Wednesday, March 17, 2021

Firdaus Wong Wai Hung: Dahulu ‘Oh My God’, mengapa sekarang lain?

 

Firdaus Wong Wai Hung

ISU kalimah Allah tiba-tiba muncul lagi. Apa puncanya. Tidak lain lagi kerana masih ada pihak menuntut untuk menggunakan perkataan itu bagi penganut bukan Islam.

Tentunya hairan lagi mengejutkan. Sedangkan sebelum ini hanya kedengaran penganut Kristian sering menyebut perkataan Oh My God.

Mungkinkah perkataan God apabila dialih kepada bahasa Melayu akan berbunyi Allah. Ramai berhujah tidak begitu.

God diterjemahkan sebagai Tuhan atau Tuan. Kupasan seorang pendakwah Firdaus Wong Wai Hung cukup menarik. Ada catatan dalam kolum ‘Terang Bukan Serang’ dalam sebuah akhbar hari ini.

Firdaus menjelaskan penganut Kristian sebelum ini tidak pernah menggunakan nama Allah sebagai gelaran menggantikan perkataan God dalam Bible bahasa Belanda dan Inggeris.

Amalan itu sudah menjadi tradisi dalam masyarakat Kristian di barat. Namun semuanya berubah selepas Pertugis, Belanda dan Inggeris menjelajah kepulauan Melayu.

Lalu mubaligh mereka menterjemahkan perkataan God kepada Allah dengan mengambil kira budaya Melayu di rantau ini. Tentunya ia bagi mengelirukan orang Melayu di nusantara.

Malah London Missionary Society menghantar William Milne bagi menyebarkan agama Kristian mazhab Anglican pada 1815 ke Tanah Melayu.

Berdasar kajian sarjana penduduk ada tempatan yang membantu menterjemahkan Bible iaitu Munshi Abdullah. Berikutan kegiatan penterjemahan itu St Methew Gospal diterbitkan pada 1629 dengan usaha dirintis penjajah Belanda.

Mencari penganut baru

Muhammad Yusuf Marlon Abdullah dan Abdul Hamid Moiden dalam buku ‘Dakwah Masyarakat Majmuk’ menjelaskan mazhab-mazhab Kristian berlumba-lumba menyebarkan ajaran mereka bagi mencari penganut baru di Singapura, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Di Sabah ditubuh Borneo Evengelical Mission pada 1928 bagi mencapai matlamat 3G iaitu GospelGold dan Glory.

Gerakan misionari Kristian disifatkan penulis sebagai satu proses pembudayan agama Kristian terhadap orang bukan Kristian.

Machael Amalados (1989) dalam buku Catholic Asian News menyebut Kristian tidak membatas identitinya dengan mana-mana budaya.

Biarpun gerakan misionari Kristian berputik sejak zaman penjajah namun ia dianggap gagal.

Biarpun begitu gerakan secara sembunyi masih berterusan sehingga sekarang. Antaranya melalui sistem pendidikan, penyebaran risalah, kegiatan ko-korikulum dan dialog.

Tidak kurang penting kajian dilakukan sarjana mendapati aspek kebajikan menjadi pancingan utama gerakan misionari Kristian.

Inilah persoalan yang berlingkar sekarang. Usaha menuntut penggunaan kalimah Allah dikhuatiri tersembunyi agenda yang sudah diketahui umum. Ia berlaku sejak zaman penjajah lagi.

Tiba-tiba isu terbabit berputar semula selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu.

Selain itu perkataan tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan iaitu Baitullah, Kaabah dan solat.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan ia perlu disertakan dengan penafian ‘hanya untuk orang Kristian’ dan lambang salib di hadapan kulit buku.

Larang guna kalimah Allah

Polemik penggunaan kalimah Allah ternyata bukan perkara baru. Pada 31 Disember 2007 wujud pertikaian antara akhbar Herald-The Catholic Weekly dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Kes itu akhirnya dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun 2014. Mahkamah menolak permohonan pihak gereja dan mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Sarjana dari Universiti Teknologi MARA, Khairul Azhar Meerangani secara jelas menyebut kalimah Allah sememangnya sinonim digunakan umat Islam di Malaysia.

Ia digunakan secara meluas dalam urusan ibadah dan kehidupan seharian. Sebaliknya penganut Kristian pula sinonim dengan istilah God dan Lord sebagai merujuk kepada tuhan.

Hujah Khairul penggunaan kalimah Allah dalam terjemahan Bible di Malaysia turut mengundang bantahan daripada sebahagian sarjana dalam ajaran Kristian sendiri.

Di mana mereka menolak penggunaan istilah tersebut kerana dianggap boleh menjejaskan kepercayaan triniti yang menjadi doktrin dalam ajaran Kristian.

Ia dianggap bertentangan dengan penetapan konsep the only god.

Firdaus Wong pula menghuraikan berdasar teks Ibrani Perjanjian Lama, nama khusus tuhan bagi orang Yahudi disebut dalam ayat Deuteronomy 6:4:

“Syema Isyraelu YaHuWaH eloheinu YaHuWaH ekhad’ terjemahannya ‘Wahai orang Israel, YaHuWah Tuhan kita, YaHuWaH adalah esa,’.

Katanya Perjanjian Lama merekodkan nama Tuhan yang Maha Esa ditulis sebagai YaHuWaH (YHWH).

Malah orang Yahudi menukar sebutan ‘YHWH’ kepada Adonai yang bermaksud Tuan. Dan jika diterjemah bahasa Inggeris nama YHWH diganti dengan perkataan Lord.

Hear, O Israel: The Lord our God, the Lord is one. Maka Firdaus Wong menyifatkan penterjemah Bible ke dalam bahasa Melayu tersalah menggunakan nama Allah sebagai ganti kata gelaran.

“Teks asal Bible adalah bahasa Ibrani dan Greek yang jelas kalimah Allah tidak wujud dalam teks tersebut. Yang ada hanyalah perkataan YHWH, Adonai, Kurios dan Theos,” catatnya pada kolum di Utusan Malaysia. – HARAKAHDAILY 17/3/2021

SUMBERM FAQIH

No comments:

Post a Comment