Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (dua kiri) menunjukkan tembikai yang dipetik di Kampung Kandis, Bachok. - Foto NSTP/Nor Amalina Alias
Hasil tanaman di Bachok tampung sumber makanan negara
BACHOK: Hasil pengeluaran tembikai, ubi dan labu di daerah ini yang menjana lebih RM32 juta setahun berupaya menampung bekalan sumber makanan negara bagi sayuran dan buah-buahan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata tanaman itu membabitkan kawasan seluas 1,200 hektar bagi tembikai merah, kuning, susu dan wangi, manakala labu (77 hektar) dan ubi keledek atau vitato serta ubi kayu seluas 700 hektar.
Beliau berkata, pengeluaran lumayan itu sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap hasil import sayuran dan buah-buahan dari India, Thailand dan Indonesia.
"Kita lihat potensi ini mampu membantu bekalan makanan negara terutamanya ketika kesukaran bekalan import masuk akibat COVID-19.
"Namun, kita masih terikat dengan bekalan import seperti bawang, ubi kentang dan cili," katanya ketika ditemui pada program memetik tembikai di ladang tembikai di Kampung Kandis, di sini, hari ini.
Che Abdullah berkata, setakat ini negara mengeluarkan 3,327 tan bekalan makanan harian membabitkan sayuran dan 2,443 tan buah-buahan bagi memenuhi bekalan makanan dalam negara.
Katanya, selain menggalakkan aktiviti pertanian, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berusaha mengatasi masalah membabitkan ternakan seperti kenaikan harga makanan ternakan.
"Harga bahan mentah ini bergantung kepada harga pasaran komoditi dunia, kita masih bergantung import bahan mentah utama makanan ternakan seperti jagung kerana jagung bijian tempatan masih belum mencapai keperluan komersil selain tiada bahan mentah gantian yang sesuai.
"MAFI berusaha mempergiat penyelidikan dan pembangunan bagi mengeluarkan jagung yang berkualiti selain kita juga galakkan petani atau penternak menanam rumput napier bagi mengurangkan kos," katanya.
Tetuskan
ReplyDelete