Monday, March 22, 2021

‘Berbuat baiklah kepada ahli keluarga’ -Pejabat Mufti WP.

 

Status hadis ‘berbuat baiklah kepada ahli keluarga’

Soalan:

“Daripada ‘Aisyah R.A beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya).”
Salam, benarkah hadis di atas?

Ringkasan jawapan

Setelah dilakukan penelitian, status hadis tersebut adalah sahih. Maka, Islam menyeru umatnya untuk sentiasa berbuat baik kepada ahli keluarga serta selainnya. Kebaikan tersebut akan lebih indah jika dilakukan sesuai kemampuan dan tidak memudaratkan diri sendiri.

Huraian jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Merujuk kepada soalan di atas, hadis tersebut merupakan riwayat al-Tirmidhi dalam sunannya. Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda,

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي، وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya). [1] [Riwayat al-Tirmidhi (3895)]

Hadis ini turut diriwayatkan oleh Abu Daud dalam sunannya, bab Fi al-Nahy ‘an Sabb al-Mauta, hadis no. 4899 dengan matan sedikit berbeza {إِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ، وَلَا تَقَعُوا فِيهِ}. [2] al-Darimi dalam sunannya, bab Fi Husn Ma’asyirah al-Nisa’, hadis no. 2306 dengan perbezaan matan tanpa lafaz {وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي}. [3] Ibn Hibban turut meriwayatkan dalam sahihnya, bab Zikr Istihbab al-Iqtida’ bi al-Mustafa SAW, hadis no. 4177. [4] Bahkan hadis ini diriwayatkan oleh ramai lagi daripada kalangan muhaddithin.

Menurut al-Tirmidhi, hadis ini adalah Hasan Sahih. [5] Maka, ia amat wajar diamalkan dan disebarkan. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Tirmidhi dalam al-‘Ilal al-Saghir bahawa,

جَمِيع مَا فِي هَذَا الْكتاب من الحَدِيث فَهُوَ مَعْمُول بِهِ وَقد أخد بِهِ بعض أهل الْعلم مَا خلا حديثين حَدِيث بن عَبَّاس أَن النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم جمع بَين الظّهْر وَالْعصر بِالْمَدِينَةِ وَالْمغْرب وَالْعشَاء من غير خوف وَلَا سفر وَلَا مطر وَحَدِيث النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم أَنه قَالَ إِذا شرب الْخمر فاجلدوه فَإِن عَاد فِي الرَّابِعَة فَاقْتُلُوهُ وَقد بَينا عِلّة الْحَدِيثين جَمِيعًا فِي الْكتاب قَالَ وَمَا ذكرنَا فِي هَذَا الْكتاب من اخْتِيَار الْفُقَهَاء

Maksudnya: Setiap hadis di dalam kitab ini kesemuanya diamalkan, sebahagian ulama telah menjadikan hadis-hadis tersebut sebagai sandaran, melainkan dua hadis iaitu hadith Ibn ‘Abbas bahawa Nabi SAW menjamakkan di antara solat zohor dan asar di Madinah, dan juga (menjama’kan) Maghrib dan Isyak tanpa suasana ketakutan, musafir dan hujan dan hadis “Bahawa Nabi SAW sesungguhnya baginda bersabda: Apabila seseorang meminum arak maka sebatlah ia, sekiranya dia mengulanginya buat kali keempat maka bunuhlah ia. Kami telah menjelaskan ‘illah (kecacatan) bagi kedua-dua hadis tersebut di dalam kitab ini. Dan kami menyebutkan dalam kitab ini pandangan para fuqaha’. [6]

Kesimpulan

Hadis tersebut adalah sahih. Tidak dinafikan kandungan hadis tersebut menyeru kita untuk sentiasa melakukan kebaikan kepada ahli keluarga. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 21/3/2021

Rujukan

[1] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, ed. Ibrahim ‘Athauwah (Mesir: Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), 5/709.
[2] Abu Daud Sulaiman bin al-Asy’at, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhy al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t), 4/275.
[3] ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Darimi, Musnad al-Darimi, ed. Husain Salim Asad al-Darani (al-Mamlakah al-‘Arabiyyah al-Sa’udiyyah: Dar al-Mughni, 2000), 3/1451.
[4] Muhammad bin Hibban, Sahih Ibn Hibban bi Tartib Ibn Bilban, ed. Syu’aib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1993), 9/484.
[5] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmidhi, Sunan al-Tirmidhi, ed. Ibrahim ‘Athauwah, 5/709.
[6] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmidhi, al-‘Ilal al-Saghir, ed. Ahmad Muhammad Syakir (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t), 1/736.

Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad al-Hadith yang diterbitkan pada 19 Mac 2021.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails