Friday, February 12, 2021

Rancangan Tempatan: Menetapkan zon-zon guna tanah serta kemudahan awam

 

Penjual pisang goreng pun bikin Rancangan Tempatan

RANCANGAN Tempatan (RT) bagi sesuatu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di antara lain menetapkan zon-zon guna tanah serta kemudahan-kemudahan awam secara terperinci.

Proses untuk meluluskan dan mewartakan RT ini adalah panjang. Ia bermula dengan penyediaan Draf RT oleh pelbagai pihak sama ada daripada kerajaaan atau perunding-perunding yang dilantik oleh kerajaan.

Ia akan mengambil masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun dan selepas itu ia dipamerkan kepada orang ramai untuk membuat bantahan atau mengemukakan cadangan.

Selepas pameran, mereka yang membantah atau mencadang akan dipanggil untuk satu proses yang dinamakan Pendengaran Awam. Pada peringkat ini mereka diberi peluang untuk membentangkan bantahan atau cadangan mereka dan pihak kerajaan akan mendengar.

Bantahan dan cadangan tersebut akan dipertimbangkan untuk diterima atau ditolak.

Selepas itu Draf RT akan dibentangkan untuk diperhalusi oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Negeri atau State Planning Committee (SPC).

Selepas itu, Draf RT akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco dan setelah diluluskan ia akan melalui proses untuk diwartakan.

Pembangunan yang dibangunkan oleh pemaju sama ada bandar baharu, projek perumahan atau projek komersial perlu menurut RT yang telah diwartakan. Pemaju perlu menterjemahkan hasrat RT di dalam projek mereka yang sudah tentu lebih terperinci.

Justeru itu sebelum sesuatu pembangunan itu mula dibina di atas tapak pelbagai proses telah dilalui yang melibatkan begitu ramai tenaga profesional, tenaga pakar, tenaga kerja dan orang awam. Untuk OSC (One Stop Centre) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, sehingga berpuluh-puluh jabatan dan agensi terlibat di dalam meneliti sesuatu projek sebelum kelulusan diberi.

Ini bermakna perancangan dan pembangunan yang dihasilkan sepatutnya telah berupaya memenuhi keperluan penduduk untuk jangkamasa yang panjang. Walau bagaimanapun realitinya berbeza sama sekali.

Kadang-kala tidak sampai setahun sesuatu taman itu diduduki kita dapat melihat tanda-tanda seolah-olah pemaju, arkitek atau perancang bandar tidak memahami keperluan rakyat.

Di antaranya adalah:

1) Gerai-gerai dan warung-warung didirikan merata-rata walaupun terdapat pusat penjaja setempat.

2) Rumah-rumah dijadikan kedai runcit atau kedai makan walaupun terdapat rumah kedai atau medan selera.

3) Dewan orang ramai didirikan di atas kawasan rekreasi kerana dewan serbaguna terlalu jauh.

4) Surau-surau dibina di kawasan lapang sama ada kerana tidak ada surau yang disediakan atau surau yang disediakan adalah untuk kawasan yang terlalu luas.

Adakah ini berlaku kerana keperluan rakyat tidak diambil kira atau sikap tidak berdisplin rakyat Malaysia?

Kita tidak boleh juga menyalahkan kerajaan yang membuat perancangan 100 peratus. Kerajaan telah mempamerkan Draf RT dan inilah masanya untuk rakyat mengemukakan cadangan atau bantahan.

Pendengaran awam yang dianjurkan merupakan peluang terbaik bagi rakyat untuk sama-sama terlibat di dalam perancangan bandar mereka. Tetapi bukan ramai yang berminat.

Inilah sikap orang kita walau bagaimanapun kerajaan atau pemimpin di mana-mana peringkat sekalipun tidak boleh sekadar merungut tetapi bertanggungjawab mencari penyelesaiannya.

Setiap masyarakat memiliki sikap dan kecenderungan masing-masing yang mesti difahami.

Contohnya orang kita seboleh-bolehnya mahu sesuatu yang berhampiran dengan rumah mereka. Jika diberi pilihan di antara gerai pisang goreng di tepi rumah dan gerai pisang goreng di pusat penjaja setempat, mereka rela membeli dari gerai di tepi rumah walaupun rasanya tidak berapa sedap.

Ini bukan sahaja benar bagi gerai pisang goreng tetapi gerai-gerai lain malah kedai runcit.

Akhirnya terdapat medan selera dan pusat penjaja setempat yang gagal walaupun dibina dengan kos yang tinggi dan reka bentuk yang tercanggih.

Walaupun perlu ada pemusatan atau zon-zon yang khusus untuk komersial namun ia boleh diagih-agihkan ke seluruh taman.

Realitinya perancangan penjual pisang goreng atau penjual kuih telah mengatasi perancangan Kerajaan Negeri, PBT atau pemaju.

Ketika saya belajar dan bekerja di United Kingdom terdapat kedai-kedai yang dinamakan corner shop yang merupakan kedai yang terletak di hujung deretan rumah kediaman.

Selalunya terdapat beberapa corner shop bertaburan di dalam sesuatu kejiranan.

Mereka menjual pelbagai barang keperluan termasuk suratkhabar dan majalah. Ketika zaman sebelum adanya media sosial, corner shop ini adalah tempat masyarakat setempat mendapatkan berita dan “gossip” terkini.

Saya pernah melihat konsep yang sama di sebuah taman perumahan berhampiran dengan lapangan terbang Ipoh. Terdapat sebuah kedai di setiap hujung deretan rumah teres.

Isu gerai, warung dan kedai ini merupakan hanya salah satu daripada isu. Saya tidak sama sekali berkata perancangan bandar-bandar kita tidak mengambil kira keperluan masyarakat tetapi keperluan mereka begitu cepat berubah. Ia terlalu dinamik.

Walau bagaimanapun sikap dan hasrat masyarakat kita perlu difahami dan sebarang perancangan perlu responsif kepada sikap dan hasrat tersebut.

Sikap dan hasrat ini juga berbeza-beza di dalam satu kawasan yang kecil.

Amat payah untuk memenuhi cita rasa semua pihak dan tidak ada satu penyelesaian untuk semua orang.

Selain daripada itu masyarakat kita adalah kreatif. Mereka tidak akan berpuas hati dengan sesuatu tetapi akan terus melakukan perubahan demi perubahan.

Justeru itu, mereka yang melakukan perancangan bandar-bandar mestilah berupaya menjangkakan perubahan-perubahan tersebut. – HARAKAHDAILY 12/2/2021

No comments:

Post a Comment