PKR: Lompat, pancing, beli wakil rakyat, jatuhkan k’jaan
KUALA LUMPUR: Perbuatan lompat parti, melobi, memancing atau membeli wakil rakyat sangat terkait dengan sejarah dilakukan oleh PKR, demikian kata Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi.
Menurut beliau, tindakan tersebut telah dilakukan seawal tahun 2009 lagi sebagaimana wakil rakyat daripada Umno cuba ditarik untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional pada masa itu.
Ulasnya, jika kebiasaan parti politik akan membeli atau memancing wakil rakyat dari kem lawan, PKR bahkan menarik masuk wakil rakyat dari parti koalisi sendiri.
“Kemuncak daripada itu juga kita lihat bagaimana pancing-memancing yang berlaku untuk menjatuhkan Perdana Menteri sendiri berlaku dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari itu.
“Jadi di sini maknanya kalau nak ada satu contoh parti politik yang amalkan beli pancing Ahli-ahli Parlimen memang PKR-lah,” bidasnya dalam _Wacana Sinar Harian_ membincangkan tajuk _‘Dakwaan Sogok Ahli Parlimen: Strategi atau Terdesak?’_.
Demikian itu tegasnya, jika tuduhan tersebut cuba dihadapkan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini, hakikatnya perkara tersebut telah berlaku dalam Kerajaan PH itu sendiri.
“Nasihat orang tua-tua, kalau ekor berlumuran tahi, kasar sikitlah, jangan kokok berderai-derai. Kalau kita ini mengamalkan sogokan, pancing dan sebagainya, jangan cuba kita nak bercakap (kita ini) bersih,” ujarnya membidas PKR.
Tambah beliau lagi, tindakan jelik tersebut bahkan berlaku secara berleluasa dengan pengisytiharan dan perkhabaran yang mendakwa kononnya mempunyai cukup majoriti.
Setiausaha PAS Negeri Kelantan ini turut menempelak pimpinan PKR yang bercakap mengenai jati diri dan integriti serta mandat rakyat, sedangkan merekalah pelaku perkara itu.
“Masalah yang berlaku dalam negara kita hari ini, orang yang bercakap antilompat parti ini, mereka juga orang yang sama yang cuba mempromosikan ataupun memancing Ahli-ahli Parlimen ini supaya lompat parti. Ini yang berlaku,” bidasnya lagi.
Tegas beliau, sebenarnya PKR yang melakukan semua perbuatan tersebut hingga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan tiada lagi kerajaan pada ketika itu.
Katanya, kerajaan jatuh kerana PKR dan Yang di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan baginda berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk melantik Perdana Menteri baharu.
“Kalau ada pun pihak yang menjatuhkan Kerajaan PH di pertengahan penggal baru-baru ini, adalah PKR sendiri menjatuhkan Perdana Menteri. Itu memang jelas.
“Jadi untuk menyalahkan ini pihak lain, kenapa bentuk kerajaan, memang kita kena ada kerajaan. Perlembagaan memperuntukkan boleh bentuk kerajaan setelah terjatuhnya, terbubarnya kerajaan itu.
“Orang kata kerajaan tebuk atap. Saya tanya, saya nak tanya, atap kerajaan mana yang ditebuk?” ujarnya melontar soalan untuk dijawab pihak PH sendiri. – *HARAKAHDAILY 17/3/2021
No comments:
Post a Comment