Tuesday, February 23, 2021

Hina mahkamah: Mengapa DAP gelabah, tunjuk sisi tak cerdik? Dr Kamarul Zaman.

 

TIDAK gembira sekali nampaknya pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng bila keluar berita Steven Gan dan Charles Santiago sedang disiasat oleh pihak polis kerana kenyataan mereka yang dikatakan menghina mahkamah.

Ini kata-kata Lim Guan Eng:

1. Mengkritik keputusan pengadilan adalah konvensi undang-undang dan untuk mendiamkan perbezaan pendapat seperti itu tidak berbeza dengan menyekat hak perbezaan pendapat dan kebebasan bersuara.

2. Dengan membuka kertas siasatan polis terhadap keduanya, kebebasan media dan bersuara akan menjadi lebih terkekang.

3. Sekiranya kertas siasatan boleh dibuka terhadap kedua-dua individu ini, apakah itu bermaksud polis juga akan menyiasat ribuan komen dan kritikan yang serupa?

Ada juga pemimpin DAP, malah pemimpin Majlis Peguam, yang mahukan undang-undang penghinaan mahkamah (contempt of court) diperketat dan dikodifikasikan.

Ada beberapa benda penting yang pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng ketahui:

1. Usaha memperketat dan mengkodifikasikan undang-undang penghinaan mahkamah (contempt of court) sebenarnya pernah cuba dibuat oleh Majlis Peguam pada 1999 melalui draf Akta Penghinaan Mahkamah yang dikemukakan oleh pihaknya.

2. Begitupun, di bawah draf Akta Penghinaan Mahkamah Majlis Peguam ini sekalipun Steven Gan dan Charles Santiago tetap merupakan kesalahan di bawah kategori penerbitan yang ‘is a falsehood and is intended to bring a Court into disrepute’.

3. Jika pemimpin DAP serius berpendapat bahawa undang-undang penghinaan mahkamah (contempt of court) adalah suatu undang-undang yang lapuk mengapakah mereka tidak membuat reformasi ke atasnya sewaktu 22 bulan memerintah dulu?

4. Lupakah pemimpin DAP bahawa pada tahun 1986 Lim Kit Siang telah merujukkan Tun Dr Mahathir Mohamed ke mahkamah di atas dakwaan menghina mahkamah kerana komennya yang mengkritik badan kehakiman melalui majalah Time?

5. Lupakah pemimpin DAP bahawa pada tahun 2010 Lim Kit Siang telah mendesak Peguam Negara memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Datuk Seri Nazri yang mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan nama ‘Allah’ dalam akhbar Herald?

6. Lupakah pemimpin DAP bahawa pada tahun 2019 Ramkarpal Singh telah mendesak Peguam Negara memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang mengkritik keputusan Mahkamah Majistret Johor Baharu dalam kes seorang wanita Cina yang memandu kereta secara melulu sehingga merempuh dan mengakibatkan kematian kepada lapan remaja Melayu berbasikal lajak?

7. Lupakah pemimpin DAP bahawa pada tahun 2019 Kerajaan PH yang didukungi oleh mereka sendiri membuat prosiding penghinaan mahkamah terhadap Arunachalam Kasi yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes ‘Leap Modulation’ melalui laman web ALIRAN sehingga menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 30 hari dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Persekutuan?

8. Tidak tahukah pemimpin DAP bahawa kebebasan bercakap dan bersuara di dalam Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mutlak dan dikekang oleh Perkara 10 (2) (a) yang memberikan hak kepada Parlimen untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan?

9. Tatkala pemimpin DAP lantang bersuara mengenai kebebasan bercakap dan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak tahukah mereka bahawa Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 126 juga menjamin hak institusi kehakiman memelihara dirinya dengan menyebut Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi berkuasa menghukum apa-apa penghinaan terhadapnya?

10. Tidak tahukah pemimpin DAP bahawa mengkritik keputusan kehakiman memanglah dibenarkan tetapi ia hanyalah ‘within the limits of reasonable courtesy and good  faith’ seperti yang diputuskan di dalam kes-kes seperti Attorney-General v Arthur Lee Meng Kwang [1987]  l MLJ  206 dan Lim Kit Siang v Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamed [1987]  I  MLJ  383, tetapi menghina mahkamah memang tidak boleh?

Memetik kata-kata Tun Salleh Abas di dalam kes Lim Kit Siang v Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamed [1987] 1 MLJ  383: ‘Parties must be able to ventilate their grievances, fears and complaints, so long as it is kept within the limits of reasonable courtesy, because the confidence of the public in the administration of justice depends on it.

Memetik kata-kata Lord Denning di dalam kes Metropolitan Properties Ltd v Lannon [l968]  3 All ER 304: ‘Justice must be rooted in confidence; and confidence is destroyed when right-minded people go away thinking: ‘The judge was biased’’.

Kenyataan-kenyataan Steven Gan dan Charles Santiago ini, pada hemat saya, ‘will erode confidence of the people on the integrity and independence of the judiciary’.

Memetik kata-kata Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara (waktu itu), di dalam Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman pada 2 Disember 2013: ‘Badan Kehakiman sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang kritikan kerana seseorang hakim juga merupakan manusia biasa yang tidak sunyi daripada kesilapan. Namun, ingin saya tegaskan di sini bahawa Mahkamah memandang serius sebarang tindakan yang boleh mencemarkan maruah dan integritinya dan tidak akan teragak–agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya. Perlu ditegaskan bahawa kuasa untuk menghukum pesalah kerana ‘contempt of court’ bukanlah bertujuan untuk melindungi diri seseorang hakim sebaliknya ia berperanan untuk melindungi maruah dan integriti institusi kehakiman itu sendiri demi menjamin pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan tanpa sebarang halangan dan gangguan. Ini bukanlah bererti Mahkamah tidak boleh dikritik, tetapi kritikan itu hendaklah dibuat dengan tertib dan bukan dengan tujuan untuk menghina Mahkamah.’

Memetik kata-kata Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mantan Peguam Negara, pula: ‘Freedom of speech does not mean that one can be contemptuous of the Judiciary. Contempt of court is provided for by our highest law, the Federal Constitution, so as to ensure the sanctity of the court of law in this country is well protected.’

Kepada Ramkarpal Singh yang menyebut ‘the intention of Santiago and Gan in making the statements they made is very much relevant to any investigation that they may be under’, mungkin beliau boleh merujuk tesis PhD Dr Shukriah Mohd Sheriff dari Durham University bertajuk ‘The Contempt Power: A Sword Or A Shield? – A Study Of The Law And Practice Of Contempt Of Court In Malaysia’ yang menyebut: ‘To commit the alleged contemnor it is sufficient that he acts in such a way that the administration of justice is apt to be brought into disrepute by his conduct or publication, irrelevant of his intention to cause the same’.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 23/2/2021

No comments:

Post a Comment