Sunday, January 31, 2021

M'sia tumpu ringan beban rakyat.. Perth &AS..

 

1. Kerajaan tumpu program ringankan beban rakyat - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad akan terus berusaha meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan menyediakan program perlindungan sosial yang komprehensif untuk memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah tidak tertinggal daripada arus pembangunan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata kerajaan sedar realiti kesulitan yang berlaku dalam kalangan rakyat tanpa mengira golongan, yang bertungkus-lumus membina semula dan meneruskan kehidupan berikutan pandemik COVID-19.

"Kerajaan mengikuti dengan rapat keadaan yang berlaku bagi memastikan ikhtiar bantuan dapat disampaikan kepada golongan sasaran. Ini juga dibuktikan melalui Belanjawan 2021 yang memberikan tumpuan khusus kepada inisiatif-inisiatif membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

"Selain itu, saya juga mengumumkan inisiatif PERMAI (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia) pada 18 Januari lalu. Pakej bantuan PERMAI, inisiatif kerajaan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Pelancaran Program Kemiskinan Bandar (5My) Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 yang berlangsung secara maya, malam ini. (BH)

2. Hanya kerana satu kes, Perth laksana sekatan 5 hari

Restoran di kawasan Elizabeth Quay, Perth yang kebiasaannya sibuk lengang apabila pihak berkuasa mengenakan perintah sekatan lima hari bagi membendung penularan COVID-19. - Foto AFP

SYDNEY: Perth melaksanakan perintah sekatan selama lima hari selepas pengawal keselamatan di sebuah hotel kuarantin disahkan positif virus COVID-19.

Secara anggaran, kira-kira dua juta penduduk di Perth perlu berada di rumah bermula petang tadi dan begitu juga mereka yang tinggal di Peel dan wilayah barat daya Australia.

Sesi persekolahan yang sepatutnya bermula esok ditangguhkan dan penduduk hanya dibenarkan keluar untuk bersenam, keperluan kesihatan, perkhidmatan perlu serta untuk membeli makanan.

Perdana Menteri Australia Barat, Mark McGowan, berkata model mereka untuk berhadapan dengan kes COVID-19 adalah dengan cepat dan tegas.

"Ia supaya kami boleh mengawalnya dengan cepat dan tidak menular masuk ke dalam komuniti seperti mana dihadapi negara lain.

"Apa yang kami cuba lakukan adalah 'gangguan' jangka masa pendek bagi mengelakkan 'gangguan' jangka masa panjang.

"Kami berusaha menghancurkan virus ini secepat mungkin," katanya.

Pihak berkuasa percaya lelaki itu dijangkiti virus daripada pengembara yang dikuarantin di sebuah hotel di bandar keempat terbesar di Australia itu.

Pengembara itu mungkin terkena varian baharu virus itu yang dipercayai boleh menular dengan cepat berbanding strain COVID-19 sebelum ini.

Ujian genomik sedang dijalankan untuk menentukan sumber sebenar jangkitan lelaki itu, dan pegawai kesihatan mengatakan bahawa dia mungkin telah mengunjungi lebih dari sedozen lokasi ketika membawa virus itu.

Kafe, bar dan restoran sudah diperintahkan untuk tutup manakala lawatan ke kemudahan kesihatan dilarang dan majlis perkahwinan dibatalkan.

Sekatan ini adalah paling ketat sejak peringkat awal pandemik dengan pelitup muka diwajibkan untuk pertama kali.

Sepanjang tahun 2020 Australia Barat menutup sempadannya hampir sepanjang tahun dan memutuskan hubungan dengan negara lain namun membenarkan penduduknya menikmati kehidupan normal selama berbulan-bulan.

Perintah sekatan selama tiga minggu turut dilaksanakan di Brisbane selepas seorang pembersih hotel dijangkiti varian itu. - AFP

3. Penunjuk perasaan cetus gangguan di pusat vaksin

Media AS melaporkan, pihak berkuasa menutup pusat agihan vaksin COVID-19 di Stadium Dodger di Los Angeles selama sejam, ekoran penunjuk perasaan mencetuskan gangguan. - Foto AFP

LOS ANGELES: Penunjuk perasaan mencetus gangguan di pusat pengagihan vaksin COVID-19 di Stadium Dodger di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), lapor media tempatan, semalam.

Muat naik di media sosial menunjukkan berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang membawa sepanduk menggesa perintah berkurung ditamatkan dan menyuarakan teori konspirasi antivaksin, berhimpun di hadapan pintu masuk ke pusat pengagihan itu.

"Penunjuk perasaan hanya sekitar 30 orang. Tidak pasti kenapa mereka menutup seluruh fasiliti itu," kata seorang pengguna Twitter, Mikel Jollet.

Media AS yang memetik jabatan bomba melaporkan, pihak berkuasa menutup pusat agihan itu hampir sejam, namun polis Los Angeles kemudian menegaskan pusat itu tidak ditutup dan vaksin akan terus diagihkan.

Insiden itu menjadi antara cabaran terbaharu pengagihan vaksin di AS, yang merekodkan jumlah jangkitan dan kematian COVID-19 tertinggi di dunia.

Lebih 26 juta individu dijangkiti wabak itu, manakala 439,000 meninggal dunia di AS sejak permulaan COVID-19, berdasarkan kiraan Johns Hopkins University setakat semalam. - AFP

(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails