Saturday, May 23, 2020

Nakbah : Memperingati kemusnahan Palestin, pelan The Greater Israel




TANGGAL 15 Mei 1948, peristiwa hitam buat rakyat Palestin yang pastinya terpahat jelas sehingga ke hari ini. Bukan sahaja buat generasi rakyat Palestin ketika itu yang terpaksa berputih mata kerana kehilangan tanah air mereka yang dirampas zionis yahudi , tetapi turut dirasai juga oleh generasi terbaru rakyat Palestin yang senantiasa dizalimi dan ditindas di tanah air mereka sendiri.
15 Mei 2020 yang lalu, telah masuk 72 tahun peristiwa tersebut berlalu. Hari Nakbah bukan sahaja diingati sebagai peristiwa hitam buat rakyat Palestin tetapi juga buat umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda kasih dan sayang terhadap saudaranya yang dirompak tanah air mereka malah hingga ke hari ini hanya tinggal beberapa kerat lagi tanah Palestin sebelum terhapus Palestin dari muka bumi ini.
Dari tahun 1947 hingga ke tahun 1949, daripada 1.9 juta rakyat Palestin, seramai 750,000 orang telah dihalau keluar dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada imigran yahudi yang datang dari seluruh dunia terutamanya dari Eropah. Kebanyakkan daripada rakyat Palestin tersebut telah melarikan diri ke negara–negara jiran seperti Jordan dan Syria.
Hanya 150,000 rakyat Palestin sahaja yang kekal di tanah air mereka yang kemudiannya di tukar menjadi Israel, iaitu 78 peratus daripada negara asal Palestin.
Baki 22 peratus negara asal Palestin yang terletak di bahagian timurnya diambil alih oleh Jordan dan kemudiannya dinamakan Tebing Barat. Penduduk-penduduk di Tebing Barat yang tidak tinggal dalam Israel kemudiannya diberi kerakyatan Jordan .
Jun 1967, Tebing Barat telah dijajah oleh regim Israel begitu juga dengan Semenanjung Gaza yang ketika itu berada dibawah kawalan tentera Mesir.
Menurut Biro Statistik Palestin, sejumlah 5 juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, manakala 1.5 juta rakyat Palestin berada di Israel. Lebih 6 juta rakyat Palestin berselerakan tinggal di negara–negara jiran dan di seluruh dunia.
Ketika rakyat Palestin memperingati Hari Nakba, yahudi di Israel merayakan The Yishuv Day iaitu hari memperingati permulaan penempatan awal orang–orang yahudi di bumi Palestin iaitu seawal tahun 1880an.
Ketika itu hanya terdapat 25,000 orang yahudi yang tinggal di bumi Palestin. Majoriti komuniti yahudi ini datangnya dari Eropah yang pada ketika itu merupakan bangsa yang paling dibenci di Eropah.
Perang Dunia Pertama menyaksikan British menguasai Palestin dan mula membawa masuk orang–orang Yahudi ke Palestin dalam jumlah yang ramai.
Meletusnya perang dunia kedua menyaksikan lebih ramai orang yahudi memasuki Palestin dan mula melaksanakan agenda mereka untuk menguasai Palestin di bawah ideologi zionisme yang sememangnya menghendaki Palestin sebagai negara untuk orang–orang yahudi.
Dengan sokongan kuat daripada British dan Amerika Syarikat ketika perang Arab – Israel pada tahun 1948, maka jatuhlah Palestin ke tangan zionis yahudi.
Maka pada 14 Mei 1948, Pengerusi Kesatuan Yahudi iaitu David Ben – Gurion mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara merdeka yang dirampas daripada rakyat Palestin.
20 Mei lalu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas telah mengadakan sidang media dan memutuskan bahawa Palestin telah membatalkan perjanjian keselamatan dengan Amerika Syarikat dan Regim Israel. Pembatalan perjanjian tersebut adalah akibat daripada pelan Regim Israel yang ingin mengambil alih wilayah–wilayah yang didudukinya di Tebing Barat.
Ia adalah rentetan langsung daripada pelan damai Asia Barat baharu yang dikemukan oleh Jared Kushner, penasihat Rumah Putih berkaitan hal ehwal Asia Barat yang juga menantu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pelan damai yang dikemukakan tersebut secara jelas memperincikan bahawa wilayah Tebing Barat yang diduduki oleh Regim Israel perlu diserahkan kepada Regim Israel oleh kerajaan Palestin.
Sebagai balasan dalam pelan damai tersebut, kerajaan Palestin akan diberikan tanah ganti yang belum tentu jelas di mana letaknya dan kekal miliknya.
Bukan itu sahaja, Baitul Muqaddis dan tapak–tapak bersejarah Islam di dalamnya juga perlu diserahkan kepada Regim Israel tanpa sebarang alasan. Nyata perjanjian tersebut ditolak mentah–mentah oleh kerajaan Palestin baik kerajaan pimpinan Fattah mahupun Hamas.
Kunjungan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dan rombongannya baru–baru ini ke Israel untuk membincangkan pengambilalihan Tebing Barat dengan Perdana Menteri Regim Israel Benjamin Netanyahu menguatkan lagi spekulasi bahawa pengambilalihan wilayah Tebing Barat sudah hampir pasti dan akan dilakukan tidak lama lagi.
Walaubagaimanapun pelan Regim Israel dan Amerika Syarikat tersebut bukan hanya mendapat tentangan di Palestin malah seluruh dunia dengan menggangap ia hanya akan meletakkan Asia Barat menghampiri kancah peperangan.
Kesatuan Eropah minggu lalu menolak sekeras–kerasnya rancangan Regim Israel. Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell menyatakan bahawa EU akan menggunakan kelebihan diplomatiknya untuk menghalang tindakan unilateral Regim Israel.
Namun suara yang paling lantang sekali mengutuk dan memberi amaran kepada Regim Israel datang daripada Raja Jordan, Raja Abdullah II.
Beliau memberi amaran kepada Regim Israel bahawa akan berlaku konflik besar–besaran jika Regim Israel meneruskan tindakan tersebut sambil menyatakan beliau akan mempertimbangkan kesemua pilihan yang ada untuk menghalang tindakan Regim Israel.
Jika difikirkan sebaliknya, sudah tentu Regim Israel dan Amerika Syarikat sudah memikirkan risiko yang bakal dihadapinya untuk mengambilalih wilayah Tebing Barat.
Namun untuk mempamerkan secara jelas tindakan mereka terutamanya ketika rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia sedang memperingati Hari Nakba sudah tentu ada muslihat di sebaliknya.
Jangan kita lupa, ketika kita umat Islam di seluruh dunia sedang memperingati Hari Nakbah, orang–orang yahudi juga sedang merayakan The Yishuv Day namun kali ini bukan hanya untuk menduduki wilayah-wilayah di bumi Palestin namun sebenarnya adalah permulaan untuk membuka Asia Barat kepada penaklukan Israel atau lebih tepat lagi permulaan The Greater Israel.
Ini adalah kerana The Greater Israel adalah cita – cita asal golongan zionisme dari kalangan orang–orang Yahudi. Jika diperhatikan tindakan berani mereka kali ini dengan mengumumkan akan menguasai atau mengambilalih wilayah–wilayah yang diduduki di Tebing Barat, ia sebenarnya adalah “ signal ‘ mereka untuk menguasai Asia Barat serta melampiaskan cita–cita “ The Greater Israel “.
Lihat apa yang berlaku di sekeliling Asia Barat serta apa yang terjadi kepada penentang–penentang Regim Israel. Hizbullah di Lubnan sedang berdepan dengan kebangkitan rakyat Lubnan akibat daripada krisis ekonomi. Syria satu ketika dahulu adalah penentang kuat Regim Israel, kini sedang berdepan dengan perang saudara yang tidak pasti bila tamatnya.
Mesir boleh dikatakan berada di bawah pengaruh Regim Israel dan Amerika Syarikat. Jordan berada dalam ketidaktentuan ekonomi dan tidak mempunyai kekuatan tentera untuk menghadapi Regim Israel. Yaman dan Libya berada dalam kancah perang saudara. Begitu juga Iraq yang tidak stabil samada dari sudut ekonomi mahupun politik.
Iran, satu–satunya negara yang berkemampuan untuk berdepan dengan Regim Israel sedang berdepan dengan pelbagai tekanan baik dari sudut politik mahupun ekonomi dari seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat.
Negara–negara Arab yang lain pula seperti Arab Saudi, UAE, Oman dan beberapa negara Arab lagi sedang dalam proses normalisasi dengan Regim Israel.
Regim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat sebenarnya sudah berjaya menjinakkan musuh–musuh mereka di Asia Barat. Hampir tiada lagi hakikatnya musuh sebenar Regim Israel di Asia Barat.
Jika mereka mahu menakluk Palestin sebenarnya sudah lama mereka mampu lakukan tetapi apa yang ditunggu dengan masa yang paling sesuai ialah untuk meletakkan Asia Barat di bawah telunjuk atau taklukan mereka dengan pelan The Greater Israel.
Pelan Asia Barat baharu yang diusahakan oleh Jared Kushner dan Benjamin Netanyahu sebenarnya bukan hanya untuk mengambil alih Tebing Barat tetapi sebenarnya adalah untuk menguasai Asia Barat dan melaksanakan pelan The Greater Israel.
Pelan yang tertangguh hampir 3 tahun itu sebenarnya hanya menunggu masa yang sesuai untuk dilaksanakan agar objektifnya tercapai.
Ketika hampir seluruh Asia Barat berseteru, berperang sesama sendiri dan tunduk kepada Regim Israel serta Amerika Syarikat, itulah masa yang sesuai untuk melaksanakannya kerana hampir pasti negara–negara lain di Asia Barat tidak berkemampuan untuk menghalangnya.
Maka sebenarnya Hari Nakbah tahun ini bukan semata – mata untuk memperingati peristiwa hitam rakyat Palestin yang hilang negaranya, tetapi adalah peristiwa hitam permulaan pelan penjajahan besar – besaran Asia Barat oleh Regim Israel dan Amerika Syarikat.
Ini adalah kerana pelan The Greater Israel mencakupi penjajahan Regim Israel hampir keseluruhan Asia Barat iaitu dari Iraq, Lubnan, Palestin, Jordan, Syria, sebahagian daripada Mesir dan Arab Saudi serta sedikit daripada wilayah Turki.
Jika dilihat senario serta peristiwa semasa yang berlaku di Asia Barat saat ini, sememangnya ia adalah masa dan saat yang sesuai untuk melaksanakannya.
Oleh itu umat dan Dunia Islam terutamanya di Asia Barat wajar menilai kembali peranan mereka dalam Dunia Islam. Saat kejatuhan dan kemusnahan sudah hampir tiba, adakah masih berbaloi untuk berseteru sesama Islam atau menjadi keutamaan untuk mempertahankan Dunia Islam ?
Jika masih alpa dan lalai, nescaya perancangan licik dan jahat yahudi ini pastinya akan meranapkan Asia Barat.
Kerana jika Regim Israel dan Amerika Syarikat mula melaksanakan secara total pelan The Greater Israel, pastinya umat dan dunia Islam terutamanya di Asia Barat akan menghadapi laluan yang cukup sukar untuk menghalangnya malah menjadi lebih sukar lagi untuk membebaskannya kembali. Sedarlah sebelum terlambat, masih ada masa untuk menghalangnya.
Maka dengan itu, usah mudah terpedaya dengan musuh – musuh Islam terutamanya orang–orang yahudi. Pelbagai ayat Al–Quran peringatan dari Allah SWT akan kelicikan serta kejahatan yahudi yang sememangnya berkehendakkan kehancuran umat Islam sudah dinyatakan.
Benar, memperingati Hari Nakba adalah baik sebagai peringatan kepada kita umat Islam akan kejahatan dan kezaliman orang–orang yahudi menzalimi dan merampas tanah air rakyat Palestin.
Namun di sebaliknya jangan kita leka dan alpa bahawa ketika ini sebenarnya mereka sedang merancang sesuatu yang lebih besar tanpa pengetahuan kita umat Islam.
Tebing Barat hanyalah “ stepping stone “ kepada pelan asal mereka iaitu The Greater Israel dan sebenarnya The Greater Israel telah hampir memasuki langkah perlaksaan penuh oleh Regim Israel dan Amerika Syarikat.
Jelasnya yang paling rugi ialah kita umat Islam. Kita masih berperang sesama sendiri sambil mengorbankan umat Islam yang tidak berdosa, kita berebut kuasa dan harta dunia yang juga mengorbankan umat Islam yang tidak berdosa, kita melanggar hukum–hukum Allah SWT sambil tidak memperdulikan suruhannya, kita lalai akan peringatannya dan terpesona dengan dunia dan kekuasaan yang ditawarkan musuh – musuh Islam.
Akhirnya kita umat Islam juga yang rugi baik di dunia mahupun akhirat. Selagimana kita umat dan Dunia Islam tidak bersatu-padu dan berkerjasama, selagi itulah umat dan Dunia Islam akan dipandang sinis dan hina oleh umat manusia seluruh dunia. Kita akan ketinggalan, kehilangan malah sedikit demi sedikit terhapus dari ingatan umat manusia.
Sudah sampai masa kita bersatu–padu dan berkerjasama memulihkan kembali keyakinan umat dan Dunia Islam. Sudah sampai masanya kita umat dan Dunia Islam bingkas bangun dari tidur yang lena, yang banyak merosakkan akidah dan keimanan umat Islam. Sudah sampai masa umat dan Dunia Islam kembali gemilang di muka bumi ini.
Semoga di hari kemenangan Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi, berdoalah kita kepada Allah SWT agar membuka hati–hati umat dan Dunia Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu – padu dan menghentikan persengketaan sesama sendiri. Semoga Islam kembali gemilang di muka bumi ini.
Islam Memimpin Perpaduan.
YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 23/5/2020

