berupaya mengelakkan berlaku lambakan hasil,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui media selepas Program Pemantauan Belian Tembikai Kelompok, Tanaman Tembikai FAMA di Kampung Alor Tok Kabar, di sini kelmarin.
Mengulas lanjut beliau juga memaklumkan, hasil daripada itu, kerajaan berjaya memastikan rakyat Terengganu memiliki bekalan makanan yang mencukupi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, seramai 25 peserta terlibat dalam kelompok tanaman tembikai di Kampung Alor Tok Kabar, Kampung Nyatoh menarik nafas lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu memasarkan hasil tananam mereka ke Semenanjung Malaysia.

Malah ujar beliau, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) turut memainkan peranan penting dalam memasarkan hasil pertanian dalam tempoh PKP ini.
“Dengan keluasan 14.5 hektar itu, mereka berjaya menghasilkan kira-kira 436 matrik tan yang bernilai dalam lingkungan RM343,000. Dalam fasa pertama dan kedua PKP, TADC berjaya memasarkan kira-kira 1,000 tan metrik.
“Untuk fasa ketiga kita menjangkakan dalam 1,000 tan metrik lagi tembikai akan dipasarkan. Jadi dalam dalam tempoh sebelum dan semasa PKP  ini boleh disimpulkan sebanyak 3,000 tan metrik  telah dikeluarkan,” jelasnya.
Buah Tembikai Membawa Dosa - Relaks Minda
Mengulas mengenai kadar harga tembikai kata beliau, keadaan semasa ini tidak mampu mengembalikan harga sebagaimana tempoh sebelum PKP kerana berkait dengan permintaan.
“Namun dari segi harga apabila di atas daripada RM0.50 satu kilogram, petani tidak akan rugi. Petani akan rugi sekiranya harga tembikai RM0.40 ke bawah sahaja,” terang beliau. – HARAKAHDAILY 16/4/2020

Nikah Online Pertama Di M'sia, Disaksikan Menteri Agama Sebentar Tadi..

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyaksikan pernikahan secara dalam talian menerusi video di rumah pengantian perempuan di Wangsa Maju. - Foto NSTP/Ihsan faceebok Datuk Dr Zulkifli
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyaksikan pernikahan secara dalam talian menerusi video di rumah pengantian perempuan di Wangsa Maju. - Foto NSTP/Ihsan faceebok Datuk Dr Zulkifli
Pasangan pengantin pertama nikah secara dalam talian
KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan majlis akad nikah satu pasangan pengantin secara dalam talian pertama, di Malaysia, hari ini.
Majlis pernikahan dalam talian menerusi sidang video itu membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, yang disempurnakan dalam sekali lafaz.

Majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada jam 10.10 pagi tadi.
Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail melalui facebook Berita Al Hijrah.
Majlis akad nikah secara dalam talian itu dikongsi Zulkifli melalui laman faceebooknya, hari ini.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JAWI atas usaha dan kejayaan bagi membantu pasangan yang berkahwin itu.
Katanya, usaha baik itu adalah bagi menangani dan memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Beliau berkata, majlis diadakan itu selaras dengan ketetapan dikeluarkan JAWI pada17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi kebenaran berkahwin.
Sebagai melaksanakan, JAWI membenarkan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.
Antara negara melaksanakan nikah secara dalam talian ekoran penularan wabak pendemik COVID-19 adalah Emeriyah Arab Bersatu (UAE) 
(BH)

Video: Majlis Pernikahan Dalam Talian (Online) 
Don Haadi dan Nahdatul Aishah

Sejak PKP: Jualan Pakaian Dalam Wanita Meningkat 900%, Mengapa?

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

WANITA Malaysia memenuhi kebosanan terkurung di rumah dan mungkin juga sebagai satu cara untuk memberi ganjaran kepada diri mereka sendiri dengan membeli pakaian dalam baharu, apabila satu kajian menunjukkan jualan produk itu meningkat 900 peratus hanya dalam masa sebulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain pakaian dalam wanita, serbuk gelatin dan juga kuali antara produk yang mencatatkan lonjakan jualan dalam talian sejak PKP bermula.
Satu kaji selidik oleh Commerce.Asia Group of Companies (Commerce.Asia), ekosistem teknologi dan penyelesaian data raya e-dagang, menyaksikan pertumbuhan Volum Barangan Kasar (GMV) melonjak sebanyak 149 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama 2020 sejak PKP bermula.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Commerce.Asia Ganesh Kumar Bangah dalam satu kenyataan hari ini berkata, e-dagang terus menjadi satu daripada segelintir industri yang berkembang maju dalam tempoh mencabar ini, apabila ekosistem itu mencatatkan peningkatan yang sangat menggalakkan pada suku pertama tahun ini.


Commerce.Asia juga melihat perubahan kekal dalam tingkah laku pengguna, apabila ramai yang menjangka akan terus melakukan pembelian mereka menerusi pasaran digital, walaupun selepas PKP ditarik balik.
“Membeli belah dalam talian kini adalah ‘kebiasaan baharu’ memandangkan pandemik Covid-19 telah membawa kepada lonjakan perniagaan e-dagang di seluruh dunia apabila orang ramai beralih kepada platform dalam talian.
“Kami melihat pertumbuhan ketara dalam jualan peniaga kami dalam pelbagai kategori produk. Perubahan dalam tingkah laku belian ini menunjukkan rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri kepada situasi kehidupan baharu,” kata Ganesh.
Commerce.Asia memanfaatkan pangkalan datanya untuk menganalisis trend jualan daripada 30 hari sebelum PKP berbanding 30 hari semasa PKP dalam seluruh rangkaian peniaganya dan menyusun senarai kategori produk e-dagang paling pantas berkembang dengan keputusan yang memberangsangkan.
Tingkah laku pembelian pengguna nampaknya memulakan keluk berbeza sejak PKP.
Ketika sebahagiannya adalah pembelian praktikal barangan penting, pembelian lain agak mengejutkan, memandangkan negara sedang menjalani PKP, kata Ganesh.
Jualan barangan penting seperti makanan, peralatan mandian dan produk bayi melonjak seperti yang dijangkakan tetapi apa yang mengejutkan adalah jualan pakaian dalam wanita berada di tangga teratas.
Dengan kesihatan menjadi kebimbangan utama, tidak menghairankan sarung tangan lateks mencatatkan pertumbuhan jualan 888 peratus kerana orang ramai berusaha untuk melindungi diri mereka sendiri daripada virus tersebut.
Jualan peralatan kecergasan rumah juga meningkat sebanyak 200 peratus.
Ganesh berkata memandangkan permintaan pengguna yang di luar jangkaan menerusi platform dalam talian, peniaga bukan sahaja perlu memenuhi pesanan ini tetapi juga mesti memastikan pengaturan logistik bagi memastikan serahan tepat pada masa.
“Logisik memainkan peranan penting dalam menyokong e-dagang dengan memastikan proses dan penghantaran pesanan yang cekap. Selain itu, perkhidmatan logistik dan pengangkutan menyokong rantaian bekalan rantaian penting yang memastikan kesinambungan bekalan harian kepada pengguna,” ujarnya.
Beliau juga menasihati perniagaan e-dagang melengkapkan diri mereka dan kakitangan mereka dengan sumber yang sesuai bagi menguruskan operasi dari jarak jauh dengan hanya sedikit atau tanpa sebarang gangguan. (BERNAMA)

LGE/PH Lesapkan Duit Kutipan GST RM8 Bilion?



Lim Guan Eng/Pakatan Harapan Lesapkan Duit Kutipan GST RM8 Bilion?


Tentu ramai masih ingat bagaimana bekas Menteri Kewangan PH, Lim Guan Eng, di dalam Parlimen dengan angkuh menuduh kerajaan Barisan Nasional dahulu telah merompak wang GST RM19.2 bilion.

Tetapi akhirnya ternyata ianya adalah fitnah, bila PAC yang telah ditubuhkan untuk menyiasat fitnah dari Lim Guan Eng itu telah disangkal dalam laporan PAC yang dibuat berkaitan isu tersebut (BACA DI SINI) dan (DI SINI).


Di penghujung hayat Kerajaan Pakatan Harapan, Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) telah tuduh kerajaan belum bayar balik GST sebanyak RM7.8 bilion (BACA DI SINI).

Terkini, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) pula mendakwa kerajaan belum bayar balik GST sebanyak RM200 juta (BACA DI SINI).

Mungkin selepas ini akan tampil beberapa lagi persatuan industri yang akan menuntut bayaran balik GST.

Untuk rekod, ketika Barisan Nasional kalah dalam PRU 14, GST masih berjalan dan proses bayaran balik GST masih berjalan juga.

Tetapi mengapakah dalam masa 21 bulan Pakatan Harapan berkuasa, berbilion ringgit kutipan GST masih lagi belum dikembalikan?


Ke manakah perginya wang Petronas yang dijarah Pakatan Harapan dengan alasan kononnya untuk membayar tuntutan GST, kerana wang itu telah oun digunakan sepenuhnya oleh Pakatan Harapan sewaktu memerintah? (BACA DI SINI).

Kalau dicampurkan wang kutipan GST dan wang Petronas yang dijarah dengan alasan untuk membayar balik kutipan GST, Pakatan Harapan sudah jarah berpuloh bilion ringgit tetapi duit kutipan GST masih belum dikembalikan kepada pihak yang sepatutnya!!!

Apakah yang telah berlaku?

Kerajaan manakah sebenarnya yabg merompak hasil negara sewaktu berkuasa, Kerajaan Barisan Nasional atau Kerajaan Pakatan Harapan?

Apakah Dr. Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri ke 7 di era Pakatan Harapan tidak menyedari perkara ini, hingga beliau secara terus-terusan melabelkan UMNO/BN kerajaan yang dipenuhi perompak?

Atau Dr. Mahathir juga bersekongkol merompak hasil negara?

Suruhanjaya Siasatan Di Raja (SRC), WAJIB ditubuhkan untuk menyiasat dan membongkar perkara ini hingga ke akar umbi.

Dakwa semua yang terlibat, kerana setiap sen yang dikutip dalam cukai GST datangnya dari keringat dan tulang empat kerat rakyat!!!

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-109: DAP Selepas PM Ke 8.
E-Buku IH-109: DAP Selepas PM Ke 8.

Makanan: Perlu bersedia menghadapi kemungkinan

Pertanian terbaik Malaysia...2017 - YouTube
HIKMAH COVID-19

(1) Susulan daripada COVID-19, telah menyebabkan ekonomi dunia merudum. Antara faktor yang paling jelas ialah minyak (petroleum). Apabila pergerakan berkurangan, menyebabkan permintaan terhadapnya rendah.

Ini menjadikan harga minyak menjunam, apatah lagi kewangan dunia yang bersandarkan kepada Dollar Amerika dengan konsep Petrodollar. Apabila harga minyak jatuh, ekonomi dunia pun jatuh.

(2) Tetapi permintaan terhadap bahan mentah kekal maintain. Walaupun COVID-19, manusia tetap perlukan makanan untuk terus hidup. Justeru, kita boleh menjangka kenaikan bahan mentah pada masa depan.

Manusia akan tertumpu kepada makanan kerana ia keperluan yang ضروري. Paling basic ialah pertanian sebagai sumber karbohidrat dan juga perladangan sebagai sumber protein.
(3) Pada tahun ini, Malaysia diramal berada di tahap cuaca yang agak stabil sehingga September 2020 dengan kadar penurunan hujan yang stabil. Hal ini telah disiarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bertarikh 3 April 2020.
Kerisauan terhadap isu ‘global warming’ (pemanasan global) sudah semakin berkurangan. Cuaca semakin ‘pulih’, atmosfera dan sungai semakin bersih. Hikmah COVID-19.
(4) Bahasa mudahnya, cuaca sepanjang tahun ini insyaAllah dalam keadaan baik. Jangkaan-jangkaan terhadap kemarau yang dahsyat mungkin agak meleset, dan bakal menunjukkan graf baru. Wallahua’lam.
Kesempatan dan peluang ini harus dimanfaatkan untuk membangunkan sektor pertanian dan perladangan semaksima mungkin. Perlu ‘berani’ untuk menyediakan peruntukan yang besar untuk ini.
Cuaca sehingga September 2020
(1) Antara yang dicatatkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia:
Sepanjang bulan April hingga Mei 2020 ini, Negara dijangka bakal menerima lebih banyak episod hujan dengan ribut petir dalam tempoh yang pendek terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, Barat Sabah dan Tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan struktur yang tidak kukuh. Manakala selepas fasa peralihan Monsun, Negara dijangkakan berada di bawah pengaruh Monsun Barat Daya (MBD), iaitu pada bulan Jun hingga September 2020.
(2) Iaitu dijangka selepas Monsun Barat Daya, hujan dijangka berada di paras purata, iaitu peningkatan atau pengurangan lebih atau kurang daripada 20 peratus daripada purata jumlah hujan jangka panjang.
Penurunan hujan hakikatnya memulihkan atmosfera dan membersihkan sungai. Justeru, ia mewujudkan situasi yang kondusif untuk meningkatkan potensi pertanian.
(3) Dalam beberapa penulisan saya sebelum ini mengenai Pemikiran Ibnu Khaldun dalam membina sebuah negara yang baik wajar diteliti. Khususnya penekanan beliau terhadap saliran dan atmosfera.
Manakala dalam bab pertanian dan perladangan, beliau menekankan aspek keseimbangan antara bandar dan desa. Perladangan dan pertanian perlu dijalankan di desa. Justeru, kehidupan di desa juga perlu dipulihkan bagi menghasilkan hasil yang banyak.
(4) Apa yang terjadi sebelum ini, hasil-hasil ‘keluaran’ desa banyak dijadikan peluang orang-orang tertentu untuk membesarkan skala poket sendiri. Hasil-hasil ini ada yang dimonopoli oleh orang-orang tertentu.
Isu monopoli ini juga perlu dihentikan bimbang beberapa ‘tauke’ cuba mengambil kesempatan di kala negara sedang membangunkan sektor ini. Bimbang jurang kekayaan dan kemiskinan membesar dalam tempoh ‘pemulihan’ ini.
Sektor pertanian
(1) Dalam sektor pertanian contohnya, antara keperluan utama rakyat Malaysia adalah beras, daging lembu, daging ayam dan telur. Keperluan beras di Malaysia sendiri belum dapat menampung.
Hanya sekitar 72 peratus sahaja. Manakala selebihnya perlu diimport daripada luar. Manakala ayam dan telur melebihi 100 peratus, dan daging lembu masih rendah di paras 28 peratus. Justeru, daging lembu perlu diimport dari luar.
(2) Situasi ini yang terjadi pada hari ini, dalam keadaan situasi cuaca yang sedia ada. Bagaimana pula ketika dalam keadaan cuaca yang tidak menentu yang tidak terjangka.
(a) Antara kebimbangan pada 2019 ialah ancaman global warming apabila suhu seluruh dunia meningkat mendadak. Januari dan Februari 2020 mencatat rekod suhu tertinggi.
(b) Jika global warming berterusan, bimbang akan berlakunya kemarau dan kebuluran. Namun, situasi ini berubah dalam skala yang besar dengan kewujudan krisis COVID-19 apabila ‘ekonomi’ hampir-hampir berhenti bergerak.
(3) Antara tempoh 2011-2015 sektor pertanian Malaysia hanya berkembang 0.4 peratus. Sasaran RMK-11 menetapkan pertumbuhan 3.6 peratus, namun tidak mencapai sasaran apabila statistik pada 2016-2017 pertumbuhan menurun kepada -1.8 peratus.
Dalam sektor-sektor lain seperti perlombongan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, kesemuanya meningkat peratusan perkembangan. Kecuali pertanian. Hal ini perlu difikirkan secara masak oleh Kerajaan pada hari ini.
(4) Sepertimana yang saya nyatakan, antara ‘peluang’ yang diberikan oleh Allah S.W.T untuk negara memperbaiki sektor keperluannya pada tempoh ini. Iaitu tempoh di mana sektor-sektor lain sedang terencat.
Mencairkan kekayaan yang terbeku
(1) Selain sektor perladangan dan pertanian yang menjadi keperluan manusia, perlu merancang untuk kewangan negara masa depan. Sistem ekonomi Islam perlu digiatkan segera dengan mengenakan cukai kepada simpanan dan saham korporat yang terbeku.
Simpanan dan saham korporat yang terbeku perlu dicairkan dengan cara mengenakan cukai kepada tauke-tauke besar sebagai persediaan untuk berhadapan dengan krisis ekonomi masa depan.
(2) Kekayaan tidak boleh dibiarkan terbeku, ia perlu dialirkan ke bawah. Dalam tempoh sehingga bulan September ini mungkin boleh kuatkuasakan ketetapan ini. Sementara masih sempat.
Saya yakin ramai yang lebih pakar dalam bab ini. Namun tidak ada seorang pun yang boleh meramal masa depan. Apa yang kita mampu ialah persediaan untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.
(3) Ambillah peristiwa COVID-19 ini sebagai pengajaran. Ia datang secara tiba-tiba. Alhamdulillah Malaysia masih ada ‘bekalan’ kewangan yang cukup besar untuk memastikan kehidupan rakyatnya kekal terjamin.
Apa yang kita tidak mahu ialah, apabila berlakunya krisis ekonomi, orang kaya kekal kaya, manakala orang miskin semakin teruk. Mereka yang menjadi tauke menjadi pengeluar bahan mentah.
(4) Manakala bahan mentah itu diperlukan oleh manusia. Apabila berlakunya krisis, manusia akan memerlukan bahan mentah itu, dan tauke-tauke itu semakin seronok untuk bermain harga.
Realiti ini perlu difahami, dan Kapitalism perlu diusahakan untuk dihapuskan secepat mungkin. Bimbang sistem ini akan menyelamatkan orang-orang tertentu sahaja di waktu krisis.
Memelihara sistem semulajadi
(1) Antara yang perlu dipelihara juga buat masa ini ialah perhutanan dan perhilitan. Perhutanan perlu diuruskan dengan baik, bagi menjaga ekosistem dan sistem semulajadi.
Apabila perhutanan diurus dengan baik, binatang-binatang liar akan berkembang dan ia boleh dimanfaatkan untuk pemburuan, bila sampai masanya. Ia juga menjadi salah satu sumber bahan mentah.
Contohnya nelayan yang menjala ikan di sungai dan di lautan. Sebab itulah di awal tadi saya telah mengutarakan penjagaan sistem saliran mengikut apa yang ditekankan oleh Ibnu Khaldun.
(2) Dari sudut perhutanan pula, binatang-binatang liar yang boleh jadi sumber rezeki di kala situasi kritikal. Bahkan di dalam Feqah sendiri berbicara panjang mengenai hukum pemburuan.
Ini kerana, manusia terikat dengan sistem kesemulajadian. Sebab itulah jangan sewenang-wenangnya menggondolkan hutan, kerana ia adalah keperluan yang ضروري bagi hidupan liar.
(3) Di samping itu, hutan juga bertindak untuk mengawal suhu, dan menghasilkan oksigen yang paling diperlukan oleh manusia. Sebab itulah Ibnu Khaldun sangat menekankan aspek penjagaan atmosfera.
(4) Antara yang lain, Islam mengajar kita untuk mengitar semula barang terpakai. Berdasarkan Hadis Nabi S.A.W;
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْصِفُ نَعْلَهُ وَيَخِيطُ ثَوْبَهُ وَيَعْمَلُ فِي بَيْتِهِ كَمَا يَعْمَلُ أَحَدُكُمْ فِي بَيْتِهِ

“Rasulullah S.A.W biasa membaiki capalnya, dan menjahit bajunya sendiri, dan melakukan pekerjaan rumah sepertimana kalian melakukannya di rumah kalian.”

(Riwayat Imam Ahmad)
Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 17/4/2020
Persekitaran lebih sesuai untuk tarik pelaburan ke sektor ...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails