Saturday, November 14, 2020

Begini kesopanan, akhlak A/Parlimen yang dilahirkan DAP?

 

Wakil Parlimen DAP biadab di Parlimen  

INSTITUSI Parlimen yang mulia, institusi yang menggubal undang-undang tercemar dicemarkan oleh DAP apabila wakilnya dari Kepong Lim Lip Eng pagi semalam dengan bongkak menuduh Speaker Dewan Rakyat sebagai ‘bodoh’.

Ketika itu Speaker Datuk Seri Azhar Azizan Harun sedang mengulas ‘ruling’ yang dibuat Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said ketika mempengerusikan persidangan semalam.

Lim membentak:

“Tetapi itu ‘ruling’ yang bodoh yang jahat. Jangan Speaker bersekongkol dengan Bintulu.”

Dalam kekecohon dewan, beliau terus berkata apabila diperintah keluar oleh Speaker:

“Bersekongkol, bersubahat dengan kerajaan. Kamu keluar. Speaker yang patut keluar.”

Beginikah decorum atau kesopanan, akhlak seorang Ahli Parlimen yang dilahirkan oleh DAP? Saya tidak pernah menyaksikan seorang Ahli Parlimen sebiadab begini dalam Dewan.

Jika pun kita tidak berpuas hati dengan keputusan atau tindakan Speaker, nyatakanlah secara sopan dan ikut prosedur yang ada. 

Malu seingat saya Ahli Parlimen Kepong yang lalu iaitu Dr Tan Seng Giaw cukup berakhlak, seorang pemimpin yang hebat disegani dan dihormati sepanjang karier beliau sebagai wakil rakyat di Parlimen. Berlainan dengan Lim ini, biadab dan mahu tunjuk samseng dalam Dewan. 

Di mana perginya prinsip Rukun Negara: ‘Kesopanan dan kesusilaan’ jika di Dewan yang mulia ini pun ia tidak boleh ditegakkan.

Secara umumnya, Tuan Yang di-Pertua atau Speaker Dewan Rakyat berfungsi seperti moderator yang mempengerusikan dan mengawal selia perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat. Jika jawatan ini tidak dihormati apatah lagi dihina pula, bagaimana seorang Ahli Dewan mahu meneruskan tugasnya secara efektif di Dewan?

Insiden ini cukup memalukan negara lantaran akhlak dan perangai buruk wakil DAP ini. Beliau akhirnya digantung 5 hari dari menyertai persidangan Dewan oleh Speaker. Saya kira Lim bukan hanya perlu meminta maaf pada Speaker malah kepada rakyat Malaysia kerana bertindak sedemikian rupa dalam sidang Dewan yang boleh diikuti secara ‘live’ melalui internet.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 13/11/2020

Hibur Hibur Sikit:
Album 3

Kena Tahu Mengenai Joe Biden, Ini 7 Wawasan Kebangkitan Islam.

 

Di sebalik kemenangan Joe Biden

KENAPA perlu ambil tahu politik US atau Antarabangsa?

(a) Nabi S.A.W tarbiah Sahabat untuk ambil tahu perkembangan Rom dan Parsi walaupun Islam masih belum berkuasa. Surah Rom turun di era Makkiyyah.

(b) Kepedulian terhadap umat Islam sejagat atas dasar Ukhuwah Islamiah. Jangan terpengaruh dengan batasan peta negara warisan penjajah semata-mata.

(c) Mengambil tahu makar-makar musuh yang memberi kesan kepada kita di Malaysia juga.

Sejarah US

(a) Diteroka (jajah) oleh Christopher Columbus kurun ke-15.

(b) Merdeka tahun 1776 dari British. George Washington Presiden pertama.

(c) Mengamalkan dasar Hamiltonian, Isolationism dan Protectionism. Tak terlibat politik Antarabangsa. Sekadar fokus bisnes dengan penjajah. Bangunkan industri dan teknologi sehingga jadi kuasa ekonomi nombor 1 awal abad ke-19.

(d) Presiden Wodroow Wilson mula-mula perkenalkan gagasan Internationalism. Terlibat politik Antarabangsa. Mula dengan WW1, masuk pakatan allies dengan bantuan ketenteraan dan kewangan.

(c) Terlibat secara langsung dalam WW2 Pasca Pearl Harbour 1941. Bawah Presiden Franklin Roosevelt. Internationalism semakin establish selepas itu. Orang US semakin menerima peranan US sebagai polis dunia.

(d) Ideologi neo-Conservatism merebak akhir perang dingin. Lebih agresif daripada Liberal Internationalism. Meletakkan Rusia musuh utama. Zbigniew Brzezinski arkitek utama. Bukunya The Grand Chessboard jadi dasar hegemoni US alaf baru.

(e) 2016, Trump jadi Presiden Out Of Nowhere. Sailang dasar luar yang dah established sekian lama. Kembali ke era Protectionism dan Isolationism. Berbaik dengan Rusia, Korea Utara. Fokus ekonomi.

(f) Birokrat US tak senang duduk. Kebanyakan  Democrats is Liberal Internationalism dan  Republicans is Neoconservatism. Cuba sabotaj dan tekan Trump sepanjang pemerintahan. Brzezinski paling marah Trump.

Analisis Pilihan Raya Presiden US 2020

(a) Joe Biden menang 290 and still counting.

(b) Trump tak puas hati. Guna lawsuit untuk protes keputusan di Swing States.

(c) Ramai ketua negara dah ucap tahniah pada Biden.

(d) Fox News dah mula u-turn.

(e) Republicans dah ramai putus asa.

(f) Handover rasmi 20 Januari 2021.

(g) Beberapa keputusan luar jangka seperti Florida dan Pennsylvania. 

(h) Pertama kali Presiden kalah pilihan raya sejak Ronald Reagan (1981).

Siapa Biden

(a) Lahir 1942. Bakal jadi Presiden tertua dalam sejarah US (78 tahun). Tua 4 tahun dari Trump.

(b) Pengerusi JK Hal Ehwal Luar Senate zaman Bush. Sokong Perang Afghanistan dan Iraq.

(c) Naib Presiden zaman Obama.

(d) Liberal-Internationalist totok. Sekepala dengan Hillary Clinton.(e) Timbalan Kamala Harris. Tegar Zionis.

Jangkaan Dasar Luar US

(a) Kembali kacau Asia Barat. Perang proxy akan hangat. Misi ketenteraan akan dikembalikan. Syria akan difokuskan.

(b) Berbalah dengan Rusia balik. Pulihkan rangkaian strategik dengan NATO, GCC dan lain-lain untuk kekang Rusia.

(c) Kendur dengan China.

(d) Rancak di pentas Antarabangsa atas alasan demokrasi dan human rights. 

(e) Akan tetap sokong Israel. Semua Presiden begitu. Cuma pendekatan berbeza.

(f) Boleh jadi macam Bush. Bukan Obama.

Isu eskatologi atau teori konspirasi 

(a) WW3? Susah nak berlaku tapi tak mustahil. Biden lebih kaki perang berbanding Trump.

(b) US=ROM? Jauh panggang dari api. Rom dalam Hadis merujuk kepada Byzantine=Orthodox. US Protestan.

(c) Semua Presiden dicatur Yahudi? Baca Sirah dalam sejarah Islam, Yahudi tak pernah menguasai. Cuma mempengaruhi. Lobi Yahudi di US sangat kuat. Baca The Israel Lobby: John Mearsheimer (2007). Jangan terlalu konspiratif atau terlalu positif. 

Apa sikap kita?

Jadi 7 formula ini sebagai Wawasan Kebangkitan Islam:

(a) Kembalikan kepimpinan Ulamak, Syura.

(b) Bina kesedaran politik umat Islam. Mahdism.

(c) Rapatkan jurang perbezaan sektarian atas platform ilmiah. Taqrib.

(d) fokus musuh utama: Zionis.

(e) Bina kemahiran teknologi dan industri sendiri. Baraah.

(f) Wujudkan rangkaian ekonomi Islam. Lebih hebat dari EU. Guna mata wang sendiri berteraskan emas. Bebas dari Petrodollar.

(g) Tautkan pakatan strategik dengan musuh kepada Zionis.

Untuk kupasan lanjut ikuti di:

https://www.facebook.com/104289831397147/posts/149272376898892/

ALANG IBN SHUKRIMUN
28 Rabiul Awwal 1442
14 November 2020 – HARAKAHDAILY 14/11/2020

Hibur Hibur Sikit:
Album 3

Ukiran kayu jadi sumber rezeki selepas hilang pekerjaan, Al-hamdulillah!

 

Antara sentuhan kreatif Nurul Aini yang menghasilkan kraf tangan berasaskan ukiran kayu.- Foto/ Syaherah Mustafa

KOTA BHARU: Siapa sangka, seorang wanita yang hilang punca pendapatan sejak Mac lalu, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini menjadi pengukir kayu kraftangan berjaya dengan pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Nurul Aini Mat Besar @ Alias, 31, mengakui pada awalnya terkesan dengan pendemik COVID-19 apabila kerjayanya sebagai pembuat kek dalam talian terpaksa dilupakan selepas permintaan berkurang hari demi hari.

Beliau yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, berkata beliau mula mencuba nasib mengukir kayu sejak Jun lalu bagi menghasilkan jam, cenderamata, kalendar dan pelbagai jenis hiasan dinding serta meja.

"Idea itu datang selepas memikirkan cara terbaik bagi mencari rezeki kerana saya memiliki asas seni halus, selain tidak menyangka hasil tangan ini mendapat perhatian ramai yang dipromosikan di laman sosial.

"Dengan sokongan suami, Mohd Zil Syazwan, 36, saya meneruskan usaha menghasilkan seni kayu ini. Saya ada mesin laser ukiran memudahkan dan menyiapkan lebih banyak tempahan.

"Alhamdulillah, permintaan kraftangan berasaskan kayu semakin bertambah daripada kalangan individu, badan korporat dan kerajaan dari seluruh negara.

"Kini, saya ada beberapa ejen termasuk pelajar dan suri rumah untuk mencari pendapatan sampingan dengan mempromosikan hasil ukiran kayu, sekali gus merealisasikan impian saya berkongsi rezeki dengan mereka," katanya ditemui di premisnya di Bunut Payung, di sini, kelmarin

Beliau juga ibu kepada seorang cahaya mata berusia tujuh tahun berkata, hasil kerjanya itu dijual pada harga RM200 sehingga RM300 untuk satu item bergantung kepada ukiran dan jenis barangan diminta pelanggan.

"Bagi menyiapkan sesuatu bentuk ukiran kayu, saya memerlukan fokus, ketelitian, kreativiti serta kesabaran tinggi supaya hasilnya sempurna dan memuaskan hati pelanggan.

"Saya tidak menyangka miliki kerjaya sebegini, namun menganggap ia adalah hikmah di sebalik ujian saya kehilangan kerja akibat PKP sebelum ini. Saya berdoa orang lain turut diberikan rezeki dan tabah menghadapi ujian," katanya.

From: Fazlina

Hibur Hibur Sikit:

Gadis diploma terpaksa lupakan hasrat makan gaji..

 


Gadis tebar roti canai biarpun ada diploma

POKOK SENA: Demi membantu keluarga, seorang gadis lepasan diploma terpaksa melupakan hasrat untuk makan gaji, sebaliknya menggantikan tempat bapanya sebagai penebar roti canai di kedai makan  milik keluarganya di sini.  

Tanpa rasa kekok dan dengan gaya bersahaja, Nur Amni ‘Aqilah Ruzaini, 23, cukup berkemahiran melakukan tugas itu yang kebiasaannya  dimonopoli  kaum Adam, hingga mencuri tumpuan pengunjung yang datang menikmati sajian di premisnya.

“Saya mula jadi penebar roti canai pada 2015 selepas ayah saya terlantar sakit selama sebulan akibat terjatuh longkang. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik saya menggalas tanggungjawab untuk bantu ayah buat roti canai sebab tidak ada pengganti.

“Saya cuba sedaya upaya menebar roti canai dan saya sudah tengok cara ayah menebar roti sejak kecil lagi di kedai ayah yang sudah beroperasi hampir 30 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Katanya, kerjaya sebagai penebar roti canai bukanlah pilihan utama untuk meraih pendapatan selepas menamatkan pengajian Diploma Vokasional dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Sungai Petani.

Namun, kegagalan dalam enam temu duga kerja memberinya tidak banyak pilihan dan beliau membuat keputusan menjadi penebar roti canai di kedai bapanya itu demi membantu keluarga. 

Nur Amni ‘Aqilah berkata bagi meningkatkan kemahirannya, beliau turut menghadiri kursus membuat roti canai dan dapat mempelajari hampir 20 menu roti canai.

“Saya menebar roti dengan cara saya malah belajar dan terus belajar serta menambah baik dari semasa ke semasa untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan hinggalah ke saat ini saya sudah tidak kekok untuk berbuat demikian dan pelanggan pun puas hati,” katanya.

Selain itu, Nur Amni ‘Aqilah berkata beliau turut menjual roti canai dan murtabak sejuk beku sejak Jun lepas untuk mempelbagaikan pilihan kepada pelanggannya sekali gus dapat meningkatkan hasil jualan.

“Saya juga bercadang membeli mesin bagi membantu saya menghasilkan roti canai dan murtabak sejuk beku ini dengan lebih cepat dan berharap pada masa akan datang saya dapat pasarkan produk saya secara lebih meluas dan diletakkan di pasar raya besar,” katanya. – BERNAMA

Hibur Hibur Sikit:

T/Kasih KPDNHEP S'ngor Kerana Memantau hidangan didakwa mi kari babi..

 

Pemeriksaan dijalankan itu bagaimanapun mendapati restoran berkenaan mempunyai sijil halal JAKIM. -Gambar hiasan/ PEXELS

Serbu restoran terkenal di Subang Jaya didakwa hidang mi kari daging babi, walau ada sijil JAKIM?

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa dan merampas bahan mentah berupa daging ayam, di sebuah restoran terkenal di Subang Jaya semalam, susulan tular sebuah video mendakwa mi kari yang dijual premis itu mengandungi daging babi.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dijalankan lima anggota penguat kuasa itu, bagaimanapun mendapati restoran berkenaan mempunyai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sah sehingga 30 Nov ini.
"Menurut pengurus restoran itu, beliau mempunyai tiga pekerja warga Myanmar yang bertugas sebagai tukang masak.
"Pemeriksaan lanjut ke bahagian dapur restoran menemukan bahan mentah yang digunakan untuk menyediakan menu mi kari kepada pelanggan. Bahan mentah utama iaitu daging disyaki daging ayam disita, bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Muhamad Zikril Azan, turut disita semasa pemeriksaan itu adalah Sijil Halal JAKIM dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal.
Katanya, pengurus premis memaklumkan bekalan bahan mentah dipesan oleh pihak ibu pejabat syarikat restoran terbabit.
Muhamad Zikril Azan berkata kes disiasat di bawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan jika disabitkan dengan kesalahan, boleh didenda seperti di bawah Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011.
Tambah beliau lagi, KPDNHEP Selangor akan terus memantau serta memeriksa bagi memastikan mana-mana pemegang sijil halal JAKIM sentiasa mematuhi peraturan selain menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini. -- BERNAMA
Hibur Hibur Sikit:

Lagi Pusat Hiburan jadi punca masalah dan maksiat.

 

KENDERAAN pengunjung pusat hiburan yang didapati parkir di bahagian bawah tanah.

PKPB: Pengunjung pusat hiburan parkir bawah tanah elak dihidu pihak berkuasa

KUALA LUMPUR: Pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, di sini, dikesan menggunakan taktik parkir kenderaan mereka di ruang bawah tanah bagi mengelakkan kegiatan itu dihidu pihak berkuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, perkara itu terbongkar hasil pemeriksaan polis sebelum melakukan serbuan ke atas pusat hiburan itu, kira-kira jam 11 malam tadi.

Terdahulu ketika tinjauan dilakukan kira-kira jam 10.30 malam di kawasan hadapan premis terletaknya pusat hiburan itu, suasana dilihat sunyi seolah-olah tiada sebarang kegiatan berlaku.

Bagaimanapun, polis curiga apabila hasil pemeriksaan di kawasan parkir bawah tanah, mendapati ada puluhan kenderaan mewah dengan beberapa lelaki dilihat berlegar-legar sambil memegang walkie-talkie.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, kemudian bertindak pantas menahan tiga lelaki disyaki berperanan memantau kehadiran polis.

"Susulan itu, polis berjaya melakukan serbuan tanpa dapat dihidu oleh pengunjung dan pihak pengurusan premis hiburan terbabit.

"Dalam serbuan itu, polis menahan 79 lelaki tempatan dan 19 wanita tempatan

"Polis juga menahan lapan wanita warga asing membabitkan enam dari China dan masing-masing seorang warga Russia serta Ukraine," katanya kepada BH, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, seramai 104 individu dikenakan kompaun kerana melanggar syarat PKPB.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur juga menjalankan pemeriksaan air kencing dan menahan sembilan individu, termasuk dua wanita yang didapati positif dadah," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen, serta Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Seperti juga arak punca kejahatan, pusat hiburan juga jadi sarang dan punca maksiat samada terang atau tersembunyi.. yang menyusahkan pentadbiran negara.

Bila lagi kerajaan PN akan mampu menanganinya bersungguh-sungguh? Kena lantik menteri PAS juga ke untuk basuh hingga ke akar umbi?

Hibur Hibur Sikit:

Friday, November 13, 2020

5 Lelaki, seorang tentera disyak terlibat seludup dadah lintas negara.

 

Arjunaidi menunjukkan rampasan dadah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, hari ini. - Foto NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL

Usahawan kosmetik dakwa bergelar Datuk Seri ditahan kes seludup dadah

SHAH ALAM: Polis menahan lima lelaki, termasuk seorang anggota tentera kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah rentas negara.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata tangkapan dilakukan menerusi dua serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, kira-kira 4.30 petang, Selasa lalu.

"Dalam serbuan pertama, polis menangkap dua beradik lelaki warga tempatan berumur 25 tahun dan 31 tahun yang menaiki sebuah kereta jenis Ford Mustang.

"Polis merampas 120 bungkusan teh Cina mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 126.85 kilogram dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM5 juta.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM500,000 yang didaftarkan di atas nama isteri kepada suspek kedua," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Arjunaidi berkata, siasatan mendapati suspek usahawan kosmetik di Kelantan dan bergelar 'Datuk Seri', manakala adiknya anggota tentera bertugas di Kuala Lumpur.

"Pada kad perniagaan suspek pertama, menyatakan dia 'Datuk Seri' tetapi semakan mendapati namanya tiada. Kemungkinan dia menggunakan gelaran itu secara tidak sah dan polis masih lagi menyiasat.

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif," katanya.

Susulan tangkapan itu, katanya, polis menahan tiga lagi suspek membabitkan dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia berumur lingkungan 32 hingga 43 tahun.

"Ketiga-tiga ialah orang tengah bagi urusan jual beli dadah terbabit.

"Saringan awal polis terhadap ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Meth. Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes dadah dan jenayah.

"Polis turut menyita tiga kenderaan dan wang tunai berjumlah RM3,000 dengan keseluruhan sitaan bernilai RM158,000," katanya.

Beliau berkata, sindiket dadah yang dipercayai beroperasi lebih lima bulan itu dipercayai menjadikan negara ini sebagai transit, sebelum diedarkan ke negara jiran.

"Sindiket ini dipercayai menyeludup dadah ini dari negara jiran di utara Semenanjung, seterusnya dibawa melalui Pantai Timur ke Pantai Barat.

"Semua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari mulai 11 November hingga 17 November depan.

"Kes diklafikasikan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Hibur Hibur Sikit:

Ya, lu minat, lu gii la (GI-la).. ikut Siti Kassim.

 

Siti Zabedah mendakwa ahli politik dan parti politik yang ada hari ini telah mengecewakan rakyat, dan Parlimen tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya. -Gambar fail

Gerak Independent mahu kembalikan kuasa kepada rakyat - Siti Kassim
KUALA LUMPUR: Gerak Independent (GI) menegaskan calon-calon mereka tidak bersandarkan mana-mana parti politik dengan harapan untuk mengembalikan kuasa Parlimen kepada rakyat.
Gerakan itu terdiri daripada kumpulan seperti Malaysian Action for Justice and Unity (MAJU), I Am The Third Force, KitaBantuKita, dan Malaysia First sudah pun menyenarai pendek beberapa calon yang berpotensi.
"Kami bukan parti politik, kami hanya mahu buka ruang baharu kepada rakyat dalam membuat pilihan.
"Kami sebagai sebuah NGO yang mahu perubahan untuk kebaikan rakyat dan negara. Kita tak boleh terus berharap kepada parti politik untuk ubah sistem yang ada.
"Sebagai pengasas MAJU, saya melihat ini satu platform baharu untuk rakyat dan kami mahukan perubahan ke arah kebaikan, dan kami mempromosikan hak asasi manusia sejagat dan juga kebebasan awam," kata jurucakap GI, Siti Zabedah Kasim dalam sidang media secara maya, pada Khamis.
GI akan menjalankan sesi pendengaran awam secara langsung di platform digital dan menilai maklum balas orang ramai sebelum membuat keputusan akhir.
Siti Zabedah mendakwa ahli politik dan parti politik yang ada hari ini telah mengecewakan rakyat, dan Parlimen tidak lagi berfungsi seperti yang sepatutnya.
GI, tambahnya, akan menyatukan pengundi bandar terlebih dahulu, menggunakan nilai-nilai seperti perjuangan politik yang baik dan membanteras rasuah.
Mereka yang berminat menjadi calon juga dipelawa mengemukakan permohonan. (AA)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Tawarran Istimewa, 'Mereka yang berminat menjadi calon juga dipelawa mengemukakan permohonan.' Mungkin jadi calon PRU 15 akan datang ini..
Ya, lu minat, lu gii la..  ikut Siti Kassim.
Hibur Hibur Sikit:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails