HARAKAH: Boleh Tuan jelaskan peranan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Tuan selaku CEO di MTC ini?
MUHTAR SUHAILI: Terima kasih kepada pihak Harakah di atas kesudian untuk hadir ke pejabat MTC dan kami mengharapkan hubungan antara MTC dan media akan terus bertambah baik dari semasa ke semasa.
MTC ditubuhkan pada tahun 1992 atas inisiatif daripada pemain industri sendiri dengan wujudnya lima persatuan yang menubuhkan MTC ini terdiri daripada Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia (MWIA); Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA); Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC); Majlis Perabot Malaysia (MFC) dan Persatuan Pengeksport Kayu Malaysia (TEAM). Wakil kelima-lima persatuan ini dan juga Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah MTC.
Selaku CEO, saya telah membuat satu ‘roadmap’ atau plan tindakan untuk tahun hadapan khususnya apa yang kami ingin capai. Kami mempunyai plan lima tahun 2019 hingga 2023, cumanya untuk tahun hadapan terdapat tujuh sasaran yang kami ingin sasarkan. Antaranya transformasi perniagaan untuk melihat industri kayu-kayan ini terus relevan.
Keduanya, meningkatkan sumber bahan mentah. Selama ini kita banyak bergantung kepada sumber hutan asli, jadi perlu difikirkan bagaimana supaya tidak terus bergantung kepada sumber hutan asli sebaliknya perlu ada sumber bahan mentah alternatif. Antaranya yang telah dibincangkan berkaitan perladangan hutan, guna semula batang pokok kepala sawit untuk dijadikan produk kayu-kayan termasuk perabot.
Ketiganya, memupuk akses pasaran untuk dikembangkan ke pasaran luar negara. Sekarang ini, MTC mempunyai lima pejabat wilayah antaranya di Amerika Syarikat, Belanda (untuk fokus pasaran Eropah), Dubai (Timur Tengah), India (Asia Selatan) dan China (Asia Timur).
Keempat, mengendalikan program reka bentuk dan penjenamaan dengan tujuan untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan mempunyai nilai tambah kepada produk perkayuan.
Kelima, meningkatkan automasi proses perniagaan. Sekarang ini masih terdapat pengilang dan pemproses kayu yang bergantung kepada tenaga kerja di dalam operasi mereka. Jadi, kami ingin membantu agar mereka dapat meningkatkan produktiviti melalui automasi dan pendigitalan serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.
Keenam, menerapkan inisiatif hijau (green technology) antaranya menggalakkan setiap kilang menggunakan panel solar.
Ketujuh, mengeratkan hubungan dengan pemegang taruh bagi memastikan mereka dapat bekerjasama baik dengan MTC.
Pada tahun 2019, industri perkayuan telah menyumbang sekitar RM22.5 bilion nilai eksport bersamaan 1.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Dari sudut pelaburan, industri ini berjaya menarik sekitar RM707.8 juta pelaburan pada tahun 2019 dan pasaran domestik agak besar sekitar RM20.8 bilion. Selain itu, industri ini turut menyediakan peluang pekerjaan kepada 50,000 pekerja tempatan.
Kedudukan dari sudut pasaran antarabangsa, tahun lepas Malaysia adalah pengeksport keempat terbesar untuk kayu papan lapis; keenam terbesar bagi perabot kayu dan kayu bingkai; kelapan terbesar untuk kayu kumai dan kesepuluh terbesar untuk kayu gergaji.
Di sini dapat dilihat bahawa, Malaysia antara negara pengeksport produk kayu yang signifikan di peringkat antarabangsa.
Apakah antara cabaran yang dihadapi oleh pihak MTC dalam krisis Covid-19 yang dihadapi hampir seluruh dunia?
Sepanjang Covid-19 ini, industri perkayuan turut terkesan seperti industri lain antaranya nilai eksport pada tahun ini sehingga bulan September menurun sekitar 4.3 peratus berbanding tahun lepas.
Walau bagaimanapun, nilai eksport di beberapa negara utama masih lagi memberangsangkan. Sebagai contoh negara pengimport utama iaitu Amerika Syarikat sebanyak RM5.1 bilion daripada Januari hingga September tahun ini dengan peningkatan 53.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, Jepun (RM2 bilion), China (RM1.6 bilion), Eropah (RM1.5 bilion), Australia (RM633 juta), Singapura (RM574 juta), India (RM526 juta), Korea Selatan (RM521 juta).
Dijangkakan jumlah keseluruhan eksport sehingga hujung tahun ini masih berada pada paras RM20 bilion, meskipun terdapat penurunan berbanding tahun lepas. MTC diberi mandat oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) pada tahun 1998 untuk mempromosikan perdagangan kayu dan membangunkan pasaran produk kayu Malaysia di peringkat global.
Akibat dari kesan pandemik Covid-19, MTC telah mengambil pendekatan untuk menyusun semula langkah-langkah serta pelan strategik sejajar dengan keperluan industri. MTC telah merangka dan mengkaji rancangan lima tahun (2019-2023) yang terdiri daripada empat Teras Utama dan 14 Bidang Tumpuan berikut:
a) Meningkatkan bantuan untuk menambah bekalan bahan mentah berasaskan kayu.
b) Memperhebatkan usaha ke arah mengguna pakai pendigitalan dan automasi sebagai permulaan kepada Revolusi Industri 4.0.
c) Meningkatkan bilangan pekerja berpengetahuan terutamanya mengenai kejuruteraan dan reka bentuk produk dan perabot.
d) Meningkatkan pangkalan data MTC dan keupayaan menganalisis untuk menghasilkan data mengenai status, peluang dan ancaman yang dihadapi industri perkayuan.
e) Memanfaatkan platform digital untuk mempromosikan program MTC kepada sasaran kumpulan yang lebih luas.
f) Menaik taraf infrastruktur ICT bagi meningkatkan keupayaan MTC untuk menjalankan program pemasaran dan komunikasi digital.
g) Meningkatkan kemahiran kakitangan untuk menjalankan tugas dengan cekap.
h) Mendorong syarikat-syarikat perkayuan bagi menjalankan transformasi perniagaan untuk penyesuaian dalam persekitaran norma baharu perniagaan, selaras dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara dan industri.
i) Menggalakkan industri dalam penghasilan produk kayu-kayan yang bernilai tambah tinggi dan berinovasi.
j) Membantu menyediakan persekitaran perdagangan yang kondusif kepada industri dengan
penglibatan dalam isu-isu berkaitan dasar, standard dan peraturan.
k) Meningkatkan penembusan pasaran baru dan sedia ada menerusi pendekatan promosi yang strategik.
l) Mempertingkatkan penjenamaan produk kayu-kayan Malaysia dengan menggalakkan penjenamaan syarikat-syarikat secara spesifik.
m) Meningkatkan kesedaran dan penggunaan kayu-kayan dalam sektor binaan.
n) Menambah baik persepsi dan tanggapan masyarakat awam terhadap produk dan industri kayu-kayan.
Apakah perancangan Tuan selaku CEO untuk mempromosikan produk ini ke pasaran baharu sama ada industri tempatan dan luar?
Merujuk kepada rekod, Malaysia telah mengeksport produk kayu-kayan ini ke lebih daripada 160 buah negara di seluruh dunia. Namun setakat ini terdapat beberapa negara yang difokuskan dan akan dikembangkan lagi.
Antaranya Turki, Afrika dan Denmark yang masih kurang dari segi eksport produk kayu-kayan ini. Seterusnya, pada tahun hadapan MTC akan terlibat dengan ekspo-ekspo antarabangsa bagi mempamerkan produk kayu-kayan negara.
Dengan cara ini kita dapat mengembangkan lagi produk ini ke pasaran luar negara. Dalam pada itu, terdapat banyak perancangan yang sedang dan akan dilaksanakan. Sekarang ini, setiap bahagian di MTC mempunyai projek tersendiri bagaimana untuk mengembangkan dan memasarkan produk kayu-kayan ini untuk pasaran domestik mahupun antarabangsa.
Bagaimana MTC akan memastikan industri ini kekal mampan di masa hadapan? Apakah antara inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan?
Apa yang menjadi keutamaan MTC adalah membantu mengembangkan industri kayu-kayan negara ini ke peringkat lebih baik melalui program yang telah disusun bagi membantu industri dari sudut inisiatif contohnya seperti digitalisasi, automasi dan mekanisasi.
MTC juga sedang melaksanakan Program Insentif Kewangan Pembelian Mesin (FIPM). Insentif ini bertujuan membantu pihak industri membeli peralatan mesin untuk bergerak secara automasi.
Seterusnya, Program Bantuan Import (IAP) bagi membantu penambahan bahan mentah untuk menghasilkan produk tambah nilai. Di sini pihak MTC membantu industri untuk mengimport bahan mentah daripada luar dengan memberi insentif. Secara tidak langsung ia membantu industri untuk berkembang.
Dalam masa yang sama, MTC juga giat menjalankan kempen kepada dunia bahawa industri kayu-kayan Malaysia membekalkan produk kayu yang diperolehi daripada sumber hutan yang diuruskan secara
mampan. MTC dengan kerjasama Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC) turut mempromosikan penghasilan produk secara mampan melalui Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS).
Oleh itu, MTC perlu memainkan peranan untuk menjaga reputasi dan imej industri kayu-kayan negara supaya eksport dapat diteruskan khususnya kepada pasaran yang sensitif seperti Eropah dan Amerika Syarikat. Justeru, MTC komited untuk memastikan produk kayu-kayan negara dapat dihasilkan secara mampan.
Sementara itu, pihak MTC juga sedang gerakkan kerjasama dengan pemain industri di Sabah dan Sarawak supaya dapat dikembangkan lagi dengan gerak kerja yang berkaitan.
Malah, dalam Belanjawan 2021 kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk projek perladangan hutan. Jadi, MTC akan bekerjasama dengan semua pemain industri supaya memanfaatkan inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan untuk terus memajukan industri kayu-kayan ini.
Manakala, dari sudut transformasi untuk gerak kerja di MTC sendiri, saya telah menubuhkan satu Jawatankuasa Integriti dan Urus Tadbir yang berperanan untuk memantau segala gerak kerja dan urus tadbir di MTC agar dilaksanakan secara telus dan jujur.
Apakah inspirasi Tuan selaku CEO MTC untuk perancangan masa depan bagi industri ini?
“Let’s Power Progress Together” itu tema yang saya gunakan. Inspirasi saya ialah bagaimana saya mahu mengajak semua tenaga kerja di MTC ini bersama-sama saya untuk membangunkan MTC dan membantu melaksanakan inisiatif kerajaan dan memastikan Malaysia terus dikenali sebagai pengeluar dan pengeksport utama produk kayu. Secara ringkasnya begitu.
Sudah semestinya MTC ini ada kaitan dengan pembalakan, jadi bagaimana Tuan mahu meletak jauh persepsi awam bahawa pembalakan ini bukanlah tidak elok untuk semua, dan apa tindakan Tuan untuk mengelakkan MTC terpalit daripada persepsi negatif terhadap pembalakan?
Kita di MTC, mahu memastikan bahawa semua yang dilakukan secara mampan (sustainable). Bahkan sekarang ini kalau dilihat perhutanan ini adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan di bawah Kerajaan Persekutuan. Macam kerajaan negeri sekarang, saya lihat mereka tidak mudah membenarkan penebangan balak, kalau dahulu mungkin boleh buat mudah, tetapi sekarang zaman media sosial kalau tebang hutan, orang ambil gambar boleh jadi isu.
Jadi saya rasa setiap kerajaan negeri mengambil berat tentang perkara ini. Saya lihat ada perkembangan positif contohnya konsensi pembalakan. Sebelum diluluskan sesuatu konsensi, mereka akan pastikan syarikat tersebut adalah bertanggungjawab terhadap pembalakan yang mereka akan laksanakan.
Dengan penguatkuasaan dan pematuhan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dan sebagainya, saya yakin kita boleh menghapuskan persepsi negatif ini.
Sebenarnya imej ini selalu tertanam, dan sebelum sertai MTC saya pun fikirkan perkara yang sama tetapi apabila saya sertai MTC saya nampak banyak perkara yang dilakukan oleh MTC, MTIB (Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk memastikan perkara ini tidak berlaku.
Bahkan Malaysia sendiri telah komited terhadap perjanjian Rio Earth Summit 1992, pada ketika itu Malaysia beri komitmen bahawa apa sekalipun yang berlaku, kerajaan Malaysia akan pastikan jumlah keluasan tanah di Malaysia ini kekal diliputi kawasan berhutan melebihi daripada 50 peratus.
Sekarang ini jumlah hutan di Malaysia 55.3 peratus daripada keseluruhan tanah negara. Jadi kita masih lagi memenuhi komitmen tersebut dan saya rasa apa juga tindakan kerajaan selepas ini memang kita sudah komited untuk pastikan jumlah hutan di dalam negara ini lebih daripada 50 peratus dan itu adalah komitmen kita untuk kita mengubah persepsi negatif ini yang tidak benar ini.
Bagaimana Tuan melihat isu pembalakan hutan ini kerana perkara ini bukan rakyat sendiri yang rasa, tetapi bila NGO sendiri datang dan sampaikan kepada rakyat tentang isu ini?
Sebab itulah kita ada beberapa projek untuk beri penerangan seperti membuat dokumentari untuk ditayangkan di saluran media seperti National Geographic untuk beri penerangan tentang pengurusan hutan and pengeluaran produk kayu-kayan secara mampan.
Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berusaha semampu mungkin untuk memastikan pengurusan hutan dan juga industri kayu-kayan beroperasi dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan dan dilakukan secara mampan serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Jadi tiga perkara ini kalau kita boleh buat saya fikir persepsi (negatif) yang memburukkan keadaan dapat diatasi.
MTC sebenarnya tidak ada kuasa untuk melaksanakan penguatkuasaan tetapi kita terlibat dalam memberi penerangan (untuk membetulkan persepsi). Sebab itu kita ‘engage’ dengan agensi-agensi media selain MTC sendiri membuat penerangan dengan menggunakan sosial media, kita ada Facebook, Youtube, Pinterest, LinkedIn, Instagram dan Twitter.
Semua ini kita gunakan untuk memaklumkan tentang peranan MTC dan industri kayu-kayan. Kita terbuka untuk menerima cadangan untuk penambahbaikan bahkan semua yang terlibat dengan industri ini kita akan cuba buat libat urus yang mana kalau ada isu kita selesaikan secara bersama.
2 comments:
APA LAH SUSAH NAK JATUHKAN PAKATAN NASIONAL
FIKIR RELEX PUJUK SAJA AHLI PARLIMEN BARISAN
BELI 5 MP BUKAN GANG MAHKAMAH SECARA PUKAL
MAKA LINGKUP LAH KERAJAAN PN PROKSI ATOK BANGANG
ahli UMNO yang tiada jawatan atau jawatan kecik gaji takat 30 sebulan beli 10 juta sorang. Dapat pujuk 5 MP dah melingkup kerajaan PN.
Kalau dulu sampai ke Taiwan nak beli MP BN ari ni beli 6 MP Barisan Nasional buat siaran langsung sidang media yg dibeli jadi calon bebas... maka melingkup lah Kerajaan PN...Tak payah tunggu PAU bagai..!!
alahaii..
susah sgt ke nak buat...!?
Btl tu..lps tu bg habuan dgn jawatan dlm kabinet sm glc..
Tu yg menteri smpi lbh 70 org, tp suma x berguna.
Blm termasuk duta2 khas lg.
Last2 yg keja tlg rakyat skrg ustaz ebit sm doktor noor hisyam je
Post a Comment