Lagi Mabuk Punya Hal.. 5 Cedera. PN, Sila Ambil Perhatian, Jangan 'Tunggul' Lama..

Lelaki dipercayai mabuk rempuh orang awam di pasar ditahan polis
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin, suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang awam cedera. - IPD Hulu Selangor


KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai memandu secara melulu di kawasan tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin, suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang awam cedera.

“Berdasarkan siasatan, lelaki dipercayai mabuk dan seramai lima orang awam telah dikenal pasti mengalami kecederaan yang melibatkan empat orang lelaki dan seorang perempuan berumur dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Sementara itu, satu kenyataan media memberitahu bahawa kejadian pada jam 6.35 petang itu, seorang lelaki telah menyerang dengan memaki anggota polis yang bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Bukit Sentosa.

“Suspek turut mengatakan akan melanggar semua orang di Bukit Sentosa sebelum meninggalkan balai polis berkenaan.

“Selang lima minit kemudian lelaki tersebut meluru masuk semula ke Balai Polis Bukit Sentosa bersama beberapa orang awam yang mengejarnya.

“Kesemua lima mangsa yang mengalami kecederaan dilaporkan dalam keadaan stabil,” tambah kenyataan berkenaan.

Setakat ini polis menerima lima laporan orang awam iaitu peniaga gerai yang mengalami kecederaan serta kerosakan gerai.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kerajaan Baru PN sekarang, sila ambil perhatian, jangan tunggu lama-lama mengenai pengharaman arak. Tunggu boleh jadi 'tunggul'.


M'sia kutuk rancangan Israel untuk ilhak kawasan Palestin



KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk memperluas wilayah Palestin yang didudukinya di Tebing Barat.
Menyifatkan tindakan itu sebagai bertentangan undang-undang serta unilateral, Wisma Putra berkata sebarang pengilhakan wilayah Palestin oleh Israel sebagai kuasa penceroboh adalah pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva Keempat 1949 serta Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Resolusi 2334 (2016) Majlis Keselamatan PBB.



"Tindakan Israel jelas mencabuli perjanjian damai yang ditandatanganinya dengan Palestin iaitu Perjanjian Oslo 1993 dan 1995. Tindakan rejim juga menimbulkan persoalan akan keikhlasannya dalam usaha mencapai perdamaian dan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.
"Malah, ia turut memalapkan lagi prospek penyelesaian pembentukan dua negara yang disokong oleh masyarakat antarabangsa," demikian menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin susulan tindakan Israel itu dan menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB melunaskan tanggungjawab terhadap rakyat Palestin yang termaktub dalam piagamnya tanpa bertangguh lagi.
Majlis Keselamatan harus mengutuk dan menolak rancangan pengilhakan Israel serta harus memastikan rancangan tersebut tidak dilaksana, katanya.
"Malaysia mengulangi penegasan sokongan tidak berbelah bagi terhadap penduduk Palestin dan perjuangan mereka untuk bebas daripada pencerobohan haram Israel serta merealisasikan impian penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
"Sehubungan itu, Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan ini yang kami yakini akan menyumbang kepada keamanan, keadilan dan kestabilan di rantau itu," kata Wisma Putra. – BERNAMA

Tak Dapat PM 8, Anwar Nak Rembat MB S'ngor Pula?


GERAKAN ANTI PKR: BAJET ANWAR YANG MENIPU.
ANWAR IBRAHIM, MENTERI BESAR SELANGOR KE-17?
Setelah tidak berjaya lagi untuk menjadi Perdana Menteri ke-8, semalam ada ura-ura bahawa Anwar Ibrahim akan mengorak langkah untuk menjadi Menteri Besar Selangor pula.

Mengikut khabar ini, seorang ADUN PKR yang setia kepada Anwar akan meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN lantas menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

Ini seperti yang mereka telah lakukan dengan Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson sebelum ini.


Biasanya saya tidak memberi banyak perhatian kepada khabar-khabar angin dan ura-ura.

Namun dalam hal ini saya lihat kini Anwar sedang terdesak untuk menyelamatkan partinya PKR setelah ramai wakil-wakil rakyatnya melompat parti, dan beratus-ratus pemimpin PKR dibuang serta ramai lagi yang keluar parti secara sukarela baru-baru ini.

Semua daripada mereka ini adalah pengikut-pengikut Azmin Ali, bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Menteri Besar Selangor yang kini telah bertukar parti ke Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Antara pengikut Azmin tersebut adalah Menteri Besar Selangor sekarang iaitu Amiruddin Shaari.

Amiruddin belum lagi melompat parti mengikut Azmin kerana dia (Amiruddin) pastinya risau akan tindakbalas ADUN-ADUN DAP dan PAN dalam Kerajaan PH Selangor yang akan menolaknya dan menjatuhkan kerajaan PH Selangor dan kedudukannya sebagai Menteri Besar sekiranya dia menukar parti.


Anwar tentunya tahu dia perlu mengukuhkan kuasanya dalam PKR setelah episod perpecahan parti di atas.

Untuk ini dia perlu mengambilalih dan mengawal sumber kewangan terbesar PKR secara langsung atau tidak langsung iaitu Kerajaan Negeri Selangor.

Untuk kelangsungan dan survival politiknya, dia tidak boleh membiarkan sumber kewangan ini dikawal oleh orang Azmin.

Tanpa sumber ini, cita-cita politik Anwar akan menjadi semakin malap.
Dua tahun lepas saya pernah menulis bahawa PKR menggunakan hasil cukai kerajaan negeri Selangor untuk membiayai dana politik mereka.

Selepas mengambil alih kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang, pemimpin-pemimpin Pakatan (PKR/DAP) telah memutuskan untuk menaikkan cukai negeri terutama cukai berkaitan hartanah, perumahan dan perniagaan.

Sejak itu, kenaikan kutipan cukai kerajaan negeri di kedua-dua negeri ini telah mencecah sehingga 400 peratus.

Semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), hasil kutipan cukai yang dikutip oleh kerajaan negeri Selangor adalah tidak melebihi RM500 juta.

Namun sebaik selepas PKR mengambilalih Selangor, dalam tempoh beberapa tahun sahaja mereka telah mengutip lebih daripada RM2 billion cukai daripada rakyat, empat kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah cukai yang dikutip oleh kerajaan sebelumnya.

Kos sara hidup di Selangor telah meningkat mendadak kerana peningkatan cukai yang dikenakan oleh kerajaan negeri tersebut.

Walaupun demikian, masalah-masalah asas seperti masalah air, masalah sampah sarap, masalah perparitan, masalah banjir, masalah denggi, masalah jalan berlopak dan sebagainya di Selangor masih terus berleluasa dan tidak diselesaikan.

Anwar pastinya tahu dia perlu mengawal sumber kewangan yang besar ini dan pada masa yang sama "membersihkan" orang-orang Azmin di negeri kubunya Selangor.

Untuk ini dia tidak ada banyak pilihan lain selain mengambilalih sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-17 dan menendang orang Azmin keluar, sebelum dia (Anwar) boleh mengorak langkah seterusnya ke Putrajaya.

Dia tidak boleh lagi mengharap kepada orang lain untuk menjadi proksinya kerana dia telah banyak ditikam belakang sebelum ini.

Daripada 56 ADUN di Dewan Undangan Negeri Selangor, 16 ADUN DAP dan 8 ADUN PAN tentunya akan menyokong Anwar; Ini di samping lebih separuh daripada 19 ADUN-ADUN PKR yang masih setia kepadanya.

Allah selamatkanlah Negeri Selangor (daripada Anwar, PKR dan DAP).

ISHAM JALIL
22 Mei 2020

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Berapa banyak wang rakyat terpaksa dikeluarkan apabila mengikut selera pemimpin-pemimpin seperti Anwar dan keluarganya?

Perang Ahzab melakar sejarah dan cerminan hari ini

Perang Ahzab - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas
MENYAMBUT hari lebaran bukanlah sekadar pesta pora, riuh geger menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan. Laungan takbir hari lebaran sebenarnya mengingatkan kita akan tugasan memenangkan agama Allah di atas muka bumi ini. Perlawanan antara iman dan kufur, hak dan batil yang akan berterusan sehingga hari kiamat, terus bergulir masa yang menjadi saksi akan deenullah ini mempunyai pembela dan penyokongnya.
Kita memperingati perang Ahzab yang monumental di zaman ar-Rasul yang mulia. Cerminan ibrah peristiwa ini berlaku di sepanjang zaman, pemuafakatan musuh mengepung orang yang beriman. Di zaman ini kelompok Islam dikepung oleh pakatan ahzab moden seperti kelompok pragmatis sekular, evangelist kristian, munafik yang bertopeng jemaah Islam, kelopok Islam inklusif, neo muktazilah dan seluruh pemuafakatan Ahzab moden.
Peristiwa perang Ahzab ini berlaku kerana kebenciaan dan permusuhan golongan yahudi yg tidak senang dengan kebangkitan pengaruh dakwah Islam yg berpangkalan di Madinah. Golongan Yahudi ini daripada kelompok Bani Nadhir yang tinggal di Khaibar telah menghasut kafir Mekah yang dipimpin oleh Abu Suffian supaya mengadakan usaha yang terancang dan berpakat dengan khalayak Kafir yang lain untuk menyerang orang Islam di Madinah.
Kempen jahat mereka ini telah didedahkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran, surah An-Nisa’, ayat 51 hingga 55 yg bermaksud: “Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya kepada Jibt dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Mekah), bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman.” (An-Nisa’:51)
Tentera musyrikin begitu berang apabila mereka terhalang oleh parit dan kubu kerana taktik ini tidak pernah digunakan di Semenanjung Arab. Mereka telah melancarkan serangan anak panah bertubi-tubi daripada luar kota Madinah manakala beberapa panglima mereka telah berjaya menyusup masuk di sebelah parit, iaitu Ikrimah bin Abu Jahal dan Amru bin Abdul Wud.
Peristiwa selanjutnya ialah berlaku cabar-mencabar di antara pahlawan musyrikin tersebut dan para sahabat. Saidina Ali KWJ telah bertarung (Al-Mubarazah) dengan Amru bin Abdul Wud yang disaksikan oleh sahabat-sahabat yg lain. Saidina Ali memang terkenal dengan seorang anak muda pemberani yang sangat dikasihi oleh Nabi SAW, apatah lagi beliau mendapat tarbiyah secara langsung daripada Baginda Nabi SAW.
Saidina Ali telah berjaya membunuh Amru, menyebabkan Ikrimah bin Abu Jahal melarikan diri dan kegembiraan sahabat-sahabat dimanifestasikan melaui laungan takbir mereka. Dalam peristiwa perang Ahzab yang berlaku di musim sejuk ini dan kekurangan makanan, orang-orang Yahudi Bani Quraizah telah melakukan pengkhianatan yg mana mereka sepatutnya sama-sama mempunyai tanggungjawab kolektif mempertahankan bumi Madinah daripada serangan luar sepertimana yang disepakati bersama dalam Sahifah Madinah.
Kelompok Yahudi ini melakukan pengkhianatan kerana dihasut oleh Huyai bin Aktab iaitu pemimpin Yahudi Bani an-Nadhir.
Pertembungan semakin sengit yang menyaksikan 6 orang sahabat telah gugur sebagai syuhada’, manakala musyrikin kehilangan 10 orang tentera mereka. Dalam pertempuran ini, sahabat kanan yang sangat Nabi SAW kasihi juga merupakan pemimpin kaum Ansar, iaitu Sa’ad bin Mua’dz telah cedera parah terkena panah pihak musuh.
Allah SWT Yang Maha Perkasa lagi Maha Pembalas dendam telah membantu para pejuangnya yang ikhlas dalam peristiwa perang Ahzab iaitu dengan memberikan beberapa bentuk pertolongan, antaranya sebagaimana yg disebut dalam Al-Quran, surah al-Ahzab ayat 9 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yg dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yg kencang dan tentera-tentera (malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu lakukan.”
Orang Yahudi yang dipimpin oleh Salam bin Abi Al-Haqiq ini telah berjaya menyakinkan Abu Suffian tentang buah kemenangan yg akan mereka kecapi jika permuafakatan kuffar ini berjaya dilaksanakan. Beberapa kabilah Arab yang masih kufur telah berjaya disatukan dalam satu barisan, seperti kabilah Bani Ghatfan, kabilah Bani Murrah dan lain-lain lagi. Jumlah kekuatan mereka ialah seramai 10,000 orang dan mereka dipimpin oleh Abu Suffian yg sebelum ini telah berjaya mengalahkan tentera Islam dalam peristiwa peperangan Uhud yang berlaku pada tahun 3 Hijrah.
Nabi SAW telah mendapat maklumat tentang permuafakatan golongan kuffar ini lantas telah mengadakan mesyuarat di Madinah dengan sahabat-sahabat yang lain bagi menghadapi peristiwa perang besar ini. Dalam mesyuarat itu, Nabi SAW tertarik dengan cadangan yang diberikan oleh seorang sahabat yang berbangsa Parsi, iaitu Salman yang mencadangkan supaya parit digali di keliling kota Madinah. Ini bagi menghalang serangan tentera berkuda yang ramai di pihak musuh.
Rasulullah SAW telah mengatur persiapan dan pertahanan tentera Islam dengan membahagikan sahabat-sahabat kepada beberapa kumpulan iaitu setiap sepuluh orang menggali 40 hasta. Dalam operasi ini, Nabi SAW bertungkus-lumus dengan sahabat-sahabat lain menggali parit dan merangsang semangat sahabat-sahabat yang lain dengan ganjaran pahala jihad.
Dalam operasi ini juga, Allah SWT memperlihatkan beberapa mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi SAW, seperti mampu memecahkan batu yang sangat pejal yang tidak mampu dipecahkan sahabat-sahabat yang lain. Usaha membina parit ini diteruskan dengan bersungguh-sungguh kerana mengejar masa, bimbang takut musuh tiba sebelum parit disiapkan tetapi dengan keikhlasan dan kesungguhan para Mujahidin, maka parit tersebut berjaya disiapkan sebelum kedatangan 10,000 bala tentera musuh.
Dalam pertembungan yg bersejarah ini, dirakamkan bahawa tentera Islam hanyalah sekitar 3,000 orang sahaja dan mereka tidak mendapat kerjasama daripada orang-orang munafik dipimpin oleh Abdullah bin Ubai serta berlaku pengkhianatan daripada orang Yahudi Bani Quraizah.
Dalam menghadapi kedatangan jumlah musuh ramai ini, para sahabat memperlihatkan tahap moral dan keimanan begitu tinggi, sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 22, bermaksud: “Apabila orang-orang yang beriman itu melihat tentera Ahzab, maka berkatalah mereka, inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya kepada kita dan benarlah Allah dan RasulNya dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan kesejahteraan.”
Peristiwa perang Ahzab diingati oleh ummat Islam di sepanjang zaman , bukan hanya menjadi dendangan pagi Syawal,namun jauh daripada itu,kisah ini adalah pengajaran kepada kita semua. Bangkit berjuang membela Islam daripada kepungan pakatan Ahzab moden, ulangan peristiwa yang turut berlaku di akhir zaman. Di Malaysia, butakah mata kita semua melihat betapa gencarnya mereka berusaha merobek Islam dan syariatnya. Pemuafakatan yang didukung oleh kuffar dan kelompok munafik yang sebangsa dengan kita. Kerana secebis kuasa mereka menutup mata akan kebenaran. Ayuh ummat, jangan lena disaat agamamu dirobek musuh-musuh agama. – HARAKAHDAILY 5/6/2019
Penulis adalah AJK Pas Pusat, Pengerusi LESTARI.

Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri Ahad ini

PENYIMPAN Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
PENYIMPAN Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Ahad ini, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Ahad, 24 Mei 2020," katanya.
Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan. - BERNAMA

Friday, May 22, 2020

PH Tak Buat Apa Kenaikan Harga Barang, Kini, Tiba-tiba Melenting Nak Tunjuk Hero?



SEKARANG PH tengah mainkan isu harga barang untuk memburukkan Kerajaan PN. Kata Ahli Majlis Setiausaha PH (Saifuddin Nasution, Khalid Samad dan Ong Kian Ming) harga barang mentah dan basah menunjukkan ada peningkatan di banyak tempat. Ini membebankan rakyat kata mereka.

Saya setuju, Kerajaan PN perlu pantau dan ambil apa-apa tindakan yang perlu jika ada peningkatan harga barang basah atau mentah.

Tapi dalam masa yang sama saya fikir elok juga kalau kita imbas balik apa pula tindakan yang diambil oleh Kerajaan PH ketika rakyat tertekan dengan harga barang yang melonjak gila-gila masa mereka jadi Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan dulu.


Mari kita semak balik.
(1) Kenaikan harga telur
Saifuddin Nasution – “Kementerian akan siasat.”
Salahuddin Ayub – “Ianya adalah perkara biasa disebabkan kenaikan bahan makanan ayam.”
(2) Kenaikan harga bawang 3 kali ganda
Saifuddin Nasution – “KPNHEP akan pantau kenaikan ini. Rakyat perlu tukar kepada bawang Holland.”
(3) Kenaikan harga ikan kembung
Salahuddin Ayub – “Saya pelik mengapa harga ikan kembung naik sedangkan ada 7 bilion ikan kembung dalam laut.”
(4) Kenaikan harga barangan kawalan
Saifuddin Nasution – “KPNHEP tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga barang kawalan. Kita akan siasat.”
(5) Kenaikan harga barang mentah dan basah menjelang Aidilfitri 2019
Saifuddin Nasution – “KPNHEP puas hati dengan trend semasa harga barang keperluan. Tiada kenaikan mendadak (kenaikan sedikit demi sedikit itu perkara biasa).”
(6) Kenaikan harga barang keperluan pada penghujung 2018 dan sepanjang 2019
Lim Guan Eng – “Kenaikan harga barang disebakan banyak faktor seperti penyusutan nilai Ringgit, musim perayaan, kegiatan penyeludupan, kemarau di negara pengeluar selain sikap peniaga yang mahu mengaut keuntungan berlebihan. Ianya tidak dapat dielakkan.”
Yang saya listkan di atas hanya sebahagian kecil daripada kenyataan Menteri-menteri PH. Ada banyak lagi.
Kesimpulannya, PH tak buat apa-apa pun berkaitan kenaikan harga barang keperluan yang meresahkan rakyat semasa mereka jadi Kerajaan. Tapi sekarang tiba-tiba pula mereka jadi prihatin dan mahu jadi hero rakyat.
SAIFUL NASIR – HARAKAHDAILY 22/5/2020

Siasat segera pelaku provokasi perlembagaan negara


ALHAMDULILLAH pada hari ini, saya telah mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang telah membuat satu laporan polis khusus ke atas 2 isu utama untuk siasat lanjut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu:
1. YB Xavier Jayekumar (MP Kuala Langat) yang menghina Parlimen dan YDPA.
2. Artikel mempromosi LGBT di akhbar Malay Mail.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) berpandangan kedua-dua isu ini adalah isu yang menyetuh sensitiviti masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu dan Islam.
Kami berpandangan memperlekehkan institusi Parlimen adalah sama seperti menghina YDPA memandangkan YDPA merupakan salah satu tonggak penting dan utama dalam berdirinya sebuah institusi parlimen di negara ini. 
Kami juga berpandangan mempromosi budaya songsang LGBT secara terbuka di akhbar arus perdana seolah-olah mencabar kedaulatan undang-undang dan institusi fatwa negara ini yang secara jelas menolak amalan songsang ini. 
Maka kerana itu, kami menggesa satu siasatan menyeluruh dijalankan secara adil dan telus ke atas individu-individu yang terlibat di dalam kedua-dua kes ini bagi terus menjamin kestabilan, keharmonian dan ketenteraman masyarakat di dalam negara ini. 
Demi Islam – Islam Memimpin Perpaduan
USTAZ AIRIEROSHAIRI ROSLAN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang – HARAKAHDAILY 22/5/2020

Politik M'sia Dimensi Pembangkang Membingungkan.


Fenomena kebingungan di kalangan umat Islam.
POLITIK Malaysia yang membingungkan
(1) Politik Malaysia pada dimensi pembangkang membingungkan. Baru-baru ini didedahkan rakaman mesyuarat tertutup mereka yang menggambarkan wujudnya individu yang tidak menjaga amanah, dan tiada semangat kebersamaan.

Walaupun mereka menggunakan nama ‘Pakatan Harapan (PH)’ namun mereka tidak berpakat. Mereka saling berpolitik sesama mereka untuk mengejar kepentingan masing-masing. Hakikat ini sebenarnya sudah dilihat sejak mereka masih dalam Kerajaan lagi.

(2) Banyak lagi isu-isu yang menggambarkan betapa mereka itu sedang melalui sudut krisis (crysis corner) yang tajam. Mereka yang tidak cermat pastinya terbabas. Termasuk isu perletakan jawatan Tun daripada Perdana Menteri atas desakan rakan pakatannya.

Situasi ini pastinya membingungkan orang bawah. Apatah lagi rakyat Malaysia dihidangkan dengan saraf-saraf mereka. Laman internet sepatutnya dipenuhi dengan maklumat dan pengetahuan, tetapi hari ini sarat dengan saraf.

Rakyat Malaysia dipaksa untuk menghadap hal-hal dalam kain mereka, yang pastinya akan mencetuskan konflik yang lebih parah. Masyarakat keliru mana satu betul, mana satu salah. Tak tahu siapa negarawan dan siapa politikus.
(3) Suasana politik yang membingungkan seperti ini pernah terjadi pada zaman Sahabat R.A apabila Umat Islam dilagakan oleh para munafik sehingga berlakunya Peristiwa Tahkim, dan munculnya aliran-aliran politik dalam Islam.
Mereka yang berada dalam Blok Saidina Ali R.A berijtihad bahawa mereka berada di posisi yang benar. Begitu juga mereka yang berada dalam Blok Saidina Mu’awiyah. Hasil daripada pertembungan ini muncullah Syiah dan Khawarij.
Asalnya pertembungan ini hanya dari sudut politik, tetapi pada hari ini sudah berkembang menjadi mazhab dalam feqah dan aqidah. Tak lama selepas krisis ini, berlaku perpecahan lagi disebabkan resapan ideologi falsafah.
Kebingungan akhir zaman
(1) Realiti kekeliruan atau kebingungan ini pernah disabdakan oleh Baginda S.A.W;
بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا أَوْ يُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا.

“Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang pada pagi harinya beriman dan pada petangnya telah menjadi kafir, atau petangnya masih beriman dan pagi harinya telah menjadi kafir, menjual agamanya dengan kepentingan dunia.


(Riwayat Muslim)
(2) Hadis ini jelas menggambarkan bahawa di akhir zaman munculnya kekeliruan. Kekeliruan demi kekeliruan ini akhirnya melahirkan suasana bingung, iaitu tidak tahu mana satu kebenaran, mana satu kebatilan. Bahkan telah disebut oleh Allah S.W.T;
وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”
Imam Qurtubi R.A menukilkan kata-kata Saidina Ali di dalam tafsiran ayat ini;
إن الحق لا يعرف بالرجال ، اعرف الحق تعرف أهله

“Kebenaran itu tidak dikenali melalui orangnya. Kenallah kebenaran, kamu akan kenal siapa orang orangnya.”
(3) Antara lain, Nabi S.A.W menyatakan bentuk bagaimana berlakunya suasana kebingungan di akhir zaman. Kita tidak tahu kita menyerang siapa, untuk siapa, dan kenapa. Kita tidak tahu kita menyerang pakai peluru siapa, dan kita tidak tahu kita di kelompok mana;
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تَذْهَبُ الدُّنْيَا حَتَّى يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ يَوْمٌ لَا يَدْرِي الْقَاتِلُ فِيمَ قَتَلَ وَلَا الْمَقْتُولُ فِيمَ قُتِلَ فَقِيلَ كَيْفَ يَكُونُ ذَلِكَ قَالَ الْهَرْجُ الْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ

“Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehingga orang-orang saling bunuh satu sama lain tanpa mengetahui apa sebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak tahu apa sebab dia dibunuh.” Maka, ditanyakanlah kepada Baginda S.A.W, “Bagaimana mungkin ia boleh terjadi?” Baginda S.A.W menjawab, “Itulah al-harj, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka.


(Riwayat Muslim)
Umawiyyah dan Abbasiah
(1) Di dalam sejarah, kita boleh lihat bagaimana Umat Islam diuji dengan krisis yang membingungkan. Sama ada disebabkan musuh, ataupun bingung disebabkan perselisihan dan perpecahan yang berpanjangan.
Contohnya di zaman Umawiyah lagi Umat Islam berhadapan dengan perselisihan antara Andalus yang masih mempunyai pengaruh Umawiyyah dan pemerintahan pusat yang sudah beralih ke arah Abbasiah.
(2) Di awal zaman Abbasiah Umat Islam berhadapan dengan resapan ideologi falsafah sehingga munculnya firqah-firqah yang berselirat. Ada yang terpengaruh dengan ajaran-ajaran itu.
Mereka yang terpengaruh, membina mazhab dan aliran pemikiran yang baru. Ada yang terkeliru dan kebingungan untuk menentukan mana satu di pihak yang benar sehinggalah muncul Ahlus Sunnah wal Jamaah.
(3) Di zaman ini juga munculnya orang-orang Zindiq yang mengalami krisis aqidah. Menterjemahkan Islam seperti syariat ahli kitab terdahulu. Ajaran-ajaran seperti Jahmiyyah, Qadariah Dan Jabariah menjadi perhatian.
Umat Islam bingung dengan kewujudan golongan-golongan seperti ini. Ada yang terpengaruh. Ramai juga ulamak dan pemikir Islam yang sedar hal ini dan mula menulis disiplin ilmu dan pemikiran.
(4) Ketika kejatuhan Abbasiah Umat Islam sekali lagi bingung terhadap kejatuhan pemerintahan itu. Ribuan Umat Islam dibunuh Tatar. Khalifah diheret sekeliling Baghdad dan akhirnya dibunuh di dalam karpet dipijak beramai-ramai.
Karya-karya Umat Islam dikumpulkan dan dijadikan jambatan untuk membolehkan Tatar menyeberang Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Umat Islam hilang punca kekuatan sehinggalah munculnya Uthman Ghazi membina Empayar Uthmaniah.
Kebingungan di era Uthmaniah
Di awal pemerintahan Khilafah Uthmaniah turut tidak lari daripada perselisihan. Namun berjaya diselesaikan dengan baik. Tetapi Uthmaniah berhadapan dengan situasi ‘gangguan’ intelligent Barat dan golongan Orientalis.
Golongan ini mencipta kebingungan terhadap Umat Islam, dengan karya-karya yang mengelirukan orang Islam. Antaranya mereka mencetuskan perselisihan antara Salaf dan Khalaf.
(2) Hasil cetusan tersebut, timbullah Arab Revolt 1917 yang menjadi punca utama kejatuhan Uthmaniah. Orang-orang Arab dibingungkan dengan sentimen untuk menjulang bangsa itu mengatasi Bangsa Turki.
Sentimen bangsa ini akhirnya meranapkan Uthmaniah, dan Bangsa Arab tidak perolehi apa-apa untung pun, melainkan Umat Islam hidup dalam keadaan berpecah dan kuasa pusat Islam menjadi hangus.
(3) Umat Islam dibingungkan dengan slogan Sekularism, Nasionalism, Modernism, dan sebagainya. Umat Islam melihat laungan-laungan itu adalah kebenaran, walhal meruntuhkan mereka.
Ada yang terikut dengan gaya Barat sehingga mewujudkan fenomena Young Turks, dan Ittihad wat Taraqqi. Umat Islam dibingungkan dengan kumpulan-kumpulan yang menyeru ke arah perubahan, walhal menjatuhkan Khilafah.
(4) Pasca kejatuhan Uthmaniah menampakkan perpecahan yang besar bagi Umat Islam. Negara-negara Arab berjaya dikerat sebelum itu lagi melalui Deklarasi Balfour dan Perjanjian Sykes Picot.
Negara-negara Islam mula berubah beransur-ansur ke arah Sekular. Apatah lagi di era penjajahan British dan Belanda yang meninggalkan kesan yang cukup dalam terhadap perundangan.
Hari ini yang membingungkan
Hari ini kita saksikan umat Islam dalam kebingungan. Bingung terhadap perancangan Barat. Umat Islam terpecah menjadi dua blok. Arab Saudi, Mesir dan seangkatan dengannya berada di Blok Barat.
Manakala Iran, Syria dan sealiran dengannya berada di Blok Timur. Negara Islam di Blok Barat pula bersaing untuk menjadi kuasa dominan atau suara bagi umat Islam.
(2) Pertembungan Islam antara Blok Timur dan Barat dihiasai dengan krisis mazhab Sunni-Syiah yang dibakar tanpa kesudahan. Menyebabkan Umat Islam bercakaran sesama sendiri.
Pertembungan sesama negara Islam di Blok Barat pula dihiasi dengan krisis mazhab Salaf Khalaf, dan dibakar dengan sentimen Aswaja dan Wahhabi. Menjadikan perpecahan itu semakin menyala dibakar.
(3) Umat Islam hari ini dibingungkan dengan perselisihan mazhab. Masing-masing merasakan mazhab mereka di atas kebenaran, manakala mazhab lain terus ke neraka. Terjerat dengan mainan musuh tanpa sedar.
Umat Islam seluruh dunia ditindas dan dibunuh oleh Barat, tetapi Umat Islam lebih cenderung mengkaji perselisihan mazhab berbanding mengkaji perancangan musuh. Menganggap perancangan musuh itu hanya sekadar teori.
(4) Al-Quran dan Hadis sepatutnya menyatukan, tetapi hari ini telah diolah oleh Barat menjadi instrumen penting untuk menyemarakkan perselisihan. Berselisih bukan disebabkan hujah, tetapi disebabkan sentimen.
Jalan yang bersimpang siur ini menyebabkan umat Islam ada yang kebingungan. Bingung kerana diperbodohkan atau dijadikan alat oleh musuh. Seolah-olah perselisihan itu lebih utama berbanding kesatuan.
MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 22/5/2020

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails