Saturday, October 24, 2020

Parlimen tidak tergantung hanya dengan proklamasi darurat

 

PARLIMEN tidak boleh digantung dengan hanya proklamasi darurat. Ini kerana Perkara 150 (2B) membenarkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat. Contoh yang lebih mudah ialah pengalaman semasa proklamasi darurat 1969.

Dalam tahun itu, Parlimen dibubarkan pada 10 Mac untuk membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada 10 Mei 1969. Setelah keputusan PRU diumumkan, Perikatan gagal mengekalkan dua pertiga jumlah kerusi Parlimen.

Susulan daripada itu, pihak pembangkang dikatakan mencetuskan provokasi sehingga terjadi rusuhan pada 13 Mei 1969. Akibatnya, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika itu membuat proklamasi darurat pada 15 Mei 1969. Di Sabah dan Sarawak, PRU terpaksa ditangguhkan sehingga hanya selesai pada 4 Julai 1969. Proklamasi darurat itu hanya dibatalkan pada 20 Disember 2011, lebih kurang 40 tahun selepas itu.

Oleh kerana berlaku darurat, Agong (YDPA) berkuasa membuat ordinan darurat untuk mengawal ketenteraman awam di Persekutuan. Parlimen yang sepatutnya bersidang semula dalam tempoh 120 hari dari tarikh pembubarannya terpaksa ditangguhkan. Parlimen hanya bersidang semula pada 20 Februari 1971, iaitu hampir dua tahun dari tarikh pembubarannya setelah dipanggil oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri (PM).

Apa yang berlaku, apabila diisytiharkan darurat pada 15 Mei 1969, Parlimen sudah dibubarkan untuk membolehkan PRU dijalankan. Selepas Parlimen mula bersidang pada 20 Februari 1971, darurat masih berkuatkuasa. Apabila PRU dibuat dalam tahun 1974, proklamasi darurat masih belum dibatalkan. Itu menunjukkan meskipun darurat, Parlimen masih boleh berjalan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 (3) memperuntukkan proklamasi darurat dan sebarang ordinan yang dibuat di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di kedua-dua Dewan Parlimen dan, melainkan dibatalkan lebih awal, hendaklah terhenti kuatkuasa jika resolusi-resolusi itu diluluskan oleh kedua-dua Dewan membatalkan suatu Proklamasi atau Ordinan itu. Tanpa memprejudiskan apa jua yang telah dilakukan susulan daripada itu atau kuasa Agong untuk membuat proklamasi baharu di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan sebarang ordinan di bawah Fasal (2B).

Perkara 150 (2B) membenarkan ketika darurat masih beroperasi, Agong (YDPA) memasyhurkan suatu ordinan seperti yang baginda fikirkan perlu, tertakluk pada dua keadaan, iaitu: Pertama, Kedua-dua Dewan Parlimen tidak boleh bersidang serentak, dan Kedua, Agong berpuashati bahawa wujud keadaan-keadaan yang memerlukan baginda mengambil tindakan segera.

Justeru, untuk membolehkan Parlimen digantung, pembubaranya perlu dibuat lebih awal daripada proklamasi darurat.

Dalam keadaan darurat seperti di atas, Agong boleh memperkenankan Jemaah Menteri sebelum Parlimen terbubar untuk meneruskan fungsinya secara Interim bersifat ‘care taker’ di bawah Perkara 43 (2).

Selain itu, baginda mempunyai prerogatif untuk merundingi Majlis Raja-Raja atau mendapatkan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membuat ordinan yang perlu. Agong mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pengurusan pentadbiran negara berjalan dengan baik sehinggalah PRU dibuat bagi menangani ancaman besar yang berlaku itu.

Justeru, rakyat tidak perlu panik jika Parlimen dibubar dan darurat diisytiharkan. Misalnya dalam tempoh 15 Mei 1969 hingga 20 Februari 1971, pelbagai ordinan dan lahirnya polisi-polisi yang memberi kesejahteraan kepada rakyat, antaranya;

1. Ordinan (Kuasa-Kuasa Khas) Darurat No. 2, 1969.
2. Ordinan (Ketenteraman Awam dan Pencegah Jenayah) Darurat No. 5, 1969.
3. Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibbah) 1969.
4. Dasar Ekonomi Baru, 1970.
5. Universiti Kebabgsaan Malaysia, 1970.
6. Rukun Negara, 1970.

Tanpa memerlukan prosiding di Parlimen. Kita perlu memberi kepercayaan kepada Agong untuk menimbangkan keputusan yang terbaik bagi negara dan rakyat. Baginda boleh merundingi MRR, MKN atau pihak-pihak yang pada hemat baginda perlu. Semoga Allah SWT melindungi kita semua daripada wabak yang melanda dan dipulihkan kehidupan ekonomi rakyat keseluruhannya.

DATO’ DR WAN AHMAD WAN HUSAIN
Pengasas Jurisprudens Watan, merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universtiti Malaysia Pahang (UMP). – HARAKAHDAILY 23/10/2020

Perlu saluran yang benar-benar sahih -Ustaz Idris Ahmad

 

Kekal tenang, jangan terpedaya dakyah PH

KUALA LUMPUR: Rakyat diminta kekal tenang dalam meneruskan kehidupan ketika ini berikutan pelbagai spekulasi sedang dimainkan oleh pembangkang khasnya Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad menyatakan sebarang pengumuman rasmi kerajaan harus diikuti dari saluran rasmi kerajaan yang benar-benar sahih.

Beliau menasihatkan agar seluruh rakyat tenang dalam menghadapi situasi rumit ketika ini, memandangkan negara sedang berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang tinggi ketika ini.

Kata beliau, rakyat juga tidak perlu termakan dengan tohmahan dan dakyah yang dilakukan oleh pembangkang yang cuba untuk mengucar-kacirkan keamanan negara.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai spekulasi pengisytiharan darurat yang kini semakin dimainkan oleh pihak pembangkang.

Apa pun kata beliau, andai berlaku pengisytiharan darurat, ia adalah bagi menangani pandemik wabak Covid-19 masih dalam kerangka perlembagaan yang dibenarkan dan diambil kira oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, kuasa prerogatif yang ada pada Yang di-Pertuan Agong sudah tentu menjadi penaung buat rakyat Malaysia yang semestinya mengambil kira semua perkara demi memastikan keharmonian, keselamatan dan kedamaian rakyat akan dapat dimiliki.

“Apa yang penting adalah soal berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan rakyat seharusnya perlu diambil kira dan diberi tumpuan,” tegasnya lagi.

Pimpinan PH juga tidak perlu menimbulkan api kekecohan yang melampau dalam kalangan rakyat, kerana rakyat telah muak dengan ‘politiking’ dan perebutan kuasa yang dilakukan oleh pimpinan PH sehingga melihatkan tindakan itu tidak memperdulikan keselamatan rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan di Pahang petang tadi. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

Hibur Hibur Sikit:H2S Pilihan: 40 -Nyanyian Alam, Kashmir &Nasheed.

Darurat: Soal-jawab Bersama Prof Madya Dr Shamrahayu (UTM)

 


Soalan 1: Apakah maksud darurat?
Jawapan:
Darurat maksudnya suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa. Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong melalui suatu pewartaan bahawa keadaan tersebut telah wujud atau hampir berlaku.

Soalan 2: Apakah kesan pengisytiharan darurat?Jawapan:
Kesan umum pengisytiharan darurat ialah, Perlembagaan digantung dan pentadbiran negara adalah ditentukan oleh pihak eksekutif. Tentera juga boleh mengambil alih teraju dalam hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan memerlukan, lebih-lebih lagi apabila darurat diisytiharkan kerana berlakunya ancaman kepada keselamatan negara. Parlimen masih boleh bersidang sekiranya tidak dibubarkan.
Ketika Proklamasi Darurat berkuat kuasa, kuasa eksekutif Persekutuan adalah juga meliputi semua perkara dalam kuasa perundangan Negeri dan memberi arahan kepada kerajaan negeri atau mana-mana pegawai atau pihak berkuasa negeri. (Perkara 150(4)).
Kesan lain, dari segi pentadbiran dan perundangan dibincangkan dalam jawapan kepada soalan seterusnya.

Soalan 3: Adakah pengisytiharan darurat dibenarkan oleh Perlembagaan?
Jawapan:
Ya. Perlembagaan membenarkan pengisytiharan darurat melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. 
Perkara 150 adalah satu daripada tiga peruntukan yang berada di bawah Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahagian berkaitan Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang, Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat. 
Bahagian XI ini membenarkan undang-undang bagi tujuan pencegahan dibuat, termasuklah tahanan pencegahan bagi tujuan menangani keadaan darurat.

Soalan 4: Apakah yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat? 
Jawapan:
Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika darurat besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya (telah) wujud. 
Di bawah Perkara 150(2), Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat Proklamasi Darurat sekiranya baginda berpuas hati ancaman darurat besar, atas sebab keselamatan negara, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam hampir benar berlaku. 
Tiga asas atau alasan boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi membuat pengisytiharan darurat, iaitu, ancaman ke atas:
(i) Keselamatan negara; atau
(ii) Kehidupan ekonomi; atau
(iii) Ketenteraman awam.

Soalan 5: Bilakah dan di manakah darurat boleh diisytiharkan?
Jawapan: 
Darurat boleh diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada bila-bila masa, sama semasa Parlimen masih ada, sedang bersidang ataupun tidak, atau juga semasa Parlimen bubar. Syarat yang diperlukan ialah, telah dibuktikan elemen yang dinyatakan, iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.
Darurat boleh diisytihar atas seluruh Persekutuan atau mana-mana bahagian dalam Persekutuan. Perkara 150(1) dan (2).

Soalan 6: Adakah Yang di-Pertuan Agong membuat pengisytiharan darurat atas kuasanya sendiri atau atas nasihat Perdana Menteri?Jawapan: 
Pegisytiharan darurat ialah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Kuasa prerogatif ringkasnya bermaksud kuasa yang dimiliki oleh institusi beraja dari awal bahkan jauh sebelum gubalan Perlembagaan Persekutuan bagi Tanah Melayu (Malaysia). Kuasa tersebut kekal dalam milik institusi beraja. Walau bagaiamanapun, persoalan timbul ialah, adakah kuasa prerogatif tersebut dilaksanakan secara budi bicara atau atas nasihat Perdana Menteri?
Perkara 150(1) menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”. 
Frasa ‘Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati’ atau dalam Bahasa Inggeris, ‘if the Yang di-Pertuan Agong is satisfied’ menjadi persoalan, adakah puas hati Yang di-Pertuan Agong seorang diri (as sole judge) atau atas nasihat. 
Beberapa keputusan kes telah membuat pernyataan mengenai perkara ini: 
Kes Stephen kalong Ningkan (No.2) (tahun 1968) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat sekiranya baginda berpuas hati. Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge…”.
Walau bagaimanapun, keputusan kes Teh Cheng Poh oleh Privy Council pada tahun 1979 menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Jemaah Menteri. Ini adalah kedudukan undang-undang yang disepakati. Lord Diplock menyatakan:
“Although this, like other powers under the Constitution, is conferred nominally upon the Yang di Pertuan Agong by virtue of his office as the Supreme Head of the Federation and is expressed to exercisable if he is satisfied of a particular matter, his functions are those of a constitutional monarch and except on certain matters that do not concern the instant appeal, he does not exercise any of his functions under the Constitution on his own initiative but is required by Article 40(1) to act in accordance with the advice of the Cabinet. So when one finds in the Constitution itself or in a Federal law powers conferred upon the Yang di-Pertuan Agong that are expressed to be exercisable if he is of opinion or is satisfied that a particular state of affair exists or that particular action is necessary, the reference to his opinion or satisfaction is in reality a reference to the collective opinion or satisfaction of the members of the Cabinet, or the opinion or satisfaction of a particular Minister to whom the Cabinet have delegated their authority to give advice upon the matter in question”.
Justeru, menerusi keputusan kes Teh Cheng Poh ini, pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong perlu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri, atau seorang Menteri yang diberikan kuasa oleh Jemaah Menteri.

Soalan 7: Adakah Keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat dan membuat Ordinan semasa darurat boleh dipersoalkan (justiciable)?
Jawapan:
Keputusan kes Stephen kalong Ningkan (No.2) secara nyata Barakbah Lord President, dalam keputusan majoriti menyatakan “….In my opinion the Yang di-Pertuan Agong is the sole judge and once His Majesty is satisfied that a state of emergency exists, it is not for the court to inquire as to whether of not he should have been satisfied”.
Maksudnya, menurut Ketua Hakim Barakbah, mahkamah tidak boleh mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong.
Pandangan majoriti ini disanggah oleh Ong Hock Thye, Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam penghakiman sama. Hakim Ong Hock Thye menyatakan pandangan minoriti. Beliau menyatakan, 
“His Majesty is not an autocratic ruler since Article 40(1) of the Federal Constitution provides that “in the exercise of his function under this Constitution or federal law the Yang di-Pertuan Agong shall act in accordance with the advice of the Cabinet… Article 150 specifically provide that the emergency must be one ‘whereby the security or economic life of the Federation or any part thereof is threatened.. If those words of limitation are not meaningless verbiage…. Article 150 does not confer on the Cabinet an untrammeled discretion to cause an emergency to be declared at their mere whim and fancy” 
Maksudnya, Yang di-Pertuan Agong bukan memerintah secara autokratik kerana baginda bertindak atas nasihat. Dalam pelaksanaan kuasa baginda, mahkamah boleh memeriksa keputusan yang dibuat oleh baginda dan juga Jemaah Menteri ketika membuat Proklamasi Darurat supaya ia terhad kepada keadaan yang disebut, iaitu keselamatan negara dan kehidupan ekonomi. Perkara 150 tidak memberikan kuasa budi bicara yang tidak teratur.
Keputusan Teh Cheng Poh, seperti yang dipetik di atas adalah juga menyatakan tindakan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 boleh disemak oleh mahkamah. Selepas keputusan kes Teh Cheng Poh seperti yang dipetik di atas, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan memasukkan peruntukan yang secara jelas tidak membenarkan mahkamah menyemak keputusan Yang di-Pertuan Agong, atau apa-apa tindakan yang dibuat oleh baginda berkenaan kuasa, fungsi dan peranan di bawah Perkara 150. Hal ini terdapat pada Perkara 150(8) yang menyatakan: 
Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan Persekutuan ini –
(a) hal puas hati Yang di-Pertuan Agong yang disebut Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan konklusif dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan; dan 
(b) tiada mahkamah boleh mempunyai bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal atau prosiding, dalam apa-apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai kesahan
(i) sesuatu Proklamasi di bawah Fasal (1) atau sesuatu perisytiharan yang dibuat dalam Proklamasi itu yang bermaksud seperti yang dinyatakan dalam Fasal (1):
(ii) kuat kuasa berterusan Proklamasi itu;
(iii) mana-mana ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B); atau
(iv) penerusan kuat kuasa mana-mana ordinan itu.
Walaupun begitu, Fasal 8 ini belum diuji di mahkamah.

Soalan 8: Apakah kuasa Yang di-Pertuan Agong berkaitan Pengisytiharan Darurat?
Jawapan: 
Kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 mengenai pengisytiharan darurat termasuk kuasa untuk membuat proklamasi yang berlainan atas alasan berlainan atau keadaan berlainan. 
Ini bermaksud Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa Proklamasi Darurat pada masa sama atau pada masa berlainan. Hal ini terdapat dalam Perkara 150(2A).

Soalan 9: Bilakah Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan Darurat?
Jawapan:
Yang di-Pertuan Agong boleh boleh mengisytiharkan dan menguatkuasakan darurat ketika Majlis Parlimen masih ada, sama ada semasa berlaku persidangan atau tidak, atau ketika Parlimen telah dibubarkan.

Soalan 10: Apakah peranan Yang di-Pertuan Agong semasa darurat?
Jawapan: 
Sekiranya proklamasi dibuat semasa Majlis Parlimen tidak bersidang serentak, Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan undang-undang, yang dinamakan Ordinan, sekiranya baginda berpuas hati hal atau keadaan tertentu menyebabkan perlu bagi baginda mengambil tindakan serta merta. Ini disebut dalam Perkara 150(2B). 
Maksud ‘Majlis Parlimen tidak bersidang serentak’ boleh difahami dalam fasal (9) Perkara 150, yang memperuntukkan ‘Majlis-majlis Parlimen hendaklah dikira sebagai bersidang hanya jika ahli setiap Majlis itu masing-masingnya berhimpun bersama dan menjalankan urusan Majlis”.
Sekiranya Parlimen telah mula bersidang secara serentak, kuasa Yang di-Pertuan Agong terhenti dan kuasa perundangan dipulangkan kepada Parlimen. Sekiranya Parlimen telah kembali bersidang secara serentak, semua kuasa membuat undang-undang kembali kepada Parlimen walaupun keadaan darurat masih berlangsung.
Walau bagaimanapun, Parlimen boleh membuat Ordinan untuk memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang (keputusan Privy Council dalam kes Teh Cheng Poh)

Soalan 11: Adakah Parlimen boleh membuat undang-undang semasa darurat?
Jawapan:
Semasa keadaan darurat ini Parlimen boleh membuat Ordinan jika didapati oleh Parlimen dikehendaki bagi tujuan darurat dan prosedur perundangan boleh diketepikan. Undang-undang ini adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. 
Dalam kes En Keok Cheng, Wylie C.J menyatakan,   “The true effect of Article 150 is that, subject to certain exceptions set out therein, Parliament has, during an emergency, power to legislate on any subject and to any effect, even if inconsistencies with articles of the Constitution (including the provisions on fundamental liberties) are involved”.
Fasal (2C) Perkara 150 menyatakan “…Parlimen berkuasa membuat undang-undang, tanpa menghiraukan tatacara perundangan atau tatacara lain yang dikehendaki diikuti, atau perkadaran jumlah undi yang dikehendaki diperoleh dalam mana-mana satu Majlis Parlimen”. 
Lihat juga Perkara 150(5), yang mana Parlimen boleh membuat undang-undang tanpa persetujuan atau keizinan, atau tanpa perundingan bersama mana-mana pihak sebagaimana disyaratkan oleh undang-undang.
Parlimen tidak boleh membuat Ordinan Darurat dalam beberapa perkara tertentu sahaja, iaitu Hukum Syarak (Undang-undang Islam), adat Melayu atau undang-undang atau adat anak Negeri di Sabah dan Sarawak. Parlimen juga tidak boleh membuat Ordinan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan dalam perkara berhubungan dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa. (Lihat 150(6A)).
Proklamasi Darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong semasa darurat hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen apabila keduanya bersidang serentak.

Soalan 12: Apakah kesan Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong semasa darurat?
Jawapan:
Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah berkuat kuasa dan berkesan seolah-olah ia adalah Akta Parlimen. Ia boleh berkesan sehingga dibatalkan. 
Setelah Parlimen bersidang, Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.
Ordinan tersebut boleh diteruskan sekiranya diluluskan dan hendaklah dihentikan sekiranya tidak diluluskan oleh Parlimen. 
Sekiranya Ordinan tersebut tidak diluluskan oleh Parlimen, ia tidak memberi kesan ke atas apa jua yang berlaku sebelum itu menurut kuat kuasa Proklamasi Darurat atau Ordinan. 
Bahkan, ketidaklulusan oleh Parlimen juga tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat yang lain atau Ordinan yang lain bagi tujuan darurat lain tersebut. (Yang di-Pertuan Agong boleh membuat beberapa proklamasi pada masa sama atau pada masa berbeza, atas sebab yang sama atau atas sebab yang berbeza).

Soalan 13: Bolehkah Yang di-Pertuan Agong membuat Ordinan Perbekalan (Bajet)? 
Jawapan: 
Melihat kepada kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, yang mana baginda boleh, sekiranya perlu dan baginda berpuas hati, memasyhurkan apa-apa ordinan semasa dua Majlis (Dewan) Parlimen tiada atau tidak bersidang serentak, maka sekiranya baginda berpuas hati dan perlu bagi memasyhurkan apa-apa perbelanjaan negara, baginda boleh berbuat demikian. 
Namun setiap Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah dibentangkan kepada kedua Majlis Parlimen setelah keduanya bersidang serentak. Ordinan tersebut boleh dirungkaikan oleh resolusi yang dibuat oleh Parlimen. (Lihat Perkara 150(2) dan (3))

Soalan 14: Bilakah darurat akan berakhir dan siapa yang mengumumkan darurat telah berakhir?
Jawapan:
Perkara 150 tidak menyebut secara nyata mengenai isu pengungkaian (annulling) Proklamasi Darurat – bila dan siapa. 
Perkara 150(3) menyebut secara tidak langsung, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) … hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi…” Frasa yang bergaris ini menunjukkan pengungkaian   (annulment) suatu proklamasi dan undang-undang darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong itu boleh dibuat melalui resolusi yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen. 
Kes The Cheng Poh menyatakan, “The power to revoke, however, like the power to issue a proclamation of emergency, vests in the Yang di-Pertuan Agong, and the Constitution does not require it to be exercised by any formal instrument. In their Lordships’ view, a proclamation of a new emergency declared to be threatening the security of the Federation as a whole must by necessary implication be intended to operate as a revocation of a previous Proclamation, if one is still in force.”

Soalan 15: Apakah akan berlaku kepada Ordinan yang dibuat semasa darurat apabila darurat berakhir?
Jawapan:
Ordinan yang dibuat bagi tujuan darurat hendaklah terhenti berkuatkuasa setelah tamat tempoh enam bulan dikira dari tarikh Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa. Maksudnya Ordinan tersebut boleh berkuat kuasa lagi sehingga habis tempoh enam bulan dari tarikh darurat berakhir. (Lihat Perkara 150(7)).

PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU AB AZIZ
Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA – HARAKAHDAILY 23/10/2020

(Disunting oleh Weblog Ibnu Hasyim)

Pencemaran Bau: S'gor Lagi, Sungai Kundang Pula..

 

Kilang berlesen sebabkan pencemaran bau Sungai Kundang

Shah Alam: Kerajaan negeri mengesahkan kilang yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang, kelmarin adalah industri berlesen di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan mendapati kilang itu terletak di kawasan perindustrian Kundang, Rawang.

"Kilang itu adalah kilang berlesen dengan MPS yang sudah beroperasi selama 19 tahun, sejak 2001. Ia kilang membuat dan memproses produk minyak kelapa sawit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hee berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah membuat laporan polis berhubung insiden itu, semalam bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Menurutnya, setakat ini rekod mendapati kilang itu tidak pernah menerima notis berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen LUAS 1999.

Semalam, media melaporkan siasatan awal LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mendapati pencemaran bau yang dikesan di Sungai Kundang adalah daripada bahan biodiesel.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan Surat Arahan henti discaj efluen serta-merta dan lakukan pembersihan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 (MyMetro)

Hibur Hibur Sikit: H2S Pilihan: 23 -Lagu Lawak

3 Keadaan Darurat Politik Boleh Berlaku.. -Prof Dr Ahmad Marthada (UUM)

 

Agong ambil alih pentadbiran kerajaan jika darurat politik dilaksana

Kuala Lumpur: Pelaksanaan darurat politik di negara ini memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah untuk meneruskan jentera pentadbiran kerajaan.

Baginda akan mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri sama ada Kabinet sedia ada dikekalkan, ditukar atau pelantikan baharu dan keputusan akan dibuat mengikut kesesuaian pada hemat Seri Paduka.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, keadaan itu boleh berlaku apatah lagi dalam keadaan kerajaan mungkin meramalkan kesukaran untuk dapatkan kelulusan belanjawan yang dibentangkan di parlimen pada 6 November ini.

"Ia akan beri kesan kepada kestabilan kerajaan kerana kerajaan dikatakan ada 113 undi. Kalau ada dua atau tiga orang ahli parlimen yang tidak sokong, maka bajet tidak dapat diluluskan.

"Jika itu berlaku, ia akan menimbulkan suasana yang tidak stabil bahawa kerajaan tak dapat sokongan majoriti," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, darurat boleh berlaku dengan tiga keadaan iaitu keselamatan dan keamanan awam, ketenteraman awam dan kesejahteraan ekonomi.

"Kalau ada elemen yang mendatangkan kemudaratan kepada aspek ini, keperluan kepada perlunya darurat mungkin timbul.

"Kabinet boleh mengesyorkan saja manakala proklamasi darurat akan dibuat Seri Paduka mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya, persepsi mengatakan darurat akan menyebabkan pentadbiran diambil alih tentera perlu diperbetulkan kerana jentera kerajaan akan berjalan seperti biasa.

"Kita bukannya ada isu keselamatan dan ekonomi, ia cuma isu politik. Jadi pentadbiran akan berjalan seperti biasa dengan diketuai Seri Paduka yang mendapat nasihat daripada Kabinet.

"Sidang parlimen masih boleh berjalan seperti biasa, malah belanjawan juga boleh diteruskan. Atau yang kedua, Seri Paduka boleh menangguhkan sidang parlimen, namun perlu ada mekanisme lain untuk meluluskan belanjawan negara," katanya. (MyMetro)

Secara perlahan bentuk jadi lebih baik dari segi percakapan, akhlak &.. -Neelofa

 

Pemakaian niqab secara perlahan-lahan membentuk Neelofa menjadi lebih baik dari segi percakapan, akhlak dan cara melihat sesuatu. - Foto IG Neelofa

HALAMAN HIBURAN

Pakai niqab elak fitnah

KUALA LUMPUR: Selebriti dan pengacara popular, Neelofa, 31, mengakui lebih gembira selepas membuat keputusan untuk memakai niqab.

Neelofa yang mengesahkan dirinya berniqab pada 15 Oktober lalu itu berkata, dia selesa berhadapan dengan orang ramai dengan imej terbaharunya itu.

"Di Malaysia, hanya minoriti yang memakai niqab, jadi untuk berada di kalangan yang tidak memakai adalah cabaran yang besar. Tetapi, Alhamdulillah, saya sukakannya. Saya lebih gembira apabila bangun pagi dan memakainya.

"Saya masih ingat pada hari kedua saya memakai niqab, saya pergi ke kelas dan ustazah bertanya apa yang dirasa? Saya rasa lebih 'free' sekarang.

"Orang berpendapat memakai niqab seperti dipenjarakan sebab perlu menutup semuanya, tetapi sebaliknya saya rasa lebih 'free' untuk buat banyak benda, berhadapan dengan orang awam bukan muhrim dan mengadakan sesi live dalam laman sosial. Saya rasa kurang bersalah," katanya.

Neelofa berkongsi luahannya apabila ditanya pengacara, Uyaina Arshad dalam siaran langsung menerusi laman Instagram (IG) Naelofar yang turut mempromosikan rekaan terbaru tudungnya, sekitar jam 4 petang tadi.

Sebelum itu, Neelofa turut menerangkan mengapa tidak berkongsi keputusannya untuk berniqab.

"Saya tak bersedia berkongsi kerana saya tak mahu orang ramai salah tafsir atau fikir bukan-bukan. Ia adalah keputusan peribadi yang saya buat. Tiada siapa tahu, hanya diri saya sahaja.

"Apa yang membawa kepada keputusan tekad ini selepas memperoleh ilmu dicari dan pemahaman diperoleh daripada semua kelas yang saya sertai.

"Saya sudah faham dan tahu, tetapi patutkah saya tidak menghiraukan perkara ini atau amalkan? Jadi, saya ikhlas untuk mengamalkannya. Alhamdulillah, pakai niqab lebih mudah untuk dibiasakan," katanya.

Neelofa selesa berhadapan dengan orang ramai dengan imej terbaharu berniqab. - Foto IG Neelofa

Neelofa selesa berhadapan dengan orang ramai dengan imej terbaharu berniqab. - Foto IG Neelofa

Pengacara Next To Neelofa itu berkata, pemakaian niqab ekoran izin Allah. Tanpa izin-Nya, mungkin dirinya tidak cukup kuat untuk membuat keputusan berkenaan.

"Ia bukanlah daripada saya, tetapi ia dengan izin Allah. Ia juga bukan daripada kudrat atau kuasa saya. Tanpa izin Allah saya takkan pakai. Allah boleh tarik balik semua ini pada bila-bila masa sahaja.

"Disebabkan itu, saya berdoa agar niat saya lurus dan terang. Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya bersyukur, saya ada pilihan untuk memakai atau sebaliknya di Malaysia. Ini kerana sesetengah negara tidak membenarkan wanita memakai niqab," katanya.

Neelofa mengakui, pemakaian niqab secara perlahan-lahan membentuk dirinya menjadi lebih baik.

"Dalam situasi saya, perlu saya pakai bagi mengelakkan tabarruj, fitnah dan beberapa perkara lagi. Saya berharap ia boleh membentuk percakapan, akhlak dan cara saya melihat sesuatu.

"Tak bermakna saya memakai niqab kerana sudah cukup bagus, tetapi apabila saya pakai secara perlahan-lahan membuatkan saya menjadi insan lebih baik," katanya.

Hibur Hibur Sikit: H2S Pilihan: 23 -Lagu Lawak

Friday, October 23, 2020

Pastikan PH X hidup, walau sekadar Zombie. -Ust Mokhtar Senik

 

Harapan DAP, PKR akhirnya terluka

TAHNIAH Datuk Zahid Hamidi (DZH) Presiden Umno yang menegaskan bahawa Umno tetap bersama MN dan mempertahankan PN. 

Saya kira penegasan ini turut menjawab berbagai telahan sebahagian orang yang mengatakan Umno akan bersama Anwar. Khususnya selepas Anwar mengisytiharkan beliau mempunyai sokongan ‘kukuh yang meyakinkan’. Kenyataan itu turut melegakan banyak pihak termasuk ahli PAS dan juga ahli Umno.

Dalam masa yang sama penegasan DZH itu turut melukai harapan DAP dan PKR. PKR mengharapkan Umno menyokong Anwar untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9. Manakala DAP berharap dapat kembali menghirup nikmat atas terbentuknya Kerajaan PH sekali lagi. Sebab itu Lim Kit Siang (LKS) tanpa berselindung meluahkan kekecewaannya dengan penegasan DZH itu.

Sebelum ini saya sudah menyebut bahawa kali ini Anwar sudah sampai ke penghujung ‘jalan mati’. tiada pilihan selain Anwar harus berhenti setakat itu atau U-turn untuk kesekian kalinya. Tunjang PN adalah MN. Selagi MN ini diperkukuhkan bersama oleh Umno dan PAS, selagi itu peluang untuk PH menumbangkan PN tidak akan tercapai. 

Insya-Allah  dengan statement DZH itu simpulan MN semakin diperketatkan dan sekali gus mengukuhkan Kerajaan PN. Untuk kesekian kalinya saya menyebut bahawa Umno, PAS dan BERSATU tidak boleh bercerai lagi, kerana jika berlaku penceraian, maka tiada siapa lagi yang akan kuat. Tiga parti Melayu Muslim ini harus berlapang dada demi sebuah kekuatan ummah. 

Setiap ruang yang membolehkan PH atau DAP bertunas perlu dicantas dan dihalang. Parti mana yang akan mejadi pemimpin dalam PN itu perkara kedua. Perkara yang pertama ialah 

Ketiga-tiga parti utama dalam PN ini perlu terus mempereratkan jalinan ukhuwah. Lupakan pengalaman pahit antara satu sama lain. ini bukan masa untuk meluahkan keterkilanan masing-masing. Belajarlah dari kekalahan yang lalu. Alhamdulillah Allah masih beri nyawa kepada Umno, walaupun tak menang. 

Allah masih beri nafas kepada PAS walaupun selalu kalah. Allah masih hidupkan BERSATU walaupun selepas berpisah dengan Kerajaan PH. Semuanya anugerah yang wajib disyukuri. Ummat sudah mula rasa tenang di bawah PN. Maka jangan kecewakan mereka. 

USTAZ MOKHTAR SENIK 
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 23/10/2020

Hibur Hibur Sikir: H2S Pilihan: 23 -Lagu Lawak

Projek Kritikal K'jaan DAP.. Sanggah Pesuruhjaya PAS PP.

 

PSR projek geopolitik untuk usir Melayu PP

BALIK PULAU: Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) adalah projek kritikal Kerajaan DAP dan bukannya ke atas rakyat negeri ini sebagaimana cuba dinyatakan Exco Kerajaan Negeri, Zairil Khir Johari.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menyanggah kenyataan Zairil kononnya PSR adalah projek penting untuk masa depan serta kelestarian negeri ketika Sidang DUN minggu lalu.

Sebaliknya tegas Ustaz Fauzi, PSR akan membawa bahaya kepada penduduk dan alam antaranya juga bakal melibatkan kemusnahan ekosistem laut, sekali gus menjejaskan nelayan dan hasil laut sumber makanan.

Bidas beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang telah memanipulasikan keadaan dan menghalalkan tindakan rakus dengan berselindung disebalik pelbagai alasan untuk menjayakan agenda geopolitik parti tersebut.

“Itu semua termasuk dalam jajaran yang menjadi sasaran mereka untuk menghalau komuniti masyarakat Melayu dan juga memangsakan rakyat bawahan.

“Malah, rangkaian projek PTMP (Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang) itu juga sudah lari dari tujuan atau objektifnya iaitu menyelesaikan kesesakan trafik dalam negeri,” ujar beliau.

Jelasnya, rancangan asal oleh Konsultan Halcrow selaku perunding isu aliran trafik itu langsung tidak mengandungi pakej terowong dasar laut, transit aliran ringan (LRT), Lebuhraya Pan Island Link (PIL) dan PSR itu sendiri.

Namun katanya, PSR dan semua rangkaian projek berkaitan timbul apabila SRS Consortium membawa cadangan itu hingga melonjakkan anggaran pembiayaan kos yang sangat tinggi iaitu RM46 bilion.

Bidas Ustaz Fauzi lagi, kaedah kononnya penyelesaian isu trafik itu hakikatnya dikemukakan suku-sakat DAP yang sangat mencurigakan kerana kontraktor dilantik bukan dalam bidang pembangunan tersebut itu.

Katanya, kerana itulah pembohongan Kerajaan DAP Pulau Pinang tersebut mendapat bantahan banyak pihak dan tidak memberi penyelesaian yang lestari atau bersifat untuk masa depan terhadap masalah itu.

Beliau turut menyifatkan pameran cadangan PTMP yang pernah diadakan sebagai tidak wajar dengan tempoh masa dan dokumen terlalu banyak untuk disemak awam, selain sarat dengan bahasa perundangan dan teknikal.

“Di sinilah terlihatnya Kerajaan DAP tidak jujur untuk melaksanakan projek tiga pulau buatan ini. Jika ingin meluaskan tapak industri, kenapa tidak di sebelah Batu Kawan sana?” persoal Ustaz Fauzi.

PTMP yang asalnya dicadang sebagai mekanisme mengatasi kesesakan lalu lintas trafik di dalam bahagian pulau negeri ini telah berubah menjadi projek mega berkepentingan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek yang mendapat bantahan ramai ini secara tiba-tiba memunculkan pakej terowong dasar laut, pulau buatan, LRT, PIL dan lain-lain di mana terdapat juga kes diheret ke mahkamah berkait rasuah. – HARAKAHDAILY 23/10/2020

Lihat sebelum ini..
 Terus gerakkan ekonomi segera, bangkit semula! Insya Allah!
Assalamualaikum good morning Bagi yang tengah down tu jom bangkit ...

Lihat sebelum ini..
Virus Corona Di Pantai Malindo, Balik Pulau, PP..

Virus Corona Di Pantai Malindo, Balik Pulau, PP..

Hibur Hibur Sikit: 

Kedai perabot, rumah terbakar

 

Sebuah kedai perabot dan kediaman di Jalan Lintas Kepayan, Kota Kinabalu, terbakar kira-kira jam 6.30 pagi tadi. - NSTP/JUWAN RIDUAN

KOTA KINABALU: Sebuah kedai perabot dan kediaman di Jalan Lintas Kepayan, di sini, terbakar kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Operasi mengawal serta memadamkan api sedang giat dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu serta Lintas.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut dilihat berada di lokasi kejadian.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Isytihar darurat, jika ancaman besar kepada keselamatan, kehidupan ekonomi &...

 

Darurat boleh diisytiharkan selepas Parlimen dibubar

YANG di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di bawah Per 150(1) Perlembagaan Persekutuan jika ancaman besar kepada keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya wujud, atau di bawah Per 150(2) jika ancaman besar itu belum berlaku tetapi baginda berpuas hati akan bahaya ancaman besar itu.

Dalam keadaan Parlimen tidak boleh bersidang akibat keadaan darurat, YDPA berkuasa untuk membuat ordinan bagi meluluskan perbelanjaan negara jika wujud keperluan segera dan mustahak.

Semasa tempoh darurat, undang-undang boleh digubal tanpa mematuhi peruntukan sedia ada Perlembagaan Persekutuan, yang dinamakan ordinan oleh Parlimen atau YDPA untuk menangani ancaman terhadap keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam negara.

Pada hakikatnya, darurat ialah satu situasi yang dibenarkan oleh Perlembagaan apabila YDPA berpuas hati bahawa telah atau akan wujud ancaman besar terhadap keselamatan, atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam negara yang mana undang-undang mahupun mekanisme pemerintahan sedia ada tidak mampu untuk menanganinya. 

Atas tanggungjawab di sisi Perlembagaan untuk mengekal serta mengembalikan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman dalam negeri maka YDPA berkuasa untuk membuat ordinan sama ada dibentangkan dalam Parlimen, atau melalui pemasyhuran baginda sendiri.

Hanya dalam beberapa perkara tertentu sahaja, Ordinan Darurat tidak boleh dibuat, iaitu memperluaskan kuasa Parlimen dalam bidang kuasa negeri yang menyentuh Undang-undang Islam, adat Melayu atau adat anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak, serta tidak boleh membuat ordinan yang bercanggah dengan peruntukan berhubung dengan agama, kewarganegaraan atau bahasa.

Jika berlaku keadaan Perdana Menteri (PM) tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan atas permintaannya YDPA memperkenankan pembubaran Parlimen, baginda boleh mengisytiharkan darurat untuk menggantung Parlimen kerana wujud ancaman besar di atas termasuklah wabak COVID-19.

Dalam keadaan di atas akan wujud Jamaah Menteri interim di bawah Perkara 43 (2). Sekiranya ini berlaku, kuasa YDPA lebih terserlah kerana Parlimen telah dibubarkan. Baginda perlu membuat ordinan untuk meneruskan pemerintahan negara secara adil dan aman dalam negara. 

Selaras dengan prinsip syura yang mendasari pemerintahan tradisional Tanah Melayu, YDPA masih perlu berunding atau mendapatkan nasihat Jamaah Menteri interim bahkan berunding dengan Majlis Raja-raja juga lain-lain badan berwibawa seperti Majlis Keselamatan Negara sebelum membuat sebarang Ordinan Darurat.

Dalam sejarah Malaysia, darurat pernah diisytiharkan semasa pembubaran Parlimen, iaitu 2 hari selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Parlimen hanya mula bersidang pada 20 Februari 1971 walaupun keputusan PRU telah diketahui pada 10 Mei 1969 di Semenanjung Tanah Melayu manakala pada 4 Julai 1969 proses PRU selesai di Sabah dan Sarawak.

Proklamasi Darurat 1969, hanya diungkaikan pada akhir tahun 2011, apabila kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 24 November 2011 dan 20 Disember 2011 meluluskan pembatalannya. Kesannya dalam bulan Jun 2012, semua ordinan yang dimasyhurkan terhenti berkuatkuasa seperti diperuntukkan oleh Perkara 150 (7). Ringkasnya dalam tempoh dari 15 Mei 1969 sehingga 20 Disember 2011 itu, Malaysia berada dalam ‘darurat’. Namun begitu, Parlimen masih bersidang dan PRU dilaksanakan.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 22/10/2020 

Hibur Hibur Sikit:H2S Pilihan: 40 -Nyanyian Alam, Kashmir &Nasheed.

Pada yang makan rasuah.. - Nasihat Permaisuri Agung Pagi Jumaat!

 

Pantun Raja Permaisuri Agong beri mesej nasihat

3 WILAYAH Selangor dan Sabah,
Sudah diarah kerja dari rumah,
Orang politik sedar-sedarlah,
Ini bukan masa untuk berbalah.

Raja sudah bertitah,
Sudah-sudahlah bertelingkah,
Rakyat sedang susah,
Belum masa keluar memangkah.

Buah cempedak di luar pagar,
Jangan ambil orang punya,
Titah Raja jangan dilanggar,
Kalau dilanggar buruk padahnya.

Semua orang duduk rumah,
Sebab COVID belum sudah,
Pada yang makan rasuah,
Bertaubatlah banyakkan ibadah.

Sumber: https://www.instagram.com/p/CGm0bwaHHU7/ – HARAKAHDAILY 22/10/2020

Hibur Hibur Sikit:H2S Pilihan: 40 -Nyanyian Alam, Kashmir &Nasheed.

Thursday, October 22, 2020

Pembangkang X reti diam, terkinja melalak mahu tukar k'jaan -AP K/Krai.

 

Bajet untuk rakyat dan negara

PADA 2 November 2020, persidangan ketiga penggal ketiga Parlimen keempat belas akan berlangsung. Persidangan kali ini sangat penting dan genting kerana pembentangan bajet bagi tahun 2021 akan berlangsung. Pembentangan bajet kali ini akan dibuat pada Jumaat, 6 November 2020.

Setiap rakyat tentunya menantikan bajet kali ini. Sementelah lagi bajet kali ini dilihat sangat penting untuk menghadapi kemelut COVID-19 yang masih belum berpenghujung. Dengan bajet yang bakal dibentangkan nanti, kerajaan dapat menggunakannya untuk mengurus negara dan lebih pentingnya untuk kebajikan kepada seluruh rakyat jelata.

Rakyat tentunya menjadi keutamaan terpenting bagi sesebuah kerajaan. Tentunya bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, saya yakin bajet kali ini akan mengutamakan keseluruhan keperluan rakyat terbanyak termasuk operasi melindungi nyawa.

Menjadi persoalan dan teka-teki kepada kita semua ialah bagaimana pembangkang hari ini seakan tidak reti duduk diam, satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dimainkan, terkinja-kinja melalak mahukan penukaran kerajaan. Di ketika COVID-19 kembali meningkat, mereka turut sama terus menyulitkan keadaan.

Usul Undi Tidak Percaya di kalangan Ahli-ahli Parlimen pula sangat tidak releven. Andainnya Perdana Menteri tidak mendapat kepercayaan di Dewan Rakyat, adakah pembangkang berhasrat inginkan satu lagi pilihan raya segera?

Pilihan raya tentunya bukan jalan terbaik ketika ini, dan pastinya tidak akan menyelamatkan rakyat malah memporak-perandakan lagi keadaan negara ini!

Kelihatannya mereka ingin mencalonkan Perdana Menteri yang baharu. Persoalanya siapa? Mahathir? Anwar? Shafie? Kesemua mereka telah terbukti tidak mempunyai majoriti Ahli Dewan Rakyat sebelumnya. Kerana itulah Tan Sri Muhyiddin terpilih sebagai Perdana Menteri Mac lalu.

Mengganggu kestabilan adalah perkara paling mudah. Adakah dengan bertukar Perdana Menteri boleh menghapuskan wabak dan negara ini menjadi semakin baik? Sesebuah kerajaan perlukan kestabilan dan masa. Rakyat mesti didahulukan, dan negara semestinya diselamatkan.

Jadinya, saya menyeru ‘simpan’ sekejap niat untuk menukar Perdana Menteri. Bersamalah kita memberi fokus yang lebih utama. Sesekali cubalah jadi pembangkang yang lebih bertanggungjawab. 

Paling tidak berganding bahu dengan memberi cadangan kepada kerajaan untuk keluar daripada pandemik ini. Peri pentingnya sekarang ialah bersama menyelesaikan wabak COVID-19 secara bersama.

Bak kata orang Iban, ‘Utai Besai Gaga’miet’, sesungguhnya jika kita bersatu, berganding-ganding antara kerajaan dan rakyat, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan. 

Nyiur gading puncak mahligai,
Ketupat pulut berisi inti,
Biar dilambung gelora dan badai, 
Perjuangan mulia ini tak boleh berhenti.

ABDUL LATIFF ABDUL RAHMAN
Ahli Parlimen Kuala Krai
5 Rabi’ul Awal 1442
22 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 22/10/2020

Hibur Hibur Sikit:H2S Pilihan: 40 -Nyanyian Alam, Kashmir &Nasheed.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails