KUALA LUMPUR: Anugerah Pencipta Nasyid Ikim 2020 (APNI 2020) buat julung kali dianjurkan dalam talian dan berlangsung dalam suasana normal baharu tanpa membabitkan penonton, esok.
APNI 2020 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) itu turut merakam segmen persembahan terlebih dahulu sebelum berlangsung. Anugerah itu boleh ditonton menerusi empat platform melalui Televisyen (TV) Ikim, Youtube Ikim, Facebook (FB) dan boleh didengari menerusi stesen radio Ikim FM, jam 9 malam.
Ketua Pengarah Ikim, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin percaya APNI 2020 mampu menarik perhatian ramai penonton berikutan skop penyiaran lebih meluas menerusi platform talian.
Matlamat yang ingin dicapai melalui APNI 2020 lebih sebagai tugasan dakwah. Semoga dakwah ini dapat disampaikan kepada penonton.
"Biarpun APNI 2020 tidak bersiaran secara langsung di pentas berikutan pendekatan norma baharu, tetapi kami yakin dengan 1.5 juta pendengar tegar stesen radio Ikim FM, anugerah ini akan mendapat perhatian penonton, apatah lagi empat platform disediakan.
"Dengan platform dalam talian seperti YouTube, saluran TV dan FB, lebih ramai boleh mengikuti APNI 2020 di seluruh dunia." katanya pada sidang media yang dianjurkan secara virtual, baru-baru ini.
Sidang media APNI 2020 dihadiri Ketua Pengarah Ikim, Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin (dua dari kanan), Pengurus Besar Radio Ikim, Mahathir Shaharuddin (tiga dari kanan) dan Farihin Abd Fatah (kanan) secara virtual, baru-baru ini. - Foto IkimAPNI 2020 dianjurkan sebagai menyahut saranan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Berbeza daripada anugerah yang pernah dianjurkan sebelum ini oleh Ikim, APNI 2020 membabitkan karya baharu.
Tujuh penerbit dipilih menyertai pertandingan perlu menghasilkan lagu berpandukan tujuh nilai penting Islam iaitu ilmu, hikmah, adab, amanah, adil, taqwa dan benar.
Selain membabitkan tujuh penerbit dan tujuh nilai penting Islam, APNI 2020 turut mengetengahkan penulis lirik, penyusun lagu dan kumpulan penyanyi. Lebih istimewa, tujuh lagu ciptaan baharu itu juga diabadikan dalam satu buku notasi muzik.
Dr Azizan berkata, objektif penerbitan buku notasi muzik supaya boleh menjadi sebagai bahan khazanah dan rujukan kepada sesiapa sahaja pada masa depan.
Penerbit yang terbabit dalam penganjuran APNI 2020 itu ialah Hafiz Hamidun, Daqmie, Yasin Sulaiman, Ikhwan Fatanna, Fuad Ko, Along Exist dan AG Coco.
Kumpulan yang turut serta ialah Rabbani, Hijjaz, Inteam, Zayne & Halim Ahmad, Far East, Fadzli Farest, Naim Helmi & Maliq Suhaimi, Awla serta Simfoni & Afad.
Mentor APNI 2020, Farihin Abd Fatah. - Foto IkimPengurus Besar Radio Ikim, Mahathir Shaharuddin berkata, juara bakal membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000 berserta trofi dan sijil, manakala tempat kedua RM7,000 dan tempat ketiga RM3,000.
Katanya, karya dinilai oleh empat juri profesional iaitu Manan Ngah, Hairul Anuar Harun, Adeep Nahar dan Ustaz Paharol Md Juoi. Ikim tidak akan memegang hak cipta, sebaliknya menjadi milik penerbit sepenuhnya.
"Kami tidak akan memegang hak cipta lagu, sebaliknya diserahkan semula kepada penerbit. Mereka bebas untuk mempromosikan lagu yang dicipta di mana-mana platform termasuklah stesen radio lain," katanya.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Farihin Abd Fatah yang bertindak selaku Mentor APNI 2020.
Comments