Wednesday, February 03, 2021

Wanita Islam British Ditahan &China Tahan Pasport British Hong Kong.

 

Gambar fail menunjukkan pasukan anti pengganas Indonesia. - Foto AFP

1. Indonesia tahan wanita Islam British dalam senarai pengganas

JAKARTA: Indonesia menahan seorang wanita British yang tersenarai sebagai suspek pengganas global dan merancang untuk mengusirnya ke negara asal kerana melanggar peraturan visa.

Tazneen Miriam Sailar, yang dilahirkan di Manchester, England dan menganut Islam selepas berkahwin dengan pejuang jihad Indonesia yang kini sudah meninggal dunia, tidak dikenakan pertuduhan keganasan.

Tazneen, 47, dan anaknya yang berusia 10 tahun dan lahir di Indonesia, berada dalam tahanan di Jakarta selepas ditangkap tahun lalu atas dakwaan tidak memiliki dokumen untuk terus berada di negara itu.

Jurucakap Imigresen Indonesia, Ahmad Nursaleh, memberitahu AFP bahawa wanita itu ditahan sementara menunggu penghantaran pulang, yang akan diuruskan oleh Kedutaan Britain.

Kedutaan British di Jakarta enggan mengulas berhubung perkara itu, dan tidak dapat dipastikan bila wanita itu akan dihantar pulang.

Dokumen polis tidak menyatakan mengapa Tazneen disenaraikan bersama kira-kira 400 lagi suspek pengganas, termasuk suaminya yang terbunuh di Syria pada 2015, kata sumber.

Turut berada dalam senarai itu adalah seorang warga Perancis yang ditunjuk memenggal kepala tebusan dalam video DAESH serta individu rapat dengan suspek pembunuhan kakitangan majalah kontroversi Perancis, Charlie Hebdo.

Tazneen dan suaminya dinikahkan oleh pendakwah radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir, ketua agama kumpulan ekstremis Jemaah Islamiyah (JI), menurut sumber yang rapat dengan kes berkenaan.

Anggota JI itu adalah antara yang dikaitkan dengan pengeboman Bali yang meragut lebih 200 nyawa, termasuk 90 rakyat Australia sedang bercuti, pada Oktober 2002.

Tazneen memiliki badan kebajikan yang dinamakan sempena suaminya, bertanggungjawab menghantar bantuan kepada wanita dan kanak-kanak di Syria, kata sumber. - AFP

2. China tak iktiraf pemegang pasport British di Hong Kong.

BEIJING: China memaklumkan enggan mengiktiraf pasport Nasional Luar Negara Britain (BNO) sebagai dokumen perjalanan yang sah atau untuk pengenalan diri, bermula esok.

Pengumuman itu dibuat ketika Britain bersedia membuka pintu kepada jutaan penduduk Hong Kong, susulan tindakan keras keselamatan oleh Beijing di wilayah berkenaan.

"Bermula 31 Januari, China tidak lagi mengiktiraf pasport BNO sebagai dokumen perjalanan dan pengenalan diri, dan berhak untuk mengambil tindakan lanjut," kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian, kepada wartawan, semalam.

Lijian berkata, China yang berang dengan tindakan United Kingdom (UK), percaya Britain bertindak melangkaui apa yang dipersetujui dalam perjanjian itu, sekali gus membatalkannya.

"UK cuba menjadikan sejumlah besar penduduk Hong Kong sebagai rakyat UK kelas kedua... dan mengubah sepenuhnya konsep BNO," katanya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kesan pengisytiharan China itu secara praktikal.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri British, Boris Johnson, berjanji menyediakan ruang perlindungan jangka panjang kepada penduduk Hong Kong yang mahu meninggalkan wilayah itu.

Bermula esok, pemegang pasport BNO, iaitu legasi pemerintahan UK di Hong Kong sehingga 1997, boleh mula memohon untuk tinggal dan bekerja di Britain sehingga lima tahun, seterusnya memohon kewarganegaraan.

Sebelum ini, pemegang pasport BNO hanya memiliki hak yang terhad untuk melawat UK sehingga enam bulan, dan tidak berhak untuk bekerja atau menetap di negara itu.

Tindakan London itu adalah sebagai tindak balas terhadap pelaksanaan Undang-Undang Keselamatan Nasional oleh China tahun lalu, yang menggugat gerakan penunjuk perasaan Hong Kong dan kebebasan di wilayah itu yang sepatutnya kekal selama 50 tahun berdasarkan perjanjian penyerahan 1997. - AGENSI

(IH)

IHtv
17 subscribers

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails