Bukan tutup tapi kegagalan paling besar Tommy
KUALA LUMPUR: Kemungkinan kegagalan terbesar bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah menerbitkan buku memoirnya, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Menurut beliau, buku yang diterbitkan Thomas berjudul My Story: Justice in the Wilderness bukan hanya menghina ramai pihak, tetapi menghina institusi Peguam Negara yang beliau sendiri pegang suatu ketika dahulu.
Berdasarkan pembacaan, buku tersebut katanya bukan sahaja menghina individu yang melantik beliau sebagai Peguam Negara, bahkan turut menyentuh berkenaan kepimpinan Tun Abdul Razak dan Dato’ Seri Najib Razak
“Penulisan Tommy Thomas tentang Allahyarham Tun Razak amat mendukacitakan apatah lagi datang dari seorang bekas Peguam Negara.
“Dalam satu muka surat sahaja (m/s 28), Tommy Thomas tanpa berselindung mendakwa bahawa Tun Razak mendalangi insiden paling hitam dalam sejarah negara Malaysia.
“Yang menulis ini adalah bekas Peguam Negara. Bukan pengarang surat layang.
“Bukti apa yang dia ada sehingga tergamak menerbitkan suatu tuduhan yang amat jelas dan nyata terhadap Bapa Pembangunan Malaysia?
“Individu itu pun tidak ada bersama kita lagi untuk menepis dakwaan tersebut,” ujar Shahril dalam satu kenyataan.
Katanya, Thomas menggambarkan seolah-olah Tun Razak tergamak membuat apa yang didakwanya.
Kononnya kerana Tun Razak tidak sabar untuk ambil alih jawatan Perdana Menteri disebabkan beliau menghidap leukemia.
“Ini penghinaan yang teramat serius, iaitu dengan merendahkan keperibadian seorang bekas pemimpin negara.
“Berasaskan apa? Bukan berasaskan bukti, tetapi conjecture dan prejudis yang tebal,” tambah beliau.
Kata Shahril, pelbagai pihak dituduh di dalam buku tersebut termasuk pegawai Pejabat Peguam Negara yang disifatkan sebagai peguam-peguam tidak berdaya maju dan selesa makan gaji dan pencen.
Malah, penulisan di dalam buku tersebut juga menyentuh rahsia-rahsia yang sepatutnya menjadi sulit dengan tafsiran-tafsiran peribadi tertentu.
Jelasnya, walaupun Thomas berkemungkinan berpandangan bahawa apa yang dicatatkan beliau di dalam buku tersebut adalah sebuah pandangan serta beliau mempunyai hak untuk mengkritik dan menghina mana-mana pihak, namun Thomas sepatutnya maklum bahawa ia adalah satu perkongsian yang mengundang tindakan di bawah sistem perundangan.
Tambahnya, Tommy patut tahu, ada perkongsian yang mengundang tindakan bawah sistem perundangan, dan ada pandangan yang kalau tidak menyalahi undang-undang pun, amat tidak sesuai datang daripada seorang bekas Peguam Negara.
Beliau berkata, saman dan laporan polis sama ada soal saman malu, pelanggaran Akta Rahsia Rasmi (OSA), jenayah fitnah atau apa sahaja yang ditentukan kelak oleh proses perundangan tetap akan berjalan.
“Sambil ia berjalan, saya pula beri pandangan kepada Tommy Thomas, satu perkara hampir pasti.
“Dengan buku anda, anda bukan hanya telah menghina ramai pihak, tetapi menghina institusi Peguam Negara yang anda sendiri pegang suatu ketika dahulu,” katanya.
Menurutnya, jangankan mahu menutup kegagalan sewaktu menjadi Peguam Negara, mungkin buku itu juga antara kegagalan paling besar Tommy sehingga saat ini. – HARAKAHDAILY 4/2/2021
1 comment:
Peguam negara pun kurang waras. Sama kurang waras seperti atok kerala dan presiden parti liberal. Satu group mereka. Ketuanyanya eng guan dan siang kit the moron.
Post a Comment