TIDAK ada salah atau cacat celanya jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhasrat untuk melantik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai timbalannya.
Walaupun jawatan timbalan perdana menteri tiada tercatat di dalam Perlembagaan tetapi cara pelantikan biarlah menunjukkan adanya rasa hormat terhadap parti yang menjadi rakan di dalam kerajaan.
Ini termasuk merujuk kepada parti sama ada individu yang mahu diangkat sebagai timbalan perdana menteri itu dilakukan dengan cara disenangi.
Itu antara pandangan yang dikemukakan oleh penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman kepada wartawan SUARA MERDEKA ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, ramai yang akan tertanya-tanya, adakah desas desus melantik timbalan perdana menteri itu untuk membeli jiwa UMNO yang telah terguris disebabkan oleh permainan politik parti Bersatu di bawah Muhyiddin'
PROF. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman – Penganalisis politikKata Fithri, jika Hishammuddin dilantik sebagai timbalan Muhyiddin, itu tidak menghormati UMNO sebagai rakan parti. Hishammuddin juga tidak menjawat jawatan yang tinggi dalam UMNO sebaliknya hanya sebagai Ketua UMNO Bahagian Semberong.
“Perlu ada rujukan sebelum pelantikan. Kalau nak diikutkan, jawatan timbalan perdana menteri itu adalah milik Presiden parti dan dalam hal ini, Presiden UMNO.
“Disebabkan Presiden parti ada kes di mahkamah maka individu yang seterusnya yang patut dilantik sebagai timbalan perdana menteri ialah Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat.
“Ini Tok Mat pun senyap dan nama Hishammuddin naik sebagai timbalan perdana menteri,” ujar Fithri.
Keputusan untuk melantik timbalan perdana menteri adalah dari UMNO kerana parti itu besar dan mempunyai kerusi majoriti.
Sekiranya lantikan itu dibuat, ia besar kemungkinan untuk mengambil hati UMNO yang mana, kata Fithri, sudah agak terlambat.
“Pelantikan akan jadi tidak cantik. Umpama kita hidup dalam sebuah rumah, biarlah harmoni.
“Mana boleh kita hidup dalam sebuah rumah tetapi seorang duduk di atas, seorang berkurung dalam bilik, seorang di dalam bilik mandi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlukan sokongan dan perlu ada sikap hormati menghormati sesama parti kerana inilah yang akan mendukung sesebuah kerajaan itu. – SM
Hibur Hibur Sikit. Pilihan..
Album 4
No comments:
Post a Comment