Sunday, February 14, 2021

Premis lebur/asing sisa besi dalam hutan/sawit. Ajar mereka, Bukan PH lagi..

 

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian bersama Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar meninjau premis aktiviti peleburan timah menyebabkan pencemaran longkang parit monson di Taman Semenyih Permata. - NSTP/Rohanis Shukri

Premis haram berisiko cemar Sungai Semenyih disita

SEMENYIH: Sebuah premis yang menjalankan kerja melebur dan mengasingkan sisa besi secara haram di Kawasan Perindustrian Hi-Tech di sini, disita pihak berkuasa, Khamis lalu.

Aktiviti haram premis dalam hutan dan dikelilingi ladang sawit itu terbongkar apabila Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesan pencemaran longkang monsun di Taman Semenyih Permata, kira-kira 1.5 kilometer dari premis berkenaan.

Siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan pencemaran berpunca daripada sisa peleburan besi di premis seluas 1.2 hektar.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian, yang meninjau premis itu berkata, pencemaran berisiko mencemar Sungai Semenyih yang terletak hanya 2.3 kilometer dari lokasi premis.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pantas MPKj, LUAS dan JAS berjaya mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Jenderam Hilir sejauh kira-kira 22 kilometer dari lokasi, sekali gus memastikan tiada gangguan bekalan air di Lembah Klang.

"Premis ini milik persendirian, namun menjalankan aktiviti peleburan besi secara haram yang diperoleh dari kilang besi dipercayai di Selangor dan Perak.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian bersama Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar meninjau premis aktiviti peleburan timah menyebabkan pencemaran longkang parit monson di Taman Semenyih Permata. - NSTP/Rohanis Shukri

Siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama Jabatan Alam Sekitar mengesan pencemaran berpunca daripada sisa peleburan besi di premis seluas 1.2 hektar. - Foto BERNAMA

"Aktiviti peleburan ini menghasilkan sisa berwarna hitam yang dibuang dalam dua kolam takungan hingga airnya kehitaman.

"Apabila hujan, limpahan air dari kolam itu mengalir dan mencemari longkang monsun berhampiran, yang turut berisiko mencemarkan Sungai Semenyih dan LRA Jenderam Hilir.

"Hujan semalam menyebabkan air kolam melimpah ke longkang monsun dan mengalir ke Sungai Semenyih.

"Namun atas faktor kepekatan, bacaan bau masih 0 TON (ukuran kadar bau)," katanya pada sidang media di premis berkenaan, hari ini.

Wartawan yang turut sama meninjau premis itu mendapati ada binaan usang dipercayai struktur lama yang boleh runtuh bila-bila masa dan berkemungkinan dibina sebelum operator peleburan besi menjalankan aktiviti haram berkenaan.

Selain itu, premis berkenaan turut menggunakan kaedah pengasingan besi tradisional seperti pengasingan bijih timah sekitar 1960-an dan 1970-an.

Loy Sian berkata, pemilik dan operator premis sudah dikenal pasti, namun pemilik hanya menyewakan premisnya dan tidak menyedari aktiviti haram itu berlaku sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Premis melebur haram didapati mencemari parit monsun di Taman Semenyih Permata, Semenyih dengan membuang debu karbon kehitaman ke kolam berhampiran. - NSTP/Rohanis Shukri

"Operator menggunakan khidmat kira-kira 14 pekerja warga asing, dipercayai tanpa dokumen dan mereka tidur dalam sarang burung walit berhampiran.

"Semuanya sudah melarikan diri ketika diserbu Khamis lalu," katanya sambil menambah MPKj sudah membuat laporan polis.

Mengenai tindakan yang sudah diambil, Loy Sian berkata, LUAS mengambil sampel air serta tanah di premis dan kini menunggu laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui sama ada wujud bahan kimia dalam sampel.

Selain itu, katanya, MPKj turut membina benteng di keliling kolam takungan bagi menyekat aliran air tercemar serta menyita jentera dan pintu masuk premis, manakala JAS bersama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat menjalankan penguatkuasaan, masing-masing mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Kanun Tanah Negara 1965.

"Kita akan keluarkan Notis 7A dan 7B Kanun Tanah Negara untuk mengarahkan pemilik premis membersihkan lokasi, jika tidak kita akan rampas tanah berkenaan.

"LUAS turut mengeluarkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122(1) Enakmen LUAS 1999 kepada premis yang mengancam kuantiti dan kualiti air Sungai Semenyih.

"Premis boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, dan denda selanjutnya RM3,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan hingga perintah ditarik balik.

"Selaras Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, bagi sebarang pencemaran sumber air, jika disabit kesalahan, mandatori penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak kurang RM200,000 serta tidak lebih RM1 juta," katanya.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menerusi Facebook turut memaklumkan tindakan JAS dan MPKj menyerbu serta menyita premis berkenaan,

"Premis itu menggunakan arang batu sebagai bahan bakar dan sisa berwarna hitam dibuang ke dalam kolam takungan.

"Air dari kolam takungan mengalir ke longkang kawasan perindustrian. Siasatan masih diteruskan," katanya.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian (kiri) meninjau keadaan sebuah premis yang menjalankan aktiviti peleburan besi sehingga menyebabkan pencemaran longkang monsun di Jalan Sungai Lalang di Taman Semenyih Permata hari ini. - Foto BERNAMA

Komen Weblog Ibnu HasyimPremis lebur/asing sisa besi dalam hutan/sawit. Ajar mereka, ini bukan zaman PH lagi..



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails