PSR projek geopolitik, pembangunan untuk usir Melayu
BALIK PULAU: Projek mega Pulau Pinang iaitu Tambakan Selatan (PSR) yang menjelma daripada Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) sebenarnya adalah pembangunan yang secara halus mengusir penduduk kaum Melayu.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff sebaliknya menyangkal dakwaan kononnya kaum Melayu di negeri ini bersikap menolak pembangunan dalam berdepan isu projek mega tersebut.
Bahkan kemukanya, projek tersebut bukan sahaja membawa kesan buruk ke atas survival kehidupan penduduk dalam kalangan kaum Melayu, tetapi juga ke atas sosial dan ekosistem alam sekitar terutamanya laut.
“Bukan kita menentang pembangunan, tetapi setiap perlu ada jaminan akan membawa pulangan setimpal kepada penduduk. Pembangunan sepatutnya akan meningkatkan taraf dan kesejahteraan hidup rakyat, tetapi sebaliknya berlaku.
“Sudah banyak sejarah di negeri ini, bila projek pembangunan diadakan, akhirnya mengakibatkan komuniti penduduk di kawasan tersebut terpaksa berhijrah ke tempat lain. Contoh boleh kita lihat ialah di Batu Uban.
“Masjid Batu Uban yang dibina pada tahun 1734, kini tiada anak kariah. Ini setelah Kampung Batu Uban itu terlibat dengan projek pembangunan,” kesali beliau.
Kupasan tersebut dipertegaskan Ustaz Fauzi ketika menjawab soalan pada siri isu semasa anjuran Lajnah Penerangan Media Baharu Muslimat PAS Pulau Pinang, baru-baru ini.
Jelas beliau, paling tercicir daripada semua pembangunan yang diadakan itu adalah kaum Melayu di mana mereka terpaksa berpindah mencari kediaman baharu antaranya di sekitar Sungai Petani dan Kulim.
Keadaan tersebut menurutnya, berikutan kaum Melayu hanya mempunyai pendapatan isi rumah sekitar RM6,000 yakni terendah dan tidak mampu berbanding kaum India RM7,000 dan kaum Cina RM8,000.
Malah, turut diketengahkan beliau berhubung kemampuan tersebut apabila tidak ramai peniaga Melayu mampu menyewa di KOMTAR dan kawasan bandar di negeri ini, sekali gus memilih berhijrah demi kelangsungan hidup.
Sedangkan katanya, pembangunan yang dibuat tidak mengambil kira kepentingan semua, sebaliknya menghadirkan banyak kesan buruk di mana ia dilihat menjadi pengusiran halus dan terancang terhadap penduduk.
“Bukanlah bermakna kita menolak pembangunan. Jika ia diolah dengan mengambil kira kemaslahatan semua, kenapa tidak? Apa guna pembangunan jika penduduk tidak memperolehi faedahnya?
“Adapun projek perumahan yang dilaksana, komuniti Melayu tidak mampu memiliki kerana kos yang tinggi dan akhirnya tiada jaminan penduduk asal terus bermastautin,” ujar beliau.
Ustaz Fauzi bahkan membidas projek mega tersebut merupakan projek geopolitik yang akan menyebabkan berlaku kemasukan bangsa lain dan mengubah komposisi penduduk asal Pulau Mutiara itu.
PSR juga malah katanya, menyebabkan kemusnahan ekosistem alam dan sumber perikanan yang bermakna juga menjejaskan perbekalan hasil laut serta jaminan makanan (food security) penduduk.
Keadaan tersebut ulasnya, bukan sahaja memberi kesan buruk kepada harga pasaran hasil laut, tetapi juga melenyapkan sumber mata pencarian komuniti nelayan yang juga rata-rata adalah kaum Melayu.
“Dakwaan mengatakan projek ini bakal memberi peluang pekerjaan kepada golongan nelayan adalah tidak munasabah. Mereka ini adalah nelayan tradisi, pekerjaan ini sudah sebati dan menjadi sebahagian kehidupan mereka.
“Tiada laut bermakna tertutuplah sumber ekonomi mereka,” ujarnya memberitahu sekitar 2,000 nelayan bakal terjejas sekiranya projek pembinaan ‘pulau puaka’ itu diteruskan di mana kerja tambakan dan pembinaan bakal menelan masa hingga 30 tahun.
Projek dengan kos sangat tinggi tersebut juga ujar beliau, hanya untuk memberi keuntungan kepada kapitalis dan kroni sebagaimana juga beberapa kes rasuah yang terpalit padanya hingga dibawa ke mahkamah.
Kerana itu pada beliau, projek tersebut bukan untuk mencapai matlamat asal menyelesaikan masalah kesesakan trafik di negeri ini, sebaliknya terdapat motif terselindung yang penuh agenda tipu muslihat. – HARAKAHDAILY 30/1/2021
3 comments:
Sudah2 la pak hasyim. Berhenti la sebar fitnah. Bertaubat la..pak hasyim igt mainkan sentimen kaum dan agama ni blh untungkan ummah ke? Kata suruh phdap henti main politik. Sapa kuat main politik skrg? Dah jd kerajaan pusat pun bukan selesaikan isu rakyat. Tmbh susahkan rakyat lg ada la. Time covid gaji dan timbalan pun masyuk jgk.
Dulu2 ada sebuah kampong melayu. Jelutong. Sekarang dah lenyap. Alasannya pembangunan. Akibatnya bilangan org melayu di pulau, turun mendadak. Perlu campur tangan pusat dan yg berkenaan agar org melayu tidak terus dilanyak oleh dap @ gerakan di pulau pinang.
Jgn sebar fitnah. Tak tertanggung dosa dlm kubur nanti.
Kaum kerabat aku berpuluh org duk penang. Takat ni xde lg yg kena lanyak dgn Dap. Elok je bercucu cicit.
Post a Comment