Saturday, September 26, 2020

Kembalilah! Cari titik perpaduan walaupun ada beribu titik perpecahan

 

KUALA LUMPUR: Pimpinan dan ahli-ahli Muafakat Nasional (MN) perlu kembali fokus dalam agenda memperkukuhkan perpaduan seperti yang termeterai dalam Piagam Muafakat Nasional sebelum ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perpecahan kesatuan politik umat Islam amat disenangi musuh yang tidak pernah menyukai perpaduan dalam kesatuan politik Islam.

“Setiap pihak perlu menyedari bahawa perpecahan kesatuan politik umat Islam adalah satu kejayaan musuh kerana musuh sama sekali tidak akan tidur lena dengan kesatuan politik umat Islam yang telah berjaya dibentuk.


“Malah ia terbukti apabila gagalnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu dan digantikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada hari ini dengan asas penyertaan MN di dalamnya.

“(Ia) bagi menjamin kestabilan politik negara tanpa ada keterlibatan DAP dan parti politik yang sekutu dengannya,” ujarnya pada satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu turut mengingatkan semua pimpinan MN terhadap naratif media musuh dan dakwaan Anwar Ibrahim pada 23 September itu hanya cubaan memporak perandakan kesatuan yang dibina antara PAS dan Umno secara asasnya melalui MN.

“Usah melayan mengikut rentak tari musuh kerana dakwaan sebegini bukan kali pertama malah pernah juga terjadi pada September 2008 dan juga Februari 2020 yang lalu.

“Jika sekalipun benar, dakwaan ini perlu melalui proses perundangan yang sah, bukan semata-mata menerusi pengumuman media sahaja,” tambahnya.

Pada 23 September lepas, Anwar mengumumkan dia punyai majoriti ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru sekali gus menjatuhkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dalam kalangan majoriti itu Anwar mendakwa mereka juga terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dari kalangan Bumiputera dan Islam.

Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan oleh portal-portal berita tempatan berkata, dia telah dimaklumkan bahawa ada ahli-ahli parlimen Umno dan Barisan Nasional menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

Susulan itu, PAS mengeluarkan kenyataan pada 24 September menyatakan pendirian 18 Ahli Parlimen PAS mendukung kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia manakala Ahli- ahli Parlimen dari Umno turut menafikan dakwaan Anwar.

Sehubungan itu, Nik Zawawi mengajak seluruh pimpinan MN kembali ke meja rundingan bagi membina keputusan bersama untuk setiap kenyataan media berasaskan permuafakatan yang termaktub dalam Piagam Muafakat sedia ada.

“Usah kembali membiarkan suasana tenang yang sedang dirasai oleh setiap nadi rakyat dengan kerajaan pada hari ini diranapkan yang akhirnya membuka ruang DAP kembali berkuasa ekoran perselisihan yang tidak dikawal.

“Perselisihan pasti ada, namun carilah titik perpaduan yang lebih diberikan fokus iaitu agama, ummah dan kestabilan politik negara.

“Kita mempunyai banyak persamaan yang boleh difokuskan dari melayan hanya beberapa titik perselisihan yang ada dan sukar dielakkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2020

GRS pimpinan Muhyiddin menang, rampas Sabah daripada Warisan.

 



Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah memenangi 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) diikuti Warisan Plus dengan memperoleh 16 kerusi.

Berikut senarai kerusi Dun yang dimenangi blok parti masing-masing.

GRS

• Dun Sulaman

Bebas

• Dun Kuamut

• Dun Pitas

Keputusan terkini MyUndi  Klik di sini untuk berita lanjut

Lagi berita berkaitan PRN Sabah


Pegawai Tinggi Pun Dibuang Kerja, Jika Tak Fasih Baca Al-Quran.


Kebolehan membaca Al-Quran adalah kriteria penting sebelum memegang jawatan tinggi di kawasan pentadbiran Gowa Sulawesi Selatan.

