Tuesday, January 12, 2021

Bekas Ketua Penolong Setiausaha MOA didakwa rasuah

 

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua penolong setiausaha kanan sebuah kementerian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat, tahun lalu.

Shahrulzaman Jaafar, 43, yang kini memegang jawatan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika kejadian adalah pegawai di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) didakwa meminta suapan iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada Wan Nor Izham Wan Nashar.

Ia sebagai upah kerana membantu lelaki itu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada tiga syarikat, Endona Corporation Sdn Bhd, Qamari Consultancy Sdn Bhd dan Borneo Natura Sdn Bhd; keseluruhannya berjumlah RM118,165,171.65 di sebuah kedai makan di Jalan Berjasa, di sini, sekitar bulan Februari tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Shahrulzaman didakwa menerima suapan berjumlah RM85,000 daripada Wan Nor Izham melalui sebuah akaun bank yang didaftarkan dengan nama SZA Niaga, sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender kepada tiga syarikat sama di Maybank cawangan Taman Setiawangsa pada 10 pagi, 30 Julai tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM40,000 daripada Hazrul Hisyam Hassan sebagai upah bagi dirinya, kerana membantu lelaki itu mendapatkan tender sama kepada syarikat KIIK Resources Sdn Bhd, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37,478,572.55 di hadapan sebuah hotel di Jalan Klang Lama pada 12 tengah hari, 17 Ogos tahun lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

"Pihak pendakwaan juga memohon beberapa syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu serta berkomunikasi dengan saksi kes, atau jaminannya akan ditarik balik," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusoff memohon jumlah jaminan rendah, atas alasan anak guamnya yang masih bekerja di INTAN tidak akan melarikan diri kerana perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, masih perlu melapor diri di pejabatnya di INTAN setiap hari dan sudah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan oleh pihak SPRM.

Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan dua orang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, selain membenarkan kesemua syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

IHtv

2 comments:

Anonymous said...

Umno bukanlah pilihan terbaik. Selama 60 puluh tahun merdeka, pemimpin umno sibuk kumpul harta untuk diri sendiri dan keluarga. Kesudahannya orang melayu miskin di negara sendiri. Amanah yg umno pikul, umno sendiri yg khianati. Rakyat menilai, 90% pemimpin umno khianati amanah. Bila pegang jawatan, pemimpin itu semakin kaya. Contoh ketara ialah atok dan anak cucunya. Ada lagi contoh lain.

Anonymous said...

PEMBERI dan PENERIMA RASUAH wajib dikenakan penjara mandatori! Kalau tidak masalah tidak akan selesai!

Bila PEMBERI rasuah dijadikan saksi pendakwaan ia akan menjadi macam cerita KARTUN, bergitu juga sebaliknya bilamana PENERIMA menjadi saksi kepada PEMBERI rasuah! Ini hanyalah contoh sahaja.

Kadang2 cerita kartun lebih hebat dari filem tamil!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails