MERUJUK kepada pengumuman yang dibuat oleh Ahli Parlimen Machang semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini hanya mendapat sokongan 110 orang daripada 220 orang keseluruhan anggota Dewan Rakyat.
Krisis politik yang berlaku kini hakikatnya memberikan kesan yang sangat buruk kepada rakyat yang sedang berhadapan dengan bencana banjir besar, wabak Covid-19 dan keresahan ekonomi yang semakin menekan.
Selain itu, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) juga melahirkan kekecewaan di atas polemik yang berlaku dan berpendirian bahawa sekiranya kerajaan yang didominasi oleh parti politik Melayu yang ada pada hari ini gagal disebabkan pertelagahan dan kepentingan individu sesama pemimpin Melayu sendiri, maka rakyat khususnya kaum Melayu Islam akan hilang kepercayaan kepada pemimpin parti-parti Melayu ini dalam PRU15 akan datang.
Menurut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(4) menyebut, ‘jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.’
UMMAH dengan ini menyembah maklum kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada kebijaksanan Yang di-Pertuan Agung (YDPA) untuk membuat keputusan yang terbaik terhadap kemelut politik negara pada hari ini.
Memandangkan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat, bencana banjir yang melanda negara, UMMAH mencadangkan agar YDPA menubuhkan sebuah Kerajaan Sementara (mengekalkan status quo Tan Sri Munyiddin sebagai Perdana Menteri Sementara), dan tempoh yang dicadangkan adalah selama satu tahun.
UMMAH juga mencadangkan agar YDPA menubuhkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada ahli-ahli pakar untuk mengkaji tarikh yang paling sesuai bagi negara Malaysia mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 selepas daripada tempoh satu tahun kerajaan sementara tersebut.
UMMAH menegaskan bahawa PRU15 tidak wajar untuk diadakan pada waktu ini bagi memberi ruang kepada kerajaan memberikan khidmat dan fokus kepada misi membantu rakyat yang telah menghadapi bencana banjir besar dan pandemik Covid-19.
Sekian
MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi,
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 10/1/2021
3 comments:
Terima kasih YDPA. Beri masa untuk selesaikan dulu masalah covid, kemudian baru pru15. Pm sekarang adalah yg paling layak jika bandingkan dengan presiden umno.
Kikiki
Pastinya penyumbang kpd perbalahan ini berpunca dari umno yg tidak mahu perpaduan melayu. Ramai pemimpinnya yg korup masih berada di kerusi kepimpinan.Tolak pemimpin ini dan ganti dengan pimpinan baru yg lebih bersih. Orng melayu perlu berani buat anjakan menyokong pas yg pemimpinnya bersih dan pejuang Islam dan orang melayu.
Post a Comment