Ah Wang izin penduduk Melayu bina rumah di tanah keluarga
KOTA BHARU: Mungkin jarang berlaku di tempat lain apabila seorang penduduk Tionghoa sanggup membenarkan tanahnya sebagai tapak pembinaan rumah didiami keluarga Melayu.
Bagaimanapun seorang penduduk di Mukim Badak Mati Dun Melor bertuah apabila pemilik tanah membenarkan dia membina rumah di lot milik kaum lain.
Halim Mohd Salleh dibenarkan pemilik tanah terbabit seorang kaum Cina membina rumah di bawah bantuan kerajaan negeri bagi membantu penduduk miskin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Dr Md Yusnan Yusof berkata, penduduk terbabit mendapat rumah percuma di bawah skim rumah dhuafat.
“Penduduk berkenaan tidak memiliki tanah sendiri dan menumpang di tanah milik kaum Cina.
“Halim memohon mendapatkan rumah dhuafat di bawah kerajaan negeri, namun dia tidak mempunyai tanah sendiri.
“Jadi saya mengadakan perjumpaan dengan tuan tanah yang dikenali sabagai Cikgu Ah Wang dan dia bersetuju membenarkan diguna sebagai tapak rumah Halim dengan syarat dipersetujui bersama,” katanya ketika ditemui di sini.
Difahamkan Cikgu Ah Wang memiliki tanah seluas kira-kira 25 ekar di kampung tersebut dan beliau merupakan keturunan kedua tinggal di situ.
Menurut Dr Md Yusnan apa yang berlaku itu jelas menggambarkan keharmonian hidup penduduk Cina dan Melayu di Kelantan yang dipertahan sejak dahulu sehingga sekarang.
“Pada saya ini menunjukkan contoh keharmonian antara kaum di Kelantan,” ujarnya.
Masyarakat Cina yang tinggal di kampung di Kelantan dikenali sebagai Cina Peranakan dan mereka datang ke negeri tersebut sejak beratus tahun lalu.
Sebahagian besar mereka tinggal di kampung-kampung di sepanjang Sungai Kelantan dengan bercucuk tanam sebagai pekerjaan utama. – HARAKAHDAILY 22/2/2021
1 comment:
Yang bahaya Cina Komunis
Post a Comment