Sejumlah pegawai tinggi di kawasan pentadbiran Gowa, Sulawesi Selatan, bakal dibuang kerja gara-gara tidak fasih membaca Al-Quran.

Menurut laporan The Jakarta Post, tempoh selama enam bulan telah diberikan supaya pegawai berkenaan dapat memperbaiki bacaan masing-masing.

"Ia berdasarkan perjanjian yang sudah ditandatangani," kata Ketua Daerah Gowa, Adnan Purichta Ichsan.

Seramai 14 daripada 76 pegawai tinggi beragama Islam yang baru dilantik dalam pentadbiran itu, dilaporkan gagal dalam ujian membaca Al-Quran.

Ujian berkenaan dilakukan sebagai sebahagian daripada proses pengambilan terbuka bagi jawatan pegawai tinggi.

"Kebolehan membaca al-Quran secara fasih antara kriteria yang perlu dipenuhi sebelum memegang jawatan tinggi di kawasan pentadbiran Gowa,” kata Ketua Bahagian Pentadbiran Sumber Manusia, Muh Basir.

Sumber: The Jakarta Post

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sepatutnya di negara umat Islam yakni negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, pemimpinnya wajib tahu mengenai agama penduduknya, termasuk pandai membaca Al-Quran. Walaupun dia bukan atau belum beragama Islam.

Ini tidak, rakyat yang turun-temurun beragama Islam disuruh mengikut rentak pemimpin bukan Islam, termasuk melaksanakan perkara-perkara yang bertentangan dengan peraturan Islam. Contohnya, termasuk dalam amalan sosial, ekonomi dan politik. 

Sehingga orang Islam hendak melaksaanakan agama sendiri di negaranya sendiri pun jadi masalah!

Hibur Hibur Sikit: H2S Pilihan: 01 -Dikir Barat PAS

Ini, 5 Berita Panas Politik Negara Hari Ini..

 

Situasi politik negara terus menegang tanpa sebarang jawapan. Kerusi penting negara yakni Perdana Menteri masih lagi belum terisi. Rakyat terus dibiarkan penuh persoalan dek tindakan-tindakan ahli politik.

Jadi, kami nak kongsikan dengan korang semua 5 berita terhangat tentang situasi politik negara buat masa ini (setakat artikel ini ditulis)

1. Majlis Raja-Raja Melayu tidak dapat membuat keputusan siapa Perdana Menteri seterusnya. YDP Dewan Rakyat turut memutuskan tiada sebarang mesyuarat yang akan terjadi pada 2 Mac ini

2. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PRIBUMI) mencalonkan Tan Sri Dato’ Muhyiddin Hj Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8

3. Ketua Polis Negara menyatakan keselamatan negara masih berada dalam keadaan terkawal. Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang provokasi dan elakkan daripada membuatkan sebarang spekulasi.

The Inspector General of Police says national security is under control, although tense. He warned the public not to do anything provocative, and avoid speculation in this time.

He also advised Malaysians to go about their daily activities this weekend, as the police and army are closely monitoring the situation, to ensure everything remains peaceful.He also urged netizens to stop spreading fake news, as this can cause panic.

...

Lihat Lagi

4. Gabungan Muafakat Nasional (UMNO-PAS) memberi sokongan kepada Tan Sri Dato’ Muhyiddin Hj Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8

 5. Tommy Thomas letak jawatan sebagai Ketua Peguam Negara secara tiba-tiba.

(SH)

Tidak ada jalan untuk Zahid berdiam diri. Ya, Jelaskan!

 

Langkah Ahmad Zahid

Mukaddimah 

Pada mulanya, sidang media oleh DS Anwar Ibrahim pada 23 September baru-baru ini hanya diambil sebagai acuh tak acuh sahaja oleh pelbagai pihak, termasuk PN. Ia hanya dianggap sebagai ‘gimik politik murahan’ oleh Presiden PKR itu sempena PRN Sabah.

