Tuesday, January 19, 2021

Hospital pasang siap di China, persediaan hadapi gelombang COVID-19

 

Kemudahan kuarantin pesakit COVID-19 dalam pembinaan di Shijiazhuang, utara wilayah Hebei. - AFP

BEIJING: Ribuan bilik pasang siap didirikan atas padang yang luas di pinggir bandar Shijiazhuang, untuk dijadikan pusat kuarantin bagi mengekang wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di kawasan itu.

China sebahagian besar berupaya mengawal virus itu, walaupun negara lain sedang bergelut dengan kematian yang kian meningkat dan kebanjiran pesakit di hospital.

Walaupun merekodkan jumlah kes kecil, penularan jangkitan tempatan mendorong pegawai negara itu mengeluarkan arahan saringan besar-besaran, perintah berkurung ketat dan bersiap-sedia untuk memindahkan penduduk kampung ke kemudahan kuarantin dengan tujuan menghentikan kemunculan semula gelombang wabak.

Permandangan di luar Shijiazhuang di utara China mengingatkan usaha Beijing pada awal tahun lalu, dengan pembinaan hospital sementara di Wuhan, dikenali sebagai pusat penularan wabak dalam tempoh beberapa hari.

Bangunan kuarantin di Shijiazhuang dilengkapi dengan kemudahan seperti bilik air, internet, pendingin hawa dan akan menempatkan kontak rapat dijangka siap dalam tempoh beberapa hari.

Stesen televisyen tempatan CCTV menunjukkan pekerja sedang memasang struktur seperti kabin.

Turut kelihatan bendera yang tertera nama pasukan pembinaan dan unit Parti Komunis berkibar di bangunan yang sudah siap.

Memetik laporan CCTV, selepas siap, kemudahan itu akan menyediakan bilik untuk menempatkan lebih 4,000 orang.

Kerja pembinaan bermula 13 Januari lalu ketika bandar utara China itu menguatkuasakan perintah berkurung, setelah merekodkan ratusan kes jangkitan baharu beberapa minggu lalu.

Lapor media tempatan, lebih 20,000 penduduk kampung di sekitar wilayah Hebei ditempatkan secara berpusat di kemudahan kuarantin.

Pada masa sama, jutaan penduduk tempatan menjalani saringan sebanyak beberapa kali.

Pegawai Kesihatan Kanan, Wang Bin, pada minggu lalu berkata China berada dalam mod waspada tinggi, berikutan kemungkinan kemunculan semula gelombang kes pada sambutan Tahun Baharu Cina, sekali gus menjadi cabaran terbesar untuk mengekang penularan virus itu.

Jutaan orang dijangka pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan bersama keluarga.

Peningkatan mendadak kes jangkitan virus di seluruh dunia beberapa minggu lalu, menyaksikan angka kematian keseluruhan melepasi dua juta orang. - AFP


IHtv

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails