Zara Habib Haniya mempamerkan aksi pada Kejuaraan Terbuka Dunia secara maya. - Foto ihsan Kelab Taekwondo Teguh (KTT).
SUKAN
KUALA TERENGGANU: Murid Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SKSS) 1, di sini, Zara Habib Haniya Mohd Haizal mengharumkan nama negara apabila meraih gangsa pada Kejuaraan Taekwondo Terbuka Dunia bagi kategori bawah 12 tahun yang diadakan secara maya.
Kejohanan yang berpusat di United Kingdom (UK) bermula 29 hingga 31 Januari lalu itu dimenangi atlet dari Amerika Syarikat (AS), Kayda Arlon manakala atlet Rusia, Daria Plotnikova meraih perak.
Kemenangan Zara Habib, 11, yang berlatih dengan Kelab Taekwondo Teguh (KTT) membuktikan atlet dari Malaysia juga mampu bersaing di pentas dunia biarpun diadakan secara maya berikutan dunia termasuk Malaysia dilanda musibah wabak pandemik COVID-19.
Jurulatih KTT, Mohd Salihin Siew Hin Abdullah berkata, kejayaan itu bukan sahaja berjaya mengharumkan nama sekolah dan negeri ini, malah turut menaikkan nama negara di persada antarabangsa.
"Daripada beratus atlet seluruh dunia yang menyertai kejohanan dunia itu, kita berasa bertuah kerana atlet daripada KTT berjaya meraih kejayaan yang membanggakan bagi kategori bawah 12 tahun.
"Ini sekali gus membuktikan Malaysia dan KTT mempunyai ramai atlet berpotensi untuk diketengahkan pada usia peringkat sekolah rendah lagi. Namun kejayaan ini tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha gigih atlet itu sendiri selain latihan diberikan barisan jurulatih," katanya.
Mohd Salihin berkata selain Zara, seorang lagi atlet berusia 10 tahun, Nur Aisy Adara Reza Al Hafiz dari SKSS 1 turut menyertai kejohanan itu dengan meraih kedudukan kelima.
"Lebih 500 atlet daripada 60 negara bersaing dalam kejohanan itu. Jika dilihat saingan daripada atlet dunia lain, ia jelas bukan mudah untuk atlet cilik kita meraih kejayaan. Namun beliau berjaya membuktikan kemampuan," katanya. (BH)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sukan adalah ibadah. Dengan 5 syarat ini..
1. Niat atau tujuan bersukan (riyadhah) mestilah untuk menjadikan tubuh badan kita sihat.
Tubuh yang sihat adalah merupakan tuntutan Islam. Maknanya, bersukan adalah merupakan sebahagian daripada tuntutan syariat. Melaksanakan tuntutan syariat, dapat pahala. Dapat keredhaan Allah.
2. Peraturan dan syarat-syarat untuk sesuatu aktiviti sukan, mestilah bertepatan dengan syariat.
Umpamanya, bayaran wang penyertaan dan hadiah-hadiah untuk pemenang. Untuk menyertai sesuatu pertandingan, biasanya ada yuran dikenakan. Jika pasukan/individu tersebut kalah, maka yuran tersebut hangus dan pasukan/individu tersebut balik dengan tangan kosong, tak dapat apa-apa.
Hal seperti ini dianggap umpama satu perjudian, berdasarkan Kitab Fiqh Al-Manhaji dalam bab ‘musabaqah’ (pertandingan). Kenapa dianggap judi? Kerana ada modal dikeluarkan oleh semua pihak (wang penyertaan). Tapi bila kalah, hanya yang menang sahaja dapat habuan. Yang kalah tak dapat apa-apa. Sama macam berjudi.
Maka, untuk mengelakkan unsur perjudian, pihak penganjur juga perlu turut sediakan hadiah saguhati untuk individu/pasukan yang kalah. Jadi, semua pasukan yang bayar yuran penyertaan akan dapat hadiah. Bezanya, yang menang dapat hadiah utama. Yang kalah dapat hadiah saguhati.
Begitu juga peraturan-peraturan yang lain seperti etika pakaian, peraturan perlawanan, peralatan yang digunakan dan lain-lain, ianya mestilah bertepatan dengan syariat.
3. Pelaksanaan juga mesti menepati syariat.
Contohnya, aktiviti sukan yang melibatkan campur lelaki wanita tanpa ada batasan had dan penjagaan aurat. Begitu juga sukan renang berirama.. Sukan seperti itu mestilah diadakan di tempat tertutup, hanya melibatkan wanita sahaja. Penontonnya wanita, pengadilnya wanita, perenangnya wanita, semua kru dan penganjurnya mestilah wanita.
Begitu juga dengan pertandingan bina badan, pesertanya mestilah menutup aurat. Kerajaan Negeri Kelantan telah menunjukkan contohnya dalam kejohanan Mr Awang Selamat pada tahun 2018. Khairul Idham Pawi juga pernah menunjukkan contoh yang selari dengan syarat ketiga ini.
Ketika berada di podium untuk menerima pingat, beliau melarikan diri mengelak daripada disembur dengan arak oleh pemenang di sebelahnya. Tindakan beliau sangat besar mesejnya kepada dunia sukan permotoran!
Basikal lajak? Macam mana pulak? Kalau basikal tersebut ditunggang dengan cara melulu, merbahaya, mengganggu pengguna jalan raya yang lain, ia tidak menepati syarat ketiga ini. Naiklah basikal lajak setara manapun, asalkan ianya selamat, tidak memudharatkan diri dan orang lain.
4. Hasilnya mesti menepati syariat
Apa-apa aktiviti sukan atau permainan, hasil atau natijahnya mestilah menepati kehendak syariat. Dalam bahasa mudahnya, dengan bersukan itu, menjadikan seseorang itu makin baik akhlaknya, makin mulia pekertinya, makin dekat hubungannya dengan Tuhan.
Jika dengan aktiviti sukan itu menjadikan perangainya semakin jahat, makin bengis, makin bangga diri (sebab menang dan terkenal), makin lagha, makin hanyut jauh daripada Tuhan, maka aktiviti sukan tersebut tidak dianggap sebagai ibadah.
5. Tidak meninggalkan perkara wajib.
Ketika aktiviti sukan tersebut dilaksanakan, perkara-perkara yang wajib hendaklah ditunaikan. Misalnya, menutup aurat, memelihara solat, memelihara maruah diri, tidak menzalimi makhluk yang lain (haiwan yang digunakan untuk bersukan) dan lain-lain perkara yang wajib di dalam syariat.
Jika Ruqaya Al-Ghasara (johan pelari pecut) dari negara Bahrain boleh mendapat pingat emas beberapa kali dengan berpakaian menutup aurat, mengapa tidak para atlet wanita kita dalam aktiviti-aktiviti sukan seumpamanya?
Kesimpulan
Sebagai rumusannya, sukan adalah satu aktiviti dan bidang profesional yang diiktiraf oleh Islam. Sukan mampu menjadikan manusia semakin dekat hubungannya dengan Tuhan, asalkan syarat-syarat di atas dapat dipatuhi.
Dalam realiti hari ini, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh mewujudkan panel penasihat syariah yang melibatkan tokoh-tokoh ilmuwan dan pakar yang berkaitan, untuk menggubal garis panduan sukan yang patuh syariah.
Usaha ini didapati telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan melantik Sohibus Somahah Mufti Terengganu sebagai Ahli Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).
Selain itu, sukan juga merupakan satu kaedah bersosial yang mampu mengharmonikan hubungan dalam masyarakat. Ramai ahli politik berkelahi di atas pentas, namun mereka boleh duduk bersama di dalam sukan, lebih-lebih lagi jika mereka menyokong pasukan yang sama.
Sekian.
No comments:
Post a Comment