Setelah dua hari, PN semakin rimas dengan ketidak-jelasan sikap Umno yang digambarkan melalui kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang seperti mengesahkan dakwaan Anwar di sidang media tersebut.

Mahu atau tidak, ‘langkah Ahmad Zahid’ terpaksa PN hadapi di ambang PRN Sabah esok hari.

Mengenal pasti ‘skru longgar’ dalam PN

Sidang media Anwar membuatkan PN cuba mencari skrunya yang longgar. Tidak ada yang longgar pada awalnya. Semuanya didapati berfungsi dengan baik dan mengikat kemas komponen-komponen BERSATU, Umno, PAS, GPS dan GRS.

Tiba-tiba didapati ada skru yang longgar daripada pihak Ahmad Zahid. Setelah dua hari, Ahmad Zahid dilihat sengaja tidak mahu mengetatkan skru utama itu walaupun telah dikenal pasti.

Skru itu cuba diketatkan oleh Datuk Asyraf Wajdi, Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein dan Datuk Seri Mahadzir Khalid. Tetapi nampaknya hanya Ahmad Zahid yang memiliki ‘screw driver’ dengan saiz yang betul.

PAS meminta penjelasan dengan sejelas-jelasnya

Hari ini, Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan media memohon penjelasan Umno. Tahap keseriusan permohonan itu digambarkan oleh perenggan keempat kenyataan media itu berbunyi;

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN, BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH”.

Ia boleh membawa makna berakhirnya Muafakat Nasional (MN), walaupun ia belum tentu bermakna tumbangnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tidak ada jalan untuk Zahid berdiam diri

Ahmad Zahid tidak membuat sebarang kenyataan tambahan setakat ini.

Jika beliau menafikan dakwaan Anwar, ia satu kelegaan kepada PN. Jika beliau mengesahkan lebih selesa dengan Anwar, episod politik baru akan bermula semulla.

Bersama Anwar pada detik ini bererti serang hendap yang hebat ke atas rakan-rakan sekutu beliau di dalam PN.

Memahami keresahan Umno bersama PN

Bekerjasama dalam PN, tidak menjadikan Umno berkuasa penuh mentadbir kerajaan seperti pada era BN dahulu. Banyak yang berbeza dan banyak tolak ansur luar biasa yang telah diambil sebelum ini.

Antaranya, bersetuju memilih Muhyiddin sebagai PM, tidak ada Timbalan Perdana Menteri, ada empat jawatan Menteri Kanan, kepimpinan utama Umno yang ada kes belum selesai di mahkamah tidak akan dilantik ke jawatan Menteri dan banyak lagi.

Dengan majoriti Ahli Parlimen PN adalah daripada Umno, rasa tidak puas hati sebahagian pimpinan Umno memang mudah untuk difahami. Tetapi itulah langkah besar yang perlu diambil untuk menggantikan PH.

Sebenarnya setiap pihak di dalam PN berkorban. Muhyiddin dan Azmin berkorban segala-galanya bila meninggalkan Kerajaan PH dan Tun Mahathir. Tidak akan ada PN, tanpa langkah nekad itu.

Umno, PAS, GPS dan PBRS juga turut berkorban dalam pelbagai isu demi menguatkan PN dan menyelamatkan negara. Tanpa dokongan dan toleransi mereka, PN akan tumbang seawal bulan pertama berkuasa.

Jika Ahmad Zahid rindukan zaman kegemilangan BN itu, beliau sepatutnya telah sedia maklum bahawa landskap politik negara telah pun berubah. Rakyat dan pengundi juga telah menjadi semakin kompleks.

Betul, rakyat memang membandingkan zaman BN dan zaman PH. Tetapi rakyat tidak mahu lagi Umno yang dulu. Mereka mahukan Umno yang lebih telus, rendah diri dan sanggup berubah. Jika kembali seperti dulu, rakyat tidak lagi selesa.

Apakah keuntungan Umno jika bersama Anwar

Jawatan-jawatan Menteri boleh dirundingkan semula. Kedudukan tokoh-tokoh Umno dalam kerajaan akan menjadi lebih banyak. Kuasa politik boleh digunakan dengan lebih bebas untuk mempengaruhi banyak keputusan di pelbagai peringkat.

Dan yang paling utama, tidak perlu lagi ‘asyik mengalah’ kepada tuntutan BERSATU.

Apa masalah bakal timbul jika Umno bersama Anwar

Ada kepimpinan Umno yang tidak mampu lagi bersama Anwar yang dilihat lebih bersifat ‘liberal’ berkaitan isu-isu yang menyentuh bangsa Melayu dan agama Islam.

Mereka juga terpaksa berkawan dengan kawan-kawan Anwar daripada DAP. Untuk makluman, bukan senang berkawan dengan DAP dan tuntutan-tuntutan mereka.

Mereka terpaksa menjelaskan kepada akar umbi mereka mengenai perubahan pendirian ini. Ia sangat sulit difahami daripada sudut falsafah dan perjuangan parti.

Di pihak Anwar pula, menguruskan perbezaan perjuangan Umno dan DAP pula adalah satu tugas seberat gunung Kinabalu.

Sekali lagi kita akan melihat dua sahabat baik, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng akan kembali ke kabinet.

Penutup

‘Langkah Ahmad Zahid’ berupaya merobohkan sebahagian kekuatan PN. Ia juga memberi kemungkinan untuk Anwar bergelar PM. Ia adalah satu langkah yang ‘hebat’.

Tetapi adakah langkah itu diperlukan oleh rakyat? Adakah langkah itu akan difahami dengan pantas oleh akar umbi Umno? Adakah Umno akan untung besar dalam jangka masa panjang dengan langkah ini? Hanya Umno yang boleh menjawabnya.

Jika langkah ini benar-benar berlaku, PRU akan datang akan menyaksikan pertembungan banyak penjuru di setiap kerusi parlimen. Pertarungan utama antara PH Plus dan Plus Umno dengan PN tanpa Umno.

Rakyat kena cepat buat keputusan, kerana PRU kelihatannya sudah tersangat hampir!

Bola sekarang ini berada di kaki kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 25 September 2020 – HARAKAHDAILY 25/9/2020

Hibur Hibur Sikit
 Sempat Ibu Hasyim bergambar depan pintu masuk Kampung Balung Cocos, di Tawau, Sabah.

Maaf, Tumbangkan Warisan Bah!!! -Ibnu Hasyim Setuju..

 

Ayuh Kita Tumbangkan Warisan Bah!!!


Malam ini tepat jam 12.00 malam, secara rasminya tempoh berkempen untuk PRN Sabah akan berakhir.

Selama 2 minggu, pemimpin-pemimpin dari pelbagai parti yang bertanding berkampung di Sabah, walau pun Sabah kini adalah negeri yang tertinggi mencatatkan kes baru Covid-19.

Saat ini sebahagian besar rakyat Sabah sudah menetapkan siapakah yang akan mereka pilih esok semasa PRN Sabah bermula.

1,124,598 orang pengundi akan menentukan nasib 447 orang calun yang bertanding untuk merebut 73 kerusi DUN di 741 pusat mengundi yang mempunyai 2,540 saluran mengundi.

Siapakah yang akan dipilih menjadi ADUN, parti manakah yang akan membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baharu akan terjawab bila semua kertas undi yang berada dalam peti undi selesai dikira.

Kepada rakyat Sabah, ada beberapa isu yang ingin admin kemukakan sebelum membuat memangkah di kertas undi.

Sepanjang tempoh berkempen, pasti rakyat dapat menilai, parti yang manakah yang benar-benar memikirkan tentang rakyat.

Bezakanlah pencapaian yang telah dilakukan antara parti-parti yang menawarkan calun mereka, terutamanya dari Barisan Nasional dan Warisan.

Kalau dilihat dari sudut perkembangan ekonomi, prestasi yang ditunjukkan oleh Barisan Nasional adalah jauh lebih baik dari Warisan.


Tidak perlu dilihat sepuluh atau lima belas tahun yang lepas. kita lihat dari 2017, tahun terakhir pemerintahan Barisan Nasional di Sabah sebelum tumbang dalam PRU 14.

Tahun 2017, pertumbuhan ekonomi Sabah berada pada kadar 8.2%, iaitu kadar pertumbuhan ekonomi yang tertinggi antara negeri-negeri dalam Malaysia.

Tetapi selepas Warisan mengambil alih pemerintahan di Sabah, tahun 2018, kadar pertumbuhan ekonomi Sabah menjunam kepada 1.5% dan pada tahun 2019, ianya menjunam lagi kepada hanya 0.5%!!!

Sekiranya Warisan terus diberi mandat dalam PRN Sabah untuk memerintah Sabah, kalau mengikut trend menurun yang di catitkan sejak tahun 2018, adalah dijangkakan Sabah akan mengalami pertumbuhan ekonomi negatif!!!

Apa kesannya kepada rakyat Sabah?

Peluang perkerjaan baru tidak dapat diwujudkan kerana pelabur asing tidak akan datang melabur, ramai rakyat Sabah yang kini mempunyai perkerjaan akan kehilangan perkerjaan kerana banyak syarikat akan menghentikan operasi mereka.

Kadar pengangguran akan bertambah, rakyat Sabah akan kehilangan punca pendapatan dan akibatnya kadar jenayah akan meningkat kerana keperluan asas keluarga tetap mesti diadakan walau pun ketua keluarga sudah kehilangan punca pendapatan.

Apakah ini yang rakyat Sabah mahukan?


Kedaulatan dan kemerdekaan rakyat dan negeri Sabah bukanlah sesuatu yang boleh dirunding-rundingkan.

Sebagai rakyat dan negara yang merdeka, kita wajib menentang walau siapa sahaja yang cuba untuk memperdagangkan kemerdekaan dan kedaulatan kita.

Tuntutan Filipina ke atas Sabah bukanlah saru perkara yang baru.

Sejak pemerintahan Barisan Nasional lagi usaha Filipina untuk menuntut Sabah dari Malaysia telah dijalankan.

Namun dengan ketegasan Malaysia yang langsung tidak mahu membuka walau sedikit ruang sekali pun di atas usaha tersebut, Filipina kelihatan telah memadamkan hasrat mereka dengan menutup jabatan khas yang menggerakkan usaha tersebut.

Filipina menuntut Sabah atas faktor sejarah bahawa satu masa dahulu, Sabah adalah di bawah pemerintahan Kerajaan Sulu, namun Malaysia mempertahankan Sabah berdasarkan kemerdekaan yang British beri kepada Sabah untuk bergabung dengan Malaysia dan ianya di akui oleh Bangsa Bangsa Bersatu.

Jadi, Filipina tiada asas langsung untuk menuntut Sabah dari Malaysia.

Tetapi Ketua Menteri Sabah dari Warisan, Shafie Apdal, berpendapat sebaliknya.

Kenyataan beliau yang bersetuju untuk berunding dengan Filipina dalam isu ini memang mengejutkan semua pihak.

Hak kita sepatutnya kita pertahankan dan bukannya boleh dirunding untuk diserahkan kepada pihak lain!!!

Atau apakah sememangnya ahli politik Warisan sememangnya mahu mengeluarkan Sabah dari Malaysia untuk dijadikan sebahagian dari Filipina???

Ada asasnya dakwaan tersebut, kerana selain dari siklap yang ditunjukkan oleh Shafie, kenyataan Mohammaddin Ketapi yang menghina anggota keselamatan dan menafikan kehadiran pengganas Sulu di dalam tragedi Tanduo kelihatan selari dengan Shafie!!!

Rakyat Sabah nilaikanlah, di atas segala musibah yang telah dilakukan oleh Warisan, apakah ada di antara mana-mana pemimpin Warisan yang menjelaskan perancangan pembangunan infrastruktur dan ekonomi untuk meletakkan kembali Sabah ke landasan yang sebenarnya?

Tidak ada!!!


Mereka bersikap angkuh yang tidak langsung menampakkan keikhlasan!!!

Rakyat Sabah, buatlah pilihan yang betul, berikan mandat kepada Barisan Nasional yang telah terbukti menabur jasa kepada rakyat dan negeri Sabah.

Ayuh, sama-sama kita tumbangkan Warisan bah!!!
 Sempat Ibu Hasyim bergambar depan pintu masuk Kampung Balung Cocos, di Tawau, Sabah.

Friday, September 25, 2020

Lagi, Kisah Air Di Negeri Tandus, Id.

 Sambungan dari.. Masalah Air Bersih. Sengsara Di Pulau Kera, Id..


INDONESIAKU - KISAH AIR DI NEGRI TANDUS (28/11/16) 3-1



INDONESIAKU - KISAH AIR DI NEGRI TANDUS (28/11/16) 3-2

Masyarakat Islam Menang di bandar Oer-Erkenschwick ..

 

Masjid dibenar guna pembesar suara

COLOGNE: Mahkamah di sebuah bandar kecil di Jerman menolak permohonan penduduk tempatan yang mendesak pihak berkuasa melarang masjid menggunakan pembesar suara ketika melaungkan azan.

Kemenangan masyarakat Islam Turki di bandar Oer-Erkenschwick di negeri North Rhine-Westphalia itu dicapai selepas pertikaian di mahkamah berlanjutan selama lima tahun.

Dengan keputusan mahkamah itu, maka masyarakat Islam di bandar terbabit kini boleh menggunakan pembesar suara ketika azan berkumandang.

Penduduk tempatan mengemukakan aduan pada 2015 bagi membantah kebenaran untuk umat Islam menggunakan pembesar suara sekurang-kurangnya 15 minit antara tengah hari sehingga jam dua petang setiap Jumaat.

Sepanjang lima tahun sejak prosiding kes mahkamah dimulakan sepasang suami isteri yang tinggal sekitar 900 meter dari masjid terbabit, laungan azan tidak kedengaran langsung.

Bagaimanapun, ketika mahkamah bersidang baru-baru ini di Muenster, Hakim Annette Kleinschnittger, berkata setiap anggota masyarakat harus menerima kepercayaan agama penduduk setempat yang lain.

Beliau menegaskan, selama tidak ada yang dipaksa menganuti sesuatu agama, maka tiada alasan untuk membuat aduan mengenai laungan azan.

Ketika ini, terdapat lima juta penduduk Islam di Jerman. - AGENSI

Hibur Hibur SikitH2S Pilihan: 02 -Muslim Rap-Soldier of Allah.

China roboh sekitar 16,000 masjid di Xinjiang

 

 Kerajaan China didakwa memusnahkan masjid di wilayah Xinjiang. - Foto AFP

BEIJING: Pihak berkuasa China sudah merobohkan ribuan masjid di Xinjiang, kata pasukan pemikir Australia hari ini, dalam laporan terkini mengenai pencabulan hak asasi manusia di rantau terbabit.

Menurut Institut Dasar Strategik Australia (ASPI), lebih sejuta minoriti Islam Uighur dan komuniti berbahasa Turkic di barat daya China ditahan di ratusan kem, serta dipaksa meninggalkan segala pegangan keagamaan atau kebudayaan.

Laporan ASPI yang berpandukan kepada imej rakaman satelit, mendapati sekurang-kurangnya 16,000 masjid dimusnahkan atau dirosakkan pihak berkuasa China.

Sebahagian besar pemusnahan itu berlaku tiga tahun lalu dengan anggaran 8,500 masjid musnah sepenuhnya dan menurut laporan itu lagi, kerosakan paling besar berlaku di kawasan bandar, seperti Urumqi dan Kashgar.

Banyak masjid lain yang terlepas daripada tindakan itu dipaksa merobohkan binaan kubah atau menara masing-masing dan akibatnya, kini hanya terdapat kurang daripada 15,500 masjid di sekitar Xinjiang.

Jika benar, ia adalah jumlah rumah ibadat Islam yang terendah pernah dicatatkan di rantau berkenaan sejak Revolusi Kebudayaan pada 1960an.

Bagaimanapun, tindakan seumpamanya tidak diambil terhadap gereja atau kuil Buddha yang turut terdapat di serata Xinjiang.

Menurut ASPI, hampir satu pertiga tapak suci Islam di Xinjiang seperti makam, laluan jemaah dan tanah perkuburan turut menjadi mangsa.

Malah, tinjauan AFP pada tahun lalu melaporkan penemuan puluhan tanah perkuburan dimusnahkan, dengan cebisan mayat serta batu nisan berselerakan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa China menegaskan penduduk Xinjiang diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengikuti amalan agama masing-masing.

Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, mendakwa terdapat kira-kira 24,000 masjid di sekitar Xinjiang iaitu jauh lebih banyak berbanding sesetengah negara Islam. - AFP

PAS Mohon Penjelasan UMNO, ".. jika benar keadaan ini.."

 

Kenyataan Media PAS Pusat

SOKONGAN PERDANA MENTERI – PAS MOHON PENJELASAN UMNO


1. PAS terpanggil untuk mendapatkan penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO terhadap YAB Perdana Menteri.

2. PAS merasakan jika benar keadaan ini, ianya bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019.

3. Sukacita diingatkan, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatu-padukan umat Islam dalam negara, sekaligus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

4. Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN, BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH.

5. Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 7 Safar 1442 / 25 September 2020

PM hilang kepercayaan? Apa Peranan YDP Agung? -Prof Dr Shamrahayu

 

Jangan 'heret' istana dalam krisis perebutan kuasa

Persoalan cuba dijawab dalam tulisan ini ialah - adakah Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dalam menentukan seseorang Perdana Menteri itu sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Dalam konteks amalan Perlembagaan secara umum, Perdana Menteri dianggap hilang kepercayaan apabila berlakunya satu daripada perkara berikut:

Pertama, apabila undi tidak percaya diluluskan Parlimen (pernah berlaku di Kelantan, lihat juga keputusan kes Stephen Kalong Ningkan - Sarawak).

Kedua, apabila Perdana Menteri meminta undi percaya daripada Dewan, tetapi beliau gagal mendapatkannya.

Ketiga, apabila kerajaan gagal mendapatkan bilangan majoriti undi untuk meluluskan rang undang-undang penting.

Keempat, apabila kerajaan gagal dalam melaksanakan dasar penting yang menggunakan dana yang besar.

Di negara kita, keadaan luar biasa atau extraneous circumstances juga boleh dianggap keadaan yang mana Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti (kes Datu Amir Kahar – Sabah).

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, "Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong".

Pada peruntukan ini, Perlembagaan tidak menyatakan mengenai apa-apa peranan Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan bagaimana seorang Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan.

Pada analisis saya, tiada juga peruntukan lain yang bermaksud memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.

Perlembagaan menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kepercayaan kepada seseorang ahli Dewan Rakyat, sebelum baginda memberi perkenan untuknya bagi dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi, Perlembagaan tidak memberikan kuasa kepada baginda untuk menentukan seseorang Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan majoriti.

Perkara ini jelas dalam Perkara 43(2)(b) yang menyatakan, "Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut iaitu: (a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; ….".

Maksud peruntukan ini ialah sekiranya terdapat kekosongan pada jawatan Perdana Menteri, barulah Yang di-Pertuan Agong boleh menentukan kepercayaan majoriti. Ini adalah peranan raja berperlembagaan sebagaimana nyata dalam Perlembagaan.

Namun, sekiranya jawatan Perdana Menteri masih berisi, tiada kekosongan. Maka perkara ini berada dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen, yang mana hal hilang kepercayaan majoriti ditentukan perwakilan demokrasi dan tidak membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konteks ini, Perdana Menteri dan semua Ahli Parlimen, spesifiknya ahli Dewan Rakyat yang menentukannya.

Dalam krisis politik sebelum ini, Perdana Menteri memberi respon langsung kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukannya iaitu dengan menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau tidak mempunyai majoriti dan membuat keputusan untuk meletakkan jawatan.

Begitu juga krisis politik di Perak pada 2008/2009, yang mana Menteri Besar mengambil pendirian menyembah maklum kepada Sultan Perak memgenai keadaan hilang kepercayaan ahli Dewan kepadanya.

Menteri Besar meminta Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Permintaan itu bagaimanapun tidak diperkenan Almarhum Sultan Perak atas kuasa budi bicara yang ada pada baginda menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

Peranan Yang di-Pertuan Agong terhad kepada menentukan kepercayaan majoriti mengenai lantikan Perdana Menteri apabila jawatan itu kosong, sama ada ketika berlaku peletakan jawatan oleh Perdana Menteri atau selepas suatu pilihan raya umum.

Dalam hal selain ini, institusi beraja, Yang di-Pertuan Agong tidak perlu diheret bersama. Orang politik perlu menyelesaikan masalah mereka dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen, sama ada pembangkang atau kerajaan, termasuk Perdana Menteri dan semua Ahli Parlimen, sama ada dalam Dewan atau di luar Dewan, terserah kepada mereka.

Mereka perlu jujur untuk menjadikan demokrasi sebagai satu sistem yang berkesan. Andai mereka tidak jujur, ini memberikan indikasi bahawa demokrasi itu bukan suatu sistem yang baik.

Apabila permasalahan antara ahli politik ini mencapai satu keadaan jelas hilangnya kepercayaan kepada Perdana Menteri, barulah peranan Yang di-Pertuan Agong bermula sebagaimana tertera dalam Perkara 43(3) seperti dipetik di atas.

Kedudukan undang-undang ini agak jelas. Maka, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam kancah pergeseran atau perebutan kuasa dalam demokrasi.

Kita sebagai rakyat, hendaklah faham peruntukan undang-undang berkaitan sebelum melontar tuduhan ke atas Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkenan baginda kepada kenyataan bahawa kerajaan hilang sokongan majoriti.

Tindakan mengheret institusi Yang di-Pertuan Agong ini akan menyebabkan ia boleh dipandang serong. Rakyat mungkin melihat Yang di-Pertuan Agong mencampuri urusan demokrasi berparlimen. Perkara ini tidak wajar berlaku.

Sebagai rumusan, hal berkaitan hilang kepercayaan majoriti perlu ditentukan ahli Parlimen sendiri, sama ada di dalam atau di luar Dewan Rakyat. Ia tidak membabitkan Yang di-Pertuan Agong.

Perlembagaan tidak meletakkan apa-apa peruntukan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan sama ada seseorang Perdana Menteri itu hilang kepercayaan ataupun tidak.

Justeru, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak meletakkan institusi Yang di-Pertuan Agong pada tempat yang sukar dalam keadaan institusi itu tidak mempunyai peranan tertera dalam Perlembagaan.

Walau apa pun, andai keadaan politik tidak menentu sehingga mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, institusi Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dikatakan tidak mempunyai kuasa.

Penulis adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Hibur Hibur Sikit

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails