Saturday, January 09, 2021

Istilah 'janda' promosi perniagaan undang implikasi negatif

 

Pengerusi Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Shiella Tukimin ketika ditemui di di rumahnya. - Foto NSTP/Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Tindakan sesetengah pihak menggunakan istilah 'janda' sebagai umpan atau pelaris perniagaan tanpa mengambil kira sensitiviti wanita khususnya ibu tunggal berusaha keras bangkit dan berdikari bukan sahaja perbuatan mengaibkan tetapi turut mengundang pelbagai implikasi negatif terhadap kesihatan mental.

Lebih menyedihkan, ada pengusaha perniagaan yang tidak canggung meletakkan slogan atau tagline berunsur lucah.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor (Witus), Shiella Tukimin, berkata masyarakat perlu lebih cakna kerana tidak semua ibu tunggal berfikiran terbuka, kebanyakan mereka terkesan apabila istilah 'janda' sering dijadikan bahan mainan, gurauan dan dipersendakan.

"Perkara ini dianggap memalukan wanita dan kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak menerima rungutan daripada ibu tunggal yang mempersoalkan mengapa perkataan janda digunakan untuk menggambarkan perkara negatif.

"Mungkin ramai tidak tahu ada kalangan ibu tunggal berdepan pelbagai masalah, umpamanya baru bercerai, kematian suami atau sedang bergelut untuk bangkit semula.

"Apabila segelintir pihak mengaitkan status mereka dengan perkara negatif, ada di antara ibu tunggal ini berdepan kemurungan kerana seolah-olah lebih banyak yang mengecam daripada membina," katanya ketika dihubungi BH.

Shiella berkata, bagi peniaga mungkin melihat ia sekadar satu daripada strategi pemasaran, bagaimanapun mereka sepatutnya melihat perkara itu dalam konteks yang lebih luas apatah lagi ada istilah yang lebih sopan dan mesra untuk digunakan.

"Jika difikirkan secara logik, penggunaan perkataan 'janda' untuk mempromosikan produk, ia mungkin berkesan, tetapi bagaimana pula peranan kita sebagai anggota masyarakat untuk menjaga sensitiviti mereka?

"Mengapa tidak menaikkan martabat wanita dengan menggunakan perkataan ibu tunggal atau wanita berdikari yang lebih memperlihatkan sisi positif mereka," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memantau proses pendaftaran perniagaan bagi mengelakkan manipulasi atau eksploitasi istilah yang cenderung menterjemahkan konotasi negatif.

"Kami menggesa kerajaan melalui SSM memantau pendaftaran syarikat supaya dapat mengawal penggunaan istilah yang tidak wajar seperti perkataan janda.

"Jika boleh, pengusaha perniagaan carilah nama yang lebih positif dan tidak mengundang kontroversi atau mengaibkan pihak lain," katanya.

Sementara itu, Felo Utama Bersama, Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata perkataan 'janda' sudah sekian lama difahami dengan makna yang negatif.

"Tidak berapa baik untuk menggunakan perkataan janda, apatah lagi istilah itu digantikan dengan ibu tunggal.

"Daripada situ, kita dapat lihat bahawa masyarakat tidak menyenangi menggunakan perkataan berkenaan," katanya.

Kok Seong berkata, perkataan janda tidak sepatutnya digunakan secara meluas, termasuk bagi melariskan perniagaan kerana ia lebih banyak dikaitkan dengan kiasan yang negatif.

"Misalnya, apabila ada janda yang melaram cantik, mereka dituduh sengaja menggoda dan tergila-gilakan lelaki.

"Sepatutnya perlu ada unsur kasihan bagi perkataan janda kerana mereka ini sama ada telah kematian suami atau diceraikan.

"Disebabkan itu ia ditukarkan kepada istilah ibu tunggal kerana ia lebih bersifat meraih simpati, selari dengan kehidupan mereka yang hidup sendiri dan cuba mencari nafkah untuk menanggung kehidupan diri dan anak," katanya.

Beliau turut menegaskan penggunaan istilah 'janda' adalah sebagai tidak sopan dan bertentangan dengan prinsip kelima Rukun Negara yang menitikberatkan aspek kesopanan.

"Perilaku sopan ini bukan sahaja perlu diaplikasikan untuk diri sendiri, tetapi setiap daripada kita mempunyai peranan untuk menegakkan kesopanan awam.

"Jika perkataan 'janda' terus digunakan untuk kepentingan sendiri misalnya untuk melariskan perniagaan, maka ia dilihat sebagai tidak sopan.

"Nilai kesopanan ini ada kaitan dengan akhlak dan keperibadian kita, jadi tonjolkan perilaku serta jadilah masyarakat yang saling hormat menghormati," katanya.

Beliau turut berkata, semua pihak perlu bekerjasama untuk terus memupuk kesedaran awam mengenai isu ini kerana berkemungkinan ada anggota masyarakat berasakan perkara ini bukanlah satu perkara sensitif. (BH)

Sudah terbit..

E-Buku IH-126: Kampung Janda Di Dunia..

 Bab 1
Bab 2
Bab 3
    Ikuti selanjutnya.

      No comments:

      LinkWithin

      Related Posts with Thumbnails