Saturday, December 26, 2020

Laporan konvensyen PAN di Bukit Katil Melaka. -Dr Kamarul Zaman

 

PAN di ambang keruntuhan?

KESIAN rasanya kepada ahli dan pemimpin PAN yang dengan penuh semangat datang dari jauh ke Bayou Lagoon Convention Centre, Bukit Katil, Melaka, untuk berkonvensyen.

Pastilah mereka merasa teramat ‘down’ dan lemah semangat dengan pidato perasmian Konvensyen PAN Malaysia Kali Ke-5 oleh Presiden mereka, Mohamad Sabu, tadi.

Ini kerana bukannya ucapan penuh semangat seperti yang biasa mereka dengari daripada Presiden mereka yang mereka dapat dengar hari ini tetapi ia rupanya ucapan penuh kekecewaan.

Tidakkah melemahkan semangat mendengar pengakuan bahawa ‘sejujurnya kita sememang terasa kecewa kerana hilang kerajaan’ tanpa memberi keyakinan ia boleh dirampas balik?

Tidakkah melemahkan semangat mendengar pengakuan bahawa ‘sememang diakui PAN melalui pelbagai keberantakan dalaman sejak pemilihan pimpinan parti yang lalu’?

Tidakkah melemahkan semangat mendengar pengakuan mengenai kewujudan di dalam PAN ‘gejala-gejala ‘penyakit-penyakit hati’ dan ‘kelemahan organisasi’ yang menjadi lumrah mutakhir ini dengan fenomena ‘melompat serta khianat’ kepada perjuangan’?

Tidakkah melemahkan semangat mendengar pengakuan mengenai kewujudan di dalam Pakatan Harapan ‘bibit-bibit keretakan dan kelompongan yang sedang kita saksikan dalam usaha untuk mengembalikan mandat rakyat, khasnya dalam menangani persoalan kepimpinan ketua negara’?

Tidakkah melemahkan semangat mendengar pengakuan bahawa ‘amat diakui bahawa amalan dan tradisi (yang telah membina tahap kepercayaan atau trust yang tinggi di kalangan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan sejak sekian lamanya) sedikit terjejas sejak akhir-akhir ini’?

Dan tidakkah melemahkan semangat mendengar Presiden PAN menyebut beliau ‘bersedia menjadi jambatan penghubung biar pun dijadikan tempat berpijak’ demi untuk ‘menjalinkan satu grand realignment sebelum kita berjaya membentuk sekali lagi satu grand coalition’?

Takkanlah level Presiden PAN level tempat orang berpijak sahaja?

Mat Sabu pertikai tahap pendidikan MP-MP PN

Dalam pidato perasmian Konvensyen PAN Malaysia Kali Ke-5 tadi, Presiden PAN, Mohamad Sabu menyatakan kekesalan ke atas tindakan Tan Sri Muhyiddin meletakkan ‘Ahli-ahli Parlimen yang tiada kepakaran mahupun kesahihan tahap pendidikan tinggi’ untuk memimpin GLCs dan GLICs.

Ini, dakwa Mohamad Sabu, menyebabkan golongan profesional dan korporat yang kompeten yang telah dilantik semasa Kerajaan PH tersingkir.

Ini juga, kata beliau, adalah bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan tanggungjawab dan amanah berdasarkan kepada keupayaan dan kelayakan.

Ramai yang mungkin boleh menerima jika yang bercakap mengenai keperluan melantik pemimpin yang ada kesahihan tahap pendidikan tinggi ini adalah individu yang ada ijazah PhD atau ijazah Master.

Tapi bila yang bercakap itu sendiri ijazah Bachelor pun tidak ada, atau lebih teruk lagi, pemimpin tinggi partinya sendiri ijazah Diploma pun tidak ada, maka kita boleh ketawa sajalah.

Masa sama, elok juga jika Mohamad Sabu keluarkan bukti siapakah Ahli-ahli Parlimen yang tiada kepakaran mahupun kesahihan tahap pendidikan tinggi yang kononnya diletakkan untuk memimpin GLCs dan GLICs ini.

Apa yang kita tahu ialah dakwaan bahawa GLCs dan GLICs semasa Kerajaan PH adalah dipimpin oleh golongan profesional dan korporat yang kompeten adalah satu temberang kosong.

Umum mengetahui bahawa ramai individu yang dilantik mengetuai GLCs dan GLICs semasa Kerajaan PH adalah daripada kalangan ahli-ahli politik, termasuk Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri atau calon-calon PRU yang kalah, dan bukannya golongan profesional dan korporat yang kompeten. Perkara ini malah pernah diakui oleh pimpinan Pakatan Harapan sendiri, termasuk oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen. Fakta dan statistik ke laut lagi nampaknya PAN ini.

Ke mana hilangnya ahli-ahli baru PAN?

Presiden PAN, Mohamad Sabu, mengumumkan di Konvensyen PAN Terengganu pada 9 November 2018 bahawa bilangan ahli PAN waktu itu adalah ‘lebih 100,000’.

Beliau juga mengumumkan bahawa bilangan ahli PAN waktu itu bertambah ‘10,000’ sebulan. Jarak masa antara 9 November 2018 ke 26 Disember 2020 adalah kira-kira 2 tahun atau 24 bulan.

Jika benar bilangan ahli PAN bertambah ‘10,000’ sebulan maka bilangan ahli PAN pada 26 Disember 2020 sepatutnya adalah gabungan ‘lebih 100,000’ ahli sedia ada ditambah ‘240,000’ ahli baru.

Peliknya, Setiausaha Agung PAN, Datuk Wira Dr Hatta Ramli, mengumumkan di Konvensyen PAN Nasional Kali Ke-5 hari ini bahawa bilangan terkini ahli PAN hanya ‘lebih 150,000’.

Mengapa bilangan terkini ahli PAN bukan ‘lebih 340,000’ tetapi hanya ‘lebih 150,000’ dan ke mana hilangnya ‘190,000’ ahli baru PAN yang didakwa bertambah ‘10,000’ sebulan itu? Ajaib sungguh matematik PAN ini.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 26/12/2020

IHtv
IHtv
10 subscribers

Konsert memartabatkan seni dikir barat 13 Februari di Stdium K'tan.

 

Konsert ‘Malam 100 Pendikir bersama Lefthanded’

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan permit konsert ‘Malam 100 Pendikir bersama Lefthanded 40 tahun.

Setiausaha Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan, Azman Mohd Daham berkata, kebenaran tersebut dikeluarkan kerana pihak penganjur patuh Enakmen Kawalan Hiburan 1998.

Katanya, konsert yang bakal diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV pada 13 Februari tahun depan dibuat pengasingan penonton lelaki, perempuan dan keluarga.

“Kita juga harap penonton dapat mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal ketika konsert itu nanti.

“Konsert ini diadakan akan mencipta sejarahnya sendiri apabila menjadi sebuah konsert terbesar serta dapat memartabatkan seni dikir barat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar konsert ‘Malam 100 Pendikir bersama Lefthanded 40 Tahun’ (Projek Gila) di Ibis Style Hotel, Kota Bharu di sini semalam.

Turut hadir penyanyi utama Lefthanded, Dato’ Nash atau nama sebenar Nashrudin Elias; pemain gitar, Man Kidal dan Pengarah Pelancongan Wilayah Timur, Hafiz Hazin.

Pada konsert yang akan dilangsungkan selama dua jam itu bakal berkerjasama dengan 100 pendikir di Kelantan yang terdiri dari nama-nama besar industri itu.

Lefthanded yang kini dibarisi muka-muka baru selain Nash dan Man Kidal, Lefthanded 2020 turut disertai oleh pemuzik baru yang berpengalaman dan berbakat besar.

Ia seperti pemain bass, Fly Halizor @ Halizor Hussein; pemain gitar, Ritz @ Rizal Abdul Halim; pemian keyboard, Rozario dan pemain drum, Hafiz anak kepada Man Dayak.

Konsert yang bertemakan daripada judul salah satu albumnya iaitu ‘Alam dan Pencipta’ bertujuan untuk merancakkan lagi promosi pelancongan sempena tahun melawat Kelantan 2021.

Penjualan tiket akan bermula pada awal tahun depan dan maklumat lanjut boleh didapati di lama sesawang www.projekgila4u.com atau talian 0105082577. – HARAKAHDAILY 25/12/2020

Hibur Hibur Sikit. Pilihan..

Album 1 

P.Pinang 'ketegaq' sangat, ikut perangai sapa?

 

Ramasamy berkeras, Sanusi sedia ke mahkamah

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengemukakan tuntutan caj penggunaan air mentah Sungai Muda daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sebagai memperjuangkan hak dan nasib rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau berjanji kepada dirinya sendiri bahawa akan memastikan hak negeri Kedah dapat diberikan sesuai pengorbanan negeri ini kepada kepentingan ramai.

“Siapa-siapa pun jadi pemimpin, siapa-siapa jadi ketua, kena ada keazaman untuk menjadi pejuang kepada persekitaran kita. Siapa yang duduk bersama kita, tanggungjawab apa yang sedang kita pikul.

“Kita kena ada semangat untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk dapat apa yang sepatutnya kita dapat,” ujarnya pada program Back To School bersama Yayasan Saleh Saidin, YAPEIM dan JAWHAR di Hotel Seri Malaysia, di sini semalam.

Menurutnya, Kedah mempunyai banyak sumber alam dan sumber asli, selain mengekalkan tanah dan hutannya sebagai jelapang padi dan kawasan tadahan air yang menjadi sumber asas kepada negara dan beberapa negeri.

Namun katanya, berbanding negeri lain di wilayah Utara Semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang dan Perlis, pendapatan perkapita rakyat Kedah adalah yang paling bawah, sekali gus antara termiskin dalam Malaysia.

Terang beliau, 40 peratus keperluan beras dalam negara ini datangnya daripada padi yang ditanam di Kedah atas komitmen mengekalkan tanah sawah dari ditukar status untuk tujuan atau pembangunan lain.

“Kita simpan tanah 163,000 hektar untuk menahan tadahan air hujan, menjadi kawasan tadahan untuk pengairan pertanian. Daripada kawasan ini juga, mengalirlah air ke sungai-sungai untuk diberi bekalan air bersih diminum oleh rakyat di wilayah Utara ini.

“Pulau Pinang, Kedah, Perlis, minum daripada sumber daripada Ulu Muda. Di atas simpanan kita (Kedah) semua ini, seluruh rakyat Malaysia merasai nikmatnya. Bukan sahaja nikmat ayaq (air) bersih ini, (juga) nikmat adanya beras sebagai makanan utama negara kita.

“Tapi kita (rakyat Kedah) kekal berada di bawah pendapatan, kekal menjadi rakyat negeri yang miskin, walaupun pengorbanan kita banyak. (Tapi) ada jiran-jiran kita yang kaya, yang berasa kemaih (hebat), yang menyedut air daripada simpanan kita ini,” ujarnya.

Pun begitu kesalinya, pihak Pulau Pinang bertindak masuk campur dan mempertikaikan Kedah dalam urusan negeri ini secara tidak disenangi, sedangkan negeri jiran itu menumpang nikmat air dari Kedah.

“Sebagai anak Kedah, kita ini semua anak Kedah, kita kena sayang negeri kita. Kita sayang tanah di mana kita dilahirkan, tanah di mana kita membesar, tanah di mana kita menghasilkan makanan yang kita kongsi bersama dengan orang lain di seluruh negara.

“Tanah di mana kita simpan sumber alam, untuk kita tadah ayaq untuk menjadi sumber pertanian untuk negeri dan negara. Dah itu kita patut cemburu dengan negeri kita ini. Jangan bagi orang pi duk kacau tak ke tahu hala, mai duk suruh itu suruh ini. Kita cemburu,” ujarnya mengisyaratkan ‘peringatan’.

Sehubungan itu beliau berharap pihak Pulau Pinang setuju untuk berunding sebagaimana surat tuntutan yang dikemukakan agar Kedah sewajarnya tidak perlu untuk bertindak menyekat aliran Sungai Muda.

Melanjutkan ‘peringatannya’, beliau memberitahu bahawa semangat orang Kedah adalah sepertimana sejarah pembinaan Terusan Wan Mat Saman daripada Gunung Jerai ke Kota Setar yang terhasil dengan peralatan terhad seperti cangkul.

Pulau Pinang berkeras enggan bayar

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Ramasamy Palanisamy bagaimanapun dilihat memberi reaksi keras apabila menyatakan tidak akan ada sebarang rundingan atau bayaran dalam perkara tersebut.

Beliau membidas Sanusi dan menyatakan bahawa tuntutan Kedah itu tidak mempunyai asas undang-undang, bahkan Perlembagaan hingga turut mengaitkan punca air sungai itu daripada Thailand.

Ramasamy turut menyatakan bahawa terdapat perjanjian jelas mengenai hak Pulau Pinang untuk mengambil air tersebut, selain konsep hak riparian mengenai garis sempadan kedua-dua negeri.

Malah, beliau cuba menyokong kenyataannya dengan menyatakan bahawa terdapat keputusan mahkamah dan undang-undang yang menetapkan hak penggunaan sumber air di sempadan negeri atau negara tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini telah menyatakan secara lisan persetujuannya untuk menerima pelawaan berunding, di mana Sanusi mencadangkan Kerajaan Persekutuan sebagai pemudah cara.

Sanusi dalam reaksinya berkata, Kedah tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.

“Sekarang kita runding dahulu di antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, lagipun kita sama-sama dalam Malaysia.

“Tetapi, sekiranya (temui) jalan buntu lagi, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu merupakan jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri,” katanya dilaporkan Bernama hari ini.

Kedah sebelum ini menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010, namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/12/2020

Komen Weblog Ibnu Hasyim: P.Pinang 'ketegaq' sangat, ikut perangai sapa? Ikut ketua depa DAP kot..

IHtv
IHtv
10 subscribers

Rahsia apa di sebalik hubungan AS-Turki? -Ibnu Hasyim

 

SEKATAN CAATSA adalah nama krisis baru dalam hubungan Turki-Amerika.  Di mana krisis ini wujud tidak kurang dalam beberapa tahun terakhir. 

Sekatan yang telah lama ditunggu-tunggu, tidak dapat diputuskan oleh pentadbiran Amerika mengenai cara untuk menerapnya. Ianya telah dilaksanakan satu bulan sebelum pemergian Trump. Bagi sesetengah kalangan, ini adalah amaran. Yang lain pula berpendapat bahawa sekatan itu jauh lebih ringan dari yang dijangkakan.

Untuk memahami jenis situasi yang sedang dihadapi, maka adalah berguna sangat untuk melihat bahasa, aspek teknikal dan konteks politik-geopolitik teks. Cukup jelas bahawa bahasa teks telah disediakan dengan teliti. AS, sambil menekankan lokasi Turki yang sesuai dengan kepentingan konteks NATO, ia menggunakan bahasa yang menekankan ekspresi sekutu. Sebaliknya, sekatan yang disebutkan diatas menyatakan bahawa tidak menyasarkan kapasiti ketenteraan Turki. 

Seperti yang dapat difahami dari makna pertama teks, sanksi tersebut hanya berlaku untuk Presiden Industri Pertahanan. Secara teknikal terlihat bahawa sanksi itu adalah melibatkan projek. Sebaliknya, sekatan yang disebutkan diatas menyatakan bahawa tidak menyasarkan kapasiti ketenteraan Turki. Seperti yang dapat difahami dari makna pertama teks, sanksi tersebut hanya berlaku untuk Presiden Industri Pertahanan. 

Secara teknikal terlihat bahawa sanksi itu adalah melibatkan projek kepresidenan. Oleh itu, tidak melibatkan baik Turki atau penerima ekonomi Turki atau tentera Turki. 

Di luar teks 

Di luar teks, keputusan sanksi perlu dipertimbangkan dari dua sudut. 

Pertama bagi Amerika Syarikat, sekatan sebagai alat lestari, ini adalah, persoalan sama ada terdapat bayangan mengenai hubungan Turki-Amerika. 

Dengan menjauhkan diri dari pemahaman umum mengenai PKK-YPG, FETO dan banyak isu geopolitik yang lain dengan Turki di Syria menuju pejalanan ke perbezaan politik. Sekiranya keputusan sanksi memperdalam perpecahan yang ada, Washington mungkin menghadapi kebuntuan yang serius. Subjek yang terdapat diantara topik dasar luar pentadbiran Biden, minat dan ikatan dengan Turki, untuk meneruskan sekatan, menjatuhkan sekatan, boleh menjadikannya mahal. 

Pasukan dasar luar baru yang berusaha memperbaiki kepimpinan Amerika mengenai isu dasar luar yang kritikal,  mungkin perlu mengambil kedudukan dengan mempertimbangakan semula hubungannya dengan sebuah negara seperti Turki. Yang lebih penting adalah transformasi strategi pertahanan Turki yang akan disebabkan oleh sekatan. 

Pengecualian seni bina pertahanan Eropah-Barat yang semakin meningkat dari Turki, ini tentunya akan membawa kepada kemungkinan mewujudkan seni bina pertahanan lain untuk Turki. Keadaan seperti itu akan membawa kesan geopolitik. Oleh itu, kita boleh mengatakan bahawa pentadbiran Biden ingin mencari keseimbangan antara kos sanksi dan kos geopolitik yang boleh ditanggung oleh sanksi tersebut.

Turki akan mengemukakan rancangan dengan mempertimbangkan dinamika pertahanan kerana industri ini dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat. Penyusunan semula rantaian bekalan adalah salah satunya. Menyiapkan rantaian bekalan alternatif selalu boleh dilakukan, tetapi memerlukan masa. Oleh itu, ia harus ditentukan sejauh mana keputusan sanksi mempengaruhi rantaian bekalan.

Kedua ialah sistem dan platform keutamaan tinggi, dengan mengambil kira iklim di mana ancaman terhadap Turki dan isu penganjurannya dengan pertimbangan ketenteraan yang ada. Untuk ini, perlu membina persefahaman yang menggabungkan strategi ketenteraan dan strategi industri pertahanan pada titik optimum. Melaksanakan kawasan dengan keutamaan strategik yang tinggi dengan sumber tempatan atau "industri pertahanan bukan Barat", untuk Turki nampaknya merupakan kaedah paling selamat buat masa ini. 

Maka, jelas bahawa ekonomi politik industri pertahanan adalah tumpuan yang patut mendapat perhatian sekarang. Fenomena yang dipanggil pertahanan sebenarnya adalah proses persenjataan yang bertujuan untuk meningkatkan kekuatan ketenteraan. Persenjataan juga mempunyai makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar "memiliki pistol." Ini menjadikannya penting untuk menumpukan pada ekonomi pertahanan.

Akhirnya perlu diingat sekali lagi, ekonomi politik industri pertahanan adalah patut mendapat perhatian sekarang. Terutamanya di negara seperti Malaysia ini. Persenjataan dan pertahanan dengan makna yang jauh lebih mendalam dari sekadar "memiliki pistol" sahaja. 

Ibnu Hasyim

IHtv
IHtv
10 subscribers

2 Perkara, amaran keras PAN kepada Tan Sri Muhyiddin

 

T/Presiden PAN buka pekung PH -Dr Kamarul Zaman    

MENARIK sekali mendengar Timbalan Presiden PAN merangkap Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, memberikan amaran keras kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan langsungkan pilihan raya dalam masa yang terdekat.

Kata Datuk Seri Salahuddin Ayub, jika ia dibuat juga maka:

(1) “Dia macam Slobodan Milosevic, dia membunuh rakyat di Bosnia-Herzegovina”.
(2) “Ini pembunuhan beramai-ramai, macam Israel serang Gaza”.

Malah, Datuk Seri Salahuddin Ayub boleh bertanya lagi: “Jadi Tan Sri Muhyiddin jangan buat pilihan raya, buat apa nak buat pilihan raya?”

Tegas beliau seterusnya, tunggulah dua tahun setengah lagi: “Jadi kita ada masa dua tahun setengah untuk kita turun balik kepada rakyat.”

Saya tertanya-tanya:

(1) Mengapakah sebegitu tidak mahu sekali Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada pilihan raya dalam masa yang terdekat?
(2) Apakah penegasan Datuk Seri Salahuddin Ayub ini juga merupakan pendirian pemimpin PH yang lain?
(3) Apakah pemimpin PH sudah yakin mereka akan kalah jika pilihan raya dibuat dalam masa yang terdekat?

PH masih mengatur lompat-melompat parti

Selama ini PH, khususnya DAP, sangat kuat mengutuk tindakan mencuri Ahli-ahli Parlimen parti-parti lain dan tindakan Ahli-ahli Parlimen melompat parti ke parti-parti lain sehingga ke tahap mahu akta anti lompat parti digubal bagi menghalangnya.

Menariknya, malam tadi, Timbalan Presiden PAN merangkap Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Salahuddin Ayub, tiga kali mengakui secara terbuka mengenai keaktifan PH berusaha mencuri Ahli-ahli Parlimen parti-parti lain.

Kali pertama disebut adalah mengenai ‘usaha yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan daripada sebelah sana beberapa kerusi lagi’ yang didedah merupakan ‘keputusan yang kita telah capai dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan’.

Kali kedua disebut adalah mengenai ‘as a leader di dalam Pakatan Harapan kita mesti menggamit mereka’ walaupun dikatakan bahawa ‘hari ini mungkin tak suka, hari ini mungkin mereka tidak berapa gembira, hari ini mungkin mereka ada masalah dengan kita’.

Paling menarik ialah pengakuan ‘untuk belah sana datang kepada kita, walaupun telah diusahakan, tak dapat lagi, sehingga ke akhir hari Selasa tak boleh lagi, nak minta mereka tak datang ke Parlimen pun tak boleh lagi, maknanya usaha dah dibuat tapi tak berjaya lagi.’

Jelas di sini PH telah berusaha mencuri Ahli-ahli Parlimen parti-parti kerajaan dan telah berusaha meminta Ahli-ahli Parlimen parti-parti kerajaan tidak hadir ke Parlimen untuk menjatuhkan kerajaan, cuma ia ‘tak dapat lagi’ dan ‘tak berjaya lagi’.

Perlu diingat, ungkapan ‘tak dapat lagi’ dan ‘tak berjaya lagi’ menggambarkan bahawa usaha mencuri Ahli-ahli Parlimen parti-parti kerajaan dan usaha meminta Ahli-ahli Parlimen parti-parti kerajaan tidak hadir ke Parlimen adalah sesuatu yang berterusan.

Tidak menghairankan jika usaha Pakatan Harapan mencuri Ahli-ahli Parlimen parti-parti kerajaan dan usaha PH meminta Ahli-ahli Parlimen parti-parti kerajaan tidak hadir ke Parlimen akan dilipatgandakan lagi hingga ‘dapat’ dan ‘berjaya’.

Shame on you, PH, kerana mengecam tindakan Ahli-ahli Parlimen BERSATU dan PKR berpindah menubuhkan kerajaan baru sedangkan ia dibuat secara sukarela tetapi kamu pada masa yang sama aktif mencuri Ahli-ahli Parlimen parti-parti kerajaan!

Dari mana Salahuddin dapat statistik ini?

Seingat saya sewaktu menjadi Menteri dulu Datuk Seri Salahuddin Ayub pernah kena troll teruk kerana statistik yang beliau berikan mengenai bilangan ikan kembung dalam laut.

Malam tadi, dalam usaha beliau untuk mempertahankan DAP, sekali lagi Datuk Seri Salahuddin Ayub bermain dengan statistik, kali ini mengenai bilangan umat Melayu dalam negara ini pula.

Dengan yakinnya beliau mengumumkan ‘secara statistik, dalam masa 5 tahun akan datang, 10 tahun akan datang, umat Melayu ini akan naik kepada 85 peratus’.

Tambah dan soal beliau lagi: ‘(Bilangan penduduk) Cina (di Malaysia) semakin mengecil kerana mereka tak nak beranak, apa nak takut dengan Cina?’

Marilah kita sama-sama desak Timbalan Presiden PAN merangkap Naib Presiden PH ini jelaskan dari mana beliau dapat statistik itu.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 24/12/2020

IHtv
IHtv
10 subscribers

4 penjenayah ditembak mati, termasuk penyemun bertopeng..

 

EMPAT penjenayah dipercayai menyamun rumah di Rawang yang ditembak mati, hari ini selepas melarikan diri terbabit dalam lebih 50 kes samun bertopeng di Selangor sejak awal tahun ini. FOTO AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Empat suspek kes samun di Rawang yang melarikan diri menggunakan sebuah kereta sebelum dikejar polis yang kemudian terpaksa melepaskan tembakan dalam kejadian di Sungai Buloh tengah hari tadi, disahkan maut.

Semua lelaki berkenaan yang berusia lingkungan 20-an sebelum itu dipercayai terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang, pada jam 12.10 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata hasil pemantauan dan rondaan, polis yang menerima laporan kejadian samun terbabit, berjaya mengesan kereta dinaiki suspek dekat Hospital Sungai Buloh, jam 1 tengah hari.

"Suspek tidak memberi kerjasama dan polis terpaksa mengejar kereta mereka hingga ke kawasan Jalan Kuala Selangor.

"Dalam kejadian itu, kereta dinaiki suspek turut melanggar seorang penunggang motosikal wanita yang bekerja sebagai penghantar makanan.Wanita itu diseret dan digilis beberapa meter," katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Katanya, selepas laluan terhalang, suspek kemudian mengundurkan kereta menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan apabila seorang daripada mereka keluar dari kereta bersenjatakan parang.

Arjunaidi berkata, tembakan juga terpaksa dilepaskan bagi menyelamatkan penunggang motosikal yang dilanggar mereka.

"Semakan mendapati kumpulan ini memang dikehendaki polis kerana terbabit dalam lebih 50 kes samun bertopeng sejak awal tahun ini," katanya.

Katanya, dua daripada suspek mempunyai rekod dikehendaki polis kerana lari daripada perintah sekatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

"Semakan juga mendapati kereta yang digunakan itu ada rekod samun di Petaling Jaya," katanya.

Arjunaidi berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menyamun rumah yang tidak menutup pintu pagar

"Mereka memakai topeng atau topi keledar dan bersenjatakan parang. Senjata itu turut ditemui di dalam kereta suspek dan polis sedang menyiasat saki baki kumpulan ini," katanya.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:Malaysia perlulah dikembalikan kepada sistem perundangan Islam, termasuk hukum jenayahnya yang mendidik masyarakat. Insya Allah!

IHtv
IHtv
10 subscribers


Friday, December 25, 2020

Musang Kng Raub: 2 alasan mahkamah menolak permohonan plaintif..

 

Penceroboh kebun Musang King, gagal cabar kerajaan

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak terlibat dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan tersebut kepada media selepas prosiding tamat. 

Siew berkata mahkamah memberikan dua alasan dalam menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terlibat tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah. 

“Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh (di tanah berkenaan). Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman ini,” katanya.

Siew berkata mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara. 

Ditanya jika plaintif akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah atau membuat rayuan kepada pentadbir tanah yang mengeluarkan notis pengosongan itu, Siew berkata pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pekebun terlibat.

“Kita akan berbincang apakah tindakan yang efisien dan lebih baik supaya penyelesaian terbaik dapat diambil supaya kepentingan pekebun tidak terjejas. Rayuan adalah satu cadangan yang akan dibincangkan.

“Bagaimanapun, saya berpendapat memandangkan kami sudah sampai ke tahap ini, jika kami membuat rayuan, ia adalah terhadap keputusan mahkamah hari ini berbanding merayu terhadap notis pengosongan yang dikeluarkan pentadbir tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965,” katanya. 

Pekebun itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang telah ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 170 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar. 

Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos lepas manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 September dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, Kerajaan Negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden. 

Pada prosiding itu, semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – BERNAMA

IHtv
IHtv
10 subscribers