Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali - Foto Aizuddin Saad
Malaysia mulakan tindakan undang-undang terhadap EU
KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini memulakan tindakan undang-undang ke atas Kesatuan Eropah (EU) berikutan kempen anti minyak sawit, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memulakan tindakan undang-undang terhadap EU serta negara anggotanya iaitu Perancis dan Lithuania dengan memfailkan suatu permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Katanya, tindakan undang-undang itu adalah susulan dari langkah yang dikenakan EU dan negara anggotanya itu berkaitan
pelaksanaan 'Delegated Regulation di bawah European Union Renewable Energy Directive 2018/2001 (EU RED II)' yang memberi kesan kepada industri sawit negara.
Jelasnya, Malaysia sudah melaksanakan pelbagai langkah termasuklah mengadakan Misi Ekonomi dan Teknikal ke Eropah selain memberikan maklum balas terhadap pelaksanaan EU RED II.
"Namun begitu, EU tetap meneruskan pelaksanaan EU RED II tanpa mengambil kira komitmen serta pandangan Malaysia. Pelaksanaan EU RED II ini telah mengklasifikasikan minyak sawit sebagai suatu produk yang mempunyai kadar risiko perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang tinggi.
"Hal ini akan menyebabkan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api bio di EU tidak diambil kira dalam pengiraan sasaran tenaga boleh diperbaharui dan seterusnya mewujudkan sekatan perdagangan yang tidak wajar terhadap industri sawit negara," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Khairuddin berkata, tindakan EU itu juga adalah bertentangan dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang telah digariskan oleh WTO.
Beliau berkata, tindakan undang-undang itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam melindungi kepentingan industri sawit negara terhadap dasar yang dilaksanakan EU.
"Malaysia berharap supaya WTO melalui Badan Penyelesaian Pertikaian dapat meneliti dan memperhalusi hujah serta keterangan Malaysia secara adil dan saksama selaras dengan prinsip undang-undang WTO.
"Malaysia akan memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya dalam proses ini khususnya dalam sesi konsultasi kelak dan seterusnya perbincangan bersama Panel WTO yang akan diadakan kelak," katanya.
Pada masa yang sama, Mohd Khairuddin berkata, Malaysia juga akan terus menjadi pihak ketiga bagi tindakan undang-undang yang telah difailkan oleh Indonesia melalui DSM di WTO.
Beliau berkata, pembabitan Malaysia itu adalah penting sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap negara pengeluar sawit.
"Kerajaan Malaysia melalui KPPK akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam mempertahankan kepentingan industri sawit negara yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara," katanya.
Huargghh..muak arr..
ReplyDeleteNk bg walaun stim blh la.
Tahniah yb. Harapkan liberal, mereka nak jawatan jer, kerja tak pandai. Jadi pelingkup bolehlah.
ReplyDeleteKikiki....
Delete